KHAMIS, 26 APRIL – Pusat Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Malaysian Institute of Accountants (MIA) mengadakan MIA Career Talk baru-baru ini.

Menurut kenyataan dari Pusat Perakaunan UMS, program yang diadakan di Auditorium Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) itu melibatkan pelajar tahun dua dan tiga program perakaunan UMS.

“Penganjuran program ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar Program Perakaunan UMS berkenaan gambaran awal kerjaya dalam profesion perakaunan serta memberi panduan kepada mereka sebelum masuk ke dunia pekerjaan terutamanya dalam bidang tersebut.

 “Beberapa penceramah luar dijemput menjayakan program ini, antaranya Ketua Pegawai Kewangan Kim Teck Cheong Consolidated Bhd, Pamela Phui Hee Yung; dan Akauntan Bertauliah dari Marphy and Associates, Marphy Wong,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Hadir sama pada program itu Pengarah Pusat Perakaunan UMS, Jainurin Justine @ Abdul Aziz dan Ketua Program Perakaunan UMS, Sharifah Milda Amirul.

 

 

KHAMIS,  26 April – Sebanyak RM5 juta disediakan Kerajaan negeri dibawah Peruntukan Khas Bajet bagi memberi manfaat kepada pelbagai pihak termasuk bantuan khas kewangan khususnya untuk anak-anak Sabah yang me­lanjutkan pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berkata, ia sebagai usaha untuk meringankan beban kewangan pelajar yang melanjutkan pengajian masing-masing.

“Kerajaan negeri telah menerima sebanyak 6,818 permohonan dan daripada jumlah itu, hanya 5,263 pelajar berjaya memenuhi kriteria untuk mene­rima bantuan khas kewangan ber­kenaan meliputi 108 IPT di seluruh negara.

“Bagaimanapun sebanyak 4,184 anak-anak Sabah yang ketika ini sedang melanjutkan pe­ngajian di 18 buah IPT di negeri ini akan menerima bantuan secara “one off” sebanyak RM950 melibatkan sejumlah RM4 juta yang akan dimasukkan ke akaun masing-masing bermula esok (hari ini),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena majlis Penyerahan Bantuan Khas Kewa­ngan Pelajar IPT Anak-Anak Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Tan Sri Musa  menambah, baki peruntukan sebanyak RM1 juta lagi akan diagihkan kepada 1,079 pelajar lain yang kini sedang menuntut di 90 buah IPT di Semenanjung dan Sarawak.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

RABU, 24 APRIL – Penganjuran Hari DNA Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu memupuk dan menggalakkan minat serta penglibatan dalam bidang sains dan teknologi dalam kalangan pelajar dan komuniti luar.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, ini adalah selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dalam aspek memupuk kesedaran, pengetahuan dan kemahiran berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekali gus memungkinkan satu masyarakat berinovatif dan berfikiran secara saintifik.

“Hari ini tercatat sebagai ulang tahun ke-65 terhadap penerbitan berkaitan sifat-sifat DNA dalam Nature Journal, dan sejak hari bersejarah itu, pelbagai kejayaan yang signifikan dalam bidang bioteknologi dicatat antaranya penemuan terhadap Human Genome Sequences pada tahun 2003.

“Justeru, saya melihat program ini sebagai peristiwa penting dalam memberikan kita peluang untuk mengetahui penemuan masa lalu, pengaruhnya terhadap generasi pada masa ini, dan memahami sejauh mana pemahaman terhadap DNA mampu membawa perubahan pada masa akan datang,” katanya dalam ucapan perasmian program tersebut yang dibacakan oleh wakil beliau, Timbalan Pengarah (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Dr. Ruzaidi Azki Mokhtar di Auditorium IPB, UMS pagi tadi.

Beliau menambah, sambutan Hari DNA ini diharap akan memberi inspirasi dan keghairahan terhadap setiap usaha penemuan sains dalam kalangan pelajar muda.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang dua hari berlangsungnya sambutan Hari DNA tersebut, antaranya pameran pendidikan berkaitan DNA, lawatan ke makmal, ceramah khas, forum kerjaya dalam sains dan bioteknologi, dan aktiviti berkumpulan berkaitan pembentukan model sel dan DNA yang dijayakan pelajar dari SM La Salle, Maktab Sabah, Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, SMK Beaufort, SM All Saints, dan SK Kokol.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) IPB, Dr Cahyo Budiman dan pengerusi penganjur program, Dr. Teoh Peik Lin.

