SELASA, 9 MEI - Lebih 200 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Workshop On Business Ethics-Repsol yang dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dengan kerjasama REPSOL Oil & Gas Limited Malaysia, di Galeri, Bangunan Canselori, pagi tadi.
Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah, bengkel yang ditaja khas oleh REPSOL itu merupakan satu peluang untuk memperoleh ilmu dan berkongsi idea bagi membincangkan isu etika dalam perniagaan.

“Saya yakin isu yang dibincangkan ini amat berguna kepada para pelajar terutama apabila mereka masuk ke alam pekerjaan kelak,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

Datuk Harun berkata, etika perniagaan boleh dijelaskan sebagai kajian ke atas perlakuan atau tingkah laku dan moral yang menghasilkan peraturan dan prinsip dalam situasi perniagaan.

“Nilai-nilai etika seperti integriti, jujur, saksama, bertanggungjawab, cekap dan boleh dipercayai bukan sahaja harus diterapkan dalam dunia perniagaan atau kerjaya bahkan di dalam kehidupan harian.

“Para pekerja yang berpegang pada nilai etika akan cenderung untuk menjadi pekerja yang baik, berprestasi cemerlang dan mampu memberi impak positif kepada jabatan atau organisasi,” jelasnya.

Justeru beliau menyeru, para pelajar memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang bengkel itu berlangsung yang disifatkannya sangat bermanfaat untuk masa depan mereka.

Hadir sama, Pengurus Perundangan REPSOL Oil & Gas Limited Malaysia, Dayangku Marianah Pengiran Mahmuddin dan Ketua Jabatan HEP, Ahmadi Nurdin.

 

ISNIN, 8 MEI – Persembahan teater muzikal “Kes Asylum” yang dianjurkan oleh pelajar tahun 2 Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya memukau lebih 200 penonton di Dewan Auditorium Pascasiwazah, UMS baru-baru ini.

Menurut Pengarah Persembahan, Mohamad Sharizal Murat, teater itu merupakan tugasan berkumpulan yang akan dinilai di bawah Kursus Undang-undang Awam Antarabangsa  dibawah bimbingan Pensyarah Kanan FKSW, Marja Azlima Omar

“Persembahan teater ini mengisahkan Kes Asylum (Columbia V Peru 1950) ICJ Rep 266 yang dijayakan dengan kreatif oleh pelajar-pelajar yang menjiwai watak masing-masing dengan penuh penghayatan,” jelas Sharizal.

Justeru, bagi pihak pelajar tahun 2 Hubungan Antarabangsa beliau berharap, persembahan teater itu dapat memberi kefahaman kepada orang ramai bagaimana Kes Asylum telah dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa selain menyedarkan orang ramai akan kepentingan Undang-undang Awam Antarabangsa (UUA) dan memahami bagaimana UUA diaplikasikan dalam kehidupan sebenar.

Hadir sama pada program itu,  Dr. Teuku Arfizal Anwar, Dr Ayesah Uy Abu Bakar dan Abdul Latif Lai yang juga merupakan Pensyarah-pensyarah Kanan, FKSW.

JUMAAT, 5 MEI – Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalin kerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia menerusi Majlis Menandatangani Surat Niat (LoI) sempena Majlis Penutupan Kursus Kaunseling Penyalahgunaan Dadah yang diadakan di Dewan Theatrette, UMS Labuan, baru-baru ini.

LoI itu ditandatangani antara Dekan FPP UMS, Prof. Madya Dr. Mohd Dahlan Haji A. Halek dengan Timbalan Pengarah Penjara Negeri Sabah, Nora Musa.

Majlis itu disaksikan Timbalan Ketua Pengarah Penjara Malaysia (Keselamatan dan Koreksional), Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Dato’ Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan, mewakili Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Komisioner Jeneral Penjara, Dato’ Sri Haji Zulkifli Omar; Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof. Madya Dr. Murnizam Haji Halik yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah; dan Timbalan Pengarah Pengurusan Banduan, Zainah Pardi.

Terdahulu, Datuk  Harun dalam ucapannya yang dibacakan oleh Dr. Murnizam berkata, dengan terjalinnya kerjasama antara kedua-dua pihak, ia juga dapat menunjukkan nilai inovasi yang memacu pencapaian dan membantu masyarakat menghadapi cabaran yang bakal dihadapi.

Katanya, aspek membantu adalah sangat penting kerana pihak FPP memperturunkan ilmu manakala Jabatan Penjara mengaplikasikan ilmu tersebut.

