KOTA KINABALU - Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menandatangani kerjasama bagi projek penambahbaikan sistem University Leadership Directory (UniLead), baru-baru ini.

Sistem UniLead merupakan sistem sehenti yang akan digunakan oleh AKEPT,  Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dalam menjana maklumat analisis profil kompetensi calon yang berpotensi tinggi bagi membantu proses pembuatan keputusan berkaitan pengisian pemilihan jawatan strategik di IPTA.

Sistem UniLead juga bertujuan membantu semua pengguna mengurus proses pembangunan latihan yang bersesuaian dengan lebih cekap, efisien dan telus untuk memperkasa kumpulan bakat.

Menurut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, projek tersebut merupakan inisiatif penting yang bakal memberikan impak besar kepada KPT, AKEPT dan semua universiti awam dalam usaha memperkukuh bakat dalam sektor pendidikan tinggi.

“Hubungan erat antara AKEPT dan UMS bukanlah suatu yang baharu, bahkan telah terjalin sejak sekian lama melalui pelbagai kolaborasi yang melibatkan latihan dan program kepimpinan.

“AKEPT dan Bahagian Kepimpinan dan Pembangunan Bakat (BKEPT) di Jabatan Pendaftar UMS telah bekerjasama rapat dalam pelbagai program, khususnya dalam memupuk kemahiran dan pembangunan profesional.

“Keakraban dan kerjasama yang sedia terjalin ini memberikan asas yang kukuh untuk meneruskan inisiatif bersama dalam pembangunan sistem UniLead,” katanya.

Luqman berkata kerjasama antara AKEPT-UMS diperkukuh melalui program sangkutan yang bermula pada Mac 2023 sehingga Februari 2024 dengan menempatkan dua kakitangan UMS di AKEPT secara bergilir dalam membangunkan modul UniLead diikuti dengan modul latihan.

“Kini dengan permintaan AKEPT untuk menambah baik sistem ini, pasukan kami di UMS berbangga dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan modul-modul baharu seperti LeadDNA, yang akan berfungsi sebagai alat penilaian yang inovatif dan strategik bagi AKEPT.

“Kami berharap agar kolaborasi erat antara UMS dan AKEPT akan terus berkekalan, dan UMS komited untuk terus menyokong AKEPT dalam inisiatif masa depan berkaitan dengan transformasi digital dalam kepimpinan pendidikan tinggi,” ujar Luqman.

Penambahbaikan sistem UniLead adalah untuk memastikan kelangsungan pengurusan sumber manusia berasaskan kompetensi yang boleh diakses oleh pengurusan AKEPT dan Unit Pengurusan Bakat di semua IPTA.

Data tersebut akan dapat membantu dalam perancangan latihan kelompok bakat kepimpinan universiti yang boleh dipantau secara berkala dan diurus dalam satu proses ekosistem sumber manusia yang berstruktur.

Turut hadir, Pengarah AKEPT Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Bakat AKEPT, Prof. Madya Dr. Norazharuddin Shah Abdullah; Ketua Pegawai Digital UMS, Prof. Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim; Pendaftar AKEPT, Hanis Huzaira Abd Hanan serta Ketua BKEPT UMS, Kamisah Husin.

.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menubuhkan Pusat Penyelidikan Ekonomi Biru dan Keselamatan Maritim (PPEBKM) sebagai usaha untuk memperkukuhkan penyelidikan berkaitan ekonomi biru dan keselamatan maritim khususnya di Sabah.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, penubuhan tersebut adalah selari dengan agenda kerajaan negeri di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya.

“Seperti yang kita tahu, ekonomi biru adalah satu agenda besar kerajaan negeri di bawah SMJ, dengan peranan universiti yang mempunyai pakar dalam hal ekonomi biru dan maritim menjadikan ianya sesuai untuk penubuhan pusat ini.

