ISNIN, 27 FEBRUARI - Exco Akademik, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman E Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjayakan Program Sekolah Angkat Siri V yang berakhir di kolej itu kelmarin.

Bertemakan “Sedetik Bersama Melakar Memori”, program itu merupakan pengisian terhadap kunjungan balas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek ke Kampus UMS, selain memberi pengalaman suasana kehidupan kampus kepada pelajar sekolah berkenaan.

Dalam masa yang sama, program selama tiga hari itu adalah sebagai usaha pendedahan kepada mahasiswa dalam mengadakan jalinan kemasyarakatan.

Program itu juga turut diisi dengan acara-acara yang membolehkan para pelajar sekolah tahu hala tuju selepas zaman persekolahan kelak.

Persiapan program yang mengambil masa selama hampir dua bulan itu melibatkan seorang felo penyelaras dan seramai 62 ahli jawatankuasa pelaksana, serta 17 wakil daripada kelab-kelab Kolej Kediaman E, iaitu Kelab Lantera Tari, Kelab Akustik dan Kelab Gema Pawana.

Antara aktiviti yang telah dilaksanakan adalah lawatan di sekitar UMS, iaitu Muzium, Perpustakaan, dan Akuarium dan Muzium Marin.

Turut menjadi pengisian program itu ialah Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang bermatlamat mempertingkatkan kemahiran berfikir dan mewujudkan semangat kerjasama berpasukan dalam kalangan peserta.

Majlis penutupan telah disempurnakan Pengetua Kolej Kediaman E, Dr. Syahruddin Hj. Awang Ahmad.

Turut terlibat menjayakan program itu, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Tandek, Ustaz Amran Mohd Zam-zam, felo-felo Kolej Kediaman E, ahli JAKMAS, ahli Majlis Ketua-ketua Blok (MKKB), dan ahli Majlis Ketua-ketua Kelab (MKKK).

 

Sumber: JAKMAS Kolej Kediaman E

JUMAAT, 24 FEBRUARI – Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan Retreat Fakulti bersama ketua-ketua program dan kakitangan pentadbiran fakulti baru-baru ini.

Bertempat di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, program itu antara lain bertujuan membincangkan segala perancangan fakulti sebagai persediaan menghadapi semester baharu kemasukan pelajar.

Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin ketika berucap berkata, semua staf harus lebih fokus terhadap segala perancangan yang telah dibincangkan bagi mencapai sasaran program atau unit yang telah ditetapkan fakulti.

“Setiap staf fakulti memainkan peranan penting bukan sahaja untuk berkhidmat kepada pelanggan utama, iaitu pelajar, bahkan juga kepada masyarakat umum dan negara secara keseluruhannya,” ujar beliau.

Lebih 20 kakitangan FPEP terlibat dalam program selama dua hari itu.

Turut hadir, Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah, Prof. Dr. Rasid Mail, Timbalan Dekan FPEP, Dr. Kamisan Pusiran dan Timbalan Pendaftar FPEP, Sarlona J. Gindug.

 

Sumber: Jakaria Dasan, FPEP

 

KHAMIS, 23 FEBRUARI – Seramai 408 siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima bantuan zakat yang diagihkan oleh UMS.

Jumlah tersebut meliputi RM122,000 bantuan zakat yang disumbangkan oleh beberapa agensi, antaranya Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Maybank, Etiqa Takaful, Pusat Zakat Sabah, dan Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita UMS (Kesumba).

Daripada jumlah itu, BIMB mengagihkan sebanyak RM30,000 hasil zakat kepada 100 pelajar UMS dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Seminar, Anjung Siswa UMS baru-baru ini, manakala amaun selebihnya alan dikreditkan terus ke dalam akaun pelajar.

Ketua Pegawai Syariah BIMB, Tuan Mohd Nazri Chik berkata, sumbangan zakat ini adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pihak BIMB yang diagihkan ke bahagian Hal Ehwal Pelajar di beberapa universiti awam di seluruh negara.

“Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban pelajar yang menjalani kehidupan di kampus,” katanya.

Terdahulu, Tuan Mohd Nazri menyampaikan Ceramah Kewangan dan Perbankan Berlandaskan Syariah, yang dianjurkan oleh Bendahari UMS dan Pusat Islam UMS bersempena dengan Karnival Cinta Rasul UMS.

Beliau turut menyampaikan sumbangan buku rujukan kewangan Islam sebagai kegunaan kajian dan rujukan pelajar, yang disampaikan kepada Timbalan Ketua Pustakawan Kanan UMS, Zawawi Tiyunin. 

Hadir sama Bendahari UMS, Zallifah Shadan dan Pengarah Pusat Islam UMS, Prof. Madya Dr. Muhamad Suhaimi Taat.

KHAMIS, 23 FEBRUARI – Kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) disaran mempelbagaikan lagi kemahiran di luar tugas hakiki yang dijalankan setiap hari bagi membantu perkembangan diri serta organisasi secara keseluruhannya.

Pemangku Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Prof. Madya Dr. Abdullah Bade berkata, para kakitangan harus memanfaatkan ilmu dalam setiap kursus yang diikuti bagi tujuan perkongsian kepada rakan sekerja lain.

“Staf juga harus sentiasa terbuka untuk mempelajari ilmu baharu yang mampu menyumbang kepada perkembangan kerjaya masing-masing, serta membantu menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 20 kakitangan ketika merasmikan Kursus Aplikasi Teknologi Media Siri 2 anjuran FSSA di Bilik Komputer  1, FSSA baru-baru ini.

Beliau turut memuji usaha dari Sektor Pentadbiran dan Kewangan FSSA atas usaha dan keprihatinan terhadap perkembangan kemahiran kakitangan yang perlu selari dengan dasar universiti bagi memastikan semua kakitangan proaktif dalam memperbaiki dan mencuba sesuatu di luar skop tugas masing-masing.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar FSSA, Hasmi Hashim berkata, melalui kursus ini kakitangan berpeluang untuk memperbaiki dan menambah baik prestasi diri agar lebih berdaya saing dalam menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan di seksyen masing-masing.

Kursus tersebut yang dikendalikan oleh Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Redzuan Abdullah antara lain memberi pendedahan tentang tatacara penggunaan perisian Microsoft Photoshop dan Microsoft Publisher dalam menghasilkan poster dan buku program.

 

Sumber : Kenny Uwai, FSSA

KHAMIS, 23 FEBRUARI -  Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) telah menganjurkan Program Simulasi Umrah baru-baru ini.

Program itu yang diadakan bersempena dengan penganjuran Karnival Cinta Rasul berjaya menarik seramai 61 peserta yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan UMS serta masyarakat sekitar Kota Kinabalu.

Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan PIUMS, Md. Razali Saibin berkata, tujuan program itu adalah untuk memberi pendedahan dan panduan ibadat umrah kepada peserta serta memberi kefahaman yang lebih terperinci khususnya mengenai jenis dan cara pelaksanaan umrah.

“Harapan kami agar program ini berjaya melahirkan jemaah umrah yang berpengetahuan dan dapat melaksanakan ibadah umrah dengan sempurna sekali gus membantu mendapat umrah yang mabrur,” katanya.

Ceramah khas umrah disampaikan Pensyarah Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS, Hj. Issraq Hj. Ramli.

Antara yang dibincangkan termasuklah persediaan sebelum menunaikan umrah dan bagaimana pengurusan untuk ke tanah suci termasuk rukun dan wajib umrah yang perlu diketahui dan dilakukan oleh bakal jemaah umrah.

Para peserta juga diajar amali pelaksanaan pemakaian Ihram serta pelaksanaan ibadah umrah seperti Niat, Tawaf, Saie dan Tahalul.

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.