ISNIN, 18 DISEMBER – Kejohanan sukan IPT Sabah Piala YB Datuk Dr Mary Yap Kain Ching kali ke-2 anjuran bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kementerian Pendidikan Tinggi disambut meriah dengan penyertaan 20 kontinjen daripada Institut Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh Negeri Sabah di Kompleks Sukan UMS baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching ketika berucap merasmikan temasya sukan itu berkata, penyertaan sukan dengan jumlah pasukan yang ramai sangat memberangsangkan dalam menyokong pembangunan potensi pelajar.

“Justeru, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia menyokong dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi sebarang penganjuran sukan seumpama ini yang dijayakan oleh mana-mana IPT di negeri Sabah atas tujuan meningkatkan lagi mutu sukan di peringkat IPT Negeri Sabah.

“Saya berharap semua pasukan bertandinglah dengan penuh semangat kesukanan yang tinggi untuk merebut kejayaan pasukan dengan mengekalkan semangat pertandingan dengan adil dan sihat,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin ketika berucap pada majlis tersebut berkata, penglibatan pelajar IPT dalam kejohanan sukan pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa merupakan satu petanda positif dan sumbangan besar kepada IPT masing-masing, selain perlu diberi penghargaan atas kejayaan mengharumkan nama IPT di peringkat negeri serta kebangsaan.

 “Saya yakin kerjasama pihak terlibat khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Belia dan Sukan antara faktor penyebab setiap kejohanan digalas dengan baik.

“Selaku tuan rumah kejohanan ini saya berharap kita dapat mengeratkan lagi silaturahim antara IPT Sabah dan menjadikan sukan ini salah satu wadah “Sabah Harmoni Melalui Sukan,” katanya.

Kejohanan sukan IPT selama dua hari itu disertai 20 kontinjen antaranya UMS Kota Kinabalu, UMS Kampus Antarabangsa Labuan, UMS Kampus Cawangan Sandakan, Universiti Teknologi MARA, KTYS, Kolej Komuniti Sandakan, Kolej Komuniti Tawau, Kolej Komuniti Tambunan, Kolej Komuniti Kota Marudu, Kolej Komuniti Beaufort, Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Sandakan, Institut Perguruan Kampus Kent, University College Sabah Foundation (UCSF), Asia Metropolitan College Kota Kinabalu, SIDMA College, Kolej Eastern, Poly-Tech Mara Semporna, Institut Sinaran dan Kolej Cosmopoint Kota Kinabalu.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rasid Mail,  Pendaftar UMS, No’man Ahmad, Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat, Prof. Dr. Marcus Jopony dan wakil-wakil dari Bahagian Sukan KPT.

 

 

JUMAAT,15 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) yakin Pusat e-Pembelajaran mampu mengukuhkan semula hala tuju, strategi, dan pelan tindakan yang ditetapkan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, akses pembelajaran atas talian bakal ditambah dengan lebih meluas melalui pusat berkenaan.

Menurutnya, ia turut berperanan menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

“Pada masa sama, pusat ini juga membantu memperbaiki kecekapan kos dalam penganjuran kursus dan promosi UMS secara global.

“Setiap manifesto ini hanya mampu dicapai melalui fokus pada perancangan strategik, pelaksanaan agresif dengan penglibatan kerjasama dari semua kakitangan dan pelajar UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena perasmian Anugerah e-Pembelajaran dan Seminar ‘Massive Open Online Courses’ (MOOC) di Galeri, Bangunan Canselori, kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail.

Majlis itu turut menyaksikan seramai 120 peserta menerima sijil melibatkan Kursus MOOC, Kursus Sumber Pembelajaran Terbuka (OER), Penyelaras e-Pembelajaran dan Pensyarah Terbaik (Blended Learning)

JUMAAT, 15 DISEMBER – Penganjuran Program ‘No Trash In Stash (NTrIS) 2017’ oleh Pusat Pengurusan Ecocampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta Kelab Surirumah dan Staf Wanita UMS (KESUMBA) mampu mewujudkan kesedaran dan minat warga UMS, khasnya para mahasiswa/i UMS dan orang awam dalam melaksanakan aktiviti kitar semula bahan terpakai (upcycling) untuk menjadi produk yang bernilai. 

Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus UMS, Prof. Madya Dr. How Siew Eng berkata, aktiviti upcycling menjadi semakin popular kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti kitar semula sisa dan bahan terpakai. 

“Upcycling melibatkan proses penggunaan semula bahan-bahan buangan untuk menjadi sebuah bahan atau produk yang boleh digunakan semula dan mempunyai nilai pendapatan.

