SELASA, 20 FEBRUARI  - Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Program Mentor Mentee HA18 Geografi mengadakan Kempen Kebersihan di Pekan Tamparuli, baru-baru ini.

Diadakan dengan kerjasama stesen radio VOKFM dan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, program itu memfokuskan kawasan tapak tamu dan lot letak kereta Bataras di daerah itu sebagai satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FKSW, program yang bermula seawal jam 7.00 pagi itu menyasarkan orang awam yang berkunjung ke lokasi berkenaan bagi memberikan pendedahan tentang kesedaran kebersihan alam sekitar.

Ia melibatkan seramai 50 pelajar jurusan Geografi serta empat pensyarah dan mentor mereka iaitu Dr. Gaim James Lunkapis, Dr. Colonius Atang, Dr. Harifah Mohd. Noor dan Marja Azlima Bt Omar.

Selain itu, kenyataan tersebut juga memaklumkan bahawa program berkenaan juga bertujuan untuk mendidik mahasiswa yang terlibat teknik interaksi yang berkesan bersama komuniti setempat.

Turut menjayakan program itu ialah Balai Polis Diraja Malaysia cawangan Tamparuli.

 

Sumber: FKSW 

 

SELASA, 13 FEBRUARI  - Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Bengkel Penilaian Silabus untuk Program e-Usahawan dengan bimbingan pihak Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Bangunan Menara UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), baru-baru ini.

Bengkel tersebut bertujuan menganalisis dan mencadangkan penambahbaikan kepada silabus yang ada supaya dapat disesuaikan dengan program e-Usahawan yang berjalan di institusi-institusi pengajian tinggi yang lain di Malaysia.

Dekan FKI, Profesor Madya Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim mempengerusikan bengkel tersebut.

Turut hadir Timbalan Dekan (Akademik dan HEP) FKI,  Dr. Zamhar Iswandono Awang Ismail; Ketua Program Komputeran Perniagaan Dr. Joe Henry Obit; Ketua Program Teknologi Multimedia, Dr. Carolyn Salimun; serta pensyarah-pensyarah yang lain.

Manakala pihak MDEC telah diwakili oleh Eksekutif Kanan Kluster Inisatif Belia dan Komuniti, Nur Balkis Amairuddin bersama rombongannya, Azlinda Mohd Hairon, Sarah Farhana Juhari, Muhammad Zulhilmi Shaharuddin dan Rosmizan Ali.

Dr. Ag. Asri berkata, program e-Usahawan merupakan program peringkat kebangsaan yang memberi pendedahan dan memurnikan inspirasi keusahawanan digital dalam kalangan belia Malaysia dan para usahawan mikro untuk menjana pendapatan lumayan menerusi platform digital.

Katanya, FKI melalui program-programnya telah melahirkan ramai graduan yang terlibat dalam Ekonomi Digital, termasuklah usahawan-usahawan e-Dagang.

Beliau berkata dengan silabus yang lebih kukuh, ilmu serta kemahiran terkini dapat diterapkan di peringkat fakulti dan universiti.

“Program e-Usahawan juga melibatkan penganjuran kursus-kursus perniagaan dan penjanaan pendapatan melalui internet kepada komuniti sekitar,” katanya.

Jelas Dr. Ag. Asri, faedah daripada usaha itu bukan sahaja akan dirasai oleh pelajar-pelajar FKI tetapi juga komuniti di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah.

“Diharap dengan adanya bengkel ini, kerjasama antara FKI dengan MDEC akan lebih diperkukuhkan dan membawa kepada program-program yang berfaedah kepada semua pada masa hadapan,” katanya lagi.

 

Sumber: Azri Onn, UMSKAL

SELASA, 13 FEBRUARI – Program Malaysian Professional Prospect Convention (MyProspec) 2018 anjuran  Kelab Rakan Pustaka (KRP) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) baru-baru ini mampu membantu membangunkan potensi diri belia tempatan dalam memilih kerjaya yang akan diceburi kelak.

Menurut Pengarah Program MyProspec, Syahrul Fitri Abdul Sukor,  program itu bertujuan memberi idea dan inisiatif untuk membangunkan potensi diri dan minat para pelajar Asasi dan Matrikulasi dalam memilih kerjaya yang bakal mereka ceburi kelak.

“Penganjuran MyProspec 2018 ini juga dilihat mampu menjadi platform para peserta untuk terus meningkatkan kebolehan diri sekali gus menjadi contoh kepada golongan belia di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Resital UMS.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan UMS, Zawawi Tiyunin ketika berucap merasmikan penutupan majlis itu berharap agar semua peserta dapat memanfaatkan segala ilmu yang telah diperoleh selain sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti seumpama itu yang disifatkannya mampu membuka minda untuk berfikiran jauh, kreatif dan kritis.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang bertungkus lumus dalam merealisasikan penganjuran program pendedahan kerjaya ini yang mana dapat membangunkan potensi diri dan minat para pelajar asasi, matrikulasi, pra-universiti dan diploma  dalam memilih kerjaya mereka nanti,” tambah beliau.

