ISNIN, 29 MEI – Bersempena dengan bulan Ramadan Al-Mubarak, Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) telah menganjurkan Bengkel Penghayatan Ramadan 1438H/2017M dan Kempen Derma Darah Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini.

Bertempat di Masjid UMS, bengkel sehari itu dihadiri lebih seratus orang peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar UMS, Saudara baru dari Teratak Fitrah, Hidayah Centre dan Sekolah Tunas Bakti, Kota Kinabalu.

Para peserta berpeluang berkongsi pengetahuan khususnya berkaitan ibadah-ibadah dalam bulan Ramadan melalui dua slot ceramah bertajuk “Madrasah Ramadan” yang disampaikan oleh Pengarah PIUMS, Dr. Muhamad Suhaimi Taat dan ceramah “Berinteraksi dengan al-Quran”yang disampaikan oleh wakil dari Sinergi Training Kota Kinabalu, Ustaz Hafiez Hamzah.

Terdahulu, menurut salah seorang jawatankuasa penganjur, Ainah Ramlan Angusa, seramai 50 orang peserta daripada kalangan staf dan pelajar UMS serta masyarakat luar telah mengambil bahagian dalam kempen menderma darah yang turut berlangsung bersempena bengkel tersebut.

Bagi menghargai para penyumbang darah, pihak penganjur telah menghadiahkan sagu hati berupa bahan asas seperti beras, minyak masak dan minuman kotak kepada penderma,” katanya.

Selain ceramah agama dan kempen derma darah, PIUMS turut menyediakan perkhidmatan antaranya kaunter klinik al-Fatihah, kaunter wakaf dan infaq atau sumbangan serta kaunter kiraan bayaran Fidyah bagi bayaran puasa yang tidak dapat ditunaikan.

Bengkel tersebut dengan penyampaian sijil penyertaan yang disempurnakan oleh Pegawai Kanan Hal Ehwal Islam, PIUMS, Md. Razali Saibin.

 

 

 

 

 

ISNIN, 29 MEI – Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi satu titik permulaan buat pelajar asasi  sains UMS memperkukuhkan asas dalam bidang sains dan teknologi.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, ia adalah sejajar dengan misi dan visi penubuhan PPST untuk mempersiapkan pelajar sebelum mereka melangkah ke program Ijazah kelak.

“UMS bertekad untuk menjadi pusat penyebaran ilmu pengajian bagi melahirkan pendidikan tinggi yang berkualiti kepada pelajar dan cendekiawan global dan setempat melalui penyediaan bimbingan dan peluang pembelajaran dalam suasana persekitaran yang menekankan inovasi dan bakat.

“Justeru, adalah menjadi harapan saya agar anda semua memanfaatkan segala peluang dan kesempatan ini dengan sebaiknya bagi meraih kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun kemahiran insaniah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Minggu Suai Mesra Asasi Sains sesi 2017/2018 di Bangunan PPST.

Beliau turut menyeru kepada 246 pelajar baharu Asasi Sains untuk tidak menjadikan program ini sebagai hanya suatu persinggahan, tetapi menjadikannya suatu memori indah untuk bekalan hari mendatang.

“Hakikatnya, para pelajar dan seluruh warga UMS tidak mengira pangkat dan lapisan umur perlu berganding bahu untuk bersama mencapai visi dan misi universiti.

“Ia mampu disempurnakan dengan keikhlasan agar kita semua dapat bersatu, menetapkan fikiran yang satu, bagi menyempurnakan matlamat universiti ini agar senantiasa melangkah dan melangkah maju ke hadapan,” ujar beliau.

Turut hadir pada majlis itu Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam, Prof. Dr. Baba Musta dan Pengarah PPST, Prof. Madya Dr. Sazmal Effendi Arshad.

 

 

JUMAAT, 26 MEI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan peserta strok yang mengikuti Program Pemulihan Kecergasan Fizikal Strok pada Rabu, di Mini Auditorium Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), UMS.

Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada semua pesakit yang mengikuti program latihan kecergasan fizikal selama tiga bulan, bermula pada Januari 2017 hingga Mei 2017 di Pusat Pemulihan Kecergasan Fizikal, FPP.

Dekan FPP, Prof. Madya Dr. Mohd Dahlan Hj. A Malek dalam ucapan perasmiannya melahirkan rasa bangga  kerana para pesakit strok berjaya menjalani sesi kecergasan fizikal selama tiga bulan dengan jayanya.

“Kesanggupan dan komitmen para peserta dalam menjalani latihan fizikal tersebut telah memberi semangat dan contoh disiplin kepada golongan pesakit strok yang lain untuk berusaha memulihkan semula kecergasan anggota fizikal.

“Pihaknya  akan terus menyokong  sebarang usaha penyelidikan dan program yang memberi manfaat kepada masyarakat seperti yang dijalankan oleh pasukan penyelidik UMS,” katanya.

Dr. Dahlan berkata, usaha sebegini membuktikan bahawa pihak UMS sebagai salah satu institusi yang sentiasa membantu pelbagai golongan masyarakat di negeri Sabah termasuk golongan kurang upaya seperti pesakit strok.

Terdahulu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FPP, Prof. Madya Dr. D. Maryama Ag. Daud dalam ucapannya berkata, majlis tersebut amat bermakna kepada UMS kerana berjaya menjalankan satu lagi tanggungjawab sosial kepada masyarakat yang memerlukan perkhidmatan pemulihan kecergasan fizikal yang lebih sistematik dan komprehensif.

“Sepanjang program pemulihan yang dijalankan, para pesakit strok telah memberikan komitmen dan menunjukkan semangat yang luar biasa bagi memulihkan kecergasan anggota fizikal yang terjejas akibat strok.

“Program ini merupakan sebuah projek yang dibiayai oleh Kementerian Pengajian Tinggi di bawah Transdiscplinary Research Grant Scheme (TRGS) yang bertujuan untuk menghasilkan sebuah modul latihan pemulihan kecergasan fizikal untuk pesakit strok,” tambah pakar Fisiologi Senam itu lagi.

Projek TRGS itu merupakan satu penyelidikan yang diketuai oleh Dr. D. Maryama sendiri bersama penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta pakar-pakar neurologist dan pakar rehab dari Hopsital Queen Elizabeth.

Menurut Dr. D.Maryama lagi, program pemulihan kecergasan fizikal selama lima bulan itu telah memilih pesakit strok  melalui ujian saringan bagi memastikan pesakit memenuhi semua kriteria yang telah ditetapkan oleh pasukan penyelidik.

“Selepas berjaya melepasi kriteria saringan tersebut, para  pesakit yang terpilih telah menjalani sesi pemulihan kecergasan fizikal tiga hari dalam seminggu selama tiga  bulan yang  dikendalikan oleh pembantu-pembantu projek yang terdiri daripada pelajar sarjana dan doktor falsafah serta graduan Program Sains Sukan UMS,” ujar Dr. Dayang.

Beliau turut menyuarakan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli penyelidik, kakitangan dan mereka yang terlibat bagi memastikan program latihan fizikal untuk pesakit strok itu berjalan lancar.

“Saya amat berharap badan-badan bukan kerajaan dapat tampil ke hadapan menghulurkan bantuan kepada para pesakit strok untuk menjalani pemulihan kecergasan.

“Antara bantuan yang boleh diberikan adalah menyediakan kemudahan pengangkutan kepada pesakit strok yang kurang berkemampuan, bagi membolehkan mereka dapat meneruskan latihan kecergasan di Pusat Pemulihan Kecergasan Fizikal, FPP,  UMS dengan kos yang minima,” katanya.