 

 

 

 

RABU, 25 APRIL - Pendidikan berkaitan keamanan dan hak asasi kemanusiaan diharapkan menjadi ciri-ciri utama dalam institusi pengajian tinggi pada masa hadapan, kata Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Menurut beliau, UMS juga ingin melahirkan dan menyediakan graduan yang boleh berhadapan pelbagai cabaran yang tidak menentu pada masa akan datang.

“Oleh itu, seminar ini memainkan peranan penting bagi menyediakan gambaran mengenai cabaran masa depan pada graduan,” katanya ketika menyempurnakan perasmian Seminar ‘Strengthening Human Right and Peace Research and Education in ASEAN/Southeast Asia’ (Shape Sea) dan UMS National ‘Addressing Inequalities For Peace and Justice, di Galeri Bangunan Canselori, kelmarin.

Datuk Kamarudin berkata, tahun ini UMS menerusi Program Hubungan Antarabangsa akan mengadakan kerjasama dengan The International Committee of The Red Crescent (ICRC).

Katanya, kerjasama seumpamanya akan membolehkan lebih banyak aktiviti diadakan bersama dari segi pengajaran berkaitan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan sebagainya.

“Dengan adanya latihan akademik dan industri seumpamanya, saya yakin pelajar UMS akan lebih bersedia dalam pembangunan negara selain menjadi warga dunia yang bertanggungjawab.

Beliau turut memaklumkan penglibatan UMS dalam rangkaian  Shape Sea akan menyediakan platform kepada institusi itu menyumbang kepada sasaran keseluruhan wilayah berkenaan.

Turut hadir pada program itu Wakil Malaysia ke ASEAN Intergovernmental Commission On Human Right, Edmund Bon Tai Soon.

 

SELASA, 24 APRIL – Sambutan Earth Day 2018 Peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu menyemai kesedaran tentang kepentingan terhadap usaha melestarikan alam sekitar dalam kalangan warga universiti khususnya, dan juga masyarakat setempat secara amnya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, hal ini penting kerana bumi telah sekian lama terkesan dengan perkembangan revolusi industri yang turut menyebabkan pemanasan global pada muka bumi.

“Tidak dinafikan perkembangan terhadap revolusi industri sebenarnya adalah satu usaha untuk memperbaiki kualiti hidup manusia, tetapi tanpa disedari usaha tersebut turut memberikan kesan terhadap kerosakan alam sekitar.

“Justeru, satu usaha harus dimulakan agar aktiviti yang menjurus kepada kerosakan muka bumi dapat dibendung segera, dan alam sekitar dapat dilestarikan untuk diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan tersebut di Foyer Bangunan Fakulti Kejuruteraan (FKJ), UMS pagi tadi.

Beliau turut menyeru para penyelidik, ahli akademik dan pelajar UMS khususnya dari FKJ agar terus mengeluarkan idea dan inovasi baru dari sudut kejuruteraan yang mampu membantu kepada aspek kelestarian alam sekitar.

“Misalnya, sebuah bot boleh direka bentuk dengan fungsinya untuk memerangkap atau mengangkut plastik dan sampah sarap di permukaan laut,” ujar beliau.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena program anjuran bersama Pusat Pengurusan EcoCampus dan FKJ itu, antaranya ceramah khas dari pensyarah UMS dan agensi luar, pameran poster penyelidikan, jualan bunga hasil bahan kompos, lawatan tapak pengkomposan, dan pertandingan mewarna yang dijayakan oleh kanak-kanak dari Pusat Minda Lestari UMS dan Sekolah Rendah Islam Kota Kinabalu (SRIKK).

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, Prof. Madya Dr. How Siew Eng; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FKJ, Dr. Mohd. Kamel Wan Ibrahim; dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FKJ, Dr. Abu Zahrim Yaser.