KHAMIS, 24 OGOS - Kejohanan Bola Tampar Tertutup Piala Dekan Staff FSSA 2017 anjuran Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu memperkukuhkan jalinan kemesraan dan semangat berpasukan dalam kalangan kakitangan fakulti.

 

Dekan FSSA, Prof Dr. Baba Musta berkata, ini kerana dalam pertandingan sukan kerjasama adalah kata kunci dalam pasukan bertanding tanpa mengira gred dan skim jawatan yang disandang, yang akhirnya mampu memupuk hubungan yang lebih kukuh di antara kakitangan.

 

“Penganjuran program sebegini sekali gus dapat merangsang naluri bekerjasama dan bermotivasi dalam diri dan akhirnya mewujudkan suasana harmoni dalam satu fakulti,” katanya.

 

Sementara itu, pensyarah FSSA, Dr. Moh Pak Yan turut melihat kejohanan sukan sebegini mampu membawa nilai positif terhadap kakitangan yang menyertai.

 

“Aktiviti ini memberi ruang kepada semua kakitangan fakulti untuk bergaul dan saling mengenali antara satu sama lain di samping membudayakan kakitangan terhadap usaha menjalani gaya hidup sihat.

 

“Diharap aktiviti seumpama ini dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa dan diteruskan pada tahun hadapan,” ujar beliau.

 

Kejohanan sehari itu menyaksikan gimik perasmian melalui acara servis bola tampar oleh Prof. Baba sebagai tanda bermulanya kejohanan yang berlangsung di Gelanggang Bola Tampar, Pusat Sukan UMS.

 

Kemuncak aktiviti adalah penyampaian hadiah bagi pemenang kejohanan dan juga cabutan tiket bertuah.

 

Sumber : Kenny Uwai, FSSA

RABU, 23 OGOS – Falsafah hidup beragama adalah satu medium yang membawa kepada keamanan, kedamaian dan keharmonian sejagat.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Abdul Hakim Mohad, masyarakat pada hari ini perlu memahami bahawa agama tidaklah membawa kepada peperangan, perpecahan atau penderitaan kepada umat manusia. 

“Kalau dikaji tentang agama, mana-mana agama sekali pun akan menjurus kepada keamanan dan kesejahteraan baik kepada manusia atau kepada alam semula jadi.

“Namun falsafah tersebut kurang diberi penekanan pada hari ini, dengan ahli agama cenderung untuk menitik berat akan hukum hakam dalam agama, menjadikan agama itu dilihat kurang berjaya untuk membawa manusia untuk hidup bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media bersempena dengan Persidangan Antarabangsa Agama dan Masyarakat kali ke-2 di Mini Auditorium, Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS.

Justeru katanya, penganjuran persidangan ini adalah bertepatan untuk membawa mesej keamanan dan keharmonian dalam kehidupan beragama melalui perkongsian nilai-nilai universal dalam sesuatu agama oleh masyarakat khususnya ahli akademik yang terdiri daripada latar belakang agama yang berbeza.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin ketika merasmikan persidangan tersebut berkata, sambutan menggalakkan persidangan itu dengan terdapat juga pembentang dari Amerika Syarikat, India, Filipina, Thailand, Indonesia dan Brunei menunjukkan bahawa tema “Agama dan Keharmonian Sejagat” merupakan tema penting masyarakat hari ini, dan perlu diangkat dalam perbincangan akademik.

“Adalah diharapkan agar para pembentang dan peserta dapat memanfaatkan platform ini untuk berbincang dan berkongsi idea sesuai dengan kepakaran masing-masing bagi mewujudkan masyarakat yang lebih toleran dan saling hormat-menghormati antara satu dengan yang lain,” ujar beliau.

Persidangan sehari anjuran PPIB UMS itu turut melibatkan kerjasama dengan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Islamic Studies Research Center School of Liberal Arts, Walailak University dan Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS, dengan sejumlah 183 kertas kerja dibentangkan yang akan menyentuh membincangkan pelbagai subjek dan isu berkaitan agama dari pelbagai perspektif.

