- Jumlah paparan: 225
Budaya Kerja Cemerlang Tonggak Perkhidmatan Cekap di Universiti – Naib Canselor UMS
Budaya kerja cemerlang harus dijadikan keutamaan demi memastikan universiti dapat menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap dan efisien.
Selari dengan hasrat tersebut, Persatuan Pegawai Pengurusan Dan Profesional Universiti Malaysia Sabah (PPUMS) telah mengadakan Program Team Building baru-baru ini bagi memperkukuh semangat berpasukan serta membina sinergi dalam kalangan pegawai pengurusan dan profesional universiti.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, program itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan hubungan dan jalinan kerjasama dan semangat berpasukan di samping memupuk kesefahaman dan hubungan yang lebih erat antara ahli pasukan melalui pelbagai aktiviti yang memerlukan interaksi dan kerjasama ahli.
“Selain meningkatkan prestasi kerja secara kolektif, program ini turut memperkuat budaya kerja secara positif yang berteraskan kepada prinsip integriti, tanggungjawab dan saling hormat-menghormati dan paling utama melahirkan rasa kepunyaan dan kebersamaan dalam kalangan pegawai terhadap universiti.
“Sesungguhnya program sebegini mampu mengoptimumkan potensi individu dan kumpulan dengan meneroka kekuatan serta gaya kerja setiap ahli untuk dimanfaatkan dalam membentuk pasukan yang lebih efektif dan seimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut di Pusat Latihan Kenegaraan (PLK) Kundasang.
Tambah Kasim, beliau percaya entiti seperti persatuan kakitangan mampu menjadi jambatan untuk memastikan kebajikan kakitangan sentiasa terjaga serta isu-isu di tempat kerja dapat diatasi bersama.
Terdahulu, Presiden PPUMS, Molly Donna Datuk Hj. Awang Sham memaklumkan seramai 76 orang pegawai pengurusan dan profesional UMS daripada pelbagai gred dan skim telah hadir sebagai peserta untuk program yang dijalankan sepanjang dua hari tersebut.
“Di antara pengisian program adalah komunikasi berkesan, pembentukan pasukan, penyelesaian masalah dan pembuat keputusan, kepimpinan dan tanggungjawab, kepercayaan dan kebergantungan, motivasi dan nilai organisasi, pengurusan konflik dan empati serta aktiviti luar dan simulasi permainan.
“Pegawai yang berintegriti dan bersatu hati bukan sahaja mampu menggerakkan organisasi, tetapi membina asas kukuh bagi kecemerlangan universiti,” ujar beliau.
Turut sama menjayakan program Team Building PPUMS Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Jamal Norubit @ Nerubi yang hadir sebagai wakil jemputan khas PPUMS dalam slot perkongsian khas, selain Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Pengarah Bahagian Korporat, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Zahed Saidin.



Seramai 12 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor-SUKSIS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu dalam satu ekspedisi latihan luar bilik darjah.
Radio kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), UMSfm, melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan siaran berkembar selama sejam bersama rakan industri studio satelit MediaLab Alliance Sdn. Bhd. di Subang Jaya.
Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan institusi pendidikan tinggi (IPT) di Sabah turun padang bagi menyantuni komuniti Kota Belud khususnya penduduk Kg. Keguraan menerusi program Jelajah Pendidikan Tinggi Untuk Komuniti @ Sabah baru-baru ini.
Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited untuk menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi bagi memperkukuh pengurusan bencana negara.