Lebih 2,000 warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta masyarakat setempat berhimpun di Dewan Canselor UMS semalam bagi menzahirkan sokongan dan bersolidariti bersama rakyat Palestin yang kini terus menjadi mangsa kezaliman tentera rejim Zionis yang berterusan membedil bumi Gaza.

Himpunan anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS dengan kerjasama Kelab Rakan Masjid UMS menyaksikan para peserta membawa bendera Palestin, memakai mafela dan ’head band’ bermotif Palestin, serta mengangkat plakad yang menunjukkan sokongan terhadap pembebasan bumi Palestin daripada terus diceroboh dan ditindas.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor ketika berucap pada majlis tersebut berkata, program Himpunan Solidariti Palestin di UMS adalah satu inisiatif yang dicetuskan dengan matlamat meningkatkan kesedaran, pemahaman, dan sokongan terhadap rakyat Palestin.

“Program ini berusaha untuk menyediakan pendidikan dan pengetahuan tentang isu Palestin melalui sesi perkongsian, sekali gus melancarkan Tabung Solidariti Palestin hasil gerakan dan inisiatif Persatuan Mahasiswa UMS.

“Matlamat akhir adalah untuk menyokong hak rakyat Palestin dan mempromosikan keadilan, kedamaian, dan kemerdekaan Palestin melalui usaha di peringkat universiti merangkumi semua warga UMS.

“Usaha berterusan sedemikian sangat penting ke arah menyokong pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat selaras dengan keazaman Kerajaan Malaysia yang lantang menyuarakan solidariti untuk rakyat Palestin,” katanya.

Kasim turut menyeru kepada orang ramai agar menggunakan senjata doa untuk diangkat demi kemenangan serta kesejahteraan rakyat di Palestin dan terus bersolidariti bersama rakyat Palestin yang tertindas.

Pada program tersebut, aktivis dan pengasas Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang juga merupakan Alumni UMS telah diberikan satu sesi perkongsian berkaitan sejarah konflik di Palestin, kisah-kisah perjuangan mujahidin di Palestin sehingga mutakhir ini, serta kegiatan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dipimpin beliau di Palestin.

Hadir sama pada majlis tersebut ahli-ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Hj. Aliasgar Hj. Basri, Datuk Mohd. Hasnol Ayub dan Puan Rafidah Datu Derin; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Timbalan Naib Cancelor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya. Dr. Raman Noordin; Presiden MPP UMS, Jeeva Cassandra Abdul Mumin; dan Presiden KRUMS, Awang Mohd. Afizi Ag. Jalaluddin

 

Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dengan kerjasama Persatuan Fikrah Ummah Medika Sabah (PERFUMS), I-Guru Sabah dan Aman Palestin Sabah telah mengadakan program Training of Trainers (TOT) ReproAlert, di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah, baru-baru ini.

TOT ReproAleart merupakan program yang julung kali diadakan bertujuan memperkenalkan pendidikan seksualiti dan kesihatan reproduktif berasaskan kekeluargaan, Islam dan nilai ketimuran.

Menurut Dekan FPSK UMS merangkap Presiden PERFUMS, Datuk Dr. Yusof Ibrahim, kolaborasi dalam menjayakan TOT ReproAlert itu merupakan satu permulaan baik dalam memberi kesedaran tentang pendidikan seksual kepada semua lapisan masyarakat.

“Mutakhir ini, permasalahan sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja amat membimbangkan. Kecanggihan dan perkembangan teknologi memudahkan akses kepada perkara negatif seperti pornografi yang menyebabkan kerosakan akhlak dalam kalangan masyarakat hari ini seperti jenayah rogol, liwat dan amang seksual.

“Harapan kita agar program seumpama ini dapat menarik keterlibatan lebih ramai pihak dalam usaha menangani isu seksual dan reproduktif dalam kalangan pelajar,” ujarnya.

Tambah Yusof, pihaknya juga berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan dan disebarkan merentasi pelbagai budaya dan agama di Sabah.

“Saya juga percaya program ini dapat memberikan para peserta pengetahuan dan pengalaman berharga untuk disampaikan kepada masyarakat umum kelak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi TOT ReproAlert, Dr. Muhammad Ikmal Mohamad Kamil berkata satu modul pendidikan seksual yang sesuai dengan lokaliti Malaysia amat diperlukan pada masa kini.

“Pada hari ini kita berdepan cabaran dalam pendidikan seksualiti seperti kurangnya kemahiran, mangsa seksual semakin muda, desakan sekularisme dan ideologi-ideologi luar, ancaman teknologi siber dan banyak lagi cabaran lain yang tidak tersenarai.

