Penceramah, pendakwah dan tokoh ulama terkenal, Ustaz Dr. Abdul Somad Batubara dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Pengajian Islam (FIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Watikah pelantikan telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor kepada Ustaz Dr. Abdul Somad dalam majlis ringkas yang berlangsung di Bilik Eureka, UMS Kampus Antarabangsa Labuan baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Pengarah UMS KAL, Profesor Madya Dr. Mohd Rizal Abdul Hamid; Dekan FIS UMS, Profesor Dr. Mohd Dahlan Hj. A. Malek dan pegawai-pegawai utama UMS.

Terdahulu, dalam ucapannya Prof. Shahril berkata pengiktirafan ini adalah hasil daripada pencapaian cemerlang serta sumbangan yang tidak ternilai yang diberikan Ustaz Dr. Abdul Somad dalam bidang pengajian Islam, dalam dan luar negara.

"Ustaz Dr. Hj. Abdul Somad Batubara, bukan sahaja merupakan seorang cendekiawan yang ulung tetapi juga seorang pemikir yang berdedikasi kepada kemajuan ilmu pengetahuan dan pendidikan di negara Indonesia, Malaysia dan nusantara, bahkan seantero dunia, baik melalui media sosial atau ceramah secara bersemuka.

"Oleh itu, pelantikannya sebagai Profesor Adjung bukan sekadar satu penghormatan peribadi tetapi juga sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik yang telah beliau capai," katanya.

Tambah Shahril, Abdul Somad juga dapat membantu menyumbang pengalaman dalam bidang pengajian Islam serta berpotensi meningkatkan kualiti pengajaran dan penyelidikan di FIS dalam pengembangan kokurikulum yang relevan dan berkualiti selari dengan peredaran zaman.

“Semoga dengan pelantikan Ustaz Dr. Hj. Abdul Somad Batubara sebagai Profesor Adjung di FIS, UMS akan memberi inspirasi kepada semua warga universiti khususnya para pelajar untuk terus berusaha dan mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

”Insya-Allah kehadiran beliau akan membawa sinergi positif, kreatif dan semangat kerjasama yang akan menyemarakkan dan memperkayakan perjalanan akademik Fakulti Pengajian Islam dan Universiti Malaysia Sabah secara keseluruhannya,” katanya.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Universiti Kebangsaan Seoul (SNU) baru-baru ini menganjurkan program ‘SNU in the World Programme + Social Responsibility in Malaysia’.

Menurut kenyataan Universiti Malaysia Sabah (UMS), sebanyak 21 pelajar sarjana muda dari SNU menyertai program yang berlangsung di Sabah dari 5 hingga 21 Januari lalu.

“Program tersebut dilaksanakan di bawah penyeliaan Prof. Young Woon Lim dari Pusat Pengajian Sains Biologi, Prof Madya Mi Sun Park dari Unit Tanggungjawab Sosial, Prof Madya Bumjo Oh dari Kolej Perubatan, SNU dan Prof Madya Dr Jaya Seelan Sathiya Seelan dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (ITBC), UMS.

“Program tersebut tidak hanya melibatkan pelajaran di dalam bilik kuliah malah juga menyertakan pelbagai aktiviti luar yang dianjurkan oleh SNU dan Fakulti Perhutanan Tropika, UMS,” katanya, hari ini.

Katanya, sepanjang program dua minggu itu, para pelajar diberi pendedahan melalui kuliah mengenai kepelbagaian biologi dan pemuliharaan, terutamanya berkaitan dengan gajah dan entomologi.

Kuliah-kuliah tersebut dikendalikan oleh dua pensyarah kanan dari ITBC, iaitu Dr. Nurzhafarina Othman dan Prof. Madya Dr. Mahadimenakbar Mohamed Dawood, masing-masing.

Menurutnya, program tersebut mencapai kemuncaknya pada hari terakhir di UMS dengan mengadakan Forum Alam Sekitar SNU-UMS.

