Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

Majlis Menandatangani Surat Niat Kerjasama Di Antara Koperasi Persatuan Usahawan Digital IKS dan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan

Majlis Menandatangani Surat Niat Kerjasama Di Antara Koperasi Persatuan Usahawan Digital IKS dan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan

6 DISEMBER 2024 – Koperasi Persatuan Usahawan Digital IKS Sabah Berhad (Koperasi-PERDIKS) telah mengadakan majlis menandatangani Surat Niat Kerjasama bersama Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Bilik Aktiviti Sekretariat Muafakat Komuniti KPKT Taman Telipok Ria, Kota Kinabalu.

Majlis anjuran Koperasi-PERDIKS sebagai tuan rumah dihadiri Setiausaha Politik Ketua Menteri di Kementerian Kewangan Sabah merangkap Panel Penasihat Koperasi-PERDIKS, Datuk Johari Saiman, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, Pegawai Pembangunan Masyarakat DUN Pantai Dalit, Irwandie Matshah dan Pengerusi Koperasi-PERDIKS, Azlee Okee.

Turut hadir ialah Timbalan- timbalan Dekan, FKAL, Dr. Ricky Chia Chee Jun, (Akademik & Antarabangsa), Dr. Alesia Sigang Gugkang (Penyelidikan & Inovasi) dan Dr. Noor Hassanah Husin (Hal-Ehwal Pelajar & Alumni).

Hadir sama Penyelaras Antarabangsa, Dr. Emily Yapp, Penyelaras Projek SULAM untuk Kursus Etika Perniagaan, Dr. Nazarina Jamil dan Penyelaras Program Basmi Miskin Tegar – Inisiatif Pendapatan Rakyat (BMT-IPR), Samsulbahri Mohd Nasir.

Selain itu, Ahli Kehormat dan Penasihat Koperasi-PERDIKS, Datuk Paduka Rehan Rahim dan Ahli -ahli Lembaga Koperasi-PERDIKS, Haryati Abdul Rahim, Rafidah Dzulkiflee dan Eriy Dusun.

Sebagai tuan rumah, Koperasi-PERDIKS menyatakan kebanggaan dan komitmen terhadap majlis berkenaan.

Azlee Okee menegaskan bahawa kerjasama ini merupakan satu langkah strategik untuk memperkasakan usahawan digital, khususnya dalam kalangan komuniti B40.

Katanya, Koperasi-PERDIKS akan menyediakan sokongan logistik dan rangkaian bagi memastikan kejayaan kolaborasi ini.

“Kami amat berbesar hati menerima kehadiran semua pihak dalam majlis ini.

“Kerjasama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan sektor Koperasi tetapi juga memberi manfaat besar kepada komuniti setempat,”ujar beliau.

Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal pula menekankan kepentingan projek ini dalam membangunkan kapasiti pelajar FKAL.

Beliau percaya kolaborasi ini mampu membuka peluang luar biasa kepada pelajar dan komuniti serta menjadi pemangkin kepada masa depan yang lebih mampan.

Sementara itu, Penyelaras Projek SULAM untuk Kursus Etika Perniagaan, Dr. Nazarina Jamil, berkata program ini dirancang untuk memberi impak positif kepada pelajar FKAL dan komuniti B40.

“Program SULAM adalah platform di mana pelajar dapat menerapkan teori dan Koperasinsep yang dipelajari di bilik kuliah ke dalam realiti dunia sebenar.

“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti tetapi juga melahirkan pelajar yang lebih bertanggungjawab sosial dan memiliki daya saing yang tinggi,”katanya.

Dr. Nazarina berharap program ini akan menjadi contoh terbaik kepada institusi pendidikan tinggi lain dalam memanfaatkan hubungan kerjasama dengan Koperasimuniti setempat.

Majlis berkenaan turut mendapat sokongan daripada Datuk Johari Saiman, yang menyifatkan kerjasama ini sebagai satu usaha penting dalam memperkukuhkan ekonomi Sabah.