Program MyProspec 2018 turut menampilkan usahawan yang sudah terbukti kejayaannya, antaranya ialah Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, Datuk Aminuddin Zakaria; Ketua Pegawai Eksekutif Yun Fook Resources, Datuk Yap Yun Fook; Mufti Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Bongsu Aziz Hj. Jaafar; dan Pengerusi Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM), Mohd. Syafiq Zainal.

Program yang berlangsung selama sehari itu disertai 120  peserta dari sekitar Kota Kinabalu termasuk pelajar Pusat Persediaan Sains dan Teknologi UMS, Kolej Tingkatan 6, Institut Tahfiz Al-Quran Sabah (ITQAS), Sekolah Menengah (SM) All Saints dan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sabah

Program tersebut juga turut mengadakan pameran pendidikan yang disertai oleh institut pengajian tinggi awam dan swasta.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah YDKKM, Sittilin Salleh; Penasihat Kelab Rakan Pustaka UMS, Md. Sazali Md. Salleh; dan Pengerusi Kelab KRP UMS, Zulhisham Faridzuan Abdul Majid.

 

ISNIN, 12 FEBRUARI – “Syukur alhamdulillah dan saya sangat gembira kerana Universiti Malaysia Sabah dapat bagi rumah kepada saya,” kata penerima rumah komuniti projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMS, Hamidah Isa dari Kg. Blok 31, Tawau kelmarin.

Hamidah, 60, seorang surirumah berkata, beliau telah membuat permohonan untuk mendapatkan rumah sejak 6 tahun lalu.

“Akhirnya, melalui usaha murni UMS dan Majlis Perbandaran Tawau, saya sudah dapat sebuah rumah yang selesa untuk didiami bersama suami dan anak,” katanya.

Beliau turut berterima kasih dan menyanjung tinggi inisiatif yang telah dimainkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching yang sering membantu golongan susah sepertinya.

Sementara itu, Datuk Dr. Mary Yap dalam ucapannya berkata, inisiatif untuk membina rumah komuniti dicetuskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh yang membinanya di Besut, Terengganu yang juga merupakan kawasan Parlimennya.

“Oleh itu, saya berpendapat daerah Tawau juga mesti ada rumah komuniti,” tegas yang mendapat tepukan gemuruh dari penduduk kampung.

Beliau yang juga Ahli Parlimen P190 Tawau menambah, pemberian rumah komuniti oleh UMS ini telah banyak membantu mengurangkan beban Hamidah dan keluarganya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS berkata, rumah yang berkeluasan 600 kaki persegi ini mempunyai 3 bilik tidur dan bilik air.

“UMS membina rumah ini dengan peruntukan sebanyak RM20 ribu dan disiapkan dalam tempoh sebulan,” katanya.

Jelas beliau lagi, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS membina sebanyak empat buah rumah di empat daerah iaitu Kota Belud, Tawau, Sandakan dan Sipitang.

“Rumah komuniti di Kota Belud telah diserahkan kepada penerima 3 minggu lalu dan dua lagi akan diserahkan kepada penerima dalam jangka masa terdekat,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin serta pegawai-pegawai utama dan kanan UMS.

ISNIN, 12 FEBRUARI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan misi membuka ruang dan peluang kepada siswa siswi menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat menerusi program Gotong Royong Bersama Komuniti Tawau.

Program yang diadakan bertempat di Taman Awam Pelita melibatkan kerjasama di antara 130 pelajar UMS turut mendapat sokongan daripada penduduk perumahan Taman Bintang dan Taman BDC serta penglibatan daripada agensi kerajaan di Tawau dan pelajar MRSM Tawau.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching, program gotong royong bukanlah sekadar membersihkan kawasan tetapi ia menerapkan nilai kesukarelawan dalam diri siswa siswi.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggalakkan pelajar melibatkan diri dengan aktiviti kesukarelawan dan membantu masyarakat menerusi program seperti ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada UMS, agensi kerajaan di Tawau dan penduduk Taman Bintang dan Taman BDC yang memberikan sepenuh sokongan bagi menjayakan program murni ini,” kata Datuk Mary yang turut merasmikan program gotong royong ini.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali berkata, program kesukarelawan dapat menyemai jiwa keprihatinan dalam diri siswa siswi UMS.

“Menerusi program sebegini, ia akan dapat membentuk sikap tolong menolong dan sensitif dengan setiap masalah yang wujud dalam masyarakat.

“Selain itu, siswa siswi UMS dapat mengenali budaya masyarakat di sekitar Tawau ini,” katanya.

Selain gotong royong membersihkan kawasan perumahan, aktiviti pemeriksaan kesihatan percuma turut dijalankan.

Turut terlibat menjayakan program ini ialah Majlis Perbandaran Tawau, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan, Hospital Tawau, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Penjara dan Kementerian Belia dan Sukan.

Turut hadir memeriahkan aktiviti ialah Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dan Pengurus Harta Benda MPT, Lily Medriana Serigar.