ISNIN, 16 APRIL - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin mengumumkan akan mempertimbangkan peruntukan belanjawan untuk kegunaan Persatuan Setiausaha UMS (PESETIA).

Beliau berkata pihaknya akan berbincang dan cuba menyediakan keperluan tersebut supaya majlis penghargaan untuk para setiausaha di UMS dapat dianjurkan pada setiap tahun.

“Saya akan cuba pastikan ada bajet untuk PESETIA anjurkan majlis ataupun program setiap tahun sebagai menghargai sumbangan ahli-ahli PESETIA dalam membantu kerja ketua-ketua pentadbir di UMS,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Setiausaha 2018 “Women Empowerment : Inspired to Inspire” anjuran PESETIA di Hotel Le Meridien Kota Kinabalu baru-baru ini.

Menurut beliau, seseorang setiausaha bukan sekadar membantu dalam menguruskan hal berkaitan kerja di pejabat malah sekali gus menjadi seorang rakan kerja yang karib dan dipercayai untuk menyimpan rahsia-rahsia berkaitan kerja, peribadi dan keluarga.

“Setiausaha hendaklah sentiasa proaktif, aktif serta efektif di samping dedikasi dengan kerjaya masing-masing kerana seseorang setiausaha juga diibaratkan sebagai mata dan telinga kepada sebuah organisasi,” katanya.

Selain itu, beliau turut menghargai sumbangan para setiausaha dalam era Revolusi Industri 4.0 yang dilihat dapat melengkapkan teknologi hebat bersama ciri-ciri kemanusiaan dan kewanitaan.

“Tanpa penglibatan golongan setiausaha yang kebanyakannya wanita, teknologi pasti akan hambar. Dalam kita mengejar kecekapan dan kepantasan dalam kerjaya hari ini, pasti tidak menarik kalau tidak ada penglibatan golongan wanita,” tambahnya.

Justeru beliau berharap perkongsian yang disampaikan melalui seminar tersebut dapat dimanfaatkan oleh para peserta disamping menyuntik motivasi untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang pada organisasi masing-masing.

Seramai 50 setiausaha mengikuti seminar tersebut yang terdiri daripada kakitangan di Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi Mara, Universiti Utara Malaysia, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Lembaga Tabung Haji, Perbadanan Aset Keretapi Selangor, Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah, Markas Angkatan Kapal Selam Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar dan Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia. 

Turut hadir Pendaftar UMS, No’man Hj Ahmad.

ISNIN, 16 APRIL - Empat mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan mewakili negara ke Pertandingan World Of Championships of Performing Arts (WCOPA) 2018 di California, Amerika Syarikat pada 06 Julai depan.

Pencapaian itu terhasil atas kejayaan cemerlang ketika menyertai empat kategori WCOPA peringkat kebangsaan yang berlangsung di South Gateway  Mall, Bangsar Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada pertandingan tersebut menyaksikan Dayang Nurazreen Salbador dinobatkan sebagai juara Kategori Vokal melalui lagu bertajuk Kurniaan Dalam Samaran sekali gus membawa pulang medal emas dan biasiswa bernilai USD3,000 daripada WCOPA.

Medal emas yang kedua dimenangi oleh Quenner Mitchell yang memainkan muzik tradisi Sabah melalui Kategori Muzik Instrumental Bamboo (Binabad) sekali gus menerima biasiswa USD1,500.

Quenner turut meraih medal emas bagi Kategori Tarian Duet Lelaki dan Perempuan bersama pasangannya yang juga mahasiswa UMS Keren Len John.

Kejayaan itu membolehkan mereka dinobatkan sebagai pemerima biasiswa bernilai USD3,000.

Walau bagaimana pun Quenner dalam Kategori Duo Lelaki dan Lelaki hanya mampu meraih biasiswa USD1,500 bersama pasangan duo Merald Omel Redick.

Namun kesemua mereka tetap bersama-sama untuk mewakili negara pada kejohanan peringkat dunia di California.

Turut menyaksikan pertandingan peringkat kebangsaan, Pensyarah Pembimbing dari Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Sharip Zainal Sagkif Shek, Artis Budaya Kanan UMS, Norain Abd Razak dan Artis Budaya, Ahmad Rafiandie Awang.

 

JUMAAT, 13 APRIL - Kira-kira 100 warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengikuti Latihan dan Pembangunan Kakitangan siri 2/2018 yang dianjurkan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) kelmarin.

Bertempat di Auditorium FPSK, latihan tersebut mengetengahkan topik Smart Digital Health yang disampaikan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BookDoc, Dato’ Chevy Beh Yen San.

Dalam ceramahnya beliau menceritakan bagaimana tercetusnya idea penubuhan BookDoc, sebuah aplikasi sosial yang kini boleh dimuat turun di Google Playstore dan Apple Store di Singapura, Hong Kong, Malaysia, Thailand dan Indonesia.

