Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

Cash Smart Level Up: Kewangan Islam untuk kanak-kanak

Cash Smart Level Up: Kewangan Islam untuk kanak-kanak

14 JANUARI 2025 – Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf, Program Kewangan Islam, Fakulti Kewangan Antarabangsa (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) berjaya melaksanakan program berjudul “Money Matters: Islamic Finance for Kids” di Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Labuan Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Lubok Temiang.

Program ini bertujuan memperkenalkan asas kewangan Islam kepada 52 murid Tahun 5 dan 6, dengan harapan memupuk celik kewangan sejak kecil.

Inisiatif ini mendapat sokongan penuh daripada pihak sekolah, termasuk Guru Besar, Ustaz Radzizam Ag Damit serta guru-guru lain seperti Ustazah Nezadeceymalisa Awang dan Ustazah Azura.

Pensyarah Kanan UMSKAL, Dr. Hajah Haneffa Muchlis Gazali, memainkan peranan penting sebagai penyelaras program.
Beliau memberikan bimbingan rapat kepada 10 pelajar tahun akhir yang menjadi tenaga penggerak utama.

Pihak penganjur diketuai oleh Muhammad Izzudin Ag Ismail sebagai ketua projek, dibantu oleh timbalannya, Nur Solehah Brahim@Ibrahim. Ahli Jawatakankuasa iaitu Dayang Arnie Jammang, Muhammad Zulfahmi Jainin, Nurul Izzati Abbasa, Nur Amani Adibah, Nurhazwani Ashran, Nurul Asyima Ismail, Muhammad Fathi Zaidan, dan Tarmizi Lukman.

Program ini dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan orang ramai yang disalurkan melalui platform Kitafund, dengan jumlah kutipan sebanyak RM800 telah berjaya dicapai dalam tempoh sebulan.
Dana ini digunakan untuk mendapatkan pelbagai keperluan seperti hadiah, makanan, minuman dan cenderamata.

Aktiviti bermula pada pukul 2.30 petang dengan bacaan doa diikuti ucapan alu-aluan daripada Guru Besar, Ustaz Radzizam.

Ceramah bertajuk “Kewangan Islam untuk Kanak-Kanak” disampaikan oleh Dr. Hajah Haneffa, memberikan penerangan yang jelas tentang pengurusan kewangan berdasarkan prinsip Islam.

Bagi meningkatkan interaksi, aktiviti seperti “Money Master Quiz” dan “Money Scavenger Hunt” diadakan untuk menguji pemahaman murid secara santai.

Aktiviti-aktiviti ini berjaya mencetuskan keseronokan sambil mendidik peserta.

Dalam ucapan penutupnya, Dr. Hajah Haneffa menyatakan harapan beliau terhadap manfaat program ini.

“Semoga program ‘Money Matters: Islamic Finance for Kids’ ini menjadi wakaf ilmu daripada kami kepada murid SIRAJ, yang memberi manfaat jangka panjang dalam kehidupan mereka,” katanya.

Majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian penghargaan kepada pihak sekolah yang diterima oleh Guru Besar, Ustaz Radzizam Ag Damit, mewakili seluruh warga SIRAJ.

Penganjur juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada guru-guru sekolah yang memberikan kerjasama erat sepanjang program berlangsung.

Sokongan mereka memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan acara ini.

Program ini memberikan impak besar kepada murid dengan memupuk kesedaran tentang pengurusan kewangan berlandaskan prinsip syariah.

Selain itu, ia berjaya menanam nilai-nilai murni yang relevan dengan kehidupan harian mereka.

Bagi pelajar UMSKAL, program ini menjadi peluang berharga untuk mempraktikkan ilmu dalam dunia sebenar, di samping meningkatkan kemahiran pengurusan dan komunikasi.

Maklum balas positif daripada pihak sekolah dan peserta menjadi dorongan kepada penganjur untuk meneruskan program berimpak tinggi seperti ini pada masa hadapan.

Kejayaan program ini membuktikan komitmen pelajar UMSKAL dalam melaksanakan aktiviti yang bermanfaat kepada komuniti setempat.

Diharapkan usaha menyemai ilmu kewangan Islam ini dapat diteruskan demi melahirkan generasi celik kewangan, berakhlak mulia, dan berdaya saing.

Tamat.

