SELASA, 13 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan Institut Sains dan Teknologi Imus, Filipina dalam satu majlis yang berlangsung di UMS, kelmarin.

Pemeteraian MoU bersama ICRC antara lain bertujuan untuk membangunkan subjek Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa sebagai bidang pengajian penting di UMS.

Di peringkat universiti ini, kerjasama rapat antara ICRC dan program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) diadakan sejak lima tahun lalu dalam subjek tersebut dengan menggalakkan lebih ramai pelajar terlibat dalam bidang kerja kemanusiaan.

Pada majlis menandatangani MoU, UMS diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dan  Pemangku Pendaftar, Aidah Noordin, manakala ICRC diwakili Ketua Delegasi Serantau, Biljana Milosovic dan Dominic Urban.

Sementara itu, MoU antara UMS dengan Institut Sains dan Teknologi Imus Filipina  pula akan merangkumi kerjasama dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, pertukaran pensyarah dan kakitangan, program latihan dan penyeliaan, serta program-program penyelidikan termasuk bidang-bidang lain yang berkaitan.

Dalam upacara menandatangani dokumen MoU, Imus diwakili Ketua Pegawai Operasi, Arch. Encarnacion N. Raralio PhD.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKSW UMS, Dr. Marsitah Mohd. Radzi, Ketua Unit Penyelidikan Etnografi dan Pembangunan UMS, Prof. Dr. Rosazman Hussin dan Ketua Program Hubungan Antarabangsa FKSW, Diana Peters.

 

SELASA, 06 NOVEMBER - Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah menganjurkan Kejohanan Golf Amal Konvo 2018 di Nexus Golf Resort, Karambunai baru-baru ini.

Pengerusi jawatan kuasa penganjur, Prof. Madya Dr. Raman Noordin berkata, kejohanan tersebut berjaya menarik penyertaan sebanyak 14 kapal (flight) melibatkan 56 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta  termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), orang perseorangan dan kakitangan UMS sendiri.

“Kejohanan ini antara lain bertujuan untuk membantu mengumpul dana bagi menampung sebahagian dari kos Majlis Konvokesyen UMS ke-20, 2018 selain sebagai usaha untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara UMS dengan masyarakat luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak dua kategori terbuka dipertandingkan melibatkan kategori Nett menerusi format Stroke Play Sistem 36 dan kategori Gross.

“Selain itu pihak penganjur turut menyediakan hadiah-hadiah novelti berupa pukulan terjauh, pukulan terdekat dengan garisan, Bull ‘s Eye serta pelbagai hadiah cabutan bertuah yang menarik,” ujar Dr. Raman yang juga Dekan FPEP.

Pada kejohanan tersebut menyaksikan Abu Bakar Nasaruddin dinobatkan sebagai pemenang kategori Gross, manakala Noor Masrandi Abdul berjaya meraih kejuaraan bagi kategori Nett.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang dan penyampaian hadiah cabutan bertuah turut disempurnakan Dr. Raman mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk. Dr. D Kamarudin D Mudin.

 

 

ISNIN, 05 NOVEMBER - Seramai 45 pelajar dan 25 kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) memulakan ekspedisi Rentas Sempadan Borneo 2018 (RSB’18) hari ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin di Dataran Dewan Canselor UMS.

Menurut beliau, program RSB’18 merupakan salah satu peluang untuk para pelajar yang terlibat mendekati dan mempelajari kepelbagaian sosiobudaya dalam masyarakat di kepulauan Borneo.

“Mempelajari dan memahami kepelbagaian sosiobudaya ini sangat penting kepada mahasiswa kerana anda adalah bakal pemimpin masa depan negara.

“Anda akan menjadi pemimpin dalam sebuah organisasi yang akan mempunyai budaya kerja (workplace culture) dengan kepelbagaian latar belakang pekerja.

“Bagi menjayakan sesebuah organisasi, maka anda perlu memahami siapa yang dipimpin,” ujarnya ketika merasmikan pelancaran tersebut.

Datuk Dr. D Kamarudin turut menyarankan agar para peserta dapat mengambil peluang daripada ekspedisi ini untuk mendekati ibu bapa bakal pelajar UMS, anak-anak dan seluruh komuniti yang bakal mereka lawati.

“Saya berpesan agar saudara dan saudari sekalian menjaga tingkah laku sepanjang menjayakan program ini serta dapat menjalin hubungan yang mesra dengan masyarakat negeri Sarawak,” tambahnya.

Terdahulu, Pengerusi RSB’18 Profesor Madya Dr. Saafie Salleh menyatakan tujuan RSB’18 dijalankan bertujuan untuk menaikkan nama UMS khususnya di kepulauan Borneo melalui jaringan hubungan dengan pelbagai agensi dan masyarakat.

