ISNIN, 24 JULAI – Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi sesak dengan kebanjiran orang ramai yang menghadiri Program Temu Duga Terbuka SL1M di Dewan Canselor yang berlangsung selama dua hari sehingga kelmarin.

Dianjurkan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), program itu membuka 5,000 peluang pekerjaan dan latihan daripada 43 buah syarikat dari seluruh negara.

Tinjauan media mendapati rata-rata pengunjung terdiri daripada lepasan graduan dari pelbagai universiti awam dan swasta bagi merebut peluang yang ditawarkan.

Salah seorang pengunjung yang ditemui, Muhammad Asyraaf Yaea berkata, program seumpama itu amat baik kepada pelajar khususnya graduan untuk mencari pekerjaan.

“Peluang-peluang sebegini amat bermanfaat khususnya kepada golongan seperti kami yang baru menamatkan pengajian di universiti untuk mencari pengalaman dan mendapatkan pekerjaan,” katanya yang berasal dari Tawau.

Program itu disemarakkan lagi dengan kehadiran artis-artis popular tanah air seperti Faizal Tahir dan kumpulan Zero selaku duta SL1M, selain artis-artis tempatan seperti Jimmy Palikat, Firman AF dan Farish Aziz.

Turut diadakan acara cabutan tiket bertuah dan aneka ragam jualan dari gerai-gerai yang disediakan.

 

Oleh Rodzmidi Abdul Latif (Pelajar Latihan Industri BPK)

 

 

ISNIN, 24 JULAI – Masyarakat khususnya para graduan yang sedang dalam proses mencari kerja perlu bersikap positif dan mempunyai komitmen yang baik dalam memajukan diri agar diterima oleh majikan.

Untuk itu, Ketua Sekretariat Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Hajah Norashikin Datuk Haji Ismail memaklumkan, pelbagai syarikat melalui inisiatif SL1M bersedia melatih para graduan yang tidak berpengalaman agar menjadi lebih berdaya saing.

“Sepanjang program temu duga terbuka ini juga terdapat lebih 5,000 jawatan kosong dan latihan yang ditawarkan untuk orang ramai khususnya masyarakat di negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan penganjuran Program Temu Duga Terbuka SL1M di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Sabtu lalu.

Menurut Norashikin, SL1M juga kini telah diiktiraf negara luar sebagai langkah mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan graduan ketika persidangan United Nation Public Services Forum 2017 di Belanda pada bulan Jun lepas.

“Syarikat-syarikat dari luar negara yang berpangkalan di Kuala Lumpur mulai datang ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri untuk bertanyakan tentang prosedur dan manfaat penyertaan SL1M,” katanya.

Justeru, beliau turut menyeru agar syarikat-syarikat lain di Malaysia bersikap positif dan mengambil peluang menyertai Program SL1M dengan menawarkan latihan-latihan kepada para pencari kerja khususnya kepada para graduan.

Hadir sama, Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali.

Program yang berakhir kelmarin itu disertai 43 syarikat terkemuka dari seluruh negara.

Oleh Elfiah Jekius (Pelajar Latihan Industri BPK)

 

JUMAAT, 21 JULAI - Azmi Jumat kekal sebagai Presiden Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Universiti Malaysia Sabah (PPUMS) apabila meraih undian majoriti pada Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-11 PPUMS yang berlangsung kelmarin, di Dewan Kuliah Pusat 10 & 11, Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2 UMS.

Kejayaan itu sekali gus menjadikan Timbalan Pendaftar di Fakulti Kejuruteraan UMS itu menyandang jawatan tersebut dua penggal berturut-turut sejak tahun 2015.

Beliau akan menerajui tampuk kepimpinan PPUMS sehingga 2019 dengan dibantu Penolong Pendaftar Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Suhaimie Sahabuddin selaku Timbalan Presiden yang telah mencatatkan kemenangan tanpa bertanding.

Turut meraih kemenangan tanpa bertanding adalah jawatan bendahari yang menjadi milik  Akauntan Jabatan Bendahari UMS, Al-Hami Zurairi Yahya Mahmood.

Jawatan Setiausaha Agung PPUMS pula menyaksikan satu persaingan sengit apabila proses pemilihan melibatkan calon satu lawan satu.

Namun tuah lebih memihak kepada Alna Tugon setelah Penolong Pendaftar Kanan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar itu berjaya mengekalkan jawatan yang disandangnya pada penggal lalu dengan meraih jumlah undian terbanyak.

Alna akan dibantu oleh Pegawai Hal Ehwal Islam Pusat Islam UMS, Noorisah Taljid yang juga mencatatkan kemenangan tanpa bertanding bagi jawatan Penolong Setiausaha.

Pemilihan kali ini turut memperlihatkan seramai 19 ahli  bertanding bagi mengisi 10 jawatan exco PPUMS.

