JUMAAT, 9 MAC -Berikutan perkembangan industri yang sangat kompetitif pada masa ini, kualiti penghasilan produk dan piawaian kualiti di negeri ini perlu diperhebat.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah berkata, perkara itu penting untuk meningkatkan daya saing dan membolehkan produk diterima di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Kesemua itu hanya boleh dicapai melalui pengujian yang diiktiraf  yang memerlukan teknologi serta kemudahan peralatan.

"Namun kekurangan fasiliti pengujian yang ada di Sabah menyebabkan banyak pihak industri terpaksa mendapatkan perkhidmatan pengujian di Semenanjung Malaysia dan ini melibatkan kenaikan kos operasi syarikat akibat kos penghantaran bahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Katalog Perkhidmatan dan Rundingan Universiti Malaysia Sabah (UMS) kelmarin.

Datuk Seri Raymond yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata, industri yang berasaskan komoditi di Sabah iaitu petroleum, minyak kelapa sawit dan koko melibatkan aktiviti pemprosesan dan pengeluaran.

"Perkhidmatan analisis oleh UMS dapat membantu pemprosesan dan pengeluaran pihak industri dan saya percaya perkhidmatan yang diberikan oleh UMS dapat memperkembangkan lagi industri seumpama ini di Sabah," katanya.

Datuk Seri Raymond berkata, kementeriannya sentiasa menyokong pembangunan industri di Sabah dan mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak yang ingin membantu dalam usaha berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof Dr Shahril Yusof berkata, Katalog Perkhidmatan dan Rundingan UMS menyenaraikan lebih 35 analisis, lebih 100 peralatan sains untuk pengujian dan sewaan, lebih 50 peralatan pengujian dan pemprosesan makanan.

"Dengan adanya kepakaran dan fasiliti sedia ada, UMS berupaya melakukan pelbagai jenis pengujian dan menawarkan perkhidmatan kepada pihak industri, agensi penyelidikan, dan sektor awam," katanya.

Hadir sama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

JUMAAT, 9 MAC – Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan kunjungan dari bilik ke bilik di kolej kediaman berkenaan baru-baru ini.

Yang Dipertua JAKMAS KKTM, Mohammad Azad Hafiz Ismail berkata, program tersebut yang dinamakan Program Ziarah Warga KKTM 3.0 merupakan salah satu usaha menjaga kebajikan warga kolej KKTM sendiri.

“Pada kunjungan ini, agihan bubur Ayam KKTM turut diadakan yang dihasilkan sendiri oleh penasihat Kelab Memasak KKTM, Noorazmil Noortar di samping ramah mesra bertanya khabar dan mendengar segala maklum balas daripada warga kolej kediaman terutama berkaitan perkhidmatan yang disediakan pihak JAKMAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ke arah membawa institusi pengajian tinggi Malaysia menuju Revolusi Industri 4.0, JAKMAS KKTM turut memanfaatkan penggunaan telefon pintar menerusi aplikasi Google Form sebagai medium mendapatkan maklum balas berkaitan program ziarah berkenaan.

Dalam pada itu, Pengetua KKTM, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin berkata, program ziarah seumpama itu penting untuk kesepaduan dan kerjasama penghuni kolej.

“Konsep gotong royong yang menjadi salah satu pengisian dalam program ini telah semakin pupus di zaman moden, justeru penganjurannya suatu langkah yang tepat bagi menyemai semula budaya ini khususnya dalam kalangan mahasiwa,” katanya.

Program Ziarah Warga KKTM itu turut mendapat pujian daripada Pengetua Kolej Kediaman Excellent, Dr. Syahruddin Haji Awang Ahmad.

“Ini merupakan suatu usaha yang sangat murni di samping dapat memupuk pelbagai nilai positif dalam kalangan pelajar universiti,” jelasnya.

Majlis perasmian program yang melibatkan lebih 1,500 pelajar kolej kediaman itu disempurnakan Timbalan Pengetua KKTM, Herman Salah.

 

 

 

 

 

KHAMIS, 8 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya meraih 10 pingat pada penganjuran Malaysia Technology Expo (MTE) yang berlangsung baru-baru ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Pingat Emas UMS disumbangkan oleh Dr. Jidon Adrian Janaun dari Fakulti Kejuruteraan melalui inovasi bertajuk, “A Novel Continuous Residual Oil Extractor: Field Trial Assessments”.

Lebih membanggakan, daripada 10 penyertaan yang dihantar di bawah kategori ‘Invention and Innovation Awards’, empat daripadanya meraih pingat Perak dan lima lagi pingat Gangsa.

Pingat Perak UMS disumbangkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Ismail Ali (Mobile Suspended Artificial Reef for Artisanal Fishermen); Prof. Madya Dr. Coswald Stephen Sipaut (Development of New Formulated Urethane Based Denim Dye Fixing Agent for Denim Finishing Application) dan Prof. Madya Dr. Patricia Clementina Matanjun (SPoly: Healthy Seaweed-Enriched Bread).

