RABU, 17 JANUARI - Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli menghadiri program Sesi Ramah Mesra Ahli Parlimen Labuan Bersama Badan Kepimpinan Pelajar Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di Hotel Tiara, baru-baru ini.

Majlis anjuran Sektor Hal Ehwal Pelajar (SHEP) UMSKAL itu diketuai Timbalan Naib Canselor (HEPA) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali.

Dalam ucapannya, Rozman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan berharap pelajar UMSKAL akan merebut ruang dan peluang dalam bidang pekerjaan dan perniagaan selepas mereka menamatkan pengajian kelak.

Katanya, pada tahun ini, ekonomi Labuan yang dijangka berkembang positif bakal memberikan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan termasuk kepada graduan lepasan UMS Labuan.

Beliau juga yakin menerusi kemahiran dan kepakaran pelajar UMSKAL yang menuntut di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) akan dapat digunakan untuk membantu membangunkan Wilayah Persekutuan Labuan pada masa akan datang.

Sementara itu, Prof. Dr. Ismail mengingatkan pelajar UMSKAL agar sentiasa menjaga nama baik UMS, ibu bapa dan diri sendiri ketika menyertai apa jua program khususnya yang membabitkan masyarakat setempat.

Beliau yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menasihatkan pelajar supaya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan mengelak daripada terjebak dengan kegiatan yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

Turut hadir Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal; Pengarah Jabatan Pengurusan Sumber Manusia, Perbadanan Labuan, Norsiah Udin; Timbalan Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan, Hamizar Tahir; dan Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Mohd Fadzil Mohd Arfah.

Seramai 34 pelajar UMS Labuan termasuk pemimpin MPP dan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa menghadiri perjumpaan tersebut.

 

Sumber: Azri Onn

 

SELASA, 16 JANUARI – Sesi Town Hall Siri 1/2018 Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung di Galeri Majlis pagi tadi mampu menjadi platform dalam kakitangan mengetengahkan pendapat yang mampu menyumbang kepada aspek memajukan universiti.

Sesi tersebut antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada warga UMS untuk terlibat dalam dialog konstruktif bersama pengurusan universiti, memberi ruang kepada individu dan pemegang taruh untuk mengemukakan pandangan, cadangan, hasrat dan harapan tentang bagaimana UMS bergerak ke hadapan dan terus cemerlang, mengumpul maklumat  sebagai rujukan untuk menambah baik pencapaian UMS serta sebagai bahan dalam merangka Pelan Strategik UMS 2018-2020 dan rangka-rangka atau pelan-pelan tindakan lain.

Dalam sesi pertama, Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK), Prof. Dr. Marcus Jopony memberi penerangan tentang pencapaian keseluruhan UMS pada tahun 2017,hasrat dan harapan, hala tuju strategik, dan cabaran universiti dalam mendepani tahun 2018.

Sesi kedua bersama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin pula menerangkan tentang lima nilai teras UMS, iaitu Dynamic, Sustainable, Integrity, Justice dan Happiness Index, selain menyentuh tentang transformasi UMS ke arah universiti/industri 4.0, mempertingkat pengalaman holistik pelajar, dan Smart Eco UMS yang merangkumi Pengajaran dan Pembelajaran 4.0, Pentadbiran 4.0, dan Penyelidikan 4.0.

Sesi ketiga merupakan ruang soal jawab dan mengutarakan pendapat antara pegawai utama UMS dan para peserta yang hadir, yang menyaksikan beberapa isu dikupas sepanjang sesi tersebut antaranya tentang keperluan meneliti semula kurikulum akademik, pengajaran dan pembelajaran di universiti, serta mengukuhkan keterlibatan universiti dalam industri luar.

Sesi yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah PPSKK, Prof. Madya Dr. Abdul Hamid Ahmad sebagai moderator dihadiri oleh lebih 200 kakitangan terdiri daripada dekan-dekan fakulti, ketua-ketua jabatan, pusat, institut dan unit, ketua-ketua program, dan wakil Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional (Bukan Akademik) UMS, Kesatuan Kakitangan Am, Persatuan Staf Akademik UMS dan Majlis Perwakilan Pelajar.