“Forum tersebut menampilkan ceramah oleh Prof. Young Woon Lim (SNU) tentang kepelbagaian dan peranan kulat dari laut, serta usaha NGO oleh Michael Yap (TAME) dalam melindungi kehidupan marin serta batasannya.

“Forum tersebut juga menjadi platform bagi pelajar untuk berbincang tentang kepelbagaian marin dan aspek budaya.

“Pelajar dari SNU mempelajari tentang kepelbagaian biologi di Malaysia sepanjang program ini dan mereka berkongsi pendapat tentang kehilangan kepelbagaian biologi marin serta penyelesaian yang sepadan dalam forum ini bersama pelajar UMS,” ujarnya.

 

Penganjuran Majlis Apresiasi Fakulti Pemiagaan, Ekonomi, dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) satu pengiktirafan kepada kakitangan fakulti berkenaan.

Dekan FPEP UMS, Prof Madya Dr RahimiR Abd Karim berkata, majlis berkenaan menjadi acara tahunan bagi meraikan kakitangan FPEP atas usaha, pencapaian dan sumbangan mereka dalam bidang akademik, penyelidikan, dan komuniti.

Menurutnya, FPEP bukan sekadar sebuah fakulti, tetapi ia adalah tulang belakang yang menggerakkan UMS menuju kecemerlangan.

Justeru katanya, majlis apresiasi itu menjadi satu platform penting yang memupuk semangat dan motivasi dalam kalangan kakitangan akademik dan pentadbiran untuk terus berusaha mencapai keunggulan dalam setiap tugas.

"Saya dengan bangga menyaksikan pencapaian luar biasa yang dihasilkan oleh kakitangan FPEP.

Kami berpegang teguh kepada idea bahawa kecemerlangan bukan hanya satu matlamat, tetapi ia mestimenjadi budaya dalam organisasi kami.

"Semangat kerjasama dan komitmen adalah unsur-unsur kunci yang membentuk kejayaan kami," katanya ketika berucap merasmikan majlis itu di sini baru-baru ini.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor yang menzahirkan sokongan atas usaha pihak pengurusan FPEP membuat majlis seumpama itu.

Beliau turut memuji usaha yang dibuat oleh pihak pengurusan fakulti bagi memastikan agenda kecemerlangan universiti sentisa didahulukan dan tercapai.

Majlis apresiasi itu rnemberi inspirasi setiap usaha dan sumbangan, walaupun kecil, adalah penting dalam merangka masa depan FPEP dan UMS secara keseluruhannya.

Inisiatif tersebut berupaya menggerakkan kakitangan untuk terus bermotivasi dan berusaha untuk memaksimumkan potensi dan menjadikan kecemerlangan sebagai sasaran untuk memberikan yang terbaik dalam perkhidmatan kepada masyarakat serta negara.

 

Pelaksanaan Projek Bioprospek Penyelidikan dan Pembangunan Kulat Liar, Halia Liar dan Tumbuh-tumbuhan Ubatan dan Aromatik (TUB) diyakini akan dapat mendorong dalam kemajuan bidang penyelidikan dan pembangunan serta inovasi.

Ia termasuklah dalam sektor hiliran bagi pengeluaran produk komersial yang akan menawarkan peluang ekonomi serta memastikan pengurusan sumber asli di Sabah secara mampan.

Mengambil inisiatif dan peluang itu, Kumpulan Yayasan Sabah (KYS)
bersama Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalin kerjasama menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani.

Majlis menandatangani MoA bagi pembangunan kelestarian dan melindungi kekayaan sumber biologi negeri Sabah itu disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Majlis menandatangani itu diwakili Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar bagi pihak KYS; Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan (Jabatan Perhutanan Sabah) dan Universiti Malaysia Sabah, diwakili Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Kasim Mohd. Mansur.

Berucap pada majlis itu Arifin berkata, Projek TUB ialah inisiatif penyelidikan yang bertujuan untuk mengidentifikasikan spesies kulat liar dan halia liar khususnya Tuhau yang berpotensi untuk dikomersialkan pada masa depan sebagai langkah proaktif untuk mengatasi ancaman terhadap sekuriti makanan secara global.

“Projek TUB ini telah dijalankan di Kawasan Konservasi Lembah Danum, Lembangan Maliau, Kanyon Imbak dan kawasan pemuliharaan seperti Projek Rehabilitasi Hutan Hujan Innoprise-FACE Foundation (INFAPRO) dan Projek Rehabilitasi Hutan Tropika Innoprise-IKEA (INIKEA) di bawah seliaan Kumpulan Yayasan Sabah.

“Bagi menguruskan biodiversiti spesies kulat liar dan halia liar khususnya Tuhau, inisiatif ini telah dirumuskan dengan lima objektif utama untuk tempoh masa selama lima tahun,” katanya.

Arifin berkata, menerusi perjanjian yang ditandatangani, Projek TUB telah berjaya mendapat peruntukan RM5 juta untuk tempoh lima tahun bermula tahun 2021 hingga 2025 di bawah sumber dana Persekutuan Rancangan Malaysia Ke-12.

“Projek TUB ini juga bertujuan untuk melahirkan siswazah PhD dan MSc dalam bidang berkaitan dan untuk membangunkan jaringan kolaboratif antara akademia dan agensi kerajaan dalam industri penyelidikan.

“Selain itu, projek ini juga telah melahirkan prototaip produk dan bio-kimia yang berbentuk novel serta mengintegrasikan pengetahuan teknologi melalui demonstrasi, penerbitan dan bengkel kepada komuniti dan usahawan setempat,” katanya.

Beliau memuji inisiatif yang diambil oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Jabatan Perhutanan Sabah yang terus menyokong usaha KYS dan UMS dalam memelihara dan memulihara sumber alam semula jadi.

“Saya yakin projek TUB ini akan mendorong dalam kemajuan bidang penyelidikan dan pembangunan serta inovasi yang diterajui, termasuk di sektor hiliran bagi pengeluaran produk komersial yang akan menawarkan peluang ekonomi serta memastikan pengurusan sumber asli di Sabah secara mampan.

“Syabas dan tahniah kepada Yayasan Sabah atas kolaborasi berterusan dengan agensi yang berkaitan dengan penyelidikan di samping YS sendiri mempunyai badan penyelidikan bersama UMS dan Jabatan perhutanan membuat penyelidikan yang amat baik untuk hasil spesis hutan di Sabah yang perlu dilestarikan.

“Yang amat menarik, spesis ini mendapat kajian daripada luar biasa daripada UMS malah mahasiswa UMS juga membuat penyelidikan pembelajaran mereka Sarjana, Sarjana Muda dan PhD. kita harap hasil daripada ini akan mendatangkan manfaat dari segi penyelidikan dan produk yang dihasilkan dari hutan kita,” katanya.

Pada majlis tersebut, Arifin turut melancarkan dua buah buku, “Kehidupan dan Adat Suku Murut Tangala Kg. Inarad, Tongod” dan “Kepercayaan, Ritual dan Adat Suku Tombonuo, Lingkabau, Sugut” yang diterbitkan oleh Kumpulan Yayasan Sabah, sebelum menyampaikannya masing-masing kepada Presiden Persatuan Etnik Murut Tangala’ Sabah (PEMUTAS), Yus Pg Pinsin dan Ketua Anak Negeri Suku Tombonuo Mukim Lingkabau Sugut, Julley Bilak.

Turut diadakan, seminar berkenaan dengan projek TUB dan dapatan hasil kajian yang terkini yang disertai oleh 150 pegawai dari pelbagai jabatan, agensi, organisasi dan institusi untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan melindungi khazanah hutan.