“Oleh itu, kita memerlukan modul pendidikan seksual yang sesuai dengan lokaliti Malaysia, pendidik yang terlatih serta tenaga yang lebih ramai,” jelasnya.

Seramai 45 orang peserta mengikuti program ini yang terdiri dari kalangan profesional kesihatan, pensyarah, guru dan pendidik masyarakat.

Antara modul yang dikongsikan pada program itu termasuklah perkembangan jantina dan kecelaruan gender, kesihatan psikoseksual, anatomi dan fisiologi, penderaan dan salah laku seksual serta panduan pelaporan.

TOT ReproAlert turut dilengkapi dengan latihan dalam kumpulan (LDK) yang membincangkan isu seperti pengurusan nafsu, penyakit kelamin, ancaman pornografi, kontraseptif dalam konteks kekeluargaan Islam, keselamatan atas talian, buli siber, sentuhan selamat serta konsep akil baligh.

Turut hadir sebagai penceramah, Pakar Fisiologi Gender Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr. Rafidah Hanim Mokhtar dan Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Labuan, Dr. Shafiah Solehah Ismail.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggunakan khidmat perundingan MAMPU dalam pembangunan enterprise architecture (EA) dan analitis data raya, atau juga dikenali sebagai Big Data Analytics (BDA) di UMS.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, pembangunan EA dan BDA di UMS adalah selaras dengan pelaksanaan inisiatif data raya seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Katanya, pelaksanaan EA dan BDA di UMS amat penting bagi memastikan kualiti perkhidmatan digital universiti dapat ditingkatkan serta memastikan perancangan dan pembuatan keputusan pada masa hadapan adalah berlandaskan data.

“UMS komited menyokong Teras Strategik 2, Pelan Strategik Pendigitalan Agensi Sektor Awam 2021-2025 dengan mewujudkan agenda pendigitalan ke dalam Pelan Strategik UMS 2023-2027 melalui Key Result Area (KRA) 7, Digital Transformation yang bermatlamat untuk menyediakan infrastruktur digital yang mampan, perkhidmatan digital yang inklusif, dan pengurusan data yang komprehensif.

“Sehubungan dengan itu, kerjasama dengan khidmat perundingan daripada Bahagian Perundingan ICT, MAMPU dalam pembangunan EA dan BDA adalah langkah tepat dalam menyokong strategik inisiatif KRA 7 UMS.

“Dengan tersedianya EA UMS ini, pihak pengurusan berharap ia akan dapat mempercepatkan dan meningkatkan lagi proses transformasi digital di UMS,” ujarnya.

Tambah Kasim, transformasi digital yang menyeluruh merangkumi domain bisnes, data, aplikasi dan teknologi akan meningkatkan kualiti perkhidmatan digital dan memberi manfaat kepada pemegang taruh UMS.

“Begitu juga dengan pelaksanaan BDA UMS, inisiatif dan perancangan strategik yang lebih mampan akan dapat dirangka berlandaskan data dan maklumat. Secara tidak langsung, pelaksanaan BDA akan meningkatkan lagi pembudayaan keputusan berlandaskan data di UMS,” jelasnya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Raman Noordin.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perundingan ICT MAMPU, Nur Hidayah Abdullah berkata pihaknya menghargai kepercayaan yang diberikan oleh UMS mendapatkan khidmat perundingan MAMPU bagi projek tersebut.

“MAMPU juga ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah terutamanya kepada Ketua Pegawai Digital UMS, Profesor Dr. Awang Asri atas kejayaan membangunkan EA dan BDA di UMS bermula November 2022 sehingga Oktober tahun ini.

“Kerjasama MAMPU dan UMS dalam membangunkan EA dan Spesifikasi Keperluan Bisnes (BRS) BDA secara dalaman telah menyumbang kepada penjimatan kos perunding luar.

“Pembangunan EA dan BRS DBA UMS ini diharap dapat meningkatkan pendigitalan, penyepaduan proses dan infrastruktur UMS serta perkongsian data dalam kalangan universiti dan agensi kerajaan,” tambahnya.

Pembangunan EA UMS direka bentuk berteraskan pendigital perkhidmatan yang berfokus kepada pembangunan modal insan yang berpengetahuan dan berkeupayaan serta dapat meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan yang berorientasikan keperluan industri.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi anak syarikat UMS Investment Holding Sdn. Bhd. dilantik sebagai perunding bagi Sabah Minerals Development Blueprint (2023-2028).

Sabah Minerals Development Blueprint (2023 – 2028) dibangunkan sebagai perancangan pembangunan dan strategik sumber mineral di negeri Sabah bagi tahun 2023 hingga 2028.