“Ini memberi satu motivasi kepada orang awam untuk terlibat dalam aktiviti sebegini kerana ia memberi peluang dalam menjana pendapatan tambahan, selain mudah dilaksanakan oleh semua golongan umur,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Cafe D’Sireh, Bangunan Canselori UMS. 

Program itu juga katanya menghimpunkan pelbagai individu yang berkemahiran dan berpengalaman dalam aktiviti upcycling bagi berkongsi pengetahuan, idea dan kemahiran kepada warga UMS, khususnya kepada golongan mahasiswa dan kakitangan.
“Perkongsian sebegini mampu mendorong kepada perubahan positif terhadap nilai moral, sikap dan pemikiran para peserta untuk mendukung aspirasi EcoCampus UMS dan kelestarian, sekali gus menjayakan kempen kawasan bebas sampah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),” ujar beliau. 

Program sehari itu melibatkan pelbagai sesi ceramah, bengkel dan pameran produk yang disertai agensi kerajaan seperti DBKK dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), dan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Taiwan Buddhist Tzu Chi Foundation Malaysia, JF Production KK, Life Water Industries, Arkitek Tressie Yap, Young Leaders for Sustainability (YL4S), dan Malaysia Zero Pollution Society.

Turut hadir adalah Ketua Bahagian Pendidikan Awam dan Pentadbiran Jabatan merangkap wakil DBKK, Puan Lizawana Matin, Timbalan YDP KESUMBA UMS, Dr. Aza Sherin Mohd. Yusuff dan Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus merangkap Penyelaras Jawatankuasa Pelaksana Program, Kueh Boon Hee.

JUMAAT, 15 DISEMBER – Kontinjen Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedia menggalas cabaran untuk mempertahankan kejuaraan Sukan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Sabah Kali ke-2 Piala YB Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching yang akan bermula esok.

UMS yang menjuarai kejohanan sama pada tahun lalu menghantar seramai 87 atlet dan pegawai yang akan menyertai kesemua enam jenis sukan yang dipertandingkan. 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali ketika berucap pada majlis penyerahan bendera kontinjen berkata, kejohanan sukan itu akan menjadi medan pengukur prestasi setiap atlet yang bertanding bagi pemilihan atlet untuk kejohanan-kejohanan sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Sukan IPT Kebangsaan dan Sukan MASUM.

“Saya percaya kontinjen UMS tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kejuaraan memandangkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

“Berikan saingan terbaik, bersaing atas semangat kesukanan dan gandakan usaha agar kita dapat mengatasi pencapaian pada edisi temasya sebelum ini,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Prof. Dr. Ismail dan Pengarah Pusat Sukan UMS, Mohd. Asyraaf Fong Abdullah serta pegawai-pegawai sukan UMS menyaksikan bacaan ikrar yang diketuai oleh Ketua Pasukan Bola Sepak UMS, Izzudin Irfan, serta menyampaikan pakej kepada ketua pasukan bagi setiap kategori sukan. 

Kejohanan Sukan IPT Sabah Kali Ke-2 Piala YB Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching berlangsung selama dua hari dengan mempertandingkan enam jenis sukan iaitu Bola Sepak, Futsal, Sepak Takraw, Bola Tampar Pantai, Bola Jaring, dan Bola Keranjang.

Temasya sukan yang akan disertai lebih 20 IPT di Sabah itu akan dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching di UMS Arena, esok.

KHAMIS, 14 DISEMBER – Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam bermula kelmarin.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, seminar itu merupakan medan penyampaian ilmu yang diperoleh hasil penyelidikan untuk tujuan perkongsian bersama.

“Saya pasti warga seminar maklum betapa teknologi sangat berpengaruh dalam dunia pendidikan masa kini dan bersedia mendepani cabaran serta transformasi dalam Pendidikan Tinggi 4.0.

“Saya juga menaruh keyakinan setiap Universiti Awam kini berada pada landasan yang betul dalam memacu perkembangan pendidikan di negara ini,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail di Auditorium Perpustakaan UMS.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr. Siti Hamisah Tapsir dalam ucapan perasmiannya berkata, universiti harus bersedia menghadapi cabaran revolusi industri 4.0 khususnya dalam mendidik anak-anak generasi digital yang berbeza dengan generasi terdahulu seiring dengan perkembangan dunia teknologi dan komunikasi.

“Para pensyarah tidak lagi tertumpu hanya mengajar di dewan kuliah tetapi perlu lebih kreatif dan berperanan sebagai kurator dalam pengetahuan teras bagi memastikan keberkesanan sistem pembelajaran dalam menghadapi Pendidikan Tinggi 4.0,” katanya.

Seminar selama dua hari itu disertai 150 pensyarah pendidikan dari seluruh Universiti Awam.

Turut hadir, Dekan FPP UMS, Prof. Dr. Mohd. Dahlan Hj. A. Malek.