SELASA, 14 NOVEMBER – Seramai 20 pelajar Kolej Kediaman E, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan lawatan ke Wad Kanak-kanak di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas baru-baru ini.

Program anjuran Exco Kemasyarakatan, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) kolej kediaman itu antara lain bertujuan untuk menerapkan nilai rasa keprihatinan mahasiswa kepada golongan yang kurang bernasib baik sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta, kanak-kanak dan pihak hospital.

Pengarah Program, Siti Baizurah Awang Kechil berkata, program itu juga membolehkan para mahasiswa meningkatkan kemahiran insaniah dalam aspek komunikasi dan jalinan komuniti serta memupuk nilai kemanusiaan yang tinggi.

“Antara aktiviti yang diadakan adalah acara Indoor game bertempat di bilik permainan khusus hospital itu yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada pesakit kanak-kanak di wad ini.

“Melalui acara dan pengisian yang kami jalankan boleh dilihat senyuman dan keceriaan dalam kalangan mereka yang ada di sini,” katanya sambil mengharapkan para pesakit di wad kanak-kanak sentiasa positif dan kembali sembuh dengan segera.

Menurut Baizurah, keceriaan itu ditambah lagi dengan kehadiran para mahasiswa yang melawat wad tersebut dengan membawa buah tangan bersama.

Program lawatan dari pukul 9.00 pagi hingga 1.00 petang itu turut dihadiri Timbalan Pengetua Kolej Kediaman E, Mohd Hilmey Saili dan Felo Penyelaras, Safiah Masbaka.

 

 

ISNIN, 13 NOVEMBER – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad meminta agar golongan mahasiswa mengekalkan prinsip ‘3J’ - Jangan Hulur, Jangan ‘Kautim’ dan Jangan ‘Settle’ sebagai memastikan jati diri golongan mahasiswa terhindar daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Katanya, ia bagi memastikan golongan mahasiswa yang merupakan bakal pemimpin pada masa hadapan bangkit bagi memastikan negara bebas rasuah dan salah guna kuasa menjelang tahun 2050.

“Gejala rasuah dan salah guna kuasa ini hanya dapat dibanteras apabila golongan muda khususnya para mahasiswa sentiasa memegang kuat prinsip ‘3J’.

“Justeru, ini adalah tujuan utama penganjuran program ini iaitu memberi pengetahuan agar para belia menjadi matang dalam tindak tanduk serta teguh dengan prinsip 3J sekali gus membantu pihak SPRM untuk sama-sama memerangi segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Tan Sri Dzulkifli berkata demikian ketika menyampaikan ceramah eksekutif pada Majlis Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah dan Salah Guna Kuasa (PEMARAH) 2.0 Borneo di Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Sabtu.

Program anjuran bersama SPRM dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS itu menyaksikan penyertaan lebih 1,000 mahasiswa UMS dan pelajar sekolah dari sekitar Kota Kinabalu.

Kesemua mereka turut melaungkan ‘3J’ sebagai tanda sahutan terhadap saranan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Program sehari itu juga diisi dengan sesi ceramah TN50 dari Benreza Hezery Uzair, persembahan teater anti rasuah dan persembahan bermesej dari artis Felix AF, Velvet AF dan kumpulan Zero.

Hadir sama,  Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Shahril Yusof; Pengarah SPRM Sabah, Dato’ Sazali Salbi dan juga Presiden Sabah Big Bikers Asccociation (SBBA), Angus Wong.

 

 

ISNIN, 13 NOVEMBER – Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) menganjurkan Program Minggu Bahasa di Dewan Utama Kolej Kediaman Tun Mustapha, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Pengarah Program, Baharullah Haris berkata, seramai 16 pelajar tempatan dan antarabangsa yang mewakili setiap kolej kediaman di UMS menyertai beberapa pertandingan sebagai mengisi program tersebut.

“Antara yang dipertandingkan termasuklah pidato, public speaking serta permainan mini seperti tongue twist, brain challenge, roda impian, spell it right dan teka silang kata,” ujarnya.

Tambah beliau, program tersebut bertujuan meningkatkan keyakinan diri untuk bertutur dalam Bahasa Asing dan merapatkan hubungan antara pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa.

“Selain itu, program ini juga untuk meningkatkan tahap keyakinan diri peserta tempatan untuk bertutur dalam bahasa Inggeris dan peserta antarabangsa pula dapat belajar bertutur dalam bahasa Melayu sekali gus dapat merapatkan jurang komunikasi antara mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Pengetua Kolej Kediaman Tun Mustapha, Kolonel (PA) Dr. Mohamad Nizam Nazarudin berkata, Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang penting pada masa kini kerana ia merupakan bahasa komunikasi di peringkat antarabangsa.

“Justeru, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Jawatankuasa JAKMAS KKTM atas kerjasama yang baik bersama Kelab Publisiti Tun Mustapha dan Majlis Sekretariat KKTM sehingga dapat menganjurkan program Minggu Bahasa ini dengan jayanya,” tambahnya.

Program yang menyaksikan kehadiran seramai 130 pelajar itu turut dihadiri Timbalan Pengetua KKTM, Herman Salah dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Dayangku Siti Afizah Abdul Latif.