 

SELASA, 09 JANUARI – Akuarium dan Muzium Marin Universiti Malaysia Sabah (AMUMS) mencatatkan 38,163 kehadiran pengunjung  sepanjang tahun 2017.

Kurator AMUMS, Flora Anne Asalin berkata, jumlah tersebut merangkumi 28,285 pelawat warganegara dan 7,486 pelawat antarabangsa.

“Jumlah selebihnya terdiri daripada tetamu rasmi universiti, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga UMS sendiri,” katanya ketika dihubungi media UMS.

Menurutnya, AMUMS juga berjaya menjana kewangan sebanyak RM324,740 melalui bayaran masuk yang dikenakan kepada setiap pelawat.

“Para pelawat warganegara Malaysia membayar tiket masuk RM10 bagi orang dewasa, manakala kanak-kanak dan pelajar berumur empat hingga 17 tahun serta warga emas masing-masing dikenakan bayaran RM5.

“Bagi pengunjung warganegara asing, tiket masuk ialah RM20 bagi orang dewasa, manakala kanak-kanak, pelajar dan warga emas RM10,” tambah Flora.

Katanya, Kedai Cenderahati Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), UMS juga telah dibuka di AMUMS bermula 18 November 2017 bagi para pelawat membeli tanda kenangan semasa datang berkunjung.

“Turut dijual di sini ialah tiket memancing dan riadah di Jeti UMS,” ujarnya.

AMUMS yang dikendalikan IPMB itu dibuka kepada orang ramai pada setiap hari kecuali Ahad dan cuti umum bermula pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

 

 

 

 

JUMAAT, 29 DISEMBER – Forum Perpaduan anjuran Sekretariat Rukun Negara Universiti Malaysia Sabah (SRNUMS) baru-baru ini mampu menjadi pemangkin terhadap memupuk dan membudayakan semangat perpaduan dalam kalangan siswa-siswi universiti.

SRNUMS dalam satu kenyataan menjelaskan, tujuan utama forum ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat kampus khususnya siswa-siswi UMS berkenaan dengan keadaan semasa perpaduan di Malaysia.

“Dua orang ahli panel daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah dijemput untuk mencakna cabaran-cabaran yang dihadapi dalam membudayakan perpaduan dalam masyarakat sekeliling.

“Forum tersebut mendapat maklum balas positif daripada siswa-siswi yang hadir dengan sesi soal jawab dimanfaatkan sepenuhnya untuk berinteraksi dan bertanyakan soalan berkaitan persoalan yang dibincangkan,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut menyebut lebih banyak program sedemikian yang melibatkan kerjasama agensi luar akan diadakan pada masa akan datang sebagai satu wadah pendedahan berkaitan isu kenegaraan oleh agensi berkaitan kepada siswa-siswi UMS.

Lebih 40 pelajar hadir pada forum yang berlangsung selama tiga jam di Auditorium Perpustakaan UMS.

 

JUMAAT, 29 DISEMBER - Seramai 20 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyertai bengkel Kepimpinan yang diadakan baru-baru ini di Beringgis Beach Resort and Spa, Papar.

Bengkel anjuran American Corner, Perpustakaan UMS dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur antara lain untuk meningkatkan tanggungjawab dalam diri pelajar dan harga diri serta kemahiran kepimpinan dalam kehidupan mereka.

Selain itu, bengkel tersebut merupakan satu landasan untuk membangunkan semangat dalam diri pelajar bagi menghargai negara dan universiti, selain membincangkan nilai-nilai mulia seorang pemimpin dalam membantu pembangunan negara.

Bengkel tersebut dibahagikan kepada empat sesi iaitu Jenis Kepimpinan dan ciri-ciri pemimpin, Jantina dan Kepimpinan, Pasukan dan Kepimpinan dan Pengucapan Umum.

Bengkel selama dua hari itu dikendalikan penceramah jemputan terdiri daripada Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Sabah Dr. Asri Salleh dan dibantu oleh dua fasilitator yang arif mengenai bidang kepimpinan, iaitu Rose Graves dari English Language Fellow, UiTM Cawangan Sabah, dan Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Pengurusan Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sabah, Syukri Hj. Sanali.