Delegasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) menikmati pertukaran budaya melalui program LINC 3.0 yang dianjurkan pihak Hannam University di Youth Bunker, Daedeok Korea Selatan. 

Program dikendalikan Profesor Peter Lee, melalui bimbingan Dekan LINC3.0 Profesor Won Gu-Hwan dan disokong Datuk Bandar Daerah Dae Deok, Choi Chung-Gyu dengan inisiatif memupuk kerjasama global antara industri dan akademik.

Sepanjang program dijalankan, pelbagai aktiviti bermakna yang disesuaikan untuk pensyarah dan pelajar UMS termasuklah persembahan muzik daripada Jo Hye-Won, Bak Su-Hyun, dan Song Ye-Hyeon diiringi latihan tarian K-pop dibawah bimbingan koreografer popular Lee Da-Seul.

Choi Chung-Gyu dalam ucapan alu-aluannya menekankan kepentingan program ini yang memperkayakan kehidupan golongan muda sepanjang menyertai program pertukaran ini.

“Bunker Belia yang terletak di tingkat bawah tanah Pejabat Daerah Daedeok menyediakan ruang yang direka untuk memupuk komunikasi dan pertukaran budaya dalam kalangan belia. 

“Dibuka pada hari bekerja dan Sabtu, kemudahan ini menawarkan pelbagai kemudahan secara percuma, termasuk tempat persembahan, kafe buku dan ruang mesyuarat,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi, dan Perakaunan UMS Profesor Madya Dr Mohd. Rahimie Abd Karim yang juga berkhidmat sebagai ketua delegasi dan Pengarah AACSB merakamkan penghargaan kepada Universiti Hannam kerana memberikan kerjasama sepenuhnya sehingga memudahkan perjalanan program ini.

Delegasi UMS disertai Rosle Mohidin, Pensyarah dan Penyelaras Mobiliti Antarabangsa di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, UMS Datu Razali Datu Eranza.

 Mahasiswa dan mahasiswi UMS disertai Ahmad Zaid Mohamad Nasir, Carl Chan Teck Hong, Metlye Metter, Nabila Qistina Robian, Nina Natasha Baqiah Abu Bakar, Nisrina Humaira Rasyidi, dan Sitti Salmiya Ombra.

Selain mempelajari tarian K-Pop, Nina dan Salmiyah turut mempersembahkan tarian Igal-Igal Lampa Lampa Pisang oleh Den Bisa untuk disertai oleh koreografer Korea Lee Da-Seul. 

Rosle Mohidin mempersembahkan lagu 'Sayang Sayang Kinabalu', dengan penyertaan tarian daripada semua hadirin.

Warga Korea turut menyatakan bahawa menyertai tarian Igal-Igal dan 'Sayang Sayang Kinabalu' adalah satu pengalaman yang luar biasa kerana semua orang bersemangat untuk menari bersama.

Kerjasama ini bukan sahaja memperkayakan perjalanan akademik perwakilan UMS tetapi juga mengeratkan hubungan antara institusi, memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang kepelbagaian budaya dan kerjasama akademik. 

Memandangkan inisiatif seperti ini terus berkembang, delegasi menekankan kepentingan perkongsian global dalam membentuk masa depan akademik dan industri.

 

Pusat Pengurusan EcoFarm (EcoFarm), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan majlis perasmian projek dan pelancaran hasil kerjasama UMS dan Kundasang Aquafarm (KAF) dalam penyelidikan dan pembelajaran pertanian tanah tinggi di Kg. Mesilau, Kundasang baru-baru ini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran Pertanian Tanah Tinggi UMS Kundasang atau singkatannya, PETIK akan menjadi hab kecemerlangan penyelidikan dan pembelajaran pertanian tanah tinggi termasuk bidang agripelancongan.

Katanya, PETIK adalah hasil usahasama antara UMS dan KAF sejak tahun 2021, seterusnya pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) pada tahun 2022 dan pada tahun 2023/2024, PETIK telah mula direalisasikan di lapangan dengan siapnya 10 rumah hijau yang lengkap dengan kemudahan hidroponik untuk penghasilan sayur daun dan buah.