 

Foto: Nasrul Rukkung

RABU, 23 OGOS – Seramai 10 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) termasuk dalam 300 pelajar cemerlang universiti seluruh negara dijemput menyertai program KPT-Huawei, iaitu lawatan ke Huawei Innovation Centre di The Intermark, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kesemua mahasiswa UMS yang terlibat terdiri daripada pelajar Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP); Fakulti Kejuruteraan (FKJ); Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI); dan Fakulti Sains dan Sumber Alam.

Program itu adalah salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat telekomunikasi Huawei.

Pengarah Kanan Hubungan Koporat Huawei, Simon Ng berkata, lawatan itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar cemerlang universiti di Malaysia sekali gus membantu meningkatkan bakat dan kemahiran dengan merasai pengalaman dan menyaksikan sendiri teknologi terkini keluaran Huawei.

Salah seorang mahasiswa UMS, Viliana Jainih berpendapat program tersebut sangat bermanfaat dan mampu meningkatkan pengetahuan khususnya berkaitan teknologi terkini dalam bidang telekomunikasi.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (CICN), Prof. Madya Dr. Justin Sentian turut menyuarakan harapan agar program tersebut akan terus berkesinambungan pada setiap tahun.

Turut mengiringi mahasiswa adalah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) CICN, Dr. Mohd Kamel Wan Ibrahim dan Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) FKI, Dr. Zamhar Iswandono Awang Ismail.

 

WEDNESDAY, 22 AUGUST – The Supreme Council Members of the Housewives and Women Staff Club (KESUMBA) Universiti Malaysia Sabah paid a courtesy call to the Vice-Chancellor, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin at the Chancellery Building, UMS, recently.

The Honourable Secretary, Stella @ Nurul Martini Gontol introduced to the Vice-Chancellor the new line-up of the 16-strong member delegation led by its President, Roha Asmara.  The members were chosen during the Annual General Meeting held on 14 July.

The Vice-Chancellor hoped that KESUMBA would continue to be successful and urged its members to maintain its efforts in supporting the activities of the university.

The delegation then paid a courtesy visit to Pusat Minda Lestari (PML), UMS’ childcare centre where they were briefed on the centre’s programmes and activities by the Centre’s Director, Aidah Noordin.  They were also taken round to some of the classes to witness the teaching and learning sessions conducted by trained teachers of PML.

The same day, KESUMBA also signed a Memorandum of Understanding (MoU) between The Marina Café@UMS management at the location itself.  The documents were signed by the President of KESUMBA, Roha Asmara and the owner and operator of the café, Dayang Halimah Md Yusof. - FL

 

 

 

SELASA, 22 OGOS - Seramai 30 kakitangan pengurusan dan pelaksana Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) mengadakan lawatan ke Muzium Perubatan Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini. 

Lawatan itu antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada staf fakulti tersebut terhadap bahan pameran yang terdapat dalam muzium berkenaan seperti model anatomi manusia yang diawet dengan teknik plantinasi, dan juga koleksi bahan pameran model anatomi dalam bentuk spesimen dan patung.

Selain itu, ia juga bagi memberikan kefahaman kepada staf FPSK tentang muzium tersebut agar mampu memberi penerangan kepada orang awam atau pelawat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut sekali gus membantu mempromosi dan menyokong kepada usaha penjanaan yang kini giat dilaksanakan universiti.

Sesi penerangan terhadap rombongan pelawat telah dikendalikan Kurator Muzium Perubatan, Faranizah Taufick.

Hadir sama, Ketua Bahagian Pentadbiran FPSK, Hasmi Hashim; Ketua Sektor Pengurusan Sains, Johan Alexander; Penolong Pendaftar Kanan FPSK, Awang Jamaludin dan Ketua Penolong Pegawai Tadbir FPSK, Fauziah Ismail.

Untuk rekod, Muzium Perubatan yang ditubuhkan pada 14 April 2010 atas inspirasi mantan Dekan Pertama FPSK, Prof. Dr. Osman Ali, turut sering menerima lawatan dari sekolah-sekolah, institusi awam dan swasta serta orang ramai untuk merasakan sendiri pengalaman dan keunikan muzium tersebut.

 

Sumber: Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan