Sekumpulan penyelidik Rintangan Antimikrob (AMR – Antimicrobial Resistance)  dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program “Mengenali AMR” di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan dan SK Piasau, Kota Belud baru-baru ini.

Menurut Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan FPSK, Dr Zulkhairul Naim Sidek Ahmad yang juga merupakan Ketua Projek AMR, program tersebut antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai AMR dalam kalangan murid-murid sekolah rendah tersebut.

“Program ini adalah kesinambungan dari aktiviti yang dijalankan pada penghujung tahun lalu yang menyaksikan 20 orang murid dari SK Pekan dan SK Piasau telah dilatih untuk menjadi pembimbing rakan sebaya bagi menyebarkan kesedaran berkenaan AMR.

“Kajian perubatan di seluruh dunia telah menunjukkan bahawa punca utama AMR adalah disebabkan penggunaan antibiotik secara tidak wajar.

“Justeru itu, kempen berkenaan AMR perlu dilakukan seawal yang boleh agar masyarakat khususnya generasi muda lebih cakna dan dapat meningkatkan pengetahuan tentang AMR,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Nurhanah Idek ketika merasmikan penutupan program tersebut berkata, penganjuran program tersebut adalah tepat pada masanya.

“AMR merupakan ancaman kesihatan global yang semakin membimbangkan.

“Oleh yang demikian, program seperti ini sangat memberi manfaat kepada murid-murid dan juga selari dengan agenda kesihatan negara,” ujar beliau.

Program yang diadakan selama dua hari itu mendapat penyertaan seramai 220 orang murid darjah empat hingga enam dari SK Pekan dan SK Piasau.

Untuk rekod, AMR adalah satu keadaan yang wujud apabila bakteria, virus, kulat atau parasit yang dirawat tidak lagi memberi tindak balas terhadap ubat yang digunakan, lalu menyebabkan sesuatu penyakit jangkitan semakin sukar diubati dan memerlukan antimikrob yang lebih kuat serta lebih mahal bagi menyembuhkan jangkitan tersebut.

 

Kerjasama strategik di antara Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal (PPPH) di bawah Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP)  Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama hab halal Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mampu menyumbang kepada perkembangan hab halal di Sabah.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah PPPH, Dr. Noorakmar Abd Wahab ketika mengetuai delegasi UMS mengadakan kunjungan hormat ke pejabat MUIS baru-baru ini.

Delegasi UMS seramai lima orang disambut oleh wakil dari hab Halal Sabah yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali.

Menurut Noorakmar, kunjungan tersebut antara lain membincangkan kerjasama dengan hab halal MUIS dalam hal-hal yang berkaitan dengan perkhidmatan halal, dengan mengambil kira peranan PPPH selaku penyedia latihan halal (PLH) yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Sabah.

“PPPH bersedia memainkan peranan dalam memberikan latihan dan kursus yang diperlukan oleh pengusaha makanan sama ada di peringkat kotej, kecil dan sederhana dan perusahaan besar.

“Justeru, perbincangan ini adalah permulaan terbaik untuk satu usaha ke arah kerjasama yang lebih strategik dan bersasar antara kedua-dua pihak sebagai meneruskan kesinambungan kepada satu Memorandum Persefahaman yang telah dimeterai antara UMS dan MUIS sebelum ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, beberapa kertas cadangan yang berkaitan aktiviti penyelidikan juga telah disampaikan kepada MUIS, termasuk potensi kerjasama dalam penganjuran Simposium Halal yang dijangka akan diadakan pada bulan Ogos 2024 di Sutera Harbour, Kota Kinabalu.

“Dengan adanya tenaga pakar di PPPH, penyelidikan bersama dari segi analisis halal dan pengetahuan berkenaan halal dapat dilaksanakan dan seterusnya dapat memberi maklumat mengenai landskap halal yang diperlukan oleh MUIS.