Pelajar Tingkatan 6 SMK Keningau II Teroka Ilmu di UMSKAL

Pelajar Tingkatan 6 SMK Keningau II Teroka Ilmu di UMSKAL

16 JANUARI 2025 - Seramai 23 pelajar Tingkatan 6 SMK Keningau II telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Rombongan yang diketuai oleh Penolong Kanan 1, Md Rafie Sabaktullah turut diiringi tujuh orang guru dan pelajar Tingkatan 4 dari aliran perdana (pelapis).

Lawatan ke UMSKAL merupakan pengisian program lawatan sambil belajar ke Wilayah Persekutuan Labuan.

Md Rafie berkata lawatan itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar terutama tingkatan 6 tentang kos yang ditawarkn di UMSKAL.

Untuk memberikan motivasi dan semangat kepada pelajar agar belajar bersungguh-sungguh supaya dapat melanjutkan pelajaran ke  peringkat  lebih tinggi.

Menerusi lawatan itu, ianya dapat memberi pengalaman berguna kepada pelajar tentang tempat yang dilawati di WP Labuan khasnya UMSKAL.

Dapat mengetahui dan melihat sendiri pelajar-pelajar kampus serta bertemu dan bersoal jaaab dengan pensyarah yang berpengalaman.

Pelajar mendapat pengalaman dan bertemu sendiri dengan pelajar-pelajar kampus selain melihat sendiri kehidupan sebagai pelajar IPTA.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Seminar Layangan Aras 11, Bangunan Menara UMSKAL.

Terdahulu ketibaan rombongan disantuni Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia (SPSM), Mas Adi Alimin, Ketua Unit Korporat dan Antarabangsa, Ezawati Pungut serta kakitangan SPSM.

Taklimat mengenai pentadbiran UMSKAL disampaikan oleh Mas Adi.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran dan kunjungan pelajar dan guru SMK Keningau II ke UMSKAL.

Mas Adi berharap lebih ramai pelajar dari Sabah termasuk pelajar SMK Keningau II melanjutkan pengajian tinggi mereka di UMSKAL.

Kami mengalu-alukan kemasukan pelajar dari SMK Keningau II ke UMSKAL.

Pelbagai kemudahan dan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran (PdP) di samping UMSKAL memiliki pensyarah dan pegawai serta kakitangan yang berpengalaman.

Pelajar turut dibawa ke Makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) dan Perpustakaan UMSKAL untuk melihat dan mengetahui kemudahan yang disediakan.

Pelajar juga teruja meninjau pemandangan indah dan menarik WP Labuan dari Aras 13 Bangunan Menara UMSKAL yang turut menempatkan lokasi melihat anak bulan.

Semoga Bermanfaat.

Tamat.

Path to Perfection: Al-Fatihah Workshop'

Path to Perfection: Al-Fatihah Workshop'

11 JANUARI 2025 - Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf daripada Program Kewangan Islam Fakulti Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menganjurkan Path to Perfection: Al-Fatihah Workshop' di Sekolah Menengah Sains Labuan.

Program telah disertai oleh 50 orang pelajar Sekolah Menengah Sains Labuan (SMSL) bersama Guru Pembimbing, Ustazah Noorain Jumah, Ustazah Nur Amirah Amaninah Nordin dan Ustazah Lily Elmiyanti Kastor.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penyelaras program yang juga Pensyarah Kanan FKAL, Dr Haneefa Muchlis Gazali.

Beliau bertanggungjawab memastikan sepanjang persediaan program sentiasa dalam pemerhatiannya dan dirangka dengan teliti, termasuklah cara pendekatan pelajar bersama pihak yang terlibat.

Dr Hannefa mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama kepada pihak Sekolah Menengah Sains Labuan yang telah membantu menjayakan program berkenaan.

Beliau turut berterima kasih kepada penceramah jemputan yang telah memberi kerjasama yang positif kepada pelajar Kursus Pengurusan Wakaf.

Ilmu yang disampaikan Ustaz Azzif Anuwar dari SMK Rancha-Rancha telah memberi ruang kepada pelajar Sekolah Menengah Sains Labuan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti praktikal seperti flash card, kuiz ringkas berkenaan Al Fatihah, pemindahan ilmu tajwid dan kesalahan dalam bacaan Al Fatihah serta praktikal pembacaan Al fatihah dengan bacaan dan sebutan mengikut makhraj yang betul.

Pelaksanaan program ini diketuai oleh Hakeemudin Halim bersama ahli kumpulannya iaitu Muhammad Yassin Yusli, Muhammad Alhakam, Hazrul Hab Seng, Muhamad Ikhwan Hakim, Siti Raudhah Anuar, Julinah Kayapis, Saidatul Fatihah Jamaludin, Fitria Yusof dan Nur Suhaila Ahmad.