 

 

JUMAAT, 10 NOVEMBER – Perkongsian pengetahuan dan hasil penyelidikan dalam bidang Sains, Matematik, dan Teknologi Pendidikan (SMTE) penting dalam mempersiapkan generasi muda khususnya terhadap cabaran-cabaran yang akan mendatang.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, pengetahuan dalam bidang SMTE mampu membantu golongan belia terutama dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

“Sumbangan pendidik dan penyelidik adalah aspek utama dalam menghasilkan generasi muda yang berpengetahuan serta mahir untuk meningkatkan ekonomi negara.

“Saya percaya perkongsian pengetahuan, hasil penyelidikan dan amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bidang SMTE khususnya akan membantu kita membuat keputusan yang tepat dalam menghadapi cabaran serta merebut peluang yang terdapat di sekeliling dalam era  Revolusi Industri 4.0 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian yang disampaikan oleh Pemangku Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rasid Mail sempena Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Sains, Matematik, dan Teknologi Pendidikan (SMTEC) Kali Ke-9 di Dewan Resital, UMS.

Ujar beliau, persidangan SMTEC yang dianjurkan UMS dengan kerjasama Curtin University, Australia adalah platform terbaik dalam menyumbang ke arah menyokong inisiatif untuk peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam bidang SMTE.

Bertemakan ‘Mengukuhkan Sains, Matematik, dan Teknologi Pendidikan Untuk Generasi Masa Depan’, persidangan tersebut dihadiri oleh 120 peserta dengan 68 kertas kerja dibentangkan.

Persidangan tersebut berlangsung selama lima hari dan berakhir hari ini.

JUMAAT, 10 NOVEMBER – Cuaca hujan pada acara pelepasan Larian Konvo Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak mematahkan semangat lebih 250 orang peserta yang memeriahkan acara larian tersebut baru-baru ini.

Acara larian anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS yang bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMS kali ke-19 yang bakal berlangsung pada 18-20 November melibatkan jarak larian 10 km bermula dari Padang Kawad UMS dan mengelilingi sekitar kampus UMS.

Menurut Pengarah Jawatankuasa Penganjur yang juga merupakan pensyarah Program Kewangan & Perbankan, Azmi Abdul Majid, sambutan yang diterima amat menggalakkan dari para peserta yang terdiri daripada warga pelajar dan kakitangan UMS serta orang luar.

“Ini meyakinkan pihak penganjur untuk menganjurkan acara yang serupa pada masa hadapan,” katanya.

Beliau menambah, penganjuran Larian Konvo ini turut mendapat kerjasama penajaan dari beberapa syarikat swasta antaranya Celcom Timur Sabah, PS Yap Isma & Associates, SEEDS, Tambisan Travel & Tours Sdn.Bhd, Traverse Tours Sdn.Bhd dan AllExcel Trading Sdn.Bhd.

Acara Larian Konvo 2017 menyaksikan enam kategori yang dipertandingkan iaitu kategori Terbuka Lelaki dan Wanita, Kategori Veteran Lelaki dan Wanita, dan Kategori Pelajar Lelaki dan Wanita.

Bagi kategori Terbuka Lelaki Jomon Papau dinobat sebagai juara, manakala Iqbal Iskandar Rosle dan Mohd Suffian Mansur masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Kategori Terbuka Wanita pula menyaksikan Marlin Hing William muncul juara, manakala naib juara dan tempat ketiga disandang oleh Siti Salmi Tuah dan Shirlyn Lido.

Bagi Kategori Veteran Lelaki, Yusop Tungkop unggul untuk meraih tempat pertama, menewaskan Suhaipin Surin dan Eric Tai yang meraih tempat kedua dan ketiga, sementara Kategori Veteran Wanita menobatkan Chong Vun Lung selaku pemenang pertama, dan Amelia Chen dan Tan Kui Imm @ Jennifer memenangi tempat kedua dan ketiga.

Kategori Pelajar Lelaki menyaksikan Zaid Suhaipin sebagai juara diikuti Kelvin Koniel dan Vivonjesri Esap sebagai naib juara dan tempat ketiga, dan Sylvianie William unggul dalam kategori Pelajar Wanita dengan meraih tempat pertama, manakala Joan Ng Siao Ting dan Zhang Ying Ting masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Juara bagi kategori Terbuka menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM500 dan medal manakala naib juara dan tempat ketiga pula masing-masing menerima RM300 dan RM100 berserta medal.

Bagi kategori Veteran pula, hadiah wang tunai RM 300 bagi juara, manakala tempat, kedua RM200 dan tempat ketiga RM100 berserta medal.

Untuk kategori Pelajar, hadiah bagi juara adalah wang tunai RM200, manakala tempat kedua RM100 dan tempat ketiga RM50 berserta medal.

Hadiah berupa hamper turut diberikan kepada pemenang tempat keempat hingga kesepuluh bagi semua kategori.

Majlis pelepasan dan penyampaian hadiah kemenangan disempurnakan oleh Dekan FPEP UMS, Prof. Madya. Dr. Raman Noordin yang mewakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Sumber: Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.