Menurut Ketua Projek Perunding, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee, projek itu merangkumi kajian secara komprehensif terhadap sumber mineral Sabah, serta mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil untuk menggalakkan dan meningkatkan pembangunan sumber itu.

Katanya, okjektif utama projek itu adalah untuk bekerjasama secara profesional dalam konteks ekplorasi terhadap sumber mineral negeri dan menjadi rujukan kepada kerajaan negeri dalam mengoptimakan sumber galian demi kepentingan Sabah.

“Ia bagi memastikan sumber mineral Sabah dibangunkan secara teratur dan mampan dengan kesan negatif yang minimum terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.

“Selain itu, ia juga penting untuk memastikan pembangunan sumber mineral dengan menghasilkan peningkatan kesejahteraan sosio-ekonomi masyarakat setempat serta negeri amnya, selain menggunakan pembangunan sumber mineral untuk menyokong dan mendorong kepada perkembangan dan kepelbagaian aktiviti berasaskan mineral hiliran,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Majlis penyerahan surat lantikan tersebut diadakan di Ibu Pejabat Sabah Mineral Management Sdn. Bhd, Plaza Shell Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Tambah Rodeano, melalui pelaksanaan syor-syor yang terkandung di dalam blueprint tersebut, Sabah diharap akan dapat mencapai visi untuk menjadi salah sebuah negeri perlombongan perdana di Malaysia.

“Blueprint ini akan meningkatkan sumbangan KDNK sektor mineral, pembuatan, pembinaan dan sosio-ekonomi selain menetapkan semula status Sabah sebagai pengeluar utama sumber mineral tertentu, dan membangun serta mencipta nilai optimum daripada potensi sumber mineral yang ketara untuk manfaat semua pihak berkepentingan di seluruh rantaian industri.

“Ia akan menjadikan Sabah mampu membangunkan bakat bertaraf dunia yang diperlukan, menjadi pusat kecemerlangan mineral pengetahuan dan pengurusan sumber, mewujudkan tapak warisan perlombongan dan geosaintifik bertaraf dunia untuk mempromosikan bidang pelancongan serta menjadikan Sabah menjadi pemain kelas dunia dalam sektor sumber mineral berasaskan mineral pelaburan di luar negara,” tambah beliau.

Pada majlis itu juga, UMS Investment Holding Sdn. Bhd yang diwakili oleh Francis Vincent Arifin dan Jotih Enggihon yang mewakili Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. menandatangani ‘Consultant Service Agreement (CSA)’.

Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Vilina Passon John dan Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS, Profesor Dr. Jualang Gansau.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited untuk memartabatkan bidang sains dan teknologi melalui pelbagai inisiatif, selari dengan kehendak kerajaan dalam memperkasakan kemahiran untuk mendepani Revolusi Industri 4.0.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, kerajaan sentiasa meneruskan komitmennya untuk memajukan bidang sains dan teknologi negara dengan menyediakan pelbagai dana penyelidikan dan pembangunan yang berpatutan.

“Justeru itu, pelbagai program dianjurkan yang lebih berfokuskan kepada mendepani cabaran dan transformasi IR4.0 seperti Karnival Sains, Minggu Sains Negara dan World Space Week di peringkat UMS.

“Ini dengan harapan mampu memupuk minat para pelajar dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan sains dan teknologi, selain mahu menarik minat masyarakat luar, khususnya pelajar-pelajar sekolah yang bakal menjadi pelajar universiti sama ada di UMS mahupun di universiti serata Malaysia,” katanya.

Kasim berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian Majlis Graduasi Asasi UMS Kali Ke-11 di Dewan Resital, UMS semalam.

Beliau juga percaya melalui penambahan graduan jurusan sains dan teknologi daripada Asasi Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS, aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara maju yang menekankan usaha ke arah melahirkan masyarakat berliterasi serta membudayakan sains dalam setiap dimensi kehidupan akan mampu tercapai.

“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada para pelajar agar terus menanam minat terhadap bidang sains dan teknologi serta bertekad dan bersemangat menjadi sebahagian daripada nadi penggerak ke arah mencapai matlamat negara.

“Buktikan kepada dunia bahawa para pelajar juga merupakan antara penyumbang kepada kemajuan bidang sains dan teknologi bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

“Teruskanlah menyemai cita-cita murni, berusaha lebih keras, tanpa mengira penat lelah demi memastikan kejayaan terus dikecapi hingga peringkat tertinggi,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Kasim menyempurnakan penganugerahan Sijil Asasi Sains kepada 304 orang pelajar dan Sijil Asasi Teknologi Maklumat kepada 49 orang pelajar.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof dan Pengarah PPST UMS, ChM. Dr. Newati Wid.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.