Program Path to Perfection: Al-Fatihah Workshop’ telah memberi peluang kepada peserta untuk memahami makna dan pengajaran serta meningkatkan hubungan peribadi dengan bacaan Al-Fatihah, yang merupakan surah asas dalam Islam.

Melalui program ini, penganjur berhasrat membantu pelajar-pelajar memantapkan kemahiran menghafaz dan sebutan yang betul.

Dengan pemahaman yang lebih mendalam, peserta dapat meningkatkan kefahaman agama dan mengaplikasikan pengajaran untuk menjadi lebih aman, adil dan seimbang.

Ini juga menyokong pembangunan masyarakat yang damai melalui pertukaran maklumat dan kerjasama antara penganjur, peserta dan penceramah serta menggalakkan kolaborasi antara komuniti, masjid dan organisasi pendidikan agama.

Tamat.

 Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan Bantu Usahawan IKS Sabah

Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan Bantu Usahawan IKS Sabah

11 JANUARI 2025 - Pelajar-pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menjayakan Program SULAM
bersama usahawan IKS Kawasan Pantai Dalit, Tuaran, Sabah yang diadakan di NADI PPR Taman Sri Rugading, Tuaran, Sabah.

Program Pemindahan Ilmu bersama Usahawan IKS Pantai Dalit di bawah Projek Service Learning Malaysia - University for Society (SULAM) yang dikendalikan oleh 10 orang pelajar dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) yang diketuai oleh Chong Choon Pin di bawah selian Pensyarah Kanan, Dr Nazarina Jamil untuk kursus Etika Perniagaan.

Program ini adalah kerjasama bersama Koperasi Persatuan Usahawan Digital IKS Sabah Berhad (Ko-Perdiks) dan pihak UPPM Pantai Dalit.

Program ini dihadiri seramai 29 orang usahawan Kecil Dan Sederhana (IKS) dari kawasan Pantai Dalit.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk membantu usahawan-usahawan IKS dalam membangunkan dan mengembangkan perniagaan mereka terutamanya dari segi pemasaran  dan promosi produk menggunakan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) seperti ChatGPT dan juga Canva.

Selain daripada itu, usahawan juga didedahkan dengan kepentingan amalan etika dalam perniagaan, serta turut memastikan objektif perniagaan mereka selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).

Program ini telah dirasmikan oleh Datuk Johari Saiman, wakil kepada Datuk Jasnih Daya, ADUN N13 Pantai Dalit merangkap Pengerusi Innoprise Sdn Bhd.

Hadir sama ialah Pensyarah Kursus Etika Perniagaan, Dr. Nazarina Jamil, mewakili Dekan FKAL, Prof Madya. Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal. Pengerusi Koperasi Persatuan Usahawan Digital IKS Sabah Berhad, Azlee Okee, Pegawai Pembangunan Masyarakat N13 UPPM Pantai Dalit, Irwandie Matshah dan Timbalan Pengerusi Ko-Perdiks Dato Paduka Rehan Rahim.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Johari Saiman menekankan pentingnya program SULAM dalam memperkasakan masyarakat setempat melalui kerjasama antara universiti dan komuniti.

Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih dan mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dan berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dan diperluas untuk memberi manfaat kepada lebih ramai individu dan komuniti pada masa hadapan.

Beliau berharap agar kejayaan projek ini akan menjadi titik mula kepada kesinambungan program-program seumpamanya pada masa hadapan.

Beliau menekankan sokongan terus menerus daripada pihak pemimpin setempat di Pantai Dalit dan Tuaran amnya, untuk menjayakan program-program yang bermanfaat seperti ini.

Kajian-kajian bersama dengan institusi pengajian tinggi terutamya dari FKAL dan UMS yang melibatkan pendidikan, suara rakyat, dan sikap masyarakat sekitar amat dialu-alukan bagi menilai tahap penerimaan dan penguasaan aspek-aspek berkaitan ekonomi, pendidikan dan kebajikan untuk penyelesaian bersama.

Projek SULAM ini telah berjaya mencapai matlamatnya dalam memupuk kerjasama antara universiti dan masyarakat.

Diharapkan program ini akan menjadi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif yang memanfaatkan kemajuan teknologi dan pendidikan untuk pembangunan komuniti setempat.

Tahniah Buat Semua.

Tamat.

Hubungi Kami

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar
87000 WP Labuan

+(60) 87 - 503 000
adminkal[at]ums.edu.my