“Banyak penyelidikan boleh dilakukan berkaitan ekonomi biru dan keselamatan boleh diterbitkan dalam jurnal bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan bangunan pejabat PPEBKM di Pantai Pusat Pembangunan Luar (ODEC), UMS.

Tambah Kasim, Sabah mempunyai khazanah luas yang perlu diterokai dan sudah pastinya menjadi sumber ekonomi yang besar untuk negeri ini.

“Dari segi keselamatan maritim, kita satu-satunya yang dikelilingi tiga laut iaitu Laut China Selatan, Laut Sulu dan di bahagian selatan Laut Celebes.

“Ketiga-tiga lautan ini terdedah dengan pelbagai ancaman termasuk penyeludupan, penculikan, peras ugut dan sebagainya,” ujar Kasim.

Kasim turut berkata, pengumpulan pelbagai kajian dan data penyelidikan akan membawa kepada terbentuknya dasar.

Mengulas lanjut, Kasim juga berkata, peranan pusat ini adalah untuk memperkaya sumber penyelidikan dan khazanah ilmu untuk generasi akan datang, selain turut menjadi pusat makmal dan penyelidikan yang akan dijalankan secara menyeluruh di lautan yang mengelilingi Sabah.

Pada majlis tersebut, Kasim turut menyempurnakan pelancaran Jurnal dan Pangkalan Data PPEBKM.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat Sabah Maju Jaya, Ramlee Kariah; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly serta Pengarah PPEBKM UMS, Prof. Dr. Ismail Ali.

 

 

 
 
 

 

Seramai 61 pelajar tahun kedua dari program Kejuruteraan Awam Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Universiti Malaysia Sabah (UMS), mendapat peluang unik belajar di tapak sebenar melalui program "On-Site Learning" yang diadakan di Kampung Padang Tengah, Petagas.

Pensyarah FKJ, Sr. Ts. Dr. Asmawan Mohd Sarman, menjelaskan program ini bertujuan mendedahkan pelajar kepada teknologi pembinaan moden, khususnya ‘Pre-cast Construction’ menggunakan Teknologi DURA.

“Di samping itu, dengan pendedahan awal ini, pelajar dapat mengetahui bagaimana kaedah pembinaan yang mereka pelajari dalam kelas diterapkan dan dipraktikkan dalam situasi sebenar di tapak pembinaan.

“Mereka juga akan mendapat gambaran sebenar mengenai proses pengurusan kontrak sebenar bagi projek pembinaan yang sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Program ini dijalankan hasil kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Kinabalu dan Azam Lumut Sdn Bhd, serta turut dihadiri oleh Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Haji Shahelmey Yahya, bersama jurutera bahagian, Ts. Zulkefli Salip Arjun yang juga merupakan alumni UMS.

Sepanjang program tersebut, para peserta mendapat bimbingan di tapak oleh Ts. Dr. Elis Mardzianah Datuk Hj Mazlan dan James Thomas, jurutera utama projek, yang memberikan penerangan mendalam mengenai proses pembinaan jambatan dengan Teknologi DURA.

Pengalaman berharga ini memberi peluang kepada para pelajar untuk meningkatkan pengetahuan praktikal mereka dalam bidang pembinaan, selain menyemarakkan semangat mereka untuk meneroka ilmu yang diperoleh di bilik kuliah dalam situasi sebenar.

 

 

 

Penganjuran Program Skolar Next Level: Educators with Canva and ChatGPT (SNL) oleh Skolar Malaysia dengan kerjasama Pusat e-Pembelajaran (PEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Sawit Kinabalu Group dilihat mampu memberikan pendedahan mengenai penggunaan teknologi Generative AI dan Canva dalam pengajaran dan pembelajaran.

Pengarah PEP, UMS Prof. Dr. Fong Soon Fook berkata usaha dan sinergi antara IPTA dan pihak sekolah amat penting dalam menyediakan pelajar dan murid yang peka terhadap penggunaan teknologi pembelajaran terkini.