Beliau mengharapkan lebih banyak inisiatif seperti ini dapat dirancang untuk meningkatkan taraf hidup dan pendapatan komuniti khususnya di Pantai Dalit dan Tuaran amnya.

“Kerjasama ini diharap menjadi model kejayaan untuk inisiatif masa depan, memberikan impak positif bukan sahaja kepada komuniti setempat tetapi juga kepada pembangunan ekonomi Sabah secara keseluruhannya,”katanya.

Tahniah buat semua.

Tamat.

Empat Penyelidik FKAL dan KEBAL Lancar Produk Keluaran Roti Baharu

Empat Penyelidik FKAL dan KEBAL Lancar Produk Keluaran Roti Baharu

FAKULTI Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL), melancarkan dua produk baharu iaitu Roti Sourdough dan Tausa Piang pada 30 November 2024 (SABTU).

Majlis perasmian oleh Dekan FKAL, Profesor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, sebagai simbol komitmen UMS dalam mendukung pembangunan komuniti setempat melalui program penyelidikan dan inovasi.

Projek di bawah Program Pendayaan Komuniti @ UniMadani: Projek Pembuatan Roti dan Kuih Muih Tradisional Tempatan Komuniti Setempat Labuan ini menerima geran penyelidikan bernilai RM10,000 daripada Kementerian Kewangan Malaysia melalui Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat UMS yang diketuai oleh Dr. Suzillah Sidek dengan kerjasama ahli projek iaitu Dr. Emily Yapp, Dr. Hajah Nazarina Jamil, dan Dr. Sharinah Puasa.

Simbolik pelancaran produk dilakukan melalui penyerahan Papan Perniagaan KEBAL Bakeri oleh Dr. Geoffrey kepada Presiden KEBAL, Ts. Ahmad Nazri Jamal.
Majlis itu dihadiri wakil Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Zulhairi Isnean dan Ketua Kampung Layang-Layangan, Faizal Lakat.

Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Geoffrey menegaskan bahawa projek UniMadani ini membuktikan penyelidikan dan inovasi mampu memperbaiki kualiti hidup komuniti setempat.
Usaha ini juga seiring dengan aspirasi Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor untuk menjadikan universiti sebagai pusat penyelidikan yang berperanan menyumbang kepada ekonomi negara, khususnya di Sabah dan Labuan.

Ketua Projek, Dr. Suzillah Sidek turut menyampaikan penghargaan kepada pihak KEBAL atas usaha dan komitmen mereka dalam menjayakan projek yang bermula pada bulan September dan dijangka berakhir pada Disember ini.

Beliau juga merakamkan terima kasih kepada Jabatan Belia dan Sukan Labuan selaku rakan strategik projek.

Program pelancaran ini turut diisi dengan kursus Perniagaan dan Pemasaran yang dikendalikan oleh empat ahli penyelidik FKAL, disertai 15 ahli KEBAL yang diadakan di Palm Beach Resort and Spa, Labuan,

Ia bertujuan memberi pendedahan tentang strategi perniagaan dan pemasaran yang relevan untuk memajukan produk komuniti.

Selain itu, projek ini secara tidak langsung dapat meningkatkan peranan FKAL dalam mendaya upaya komuniti KEBAL.

Interaksi dan keterlibatan ini juga dilihat dapat mengeratkan lagi hubungan di antara FKAL dan KEBAL.

Produk baharu Roti Sourdough dan Tausa Piang dijangka mendapat sambutan baik, memenuhi permintaan pasaran Labuan yang semakin meningkat terhadap produk bakeri berkualiti tinggi.

Tahniah FKAL dan KEBAL.

Berbakti Untuk Komuniti.

Tamat.

Pegawai Kolej Komuniti Penampang Lawat UMSKAL

Pegawai Kolej Komuniti Penampang Lawat UMSKAL

SERAMAI 10 orang pegawai Kolej Komuniti Penampang (KKP) telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 28 November 2024 (Khamis).