“Aplikasi ini mempunyai konsep yang hampir sama dengan beberapa aplikasi lain, sebagai contoh Agoda yang sering digunakan untuk mencari hotel atau penginapan merangkumi pelbagai lokasi dan kawasan di dunia.

“Namun dalam BookDoc ia lebih menjurus kepada bidang kesihatan seperti memudahkan seseorang individu mencari klinik kesihatan 24 jam yang terdekat atau mencari pakar dalam bidang tertentu di lokasi yang berhampiran dengan melihat sendiri wajah dan latar belakang mereka,” jelasnya sambil memaklumkan temujanji bersama pakar juga boleh terus dibuat melalui aplikasi berkenaan.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, kehadiran Dato’ Chevy pada program itu amat dihargai dan ia merupakan satu peluang untuk dimanfaatkan bersama seluruh kakitangan khususnya para pensyarah perubatan FPSK.

“Ia juga seiring dengan usaha untuk menyemarakkan lagi usaha universiti ke arah Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Hadir sama pada program itu, Dekan FPSK Mohammad Saffree Jeffree.

JUMAAT, 13 APRIL – Nama Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan kerap kelihatan terbang di ruang udara bersama penerbangan MASwings, apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk meletakkan logo korporat UMS bersama motto ‘Bertekad Cemerlang’ pada pesawat MASwings.

Persetujuan tersebut dimeterai dalam satu majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman antara UMS dan MASwings Sdn Bhd. di Galeri Majlis, UMS.

UMS diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menandatangani dokumen MoU tersebut, sambil disaksikan oleh Pendaftar UMS, No’man Ahmad, manakala MASwings diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aminuddin Zakaria dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Kewangan MASwings, Normah Din.

Turut menyaksikan majlis pemeteraian MoU kedua-dua pihak adalah Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi dan Ahli Lembaga Pengarah UMS, Prof. Dato' Paduka Dr. Rujhan Mustafa.

Terdahulu, Datuk D Kamarudin ketika berucap pada majlis tersebut berkata, antara tujuan MoU tersebut adalah sebagai inisiatif murni dalam mengadakan hubungan kerjasama di samping memperluaskan hubungan dua hala antara kedua-dua pihak.

“Justeru, satu sejarah baharu dalam aspek kerjasama strategi universiti-industri akan dilakar bersama MASwing, iaitu anak syarikat Kumpulan Penerbangan Malaysia (Malaysia Aviation Group) yang beroperasi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang akan menghasilkan “livery” UMS-MASwings pada sebuah pesawatnya. 

“Untuk makluman, selepas Universiti Putra Malaysia (UPM), UMS adalah universiti kedua yang namanya akan terpapar di badan pesawat penerbangan MASwings dengan menggunakan konsep imej, motif dan warna korporat UMS daripada logo rasmi UMS dengan paparan motto universiti iaitu Strive to Excel atau Bertekad Cemerlang, dan usaha ini merupakan kaedah pengukuhan jenama UMS di peringkat global yang patut dibanggakan oleh seluruh warga UMS,” katanya.

Tambah beliau,  menerusi MoU ini juga, UMS dan MASwings akan merangka dan melaksanakan sinergi strategik dalam bidang mobiliti pelajar serta program internship, publisiti dan imej korporat, latihan dan pengembangan, penyelidikan, kebudayaan dan kesenian, pendidikan, pelancongan, khidmat masyarakat, keboleh pasaran graduan, sukan dan rekreasi serta perkhidmatan penerbangan berteraskan bidang yang bersesuaian dengan syarikat penerbangan.

 

KHAMIS, 12 APRIL – Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada hari ini telah memeterai satu perjanjian kerjasama melalui memorandum persefahaman (MoU) bersama Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) yang akan memfokuskan kerjasama kedua-dua pihak dalam bidang ilmu perubatan.

Perjanjian tersebut dimeterai dalam satu Majlis Menandatangani MoU antara UMS dan CUCMS di Cafe D’Sireh, UMS.

UMS diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menandatangani dokumen MoU tersebut, manakala CUCMS diwakili oleh presidennya, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak, sambil turut disaksikan ahli lembaga pengarah UMS, Datuk Dr. Haji Yusuf Yacob dan Datuk John Maluda.

Melalui kerjasama tersebut, UMS melalui Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) akan mengadakan kerjasama dalam bidang perubatan dan bidang psikologi, program mobiliti pelajar, penganjuran seminar dan latihan bersama, serta aktiviti penyelidikan dan pengawasan pelajar bersama.

CUCMS merupakan universiti penjagaan kesihatan peringkat tinggi di Malaysia, dengan universiti tersebut menawarkan lebih daripada 20 program di peringkat ijazah sarjana muda, ijazah sarjana, dan ijazah doktor falsafah dalam pelbagai bidang ilmu antaranya sains perubatan, sains farmaseutikal, psikologi, fisioterapi, sains perubatan, dan kejuruteraan bioperubatan.