“Skolar Next Level ialah inisiatif yang dilaksanakan di beberapa negeri di Malaysia bagi menyebar luas akan pentingnya kemahiran digital dalam dunia pendidikan moden.

“Selaras dengan dasar pendidikan digital teras kedua iaitu Pendidik Kompeten Digital bagi merapatkan lagi jurang digital dan juga SDG keempat iaitu kualiti pendidikan bagi memperkasakan para pendidik,” katanya dalam satu kenyataan sempena penganjuran program tersebut.

Menurut Fong, melalui program SNL para pendidik dapat mempraktikkan teknologi seperti ChatGPT dalam penyediaan bahan pengajaran serta Canva dalam menyediakan idea dalam bentuk visual yang lebih menarik dan mudah difahami oleh pelajar.

“Ini bukan sahaja meningkatkan kreativiti guru sebagai pendidik, tetapi juga membantu mereka lebih efisien dalam menyampaikan maklumat dengan lebih jelas dan efektif,” ujar Fong.

Mengulas lanjut, beliau berharap program Skolar Next Level dapat membuka peluang baharu untuk warga pendidik di Sabah khususnya dalam mempercepatkan pembelajaran teknologi.

“Melalui program ini, para pendidik bukan sahaja dapat mempelajari kemahiran yang relevan untuk era digital, tetapi juga dapat membangunkan minda yang inovatif dan kreatif bagi mengaplikasikan kaedah pembelajaran yang interaktif di dalam kelas.

Program SNL menghimpunkan seramai 200 orang pendidik daripada pensyarah, guru, pelajar sepanjang hayat (life-long learners) dan jurulatih daripada seluruh pelusuk negeri Sabah.

Program ini menyaksikan kehadiran Dr. Muhammad Tazli Azizan, pengasas bersama Skolar Malaysia sekali gus menjadi jurulatih utama program dan merupakan Canva Verified Expert yang kedua serta Brandon Liau, anak watan Sabah, yang merupakan Canva Verified Expert pertama di Malaysia.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) memperkukuhkan komitmen dalam penyelidikan dan pengurusan bencana apabila terlibat dalam Persidangan Asia Pacific Ministerial Conference on Disaster Risk Reduction (APMCDRR) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Manila, Filipina.

Persidangan anjuran United Nations Office for Disaster Risk Reduction (UNDRR) dengan kerjasama Kerajaan Filipina itu disertai Pengarah NDRC UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus sebagai delegasi rasmi Malaysia di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Carolyn, penglibatan NDRC dalam persidangan ini amat penting bagi memindahkan pengetahuan dan kemahiran pengurusan bencana di peringkat Asia Pasifik serta mengetengahkan penyelidikan dan kerjasama antarabangsa yang dijalankan oleh UMS.

“Penyertaan dalam APMCDRR 2024 memperkukuhkan hubungan antara NDRC, UMS dan NADMA, di samping meningkatkan kerjasama penyelidikan rentas negara dalam pengurusan risiko bencana.

“Penglibatan ini juga membantu mengemas kini kerjasama sektoral pada peringkat antarabangsa,” jelas Carolyn.

Beliau turut menekankan bahawa persidangan empat hari ini memberi peluang kepada NDRC untuk berkongsi pengalaman serta membincangkan strategi pengurusan bencana dengan pihak lain, terutamanya yang berkaitan dengan isu perubahan iklim.

“Sesi plenari, sesi kerja dan acara tumpuan turut membolehkan peserta bertukar idea serta melihat pendekatan pengurangan risiko bencana (DRR) inovatif yang diamalkan oleh negara-negara lain.

“Salah satu inisiatif Malaysia yang diketengahkan dalam persidangan ialah pelaksanaan Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) oleh komuniti di Mesilau, Kundasang, yang menjadi model pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti di negara ini,” ujar beliau.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Dato’ Ismail Mohd Zawawi; serta Pegawai Penyelidik NDRC UMS, Eldawaty Madran.