KHAMIS, 30 NOVEMBER – Profesor Dr. Rasid Mail, 49 tahun, dilantik menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu berkuat kuasa mulai 1 Disember ini.

Beliau yang berasal dari Bongawan, Papar, Sabah, memulakan perkhidmatan di UMS sebagai tutor sejak tahun 1997 sebelum dilantik sebagai pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (kini Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, (FPEP) pada tahun 1998.

Beliau memulakan kerjaya sebagai akauntan di beberapa agensi kerajaan, antaranya Lembaga Koko Malaysia dan Kementerian Pertanian Negeri Sabah sekitar tahun 1990-an, dan mendapat keahlian sebagai Akauntan Bertauliah (Chartered Accountant) dari Institut Akauntan Malaysia pada tahun 1996.

Sejak berkhidmat di UMS lebih 20 tahun lalu, beliau telah memegang pelbagai jawatan pentadbiran seperti Dekan FPEP, Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS dan Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi UMS, selain dilantik sebagai Profesor Gred Khas C (VK7) pada bulan September 2015.

Beliau juga telah terlibat dalam 20 projek penyelidikan dan lapan projek rundingan, selain terlibat dalam pelbagai penerbitan buku, artikel, jurnal dan manuskrip di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Atas pengalaman luas beliau dalam bidang akademik serta pengajian tinggi di peringkat tempatan dan antarabangsa menjadikan Prof. Dr. Rasid sebagai individu yang berkaliber dan berkelayakan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS.

 

 

RABU, 29 NOVEMBER – Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Malaysia Sabah dan Hafiz Farm Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan berasaskan pertanian dan penternakan yang ditandatangani kelmarin memfokuskan penerokaan terhadap penyelidikan rumput napier termasuk Napier Pakchong untuk penghasilan makanan haiwan ternakan.

Bertempat di Bilik Tayangan dan Taklimat Muzium UMS, perjanjian tersebut ditandatangani Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, dan disaksikan oleh Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad, manakala Hafiz Farm diwakili Pengarah Eksekutifnya,  Haji Yussup Nannong sambil disaksikan Pengurus Besarnya, Mahadir Sultan.

Menerusi MoA itu, kedua-dua pihak bakal menjalin usaha sama penyelidikan dan pemuliharaan rumput Napier Pakchong dan kepelbagaiannya di bawah Fakulti Pertanian Lestari, UMS Kampus Sandakan.

Tempoh kerjasama selama dua tahun itu juga bertujuan membangunkan teknologi pengeluaran Napier Pakchong dan jenis rumput napier lain bagi penghasilan ruminan yang menguntungkan selain berkongsi hasil penyelidikan antara universiti dan industri terlibat.

Dalam pada itu, pensyarah kanan FPL, Dr. Januarius Gobilik ketika ditemui media berkata, penyelidikan dan pemuliharaan rumput napier itu akan dijalankan di fakulti berkenaan dengan melibatkan kira-kira 11 hektar kawasan penanaman masing-masing di Sandakan, Telupid dan Keningau.

Beliau yang merupakan ketua bagi projek penyelidikan berkenaan berkata, keluasan kawasan penanaman itu dijangka mampu menghasilkan kira-kira 400 tan rumput napier setahun.

“Projek ini juga sekali gus mampu menampung isu kekurangan makanan ternakan negara pada ketika ini.

“Selain memfokuskan penghasilan makanan ternakan dengan kuantiti yang banyak, projek ini juga menyasarkan untuk menghasilkan makanan ternakan yang berkualiti serta murah,” ujar beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof; Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat, Prof. Dr. Marcus Jopony; dan Dekan FPL, Prof. Madya Dr. Saafie Salleh.

RABU, 29 NOVEMBER - Ahli Diplomat Awam perlu memahami tugas masing-masing untuk membawa nama baik negara.

Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Datuk Mohamad Sadik Kethergany berkata, mereka perlu mempunyai pengetahuan yang luas tentang Malaysia dan mempunyai kemampuan komunikasi yang tinggi khususnya dalam memberi penerangan berkaitan tanah air kepada negara tempat bertugas.

"Paling penting segala kelakuan perlu dijaga, seperti penggunaan perkataan, tingkah laku dan tabiat peribadi kerana semua mata akan tertumpu pada kita selaku ahli Diplomat  Awam yang mewakili sebuah negara iaitu Malaysia.

“Seseorang ahli diplomat akan mudah menyesuaikan diri dan mampu menonjolkan negara Malaysia dengan baik apabila dia memahami budaya masyarakat di sana sekali gus mampu berkomunikasi menggunakan dialek dan bahasa perantaraan mereka," tambahnya.

Datuk Mohamad Sidek berkata demikian ketika berucap pada Latihan Sangkutan Jangka Pendek (Bina Insan) kepada bakal Diplomat IDFR di Galeri Bangunan Canselori, UMS, kelmarin.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam teks ucapan aluannya berkata, adalah menjadi satu kebanggaan bagi UMS mempunyai hubungan yang baik dengan IDFR.