“PPPH dan MUIS jika bergerak bersama mampu mewujudkan sinergi positif dalam memperkasakan industri dan seterusnya ekosistem halal di Sabah,” katanya.

Noorakmar turut menzahirkan penghargaan kepada MUIS yang sentiasa memberi sokongan kepada PPPH dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan perkhidmatan halal.

“Diharapkan kerjasama yang berterusan di antara UMS dan MUIS akan memberi manfaat kepada Negeri Sabah dalam menjadi hab halal terutama dalam penghasilan makanan yang bukan hanya halal tetapi juga toyyiban,” ujar beliau.

Hadir sama dalam kunjungan hormat tersebut Dekan FSMP, Prof. Madya Dr. Hasmadi Mamat dan ahli-ahli kumpulan penyelidik halal iaitu Mohd Hazim Mohd Yusof, Dr. Nor Qhairul Izzreen Mohd Noor, dan Dr. Yanty Noorzianna Abdul Manaf.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedia untuk membantu pembangunan industri halal di Hong Kong melalui kepakaran yang terdapat di universiti tersebut.

Perkara ini dinyatakan oleh Dekan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Hasmadi Mamat.

Menurut beliau, usaha tersebut bakal dipacu menerusi kerjasama bersama GBA Halal Certification Centre Ltd.

“Kolaborasi bersama ini meliputi  khidmat pakar runding makmal analisis halal, dengan libat sama syarikat OriGene DNA Testing Company Ltd. untuk analisis DNA dan alkohol dalam produk makanan halal di pasaran Hong Kong.

“Selain itu, UMS yang merupakan penyedia latihan halal yang berdaftar di bawah JAKIM bersedia untuk menawarkan program latihan halal seperti kursus kesedaran halal, kursus kompetensi halal, kursus eksekutif halal dan kursus pengauditan halal kepada pihak industri halal di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyempurnakan acara menandatangani surat persetujuan kerjasama antara UMS melalui Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal (PPPH), dengan GBA Halal Certification Centre Ltd. sempena Halal Pavilion 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Hong Kong baru-baru ini.

UMS juga katanya akan memberi khidmat perundingan dan nasihat dalam pengurusan sistem jaminan halal bagi memastikan pematuhan kepada piawaian halal yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, Pengurus Besar GBA, Sharifa Leung berkata, kerjasama ini dijangka dapat membantu memajukan lagi ekosistem halal di Hong Kong.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada UMS kerana sudi memberikan sokongan dan bantuan dalam membangunkan industri halal di Hong Kong.

“Harapan saya adalah industri halal di Hong Kong dapat berkembang maju pada masa hadapan, selain  berharap agar masyarakat sama ada Islam atau bukan Islam di Hong Kong akan mendapat manfaat langsung terutama dari segi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang halal,” ujar beliau.

 

Program Nutri-Connect 1.0 anjuran Program Pemakanan, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diadakan di Kampung Libang, Ranau baru-baru ini merupakan usaha UMS untuk terus meningkatkan pendidikan berkaitan pemakanan sihat dalam kalangan masyarakat.

Menurut Ketua Program Pemakanan FSMP, Dr. Norliyana Aris, program tersebut diadakan bertujuan untuk memberikan pendidikan pemakanan bagi membentuk komuniti yang lebih sihat dan bahagia.

“Di samping itu, usaha ini turut memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung kepada para pelajar FSMP yang mengendalikan program ini.  

“Ini adalah selari dengan strategi Dasar Pemakanan Kebangsaan 2.0 iaitu mendaya upaya individu, keluarga dan masyarakat sebagai ejen perubahan dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan pemakanan mereka,” katanya.

Penganjuran program tersebut juga katanya mendapat maklum balas positif daripada peserta dalam kalangan penduduk kampung yang menyatakan aktiviti yang dikendalikan telah memberikan ilmu pengetahuan dan kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan pemakanan dan gaya hidup sihat.

“Justeru itu, kami menyasarkan untuk memperkasa sebuah komuniti sebagai Duta Pemakanan Sihat pada program Nutri-Connect 2.0 yang akan datang.

“Peserta akan mengikuti aktiviti Train-the-Trainers yang membekalkan mereka dengan ilmu dan kemahiran berkaitan gaya hidup sihat dan pemakanan lestari,” katanya.

Dalam pada itu, koordinator program tersebut, Dr. Noor Atiqah Aizan Abdul Kadir berkata penganjuran program tersebut dapat memberi pendedahan kepada peserta berkaitan cara menjaga diri dan keluarga melalui pemakanan yang sihat dan berkualiti serta sesuai dengan gaya hidup masyarakat tempatan.

Baliau yang juga merupakan anak jati Ranau turut menyatakan harapan agar usaha tersebut dapat memberi manfaat kepada komuniti Kampung Libang, Ranau khususnya dalam menerapkan pemakanan yang lebih sihat dan sekali gus memberi kesan positif kepada kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Pelbagai aktiviti dijalankan dalam program tersebut, antaranya saringan pemakanan, runding cara pemakanan, pendidikan pinggan sihat dan piramid makanan Malaysia, pertandingan aktiviti fizikal, meneka kandungan gula dalam minuman dan kandungan garam dalam makanan, serta memasak secara sihat.

Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan telah menarik perhatian lebih 50 ahli komuniti yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Turut terlibat dalam program tersebut pensyarah Program Pemakanan FSMP, Dr. Nur Hanisah Azmi dan Dr Ramlah George @ Mohd Rosli, serta 28 pelajar Program Pemakanan yang mengendalikan keseluruhan aktiviti sepanjang program tersebut.

 

Penceramah, pendakwah dan tokoh ulama terkenal, Ustaz Dr. Abdul Somad Batubara dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Pengajian Islam (FIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Watikah pelantikan telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor kepada Ustaz Dr. Abdul Somad dalam majlis ringkas yang berlangsung di Bilik Eureka, UMS Kampus Antarabangsa Labuan baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Pengarah UMS KAL, Profesor Madya Dr. Mohd Rizal Abdul Hamid; Dekan FIS UMS, Profesor Dr. Mohd Dahlan Hj. A. Malek dan pegawai-pegawai utama UMS.

Terdahulu, dalam ucapannya Prof. Shahril berkata pengiktirafan ini adalah hasil daripada pencapaian cemerlang serta sumbangan yang tidak ternilai yang diberikan Ustaz Dr. Abdul Somad dalam bidang pengajian Islam, dalam dan luar negara.

"Ustaz Dr. Hj. Abdul Somad Batubara, bukan sahaja merupakan seorang cendekiawan yang ulung tetapi juga seorang pemikir yang berdedikasi kepada kemajuan ilmu pengetahuan dan pendidikan di negara Indonesia, Malaysia dan nusantara, bahkan seantero dunia, baik melalui media sosial atau ceramah secara bersemuka.

"Oleh itu, pelantikannya sebagai Profesor Adjung bukan sekadar satu penghormatan peribadi tetapi juga sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik yang telah beliau capai," katanya.

Tambah Shahril, Abdul Somad juga dapat membantu menyumbang pengalaman dalam bidang pengajian Islam serta berpotensi meningkatkan kualiti pengajaran dan penyelidikan di FIS dalam pengembangan kokurikulum yang relevan dan berkualiti selari dengan peredaran zaman.

“Semoga dengan pelantikan Ustaz Dr. Hj. Abdul Somad Batubara sebagai Profesor Adjung di FIS, UMS akan memberi inspirasi kepada semua warga universiti khususnya para pelajar untuk terus berusaha dan mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

”Insya-Allah kehadiran beliau akan membawa sinergi positif, kreatif dan semangat kerjasama yang akan menyemarakkan dan memperkayakan perjalanan akademik Fakulti Pengajian Islam dan Universiti Malaysia Sabah secara keseluruhannya,” katanya.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.