Majlis penghargaan yang turut dimeriahkan dengan persembahan aktiviti fizikal daripada 24 pesakit strok turut dihadiri Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pembangunan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Dr. Aza Sherin Moh Yusof serta Pakar Rehab yang juga merupakan pensyarah FPSK, Prof. Madya Dr. Khin Nyien Nyien.

 

Sumber: Fakulti Psikologi dan Pendidikan

 

 

KHAMIS, 25 MEI - Usaha Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam memperkasakan kelestarian kampus hijau melalui agenda EcoCampus UMS terus mendapat pengiktirafan apabila terpilih untuk memenangi Anugerah Khas Kelestarian Kampus Hijau bersempena dengan Konvensyen Kelestarian Kampus Hijau di Dewan Besar Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

Pengiktirafan tersebut diberikan kepada Universiti Awam (UA) yang mengamalkan inisiatif kelestarian di dalam kampus iaitu pembudayaan amalan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle), sistem pengangkutan mesra alam, penjimatan penggunaan tenaga dan air serta penyelidikan dalam bidang alam sekitar.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dalam satu majlis perasmian bersempena dengan konvensyen tersebut, pagi tadi.

Selain UMS, empat lagi UA turut mendapat pengiktirafan khas kelestarian kampus hijau, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Melalui pengiktirafan itu, kelima-lima UA tersebut menerima wang tunai berjumlah RM20,000 berserta sijil pengiktirafan khas.

UMS juga secara keseluruhan mendapat tempat kedua daripada 6 buah UA yang terpilih untuk Anugerah Kursi KSN, yang dimenangi UPM dan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM300,000.

Sementara itu, Datuk Harun dalam satu kenyataan menjelaskan, pencapaian ini merupakan sesuatu yang membanggakan apatah lagi UMS merupakan satu-satunya universiti yang bukan tergolong dalam Universiti Penyelidikan (RU) yang mendapat pengiktirafan tersebut.

“Ini membuktikan kepelbagaian usaha terhadap agenda EcoCampus di UMS berdasarkan Pelan Tindakan EcoCampus berada dalam landasan yang tepat untuk mencapai matlamat khususnya dalam membudayakan kelestarian alam sekitar kepada masyarakat,” ujar beliau.  

 

KHAMIS, 25 MEI - Program Malam Amal Universiti Malaysia Sabah (UMS) Bersama Anak Yatim dan Majlis Apresiasi Pelajar Kerja Sosial Tahun Akhir 2017 disambut meriah baru-baru ini.

Bertempat di Dewan Kuliah A1, ia dianjurkan Fakulti Psikilogi dan Pendidikan (FPP), melalui Kelab Kerja Sosial.

Menurut Pengarah Program, Nurul Hasanah binti Yusoff, program malam amal itu diadakan bertujuan bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada rumah anak yatim serta dapat memupuk semangat keprihatinan mahasiswa, kakitangan UMS dan agensi luar untuk libatsama dalam program amal.

”Disamping itu, ia dapat meringankan beban rumah anak yatim sambil meraikan para pelajar tahun akhir yang bakal bergraduasi tahun ini,” Katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan FPP, Dr. Habibie Hj. Ibrahim dalam ucapan perasmiannya  merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kelab Kerja Sosial selaku pihak penganjur program malam amal itu atas kejayaan menganjurkan program bermanfaat berkenaan dengan baik sekali.

”Saya difahamkan, para pelajar tahun akhir program ini merupakan penyumbang terbesar kepada penjanaan bagi menjayakan penganjuran program ini.

”Sesungguhnya, program ini merupakan satu mekanisme yang baik untuk mengeratkan lagi siraturahim diantara pelajar dengan komuniti luar,”. Ujar beliau yang mewakili Dekan FPP, Prof. Madya Mohd. Dahlan Hj. A.Malek.

Hadir sama, Penyelaras Program Malam Amal yang juga pensyarah FPP UMS, Norhamidah Jarimal dan Pengurus Rumah Anak-anak Yatim Home Tuaran, Hjh Junaidah Hj. Hassan.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.