“Harapan saya agar kerjasama ini akan terus terjalin bagi membantu masyarakat membanteras penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, Haji Zulkifli berkata kerjasama strategik antara Jabatan Penjara dan UMS itu akan memberi impak yang sangat besar di dalam pemulihan serta memberi manfaat bersama.

Katanya, Jabatan Penjara Malaysia mengalu-alukan pandangan mahupun cadangan, idea baru dan diharapkan ianya akan ditambah baik demi memantapkan lagi program-program pemulihan yang dibangunkan di institusi ini.

Pada majlis itu, Dr. Murnizam turut menyerahkan modul Adaptasi Motivational Interviewing (AMI) kepada Dato’ Alzafry Mohamed Al Nassif.

Turut diadakan pembentangan Projek KTP UMS-Penjara daripada Ketua Projek,  Dr. Puteri Hayati Megat Ahmad.

 

Sumber: Azri Onn, UMSKAL

 

 

JUMAAT, 5 MEI - Karya pelajar tahun akhir program Seni Visual Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Faezah Nor Saddi dinobatkan sebagai Dokumentari Terbaik pada Flicks Fiesta SEA 2017 yang berlangsung di KDU Penang University College, baru-baru ini.

Karya bertajuk ‘That Woman’ itu menceritakan tentang perjalanan perubahan kehidupan seorang wanita yang kembali bangkit selepas hubungan bersama teman lelakinya berakhir, sekali gus merubah wanita tersebut menjadi seorang yang positif, disiplin dan fokus.

Faezah ketika dihubungi berkata, karya tersebut dihasilkan untuk memberi semangat kepada orang ramai tentang pentingnya bersikap positif dalam berdepan apapun cabaran dan dugaan hidup.

“Idea ini datang dari saya sendiri. Sebagai pelajar yang baru mempelajari bidang penulisan skrip, saya lebih suka mengambil idea dari persekitaran saya dan watak utama dalam karya ini adalah rakan baik saya sendiri,” ujarnya.

Tambah beliau, dokumentari berdurasi 15 minit itu mengambil masa selama 6 bulan untuk disiapkan dengan bantuan pensyarah beliau dan krew produksi.

Pada pertandingan tersebut, karya ‘That Woman’ turut dicalonkan dalam kategori Life Impact Award.

Beliau yang diwakili oleh adiknya pada malam anugerah tersebut tidak menyangka karya beliau akan memberi kemenangan.

“Kami menyertai pertandingan ini pada pertengahan bulan Mac lalu. Mulanya saya dan krew hanya menurut arahan daripada pensyarah untuk menghantar penyertaan sahaja. Memang tidak sangka akan tercalon dalam mana-mana kategori. Namun apabila diberitahu karya ini tercalon dalam dua kategori, saya dan krew tidak meletakkan harapan yang tinggi.

“Bagi kami, jika kemenangan itu berpihak kepada kami, ia satu bonus dan Alhamdulillah ini rezeki untuk semua yang terlibat. Saya rasa gembira dan terharu atas kejayaan ini,” katanya yang sedang sibuk membuat persiapan projek akhir semester beliau.

Kejayaan ‘That Woman’ sekali gus membuka ruang kepada beliau dan rakan-rakan untuk membawa lebih banyak karya mereka ke pentas pertandingan pada masa akan datang.

Selain trofi, mereka turut menerima wang tunai, sijil penyertaan dan baucer pembelian.

 

KHAMIS, 4 MEI – Bengkel Pengucapan Awam dan Pengacaraan Majlis menjadi medan mahasiswa Kolej Kediaman E mengetengahkan bakat terpendam dalam diri masing-masing.

Bertempat di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke-2 UMS, ia merupakan anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) melalui Exco Kepimpinan kolej itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JAKMAS kolej tersebut, bengkel itu dalam masa yang sama bertujuan memupuk keberanian untuk berucap di khalayak ramai di samping mencari bakal pelapis dalam bidang pengacaraan.

Bengkel selama sehari itu dikendalikan pengacara yang berpengalaman luas di dalam dan luar UMS, Mohammad Norazmi Haris.

Selain perkongsian pengalaman dari penceramah, para peserta turut diminta tampil ke hadapan bagi mempraktikkan segala yang diajar semasa bengkel.

Majlis kemuncak menyaksikan kesemua 50 peserta menerima sijil penyertaan sebagai tanda pengiktirafan.

 

Sumber: Kolej Kediaman E

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.