“Kerja-kerja pembangunan PETIK bagi fasa pertama telah siap sepenuhnya dan aktiviti penanaman serta penjualan hasil pertama telah dilaksanakan.

“Melalui usahasama ini, PETIK akan menjadi landasan pendedahan kepada ilmu dan pengalaman pengurusan pertanian tanah tinggi yang lestari dalam kalangan pelajar serta masyarakat sesuai dengan MoA yang telah dipersetujui dengan pihak Kundasang Aquafarm,” ujarnya.

Beliau juga menekankan slogan “I want result” dalam mana-mana projek universiti sesuai dengan kejayaan PETIK direalisasikan di lapangan.

“PETIK turut menerima pelajar daripada pelbagai universiti yang menjalankan latihan industri, malah menyokong hubungan antara industri dan masyarakat melalui penganjuran kursus atau bengkel kemahiran dalam pertanian tanah tinggi,” ujar beliau yang turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan tertinggi UMS sebelum ini atas usaha merealisasikan PETIK.

Pada majlis tersebut, sijil perasmian turut disampaikan kepada Pengarah Urusan KAF, Azizul Julirin, disusuli dengan penuaian sayur daun (salad) dari sistem hidroponik dan seterusnya penanaman pokok kopi sebagai simbolik perasmian projek dan pelancaran PETIK.

Sementara itu, Pengarah EcoFarm, Ts. Dr. Januarius Gobilik berkata, menerusi perbincangan lanjut dengan Azizul, bukan sahaja sayuran daun dan buah bernilai tinggi yang menggunakan sistem hidroponik diusahakan, pokok kopi Arabica catimor juga turut ditanam di lereng bukit di PETIK.

“Selain daripada penyelidikan dan pembelajaran, ia juga berkait dengan penstabilan struktur tanah di kawasan tersebut serta untuk menghasilkan produk kopi bagi memantapkan lagi industri kopi tempatan.

“Projek UMS-KAF ini juga dipakejkan sebagai agripelancongan dengan pengurusan pakej tersebut tidak hanya melibatkan pelajar dan penyelidik dari UMS tetapi melibatkan kerjasama dengan masyarakat setempat untuk membolehkan impak projek lebih mendalam lagi,” katanya.

Untuk rekod, selain membangunkan PETIK, Pusat Pengurusan EcoFarm yang merupakan salah satu dari Sustainable Business Unit di UMS juga membangunkan Makmal Hidupan AFEEDRI di Apin-Apin, Keningau untuk mempergiatkan lagi aktiviti keusahawanan dalam universiti untuk menyokong kelestarian penyelidikan dan pembelajaran pelajar.

Turut sama dalam majlis perasmian dan pelancaran PETIK adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahril Yusof; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya. Dr. Raman Noordin; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Penolong Naib Canselor (Strategik), Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree; Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd. Nasri serta dekan-dekan fakulti dan pengarah-pengarah pusat, warga UMS serta KAF.

 

Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Retreat dan Bengkel Bidang Keberhasilan Utama (KRA) Pengurusan Fakulti Kejuruteraan bagi Tahun 2024 di Beringgis Beach Resort, Papar baru-baru ini.

Dekan FKJ, Prof. Madya Ts. Dr. Ismail Saad berkata, program ini antara lain bertujuan untuk merangka, merancang dan menetapkan strategi untuk merealisasikan Pelan Strategik Universiti Malaysia Sabah bagi tahun 2024.

“Selain itu, pelaksanaan program ini adalah untuk melihat dan menilai semula pencapaian setiap KRA yang telah ditetapkan oleh Fakulti Kejuruteraan pada tahun 2023,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut menekankan penghayatan slogan fakulti yang diperkenalkannya iaitu 'Bersatu Kita Teguh’ sebagai satu nilai bersama yang perlu diterapkan kepada semua kakitangan agar fakulti dapat memupuk kerjasama dan semangat kerja berpasukan tinggi bagi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam Pelan Strategik UMS 2023 - 2027

Sebagai tambahan kepada slogan sedia ada, beliau juga meminta agar penerapan nilai TEGUH iaitu singkatan daripada perkataan Teamwork, Excellence, Good Governance, Universe dan Harmony sebagai nilai teras yang perlu diterapkan dalam setiap perkara yang dilaksanakan di fakulti.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama semua ahli sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan pelaksanaan retreat dan bengkel fakulti pada kali ini.