Manakala empat pingat Gangsa pula disumbang oleh Dr. Takashi Kamada (Eco Dyed: Green Forest and Blue Ocean, A new approach to determine the compound with A/B trans and cis conformation and their anti-cancer properties); Prof. Madya Dr. Patricia Clementina Matanjun (KappA: Seaweed Extract with Antioxidant and Anticancer Properties); dan Dr. Fiffy Hanisdah Saikim (The Organic Mulberry Tea: An Indigenous Community Tea Product Made from Underutilized Part of Mulberry Plant, Morus Dryer as a New Revolution in Mulberry Leaves Tea Making in Kg. Tudan).

Penganjuran MTE pada tahun ini membawa tema Asia’s Inventions and Innovations Marketplace berjaya memberi penekanan yang kuat terhadap pengkomersialan serta menggalakkan inovasi dalam bidang sains dan teknologi.

MTE 2018 yang juga merupakan anjuran bersama Malaysia Association of Research Scientist (MARS) dan PROTEMP Group itu bukan sahaja mempamerkan hasil inovasi daripada institusi pengajian tinggi, malah terdapat juga penyertaan daripada pihak sekolah, persatuan penyelidik individu dan syarikat korporat.   

 

 

 

KHAMIS, 8 MAC - Majlis Taklimat Model Alumni Inspirasiku (MAI) 1.0 dan Program Ramah Mesra anjuran Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapat sambutan memberangsangkan dalam kalangan alumni keluaran pertama (1999) di Semenanjung Malaysia.

Bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya baru-baru ini, program itu dianjurkan dengan kerjasama Alumni UMS Chapter Putrajaya dan turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi.

Dalam ucapannya Tun Zaki berkata, alumni merupakan aset yang penting dalam membantu kecemerlangan sesebuah universiti.

“Alumni boleh menyumbang dalam pelbagai cara kepada UMS seperti idea, program-program bersama dan perkongsian bijak dalam perniagaan mahupun kepakaran,” katanya sambil mengambil beberapa contoh kejayaan universiti luar negara hasil sumbangan dan kegemilangan alumninya.

Sehubungan itu, beliau turut mencabar Alumni UMS Chapter Putrajaya mendaftarkan sekurang-kurangnya 1,000 orang alumni UMS di sekitar Lembah Klang pada tahun 2018.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UMS, Darwis Awang dalam taklimatnya meminta Alumni UMS Chapter Putrajaya melihat peluang-peluang yang tersedia sebagai landasan untuk menjalin perkongsian bijak dengan UMS.

“Untuk itu saya ingin memberi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada alumni UMS Chapter Putrajaya untuk menganjurkan dua program berimpak tinggi dan dua program kemasyarakatan sepanjang tahun 2018 selain menyumbang satu artikel dan satu rakaman video berkaitan kegiatan alumni chapter ini pada setiap bulan.

“KPI ini dilihat sekali gus mampu mencapai objektif MAI 1.0 iaitu sentiasa berhubung (stay connected), keterlihatan dan  keterlibatan alumni dan penjanaan kewangan,” katanya.

Hadir sama pada program itu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Dr. Ismail Ali; Pengerusi Majlis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS merangkap Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Dr. Mohamad Puad Bebit; Pengerusi Alumni UMS Chapter Putrajaya, Mohamad Farisal Mohammad Syawal; dan Pengerusi Alumni UMS Chapter Lembah Pantai Kuala Lumpur, Syafiq Ridzwan Jamaluddin.

 

 

RABU, 7 MAC - Dua alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan perkongsian pengalaman kepada pelajar Fakulti Psikologi Pendidikan (FPP) UMS dalam Program Mentor Akademik (Academic Mentoring) di kampus itu baru-baru ini.

Menurut kenyataan Pusat Alumni UMS, dua alumni berkenaan ialah Penolong Ketua Pengarah (Kaunseling) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Hairuni Kasuagi (alumni FPP sesi 1999-2002); dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, Sabran Abd Bahar (alumni FPP 1998-2001).

Program yang dianjurkan FPP itu bertujuan meningkatkan pencapaian motivasi dan akademik dalam kalangan pelajar fakulti berkenaan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan sasaran iaitu pelajar yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) di bawah 2.50, PNGK 3.67 ke atas dan pelajar dari kategori pendapatan isi rumah 40% terendah (B40).

Pada program itu Hairuni dan Sabran masing-masing berkongsi ilmu dan pengalaman semasa bergelar mahasiswa UMS termasuk pencapaian dan cabaran yang dilalui sepanjang mengikuti pengajian sekali gus di samping menerapkan kesedaran akan kepentingan akademik serta kemahiran insaniah sebagai bekalan untuk kejayaan pada masa hadapan.

Turut mengadakan perkongsian ilmu ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FPP merangkap Penyelaras Program, Dr. Getrude Cosmas dan Pensyarah Kanan FPP, Dr. Lailawati Md Edalan menerusi slot refleksi diri dan pembinaan sahsiah diri menerusi kecerdasan emosi.

 

 

Sumber: Pusat Alumni