Kesemua yang terpilih terdiri daripada gabungan muka baharu dan lama, mereka ialah Awina Kamis, Izham Abu Bakar, Tauffeck Hj Guntok, Arvina Mathew, Abdul Latif Matali, Eldeon John Baptist, MD Sazali MD Salleh, Mohd Hazwan Hasan, Abdul Haidy Abdul Hamid dan Hinmin Chiam Tah Kong.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, semua kakitangan UMS termasuk para pegawai pengurusan dan profesional harus mempunyai kesefahaman yang tinggi untuk bersama-sama mencapai setiap perancangan dan hala tuju universiti.

"Setiap usaha yang dijalankan universiti tidak mampu untuk dicapai tanpa kesepakatan bersama.

"Saya juga sentiasa dengan terbuka untuk menerima sebarang cadangan atau idea dari persatuan atau mana-mana kakitangan yang ingin memberikan pandangan terhadap usaha-usaha ke arah kecemerlangan universiti," katanya ketika menyampaikan amanat kepada semua pegawai yang hadir  pada mesyuarat tersebut.

Sementara itu, Pendaftar UMS, No'man Datuk Hj Ahmad ketika menyempurnakan perasmian penutupan mesyuarat agung menyuarakan harapan agar semua pegawai saling bekerjasama sesama mereka.

"Kita tidak mahu wujud duri dalam daging dan cubaan untuk melaga-lagakan kakitangan," kata beliau sambil mengibaratkannya sebagai sel kanser yang merebak dengan cepat dan mampu menjejaskan sesebuah organisasi.

"Kalau hendak membuat sebarang teguran atau cadangan, biarlah secara berhemah dan profesional  seperti yang selalu diusulkan oleh kepimpinan PPUMS melalui pertemuan bersama saya atau melalui saluran lain seperti dalam Mesyuarat Bersama Jabatan (MBJ)," tambah No'man yang juga Penasihat PPUMS.

Untuk rekod, PPUMS sehingga kini mempunyai 226 ahli daripada kalangan pegawai pengurusan dan profesional pelbagai skim perjawatan di UMS.

 

KHAMIS, 20 JULAI – Hujan lebat tidak menghalang seramai 192 peserta menyertai acara 7K Ocean Edu-Walk yang dianjurkan sempena kemuncak sambutan World Oceans and Coral Triangle Month baru-baru ini.

Bermula di ruangan tempat letak kenderaan di Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), acara itu membawa para peserta beriadah secara santai dengan berjalan kaki sejauh tujuh kilometer mengelilingi kampus sebelum tamat di Jeti UMS.

Menurut urusetia penganjur, Flora Anne Asalin,   ia merupakan salah satu usaha bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan laut dan hidupan marin sekali gus membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.

“Setiap peserta yang mengikuti acara ini telah membayar yuran penyertaan sebanyak RM30 dan menerima baju untuk dipakai semasa acara berlangsung selain sijil, cenderahati serta peluang untuk memenangi hadiah cabutan tiket bertuah.

“RM5 daripada setiap pungutan yuran disumbangkan kepada Unit Kajian Alga Bahaya untuk tujuan membantu pembiayaan kos operasi penyelidikan yang menyaksikan sebanyak RM960 berjaya dikumpulkan untuk tujuan tersebut,” katanya ketika ditemui media.

Dianjurkan IPMB dengan kerjasama Coral Triangle Initiative (CTI) Sabah, acara itu telah disertai orang awam,  pelajar dan kakitangan UMS.

 

Oleh Rodzmidi Abdul Latif (Pelajar Latihan Industri BPK)

KHAMIS, 20 JULAI – Pemahaman terhadap pendidikan dan sosiobudaya merupakan tonggak penting dalam memacu pencapaian jangka masa panjang Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching berkata, sudah tiba masanya untuk membina kekuatan dalam kalangan negara anggota dengan menggunakan pendidikan sebagai panduan untuk kesejahteraan penduduk di rantau ini.

“Negara-negara BIMP-EAGA akan menikmati pelbagai manfaat sekiranya semua pihak bekerjasama secara rapat dalam mendidik generasi muda, golongan terpelajar dan setiap individu yang ada,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Inaugural BIMP-EAGA Higher Education Summit 2017 di Pacific Sutera Hotel Kota Kinabalu, kelmarin.

Dalam ucapannya, Datuk Mary Yap menegaskan bahawa polisi pendidikan seharusnya mencakupi semua lapisan masyarakat dan sesiapa sahaja yang sanggup untuk belajar mendapat akses kepada pendidikan tanpa mengira jantina, usia serta status mereka termasuklah orang kelainan upaya.

Beliau turut menyentuh tentang perbezaan kaedah pembelajaran yang wujud sekarang ekoran daripada perubahan teknik pengajaran.  

“Dunia digital yang kita diami pada hari ini membolehkan setiap daripada kita mendapat capaian pendidikan melalui internet,” tambah beliau lagi.

Sidang kemuncak pendidikan yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan untuk memperkasa jaringan kerjasama antara institusi-institusi pendidikan tinggi yang ada di rantau ini.

Yang turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. D. Kamarudin D. Mudin dan Pengarah Kluster Sosiobudaya dan Pendidikan BIMP-EAGA, Dr. Gaspar Gayona.

 

Oleh Elfiah Jekius (Pelajar Latihan Industri BPK)