ISNIN, 25 NOVEMBER - Kumpulan Amici Terrae (Friends of Earth) berjaya mengadakan ‘Program Melestarikan Fakulti’ yang diadakan di Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Pengarah program, Syelvina Masanun berkata, program itu mensasarkan pelajar tahun 1 FKSW merangkumi ketujuh-tujuh program yang ditawarkan di bawah fakulti berkenaan.

“Kita memilih pelajar tahun 1 kerana mereka inilah yang berada di fakulti selama tiga tahun yang akan datang sekali gus bersama-sama dalam melestarikan fakulti ini sehingga menamatkan pengajian masing-masing.

“Selain itu, aktiviti gotong-royong juga telah diadakan di sekitar kawasan FKSW sesuai dengan objektif program ini iaitu meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kebersihan fakulti,” katanya ketika ditemui media.

Ujar Syelvina, kumpulan Amici Terrae adalah terdiri daripada pelajar tahun 3 Hubungan Antarabangsa, Antropologi Sosiologi dan Geografi.

“Kita sangat berterima kasih kerana sambutan yang amat memberangsangkan dengan penyertaan seramai 49 pelajar,” jelasnya.

Program selama dua hari itu turut diisi dengan Ceramah Kempen Anti Kutu Sampah dari Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta pameran dari Jabatan Alam Sekitar dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Majlis perasmiannya telah disempurnakan Penerbit Rancangan Kanan, FKSW, Feria Lee.

 

JUMAAT, 24 NOVEMBER - Buat kali keempat, Medical Emergency Response Team, Universiti Malaysia Sabah (MERT-UMS) di bawah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dengan kerjasama Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS (UMS 4WDVC) telah dijemput oleh Sabah Four Wheel Drive Association (SFWDA) untuk terlibat sama dalam Borneo Safari International Off-road Challenge 2017 bertempat di daerah Papar, Sabah baru-baru ini.

Sejumlah 10 buah kenderaan pacuan empat roda dari UMS 4WDVC yang diketuai oleh Presiden Kelab, Prof. Dr. Shahril Yusof telah membawa pasukan MERT-UMS yang terdiri dari tiga doktor pakar, lima jururawat dan masing-masing seorang pensyarah kejururawatan dan penolong pegawai perubatan.

MERT-UMS turut membawa bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang mencukupi untuk mengharungi cabaran perjalanan offroad yang mencabar selama seminggu.

Menurut Pengerusi MERT-UMS, Prof. Madya Dr. Khin Maung Ohn @ Ariff, salah satu aktiviti yang dijalankan ialah tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada penduduk Kg. Ovai, Papar.

“Seramai 55 penduduk kampung telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan ubat-ubatan secara percuma dari MERT-UMS di tapak perkhemahan utama Borneo Safari 2017.

“Selain itu, MERT-UMS turut menyediakan perkhidmatan perubatan kepada semua peserta pertandingan yang diadakan sebanyak 18 SS (Special Stage) serta terhadap  semua peserta Borneo Safari yang terdiri daripada peserta tempatan dan peserta antarabangsa daripada negara-negara seperti Brunei, Indonesia, Thailand dan China,” jelas Dr. Ariff.

Tambah beliau lagi, sepanjang ekspedisi ini dilangsungkan dari 29 Oktober – 5 November 2017, tidak berlaku sebarang kecelakaan parah dan beberapa peserta hanya mengalami luka-luka ringan akibat melecur, disengat serangga dan kecederaan ringan yang lain.

Di samping itu, SFWDA dan UMS 4WDVC turut menyumbang beras kepada penduduk kampung yang hadir semasa pemeriksaan kesihatan dijalankan.

Menurut Ketua Konvoi MERT-UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof, program yang mempunyai elemen CSR ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai sebahagian daripada sumbangan UMS kepada masyarakat pedalaman Sabah.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Presiden SFWDA, Hj. Faez Datuk Nordin kerana sudi menjemput UMS untuk terlibat sama mengikuti Borneo Safari,” katanya yang juga Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMS.

Dalam pada itu, seorang penduduk Kg. Ovai yang ditemui iaitu Umai Sr. dipetik sebagai berkata, penduduk kampung sangat berbangga dan berterima kasih atas kesudian pihak UMS memberikan perkhidmatan perubatan dan kesihatan secara percuma dan berharap agar aktiviti seperti ini akan dilakukan lagi pada masa yang akan datang.

Turut hadir pada hari pertama ekspedisi bagi memberikan sokongan moral kepada MERT-UMS ialah Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dan Dekan FPSK, Prof. Dr. Zainal Ariffin Mustaffa.

 

JUMAAT, 24 NOVEMBER – Majlis Anugerah Pascasiswazah (MAP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2017 yang berlangsung di Klagan Hotel baru-baru ini menjadi wadah dalam mengiktiraf beberapa graduan sarjana dan doktor falsafah yang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, MAP 2017 juga diadakan bertujuan untuk menghargai para penyelia graduan pascasiswazah yang telah menunjukkan komitmen dan pencapaian yang tinggi dalam penyeliaan mereka sehingga berjaya melahirkan graduan pascasiswazah pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-19.