“Saya percaya jalinan kerjasama ini akan membantu perkembangan universiti seiring dengan peredaran semasa.

“Saya harapkan agar kehadiran IDFR ke UMS ini adalah permulaan untuk pelbagai lagi jalinan kerjasama pada masa akan datang,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Pemangku Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail.

Hadir sama, Pengarah Pusat Pemerkasaan Kompetensi IDFR, Zakaria Nasir; Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad dan Bendahari UMS, Zallifah Shadan.

Kira-kira 200 pelajar dan kakitangan UMS turut hadir menjayakan latihan tersebut.

 

SELASA, 28 NOVEMBER - Kesatuan Eropah (EU) sentiasa membuka ruang kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) terutama dalam aspek penyelidikan dan pembangunan pelajar.

Perkara itu dinyatakan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez ketika berucap sempena lawatan delegasi tersebut ke universiti itu kelmarin.

Bertempat di Dewan Bankuasi Bangunan Dewan Canselor UMS, beliau berkata, kerjasama yang boleh diadakan adalah seperti pertukaran pelajar dan tenaga pengajar dengan universiti-universiti yang terdapat di Eropah.

“Kita juga mempunyai geran penyelidikan yang boleh membantu para penyelidik dalam penyelidikan yang bersesuaian yang boleh dimanfaatkan bersama.

“Selain itu, kita juga mempunyai program tajaan untuk pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke Eropah,” katanya.

Terdahulu, Pemangku Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail dalam ucapannya turut mengalu-alukan  kehadiran rombongan EU ke Malaysia kerana telah memilih UMS sebagai salah satu destinasi.

Katanya, kejayaan sesebuah universiti itu sememangnya  ditunjangi oleh jalinan hubungan dengan masyarakat.

“Hubungan yang dimaksudkan ini adalah meliputi jalinan dengan masyarakat antarabangsa termasuk dengan Kesatuan Eropah.

“Justeru, adalah menjadi satu kebanggaan bagi kami di UMS untuk terus mengadakan hubungan yang baik dengan EU,” jelasnya.

Menurut Prof. Dr. Rasid, sebagai sebuah universiti yang bertekad cemerlang, UMS tidak akan pernah berhenti untuk melangkah maju ke hadapan.

“Untuk kekal memacu kecemerlangan ini, UMS akan terus memperkukuh dan mengadakan pelbagai jalinan kerjasama dengan institusi akademik di seluruh dunia,” tambahnya lagi.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin turut berkesempatan hadir bagi meluangkan masa bersama delegasi EU ke Malaysia yang disertai 12 ahlinya.

 

ISNIN, 27 NOVEMBER – Seramai 44 kanak-kanak lelaki berusia enam hingga 13 tahun diraikan dalam Majlis Khatan Perdana Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diadakan di Pusat Rawatan Warga UMS kelmarin. 

Menurut Pengarah Program, Noor Fazelah Salimin, program tersebut merupakan aktiviti tahunan yang telah memasuki kali ke-7 penganjurannya oleh Pusat Islam UMS dengan kerjasama Pusat Zakat Sabah dan Persatuan Kebajikan Islam dan Perubatan Sabah (PERKIPS).

“Program ini menjadi acara tahunan PIUMS bagi memudahkan anak-anak kakitangan UMS, pelajar UMS dan masyarakat setempat untuk berkhatan.

“Melalui program ini juga para peserta program khususnya dapat memahami dengan lebih mendalam tentang kesedaran akan kesihatan diri dan kesan mengabaikannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PIUMS, Prof. Madya Dr. Muhammad Suhaimi Taat berkata program yang berlangsung selama sehari itu berjalan dengan lancar hasil usaha tungkus lumus jawatankuasa pelaksana program dan kerjasama ibu bapa peserta program tersebut.

“Terima kasih kepada ibu bapa dan keluarga peserta yang melakukan pendaftaran lebih awal bagi memastikan program berlangsung dengan sempurna, serta tahniah kepada para peserta atas keberanian mereka menyahut seruan tuntutan dalam Islam ini, “ katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, dua peserta adik-beradik yang difahamkan merupakan pesakit Autisme mencuri tumpuan apabila menjadi peserta terawal melakukan khatan tersebut.

Ahmad Umar Rayyan Marsudi, 6, dan Ahmad Adam Shafie Marsudi, 8, ketika ditemui media menyatakan rasa teruja mereka untuk menyertai program tersebut tanpa dipaksa.

Seramai enam orang jurukhatan dari PERKIPS yang diketuai Tuan Haji Laso Wakim terlibat dalam program tersebut.

Hadir sama Pengerusi PERKIPS, Dr. Ahmad Toha dan Pegawai Hal Ehwal Islam PIUMS, Noorisah Taljid.

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.