 

Kejayaan anak kelahiran Ranau Prof. Dr. Justin Sentian yang melakar sejarah selaku rakyat Malaysia pertama dan paling lama menjalankan ekspedisi penyelidikan musim sejuk di Antartika mengharumkan nama Sabah dan Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Sabah amat berbangga dengan pencapaian Justin dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang turut mengibarkan bendera negeri Sabah bersama-sama Jalur Gemilang sepanjang tempoh tujuh bulan penyelidikannya di Antartika.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dr. Justin kerana beliau adalah saintis Malaysia pertama yang melaksanakan penyelidikan itu di Antartika.

"Pencapaian ini amat membanggakan kita dan lebih istimewa lagi bendera negeri Sabah turut dikibarkan di Antartika," katanya semasa menerima kunjungan daripada Justin bersama Timbalan Naib Canselor (Strategik) UMS Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) Abd Shukor Jamaluddin di Menara Kinabalu.

Semasa kunjungan itu, Justin turut mengembalikan bendera Sabah yang dikibarkan di Antartika kepada Hajiji sebagai simbolik kejayaan melengkapkan Ekspedisi Penyelidikan Musim Sejuk di Antartika.

Bendera Sabah yang sama diberikan oleh Hajiji semasa kunjungan hormat Justin pada 10 Mac 2023 sebelum beliau berlepas ke Antartika. 

Justin yang bertugas di Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS menjalankan ekspedisi penyelidikan pada musim sejuk dengan cuaca ekstrem di Antartika selama tujuh bulan bermula 21 Mac hingga 27 Oktober 2023.

Ekspedisi berkenaan sekali gus menjadikannya sebagai rakyat Malaysia paling lama berada di benua paling sejuk di dunia itu. 

Sepanjang di Antartika, beliau tinggal dan melakukan kajian di stesen Prof. Julio Escudero milik negara Chile yang terletak di Pulau King George Antartika.

Ekspedisi yang julung kali itu dianjurkan oleh YPASM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Antartika Chile (Instituto Antártico Chileno (INACH).

Justin menerima geran penyelidikan khas bernilai RM150,000 daripada YPASM untuk projek berkaitan perubahan iklim yang bertajuk ‘Variasi Ozon Troposfera dan Halokarbon di Semenanjung Antartika Dalam Keadaan Cuaca Melampau’. 

Kajian tiga tahun yang dijalankan dengan kerjasama INACH dan University of Santiago ini mengkaji peranan halokarbon reaktif terhalogen dalam kimia ozon permukaan dan keadaan meteorologi di bawah keadaan cuaca musim sejuk yang melampau. 

Beliau memperoleh data yang merekodkan variasi kepekatan ozon permukaan dan beberapa spesies gas hidrokarbon seperti isoprene sepanjang musim sejuk di Antartika.

Pada masa sama, beliau juga berjaya mengambil 197 sampel gas dari udara, salji, ais laut dan air laut untuk kajian kandungan spesis halokarbon seperti bromokarbon.

Sepanjang ekspedisi musim sejuk di Antartika, banyak cabaran yang dihadapinya, terutama dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi keadaan cuaca yang sangat ekstrem. 

Justin berkata, ada ketika suhu udara mencapai tahap -44 darjah celsius dan kelajuan angin dengan ribut salji mencecah kelajuan 120 kilometer sejam (km/jam).

"Hasil kajian ini diharap akan dapat memberi impak signifikan ke atas pemahaman variasi ozon dan spesis hidrokarbon dan halokarbon dalam keadaan cuaca ekstrem pada musim sejuk”.

“Di samping itu, ia dapat menyumbang kepada penjanaan ilmu baharu bukan sahaja dalam kalangan saintis kimia atmosfera, tetapi juga kepada seluruh masyarakat tempatan dan global untuk lebih memahami perhubungan kompleks dengan isu-isu semasa seperti perubahan iklim dan penipisan ozon di Antartika.

(Sumber Gambar: Pejabat Ketua Menteri)

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.