Menurutnya, hasil perbincangan bersama pihak Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu mendapat penerimaan yang baik daripada kedua-dua universiti tersebut.

“Kedua-dua universiti itu juga telah membantu mengenal pasti kampung dan rumah panjang yang akan terlibat.

“Bersama pasukan ini ialah tiga doktor perubatan dan seorang jururawat, selain pengawal keselamatan sebagai pengiring. Manakala pasukan pacuan empat roda akan turut serta untuk membantu dari sudut logistik,” katanya.

Pelbagai acara telah diatur untuk kedua-dua lokasi di Kuching dan Bintulu, antaranya ialah pameran, gotong-royong, ceramah motivasi, perkongsian ilmu pertanian, karikatur, khat, persembahan kebudayaan serta sukaneka.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut, Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad.

 

ISNIN, 05 NOVEMBER - Kelaziman obesiti dalam kalangan masyarakat adalah tinggi iaitu melebihi 30% pada wanita dan lelaki dewasa.

Pensyarah Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kol. Dr. Mohamad Nizam Nazarudin berkata, bagi wanita ramai yang terdedah kepada kelebihan berat badan kerana sumber yang terhad untuk aktiviti fizikal dan pemilihan makanan seimbang selain komitmen kerja serta tuntutan keluarga.

“Untuk mengatasi masalah ini, setiap orang dewasa sekurang-kurangnya perlu melakukan senaman intensiti sederhana selama 60 minit hampir setiap hari dalam seminggu.

“Penurunan berat badan akan lebih berkesan sekiranya kita menambahkan lebih banyak aktiviti pada siang hari,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku penceramah jemputan pada Simposium Wanita dan Kesejahteraan Insan di Dewan Ballroom Wisma Sabah anjuran Majlis Penasihat Wanita Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah dengan kerjasama Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial UMS, di sini, baru-baru ini.

Tajuk kertas kerja yang dibentangkan ialah “From Fat To Fit” yang membicarakan tentang isu-isu terjadinya obesiti dalam kalangan wanita khususnya di Malaysia serta peri pentingnya bagi seorang menjaga kesihatan dan tubuh badan.

Dalam pembentangannya itu, Dr. Nizam juga menyarankan agar semua pihak sentiasa melakukan latihan tetap sebagai antara usaha bagi mengurangkan berat badan dan mengelakkan daripada obesiti.

“Saya sendiri mengalami penurunan berat kepada berat badan yang lebih ideal kerana melakukan banyak aktiviti fizikal seperti aktif dalam latihan dan menyertai sukan berbasikal,” ujarnya.

Dengan tema “Memperkasa Wanita Ke Arah Kesejahteraan Insan”, majlis perasmiannya telah disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah,  Norazlinah Arif.

Program yang disertai oleh pelajar Psikologi dan Pendidikan UMS, jawatan kuasa dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) Sabah dan Majlis Penasihat Wanita Sabah turut dihadiri Pengerusi Program, Dr. Muhammad Idris Bullare @ Hj. Bahari.

ISNIN, 05 NOVEMBER – Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA)  meraikan 30 mahasiswa UMS daripada kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40) pada pada Majlis Makan Malam Amal KESUMBA 2018 di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu pada Sabtu.
Siswa-siswi tersebut turut menerima sumbangan dari kelab itu yang disampaikan  Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr.) Hajah Norlidah Tan Sri R.M. Jasni yang juga merupakan Penaung KESUMBA.

Hadir sama menjayakan majlis tersebut, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin; Pembantu Menteri kepada Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Norazlinah Arif; Naib Canselor UMS merangkap Penasihat KESUMBA, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; dan Yang Dipertua KESUMBA,  Datin Roha Asmara.

Terdahulu Datin Roha dalam ucapannya berkata, sumbangan itu merupakan bukti keprihatinan pihak KESUMBA untuk membantu dan meringankan beban mereka yang memerlukan di samping memberi ruang kepada ahli-ahlinya untuk mendekati masyarakat.

“30 mahasiswa yang terpilih adalah daripada kumpulan isi rumah berpendapatan purata bulanan di bawah RM3,860. Pihak KESUMBA juga menyampaikan sumbangan khas kepada Tabung Kebajikan Pelajar di bawah kendalian Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

“Sehubungan  itu, besarlah harapan saya agar sumbangan ini serba sedikit mampu meringankan beban pelajar-pelajar yang memerlukan,” ujar beliau.

Majlis itu juga mengumumkan sejumlah sumbangan akan disalurkan Yayasan Nur Jauhar (YNJ) iaitu sebuah badan kebajikan yang dinaungi Tun Juhar Mahiruddin kepada KESUMBA.

Turut hadir Bendahari UMS, Zallifah Shadan dan Pengerusi Jawatankuasa Majlis Makan Malam Amal KESUMBA 2018, Dr. Aza Sherin Mohamad Yusuff.