Lawatan berkenaan diketuai Pengarah KKP, Haji Kamal Ali.

Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Pengarah, Corine Ahlai@Eric, Tuan Rakiza Tuan Mahmud, Dg.Nurshazana Daud, Nurhidayu Husin, Rukinah@Nanang Samuing, Mimi Tumbalon, Norfadzilatul Zaleha Khalid, Siti Sarjiah Juanis dan Mohd Faisal Jahari.
Ketibaan delegasi KKP disambut mesra oleh Ketua Pentadbiran UMSKAL. Zamri Mohammad Tuah, Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia (SPSM), Mas Adi Alimin dan Ketua Unit Korporat dan Antarabangsa, Ezawati Pungut.

Lawatan itu bertujuan untuk mendapatkan pengetahuan dan pengalaman serta amalan baik yang dapat dicontohi dari UMSKAL bagi meningkatkan kualiti dan prestasi dalam pengurusan Kolej Komuniti Penampang.

Program yang ditawarkan di Kolej Komuniti Penampang ialah Sijil Teknologi Senibina (STS) dan ⁠Sijil Pengoperasian Perniagaan (SPP).

Menerusi lawatan ini, kami mendapat pengetahuan dan pengalaman serta amalan baik yang dapat dicontohi daripada UMSKAL bagi meningkatkan kualiti dan prestasi dalam pengurusan Kolej Komuniti Penampang.

Beliau berkata demikian ketika memberikan taklimat di Bilik Mesyuarat Kiamsam UMSKAL.

Ketua Pentadbiran UMSKAL. Zamri Mohammad Tuah mengalu-alukan kunjungan dan kerjasama daripada KKP ke UMS Labuan.

Beliau yang mewakili Pengarah UMSKAL, Profesor Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid mengucapkan terima kasih kepada KKP yang sudi melawat UMSKAL sambil berkongsi ilmu dan pengalaman.

Menerusi lawatan itu, dapatlah kedua-dua pihak bertukar-tukar ilmu pengetahuan dan pengalaman yang ada di UMSKAL dan KKP,”katanya.

Delegasi KKP turut melawat Pejabat Sektor HEP, Makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) dan Perpustakaan.

Rombongan KKP teruja dengan pemandangan menarik WP Labuan dari Aras 13 sambil disantuni Pengarah UMSKAL, Profesor Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid.

Hingga Berjumpa Lagi.

Tamat.

Lawatan Sambil Belajar Kategori Teras, Kepimpinan, dan Jati Diri Persatuan Mahasiswa FKAL Ke Indonesia

Lawatan Sambil Belajar Kategori Teras, Kepimpinan, dan Jati Diri Persatuan Mahasiswa FKAL Ke Indonesia

Labuan, 20 November 2024 – Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS), telah berjaya menganjurkan program Lawatan Sambil Belajar Kategori Teras, Kepimpinan, dan Jati Diri ke tiga institusi terkemuka di Indonesia, iaitu Universitas Negeri Jakarta (UNJ), Komite Nasional Ekonomi dan Keuangan Syariah (KNEKS) Kementerian Keuangan Republik Indonesia, dan Universitas Telkom, Bandung. Program ini berlangsung selama enam hari, bermula dari 12 hingga 17 November 2024, dengan penyertaan 11 pelajar Persatuan Mahasiswa FKAL dan diiringi oleh dua pensyarah fakulti, Dr Noor Hassanah Husin dan Dr. Ricky Chia Chee Jiun.

Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh pengetahuan akademik, memantapkan nilai kepimpinan, serta meningkatkan jati diri para pelajar sebagai pemimpin masa depan. Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai platform untuk merapatkan hubungan antara FKAL dengan institusi-institusi serantau.

Di Universitas Negeri Jakarta (UNJ), rombongan telah disambut dengan mesra oleh wakil fakulti, di mana diskusi ilmiah diadakan untuk meneroka potensi kerjasama akademik antara kedua-dua institusi. Perbincangan ini turut menyentuh peluang pertukaran pelajar yang bertujuan untuk memperkaya pengalaman pembelajaran antarabangsa. Selain itu, peserta juga didedahkan kepada program pembangunan pelajar di UNJ yang menekankan aspek kepimpinan dan keusahawanan, memberikan inspirasi kepada pelajar FKAL untuk memperkasakan potensi mereka sebagai pemimpin masa hadapan.

Sementara itu, lawatan ke Komite Nasional Ekonomi dan Keuangan Syariah (KNEKS) telah membuka ruang kepada peserta untuk memahami perkembangan terkini ekonomi dan kewangan Islam di Indonesia. Taklimat yang disampaikan oleh pakar-pakar KNEKS memberikan gambaran mendalam tentang inisiatif dan dasar strategik yang dirancang untuk memacu pertumbuhan ekonomi syariah di negara tersebut. Pendedahan ini amat relevan dengan aspirasi Malaysia sebagai hab kewangan Islam global, menjadikan pengalaman ini suatu pengetahuan berharga kepada semua peserta.

Di Universitas Telkom, peserta telah mengunjungi fakulti yang memfokuskan kepada teknologi dan inovasi dalam perniagaan. Lawatan ini diikuti dengan bengkel interaktif yang menarik, di mana peserta didedahkan kepada konsep transformasi digital dan kepimpinan dalam era globalisasi. Bengkel ini bukan sahaja memberi pencerahan tentang cabaran dan peluang dalam dunia perniagaan moden tetapi juga melengkapkan pelajar dengan pandangan baharu untuk bersaing dalam dunia digital yang pesat berubah.

FKAL berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai langkah proaktif membentuk generasi pemimpin yang mampu memacu pembangunan ekonomi dan sosial serantau.

Menurut Dr. Ricky Chia Chee Jiun, lawatan ini adalah satu peluang unik untuk para pelajar memperluas pandangan mereka mengenai landskap ekonomi dan kewangan serantau. Sementara itu, Dr. Noor Hassanah Husin selaku Ketua Delegasi ke Indonesia, menekankan bahawa program ini bukan sahaja memperkukuh ilmu tetapi juga melatih pelajar dalam pengurusan diri, komunikasi, dan pemikiran strategik.

Menurut Chai Zhi Leng, Presiden Persatuan Mahasiswa FKAL merangkap Pengarah Program, lawatan ini adalah peluang yang luar biasa untuk para pelajar meningkatkan pengetahuan mereka di luar bilik kuliah.

"Program ini bukan sahaja memberikan kami pengalaman berharga dalam memahami landskap ekonomi, kewangan, dan teknologi di peringkat antarabangsa, malah mengajar kami tentang nilai kerjasama dan kepemimpinan. Kami sangat terinspirasi oleh pendekatan inovatif yang diterapkan di UNJ, KNEKS, dan Telkom Universiti, yang mampu kami jadikan contoh untuk memperkukuh visi serta misi persatuan mahasiswa FKAL di masa hadapan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada FKAL, UMS, dan semua pihak yang menyokong perjalanan ini, menjadikannya suatu realiti bagi kami semua,” ujar beliau.

Peserta juga berpeluang merasai budaya tempatan melalui aktiviti-aktiviti luar kuliah yang dianjurkan sepanjang program. Ini sejajar dengan misi FKAL untuk melahirkan graduan yang holistik, kompeten, dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

FKAL berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai langkah proaktif membentuk generasi pemimpin yang mampu memacu pembangunan ekonomi dan sosial serantau.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL)
Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan
Telefon: 087-460000 | Emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

TAMAT

Hubungi Kami

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar
87000 WP Labuan

+(60) 87 - 503 000
adminkal[at]ums.edu.my