“Sesungguhnya, dalam kembara pengajian pascasiswazah, peranan penyelia sangat signifikan dalam membantu anak didik mengharungi segala cabaran, halangan dan kekangan dengan jayanya.

“Pengajian pascasiswazah bukan semata-mata suatu peringkat pengajian yang mampu mempertingkatkan taraf atau status ketokohan pendidikan seseorang, malah ianya juga adalah suatu pengalaman yang sangat berguna dan boleh memberi sumbangan tidak ternilai kepada kehidupan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disampaikan Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Murnizam Halik.

Katanya, penganjuran MAP 2017 juga adalah bagi mengangkat kepentingan pengajian pascasiswazah sebagai salah satu daripada mekanisme membangun masyarakat mencakupi segala aspek sosial, ekonomi dan politik.

“Dengan kata lain, kita mahu menghasilkan seramai mungkin bilangan pascasiswazah dengan memastikan bahawa hasil pengajian itu mempunyai nilai yang boleh dikomersialkan, atau sekurang-kurangnya menimbulkan kesedaran untuk menikmati hidup dengan lebih sempurna,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Dr. Murnizam menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik Sarjana (Secara Kerja Kursus), Anugerah Tesis Terbaik (Sarjana), Anugerah Tesis Terbaik (PhD), Anugerah Penyelia Terbaik, Anugerah Pelajar Cemerlang (Secara Penyelidikan) dan Anugerah Pelajar Cemerlang (Secara Kerja Kursus), selain Anugerah Aspirasi Pascasiswazah yang disampaikan Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Pusat Pengajian Pascasiswazah, Prof. Madya Dr. Fauziah Sulaiman.

Turut hadir pada majlis tersebut Pemangku Dekan, Prof. Dr. Hjh Arsiah Hj Bahron dan Timbalan Dekan (Kebajikan Pelajar) Pusat Pengajian Pascasiswazah, Dr. Jakaria Dasan.

KHAMIS, 23 NOVEMBER – Seramai 42 pelajar Kursus Kokurikulum Pengurusan Organisasi Pelajar Seksyen 5, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Pasca UPSR yang bertemakan “Jom Buka Minda” di Sekolah Kebangsaan (SK) Tebobon, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Pengarah Program, Thein Soon Loi berkata, Program Pasca UPSR itu adalah bertujuan untuk memberi perkongsian dan pendedahan awal kepada murid tahun 6 SK Tebobon mengenai alam persekolahan sekolah menengah.

“Program tersebut berlangsung dari pukul 7.30 pagi hingga 3.30 petang dan dihadiri seramai 45 pelajar dari sekolah rendah ini.

“Terdapat pelbagai aktiviti yang diadakan seperti senamrobik, perkongsian pengalaman dan ilmu mengenai alam sekolah menengah, pendedahan mengenai kes buli dalam sekolah, latihan dalam kumpulan yang diiringi oleh ahli-ahli Kursus Pengurusan Organisasi Pelajar serta aktiviti ‘Polar Bear’,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Thein, aktiviti-aktiviti itu dijalankan bagi menerapkan amalan kerjasama dalam kalangan murid sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim sesama mahasiswa dalam Kursus Pengurusan Organisasi Pelajar Seksyen 5 dengan murid-murid SK Tebobon.

“Kita mengharapkan agar program ini dapat menjadi titik tolak untuk murid-murid membuat persediaan sebelum melangkah ke peringkat sekolah menengah pada tahun hadapan,” tambahnya.

Hadir sama Pensyarah Kursus Pengurusan Organisasi Pelajar Seksyen 5, Mohd. Hilmey Saili dan Penolong Kanan Kokurikulum SK Tebobon, Ag. Idris Sulaiman.

 

 

KHAMIS, 23 NOVEMBER – Jaringan kerjasama antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) mampu menyumbang kepada pembangunan belia di Malaysia khususnya di negeri Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif IYRES, Dr. Zainah Shariff berkata, menerusi kerjasama yang dimeterai melalui satu memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak, pelbagai program pendidikan, persidangan, bengkel dan program latihan dapat dilaksanakan bagi mengkaji isu-isu yang berlaku dalam kalangan belia di bandar mahupun luar bandar.

“Program berkaitan pembangunan belia ini penting bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam pelbagai bidang termasuk dalam program kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Menandatangani MoU di antara Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS dan IYRES di Bilik Seminar 5, Bangunan FPP baru-baru ini.

Perjanjian kerjasama tersebut ditandatangani oleh Dekan FPP, Prof. Dr. Mohd Dahlan A. Malek mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin manakala IYRES diwakili Dr. Zainah sambil disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah IYRES, Dato’ Hj Adnan Abu Hassan dan Pendaftar UMS, No’man Ahmad.

Perjanjian tersebut bakal menyaksikan kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam menjalankan penyelidikan bersepadu berkaitan pembangunan belia dan komuniti, menjalankan program akademik dengan memberikan kebenaran kepada pelajar untuk menjalani praktikal di organisasi belia dan sukan, mengadakan persidangan dan mengadakan kerjasama khidmat komuniti dalam menyediakan modal insan yang jitu dalam pembangunan belia dan komuniti.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.