JUMAAT, 19 OKTOBER – Seramai 12 pelajar tahun akhir Program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah terlibat dalam melaksanakan Projek Kelestarian Gotong Royong Pemasangan Paip Graviti Air di Kampung Bongol, Tamparuli baru-baru ini.

Ketua projek tersebut, Verrill Valeryan Victor Wong berkata, beliau bersama 11 pelajar yang mengambil kursus Kejuruteraan Alam Sekitar telah bersama-sama penduduk kampung yang diketuai oleh pengerusi projek, Jaimond Lambun.

“Bagi projek ini, pelaksanaan dibahagikan kepada tiga fasa, iaitu dalam dua fasa pertama pelajar dan penduduk kampung bergotong royong menyiapkan tapak, membina dan memasang paip graviti serta tangki.

“Fasa ketiga pula adalah kerja pemasangan paip agihan serta satu majlis perasmian projek Pembinaan Paip Graviti yang dijangkakan akan dilangsungkan pada bulan November akan datang,” jelas beliau.

Sementara itu, pensyarah subjek Kejuruteraan Alam Sekitar merangkap penasihat projek usaha sama komuniti, Prof. Madya Dr. Nurmin Bolong berkata, program ini pastinya memberi manfaat bukan sahaja kepada para pelajar bahkan juga kepada penduduk Kampung Bongol dalam mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka, di samping memahami kehendak masyarakat dalam memastikan pembangunan yang lestari.

“Pelaksanaan projek ini memberikan para pelajar pendedahan terhadap pengalaman praktikal di tapak bina seperti mereka bentuk sistem air di kawasan berbukit, pemasangan paip serta kemahiran memasang dan melepa dinding bata, yang secara tidak langsung melatih mereka agar lebih kompeten apabila menamatkan pengajian kelak.

“Selain itu, pelajar juga dapat merasai keindahan persekitaran dan mendekati keramahan penduduk kampung misalnya melalui aktiviti memalu gong dan program ramah mesra yang turut diadakan dalam program ini,” katanya.

Ujar beliau, projek seperti ini diharap dapat terus dilaksanakan pada masa akan datang kerana pelaksanaannya mampu membuka minda para pelajar sebagai persediaan memasuki ke alam pekerjaan, selain menggalakkan penglibatan lebih ramai pelajar bukan sahaja di peringkat universiti, malah seluruh Kota Kinabalu dan Sabah amnya untuk turut serta menjayakannya.

 

JUMAAT, 19 OKTOBER - Seramai 37 peserta terlibat dalam menjayakan program Komuniti Generasi Inovasi Sekolah Luar Bandar anjuran pelajar Pascasiswazah Program Ijazah Sarjana Pendidikan (Kurikulum dan Pengajaran) Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Pengarah program, Emylen Shim Nesron berkata, program itu yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens, Kiulu diadakan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran berfikir masa depan berasaskan konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan merangsang daya pemikiran kreatif dan inovatif peserta dalam melaksanakan aktiviti mereka cipta.

“Program yang disertai pelajar Tingkatan 4 ini dibahagikan kepada dua aktiviti, iaitu aktiviti berkisar tentang perkembangan komputer yang menuntut peserta mencipta sebuah komputer yang lebih canggih dan berteknologi tinggi sesuai dengan keperluan masa hadapan, serta aktiviti mereka cipta jalan raya masa hadapan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas serta memenuhi keperluan masyarakat.

“Melalui aktiviti yang dijalankan itu mampu merangsang pemikiran para peserta untuk menangani permasalahan pada masa kini dan mengembangkannya untuk keperluan masa hadapan dengan menggunakan konsep sains yang dipelajari, selain berfikir sejauh mana keperluan masyarakat dipenuhi melalui reka cipta masa hadapan yang dihasilkan,” katanya.

Jelas beliau, berdasarkan temu bual yang diadakan bersama peserta, rata-rata memberikan maklum balas yang positif terhadap penganjuran program berkenaan.

“Mereka sangat teruja kerana aktiviti yang disediakan dapat mencabar daya pemikiran mereka untuk mengaitkan ciptaan masa depan sesuai dengan perkembangan sains dan teknologi, ekonomi, tenaga lestari, teknologi hijau dan tuntutan nilai sejagat,” ujar beliau.

Program tersebut diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah bagi aktiviti yang dipertandingkan serta penyampaian cenderamata oleh pensyarah kanan FPP, Dr. Sopiah Abdullah, mewakili Dekan FPP, Prof. Dr. Hj. Mohd. Dahlan Hj. A. Malik kepada wakil pengetua SMK Tun Fuad Stephens, Duil Lakasa.

 

JUMAAT, 19 OKTOBER - Seramai empat pelajar Universitas Pasundan (UNPAS), Bandung, Indonesia telah terlibat dalam Program Mobiliti ke Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Rombongan pelajar tersebut diketuai oleh wakil Dekan Bidang Akademik Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik, Dr. Heri Erlangga, dan diiring oleh Ketua Program Studi Ilmu Kesejahteraan Sosial, Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik Dr. Abu Huraerah dan Ketua Program Studi Ilmu Administrasi Bisnis, Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik, Ida Hindarsyah.

Program tersebut adalah sebagai timbal balas kepada Program Mobiliti Pelajar Berkredit antara pelajar UMS dan UNPAS yang melibatkan penghantaran seramai tujuh orang pelajar tahun tiga Program Kerja Sosial (HA52) yang diketuai Ketua Programnya, Dr. Peter Voo Su Kiong ke UNPAS pada 28 Ogos lalu, dengan ketujuh-tujuh pelajar tersebut akan menjalani pengajian selama satu semester bermula September 2018 hingga Januari 2019.

Keempat-empat pelajar UNPAS pula akan mengikuti aktiviti-aktiviti akademik dan bukan akademik sepanjang tempoh semester I, 2018-2019 untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman budaya di bawah Program Kerja Sosial, FPP.

Program mobiliti antara dua universiti itu adalah hasil jalinan kerjasama yang terjalin melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan UNPAS, dengan pelajar kedua-dua universiti mendapat manfaat dari segi pendedahan kepada persekitaran akademik yang berbeza, selain kerjasama turut mampu diluaskan dalam bentuk kerjasama dalam penyelidikan, penganjuran seminar dan pertukaran tenaga akademik.

 

KHAMIS, 18 OKTOBER – Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Ismail Ali mengingatkan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) baharu yang memenangi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) semalam agar menjalankan amanah yang dipikul dengan penuh bertanggungjawab dan berintegriti.

Katanya, barisan MPP yang dilantik telah diberi kepercayaan sepenuhnya oleh warga pelajar UMS untuk memainkan peranan menjadi jambatan penghubung di antara pelajar dan pihak pentadbiran universiti.

“Barisan MPP sememangnya komponen penting dalam Universiti Awam kerana mereka merupakan harapan dalam membawa isu-isu kebajikan pelajar ke pengurusan universiti, bahkan kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia juga turut mengangkat martabat kepimpinan pelajar universiti agar bersedia untuk menjadi bakal pemimpin akan datang,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pengumuman keputusan Pemilihan MPP UMS Sesi 2018/2019 di Auditorium Perpustakaan UMS semalam.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua warga pelajar UMS yang turun untuk menunaikan tanggungjawab pada PRK kali ini, selain turut berpesan agar para pelajar terus menumpukan perhatian terhadap pengajian dan tidak melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang mampu mencemar imej universiti dan membahayakan keselamatan diri.

Pada sesi pemilihan MPP kali ini, sejumlah 43.43% pelajar turun untuk menunaikan kewajipan mengundi barisan MPP baharu yang meliputi 20 kerusi fakulti dan 10 kerusi umum termasuk di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Kampus Sandakan.

Bagi kerusi umum di Kampus Kota Kinabalu, sejumlah 17 calon bertanding bagi merebut tujuh kerusi yang dipertandingkan.

Tujuh kerusi tersebut dimenangi Syakur Maming (2657 undi), Muhd Jivean Johan Wira Ahmad (2811 undi), Kellin Wong Kai Xin (2253 undi), Mohammad Zaiful Junaedi (2946 undi), Sugianto Johan (2219 undi), Suzanne Chee Suxian (2965 undi), dan Nur Wahidayah Wahipin (2219 undi).

Fauzan Mirza Eko dan Nadia Mohd Arif Teo pula terpilih bagi menyandang dua kerusi di UMSKAL, manakala satu kerusi di FPL diisi Nor Aini Aqilah Ismail.

Kerusi Fakulti pula menyaksikan 9 kerusi menang tanpa bertanding, yang dimenangi oleh Janifal Alipal (Pascasiswazah), Mohd Fazri Kiram dan Noraisyah Mohd Tahang (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan), Jetli Chung Li Kuot (Fakulti Komputeran dan Informatik – Kampus Kota Kinabalu), Ain Farhana Md Yazid dan Muhammad Zulfaeqar Masri (Fakulti Psikologi dan Pendidikan), Rizaldi Amzirwan dan Melissa Adrine Peter (Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan), dan Chong Pei Qi (Fakulti Kejuruteraan).

11 lagi kerusi fakulti yang dipertandingkan diisi oleh Ker Jia Hui dan Marsha Muhammadan (Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan), Ou Mei Lean dan Rabiatul Adawiyah Rosman (Fakulti Sains dan Sumber Alam), Hardianto Aedy Rahman dan Nur Syahiran Abd Razak (Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan), Muhamad Amirul Aiman Mohd Azam dan Roselyn Ihnesia Raymond (FPL), Kieran Lim Hong Xun dan Emlyn Anak Jonathan Sunggih (Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan), dan Nurfarah Shakila Nicolas Patrick Pisol (Fakulti Komputeran dan Informatik – Kampus Labuan).

RABU, 17 OKTOBER – Tujuh aktiviti kemasyarakatan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah terpilih untuk Project For Happiness 2018, sebuah projek tajaan Khind Starfish Foundation yang bertujuan memupuk pelajar bagi menguruskan dan melaksanakan projek komuniti yang dapat memberikan kebahagiaan dan pada masa yang sama menangani masalah kemiskinan dan pendidikan di Malaysia.

Sumbangan dana berjumlah RM38,900 bagi tujuh projek tersebut disampaikan oleh wakil Khind Starfish Foundation, Vincent Chia Si Khiong kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail dalam satu majlis di Pusat Pengajian Pascasiswazah, UMS baru-baru ini.

Prof. Rasid ketika berucap pada majlis tersebut berkata, UMS amat berbangga kerana tujuh daripada 10 projek yang dihantar untuk Project For Happiness itu terpilih bagi penyertaan julung kalinya buat UMS.

“Tahniah diucapkan kepada para pelajar yang terlibat dalam menjalankan projek-projek kemasyarakatan ini, dan diharapkan projek-projek tersebut membawa kejayaan yang lebih daripada jangkaan, serta memberi impak yang besar terhadap komuniti.

“Sokongan daripada Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), serta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) yang menyokong dan menggalakkan pelajar untuk menyertai program ini amatlah dihargai dan mampu menjadi pendorong kepada fakulti lain untuk turut serta pada masa akan datang,” katanya.

Ujar beliau, diharapkan kerjasama sebegini akan berterusan bagi menggalakkan inisiatif, inovasi dan daya  keusahawanan pelajar dalam menggunakan kaedah kreatif bagi membantu meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi masyarakat setempat.

Tujuh projek yang dijalankan oleh pelajar UMS adalah Projek Penapisan Air Hujan di Kampung Tagasan Jaya, Semporna; Projek HOPE; Projek ‘No More Cloudy Water’ di Papar; Projek ‘Coding 101 Workshop 2018’; Projek Menggalakkan Belia di Tambunan Untuk Mengelak Daripada Pengambilan Alkohol; Projek Kampus Tanpa Penyedut Minuman Plastik; dan Projek Kelestarian Rekacipta dan Pelaksanaan ‘Biosand Filter’ di Kg. Singgaraan, Ranau.

Turut hadir pada majlis tersebut Dekan FKJ, Prof. Ir. Dr. Abdul Karim Mirasa dan Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Komuniti, Prof. Madya Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd. Nasri.