“Adalah diharapkan segala perancangan dan tanggungjawab yang diamanahkan akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin bagi mencapai kecemerlangan fakulti,” ujar beliau.

 

Jabatan Bendahari Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil inisiatif berkongsi ilmu bagi meningkatkan kefahaman pelaksaaan cukai pegangan bersama rakan-rakan universiti.

Dirasmikan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, seminar selama dua hari itu disertai oleh 84 wakil daripada Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta serta agensi-agensi awam.

Menurut Kasim, sebagai sebuah universiti awam yang telah melaksanakan cukai pegangan, penganjuran seminar tersebut merupakan satu medium dua hala yang baik untuk meningkatkan kefahaman bersama.

”Selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara untuk meningkatkan tahap profesionalisme Universiti Awam dalam pengendalian kelestarian kewangan dan percukaian, maka, pada tahun 2017, UMS mula melaksanakan cukai pegangan sebagai satu bentuk manifestasi kepada seruan tersebut.

”Melalui seminar ini diharap akan dapat memberikan input berkaitan pengurusan serta impak cukai pegangan dalam kewangan agensi antara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan wakil universiti awam, swasta dan agensi-agensi awam yang hadir,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.

Terdahulu, Bendahari UMS, Badrul Hisham Ismail berkata seminar itu juga membolehkan peserta mengaplikasikan ilmu pengetahuan bagi peningkatan kerjaya dan organisasi ke peringkat kebangsaan.

”Selain itu juga ia dapat mewujudkan dan mempereratkan hubungan dengan agensi-agensi lain yang sesuai dengan tugas dan matlamat.

“Dengan pengisian yang padat, diharapkan seminar ini akan dapat memberikan manfaat kepada usaha kita secara bersama dalam memantapkan lagi pelaksanaan cukai pegangan di institusi masing-masing,” katanya.

Hadir sama Bendahari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Haji Mazlan Kiflie; Pengarah Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf (CIEW) UMS, Dr. Borhan Sareya Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Seminar, Mohamad Edrus Othman.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Alpro Pharmacy Sdn. Bhd. bekerjasama bagi meningkatkan peluang pekerjaan graduan program Sarjana Muda Pemakanan UMS.

Kerjasama itu dimeterai melalui memorandum perjanjian persefahaman (MoU) yang diadakan baru-baru ini.

Melalui kerjasama tersebut, UMS dan Alpro Pharmacy akan meluaskan kerjasama melalui kepelbagaian aktiviti pengajaran dan pembelajaran termasuk latihan industri serta khidmat masyarakat dalam kalangan pelajar Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS.

Menurut Ketua Progam Pemakanan UMS, Dr. Norliyana Aris, Alpro Pharmacy Sdn. Bhd. menjadi pilihan 40 peratus pelajar Program Pemakanan untuk menjalankan latihan industri mereka.

“Ini kerana Alpro menyediakan platform dan modul latihan yang menyeluruh untuk memastikan pelatih nutritionist bersedia menempuh alam pekerjaan.

“Selain itu, Alpro juga secara aktif mempromosikan penglibatan komuniti melalui pelbagai program promosi pendidikan pemakanan dan kesihatan yang menyasarkan pelbagai peringkat umur selari dengan skop kerja seorang pakar pemakanan,” katanya.

Tambah Norliyana, dengan lebih 260 Alpro Touch Points, farmasi Komuniti, pusat fisioterapi dan klinik kesihatan, perjanjian persefahaman ini akan meningkatkan peluang pekerjaan bagi graduan Program Sarjana Muda Pemakanan dengan Kepujian UMS.

“UMS dan Alpro telah menjalankan beberapa aktiviti bersama sejak tahun 2022 seperti perkongsian latihan industri dan klinik pekerjaan, Career Fair FSMP 2023, dan menandatangani perjanjian surat niat,” jelasnya.

Majlis pertukaran dokumen MoA di antara UMS dan Alpro disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor dan Pengurus Sumber Manusia Alpro Pharmacy Sdn. Bhd. Chong Pay Yi.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.