RABU, 26 SEPTEMBER - Sabah menyambut baik perbincangan berkenaan pembangunan usahawan tani sebagai usaha untuk melindungi sektor buah-buahan tropika yang ada di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri mengambil maklum cabaran yang dihadapi sektor buah-buahan tropika, termasuk kewujudan perosak dan penyakit dengan melihat secara serius masalah tersebut.
“Bagi Sabah, untuk menempatkan diri sebagai pengeluar buah-buahan tropika utama di rantau ini, kerajaan negeri terus memperkukuh tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan, penguatkuasaan kuarantin dan pembangunan usahawan tani.
“Kerajaan akan melihat isu ini dengan lebih serius, agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian negeri giat mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan jangkitan penyakit tanaman dengan menguatkan prosedur kuarantin serta penguatkuasaan di kesemua pintu masuk di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Buah-buahan Tropika, Perosak dan Penyakit (Troped) 2018 di Hotel Le Meridien Kota Kinabalu anjuran International Tropical Fruits Network (TFNet) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Dr. Daud Yusof.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menyeru para penyelidik agar mengambil peluang menerusi pelbagai bantuan yang diberikan oleh kementerian untuk menjalankan penyelidikan.
Tambahnya ia amat penting dalam pembangunan teknologi dan inovasi baharu seperti aplikasi komputer dan proses pengkomersialan bagi menangani masalah kejatuhan pengeluaran buah-buahan tropika secara global.
Persidangan selama tiga hari itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Mohd Sallehhuddin Hassan dan Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Datuk Idrus Shafie.



SELASA, 25 SEPTEMBER – Program Motivasi Menyeluruh di 4 Dimensi (WM4D) mampu membantu masyarakat menyedari hala tuju dan matlamat kehidupan untuk memajukan diri seterusnya membangunkan negeri dan negara.
SELASA, 25 SEPTEMBER - Seramai 13 Profesor Adjung Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraikan dalam satu Majlis Makan Malam Penghargaan dan sesi penyerahan surat pelantikan Profesor Adjung baharu di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu baru-baru ini.
KHAMIS, 20 SEPTEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjalinkan satu kolaborasi pintar bersama agensi kerajaan dan syarikat swasta yang menjadi pemain industri dalam bidang asas tani.
KHAMIS, 20 SEPTEMBER – Seramai 15 peserta terdiri daripada pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS), kakitangan UMS, Pramugari MASwings dan Pengacara Astro Awani menyemarakkan sambutan Hari Malaysia melalui program Kibarkan Jalur Gemilang dan 14 bendera negeri di puncak Gunung Kinabalu, kelmarin.