RABU, 06 DISEMBER - Muhammad Najmie Rani dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul sebagai johan pertandingan pidato “UMS Elocution Contest” yang dianjurkan Kursus Pengucapan Awam (EK00703) baru-baru ini.

Dengan pidato bertajuk ‘Keamanan’, Najmie mengetepikan pesaing terdekat Melissa Ashnur dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS yang berada di kedudukan naib johan.

Tempat ketiga pula disandang Marmilah Abdullah dari Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) melalui pidatonya bertajuk ‘Insan Berintegriti Kejayaan Berkualiti’.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS, Prof. Madya Dr. Anuar Din.

Dalam ucapannya beliau menyuarakan harapan agar program tersebut sekali gus dapat melahirkan generasi yang berketerampilan, berkarisma dan berkeyakinan terutama apabila berhadapan dengan khalayak ramai.

“Justeru, saya amat menyokong sekiranya program-program seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, wakil pengarah program, Shemaiah Marie Mojuntin dalam ucapannya berkata, penganjuran program tersebut bertujuan untuk memartabatkan Bahasa Melayu dalam diri masyarakat terutamanya dalam kalangan mahasiswa termasuk pelajar antarabangsa yang yang menuntut di UMS.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, terlebih kepada Pengarah PKPP UMS atas kesudian hadir bagi merasmikan program selain para penaja yang telah bersama-sama membantu menjayakan program ini,” katanya.

Bertemakan Bahasa Jiwa Bangsa pertandingan tersebut disertai oleh semua 10 fakulti yang terdapat di UMS.

Hadir sama, Pensyarah Kursus Pengucapan Awam, Mohammad Norazmi Haris.

 

 

SELASA, 06 DISEMBER – Majlis  Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) anjuran  Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) pagi tadi disambut meriah bermula dengan perhimpunan dari dataran Dewan Canselor  yang kemudiannya berarak menuju ke Masjid UMS.

Pengarah PIUMS, Prof. Madya Dr. Muhammad Suhaimi Taat berkata, seramai 17 kontinjen yang mewakili Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Unit (JFPIU) serta pelajar menyertai perarakan pada sambutan kali ini.

“Program sebegini harus diteruskan pada masa akan datang sebagai menzahirkan kecintaan kita kepada junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.,” jelasnya.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam teks ucapan perasmiannya berkata, tema sambutan ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’ sangat bertepatan dengan kesungguhan universiti untuk menyatukan fikiran dan menyeragamkan tindakan dalam memacu kecemerlangan selaras dengan slogan ‘Bertekad Cemerlang’.

“Syabas dan tahniah kepada warga UMS khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam aktiviti yang dianjurkan sempena bulan maulud ini, terlebih kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan sambutan Maulidur Rasul  ini,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail.

Sementara itu, sambutan itu turut menyaksikan kontinjen Al-Jawwad dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) menerima cek bernilai RM1,000 beserta sijil selaku pemenang kontinjen terbaik, disusuli  Jabatan Perpustakaan selaku naib johan dengan hadiah RM700 dan sijil.

Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) muncul sebagai pemenang tempat ke-3 dan menerima hadiah wang tunai RM500 beserta sijil.

Sambutan kali ini turut diisi dengan sesi ceramah yang disampaikan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah, Haji Mat Radzi Haji Mat Ali.

Turut hadir Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad dan Bendahari UMS, Zallifah Shadan.

Kira-kira 500 pelajar dan kakitangan UMS turut sama menjayakan sambutan tersebut.

 

 

 

 

 

 

SELASA, 5 DISEMBER - Penyelidikan bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menghasilkan Rumah Komuniti yang dibina di Kampung Blok 31, Jalan Bukit Quion, Tawau menggunakan ‘Interlocking Brick Construction (IBC) System’ dengan peruntukan geran penyelidikan Translational Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bernilai RM1 juta.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, projek Rumah Komuniti Parlimen Tawau yang turut melibatkan Kolej Vokasional dan Kolej Komuniti Tawau diinspirasikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching, dengan pembinaan telah dimulakan pada pertengahan bulan September 2017, dan siap sepenuhnya dengan dilengkapi kemudahan asas seperti air dan elektrik pada awal bulan November.

“Rumah Komuniti Parlimen Tawau berkeluasan 650 kaki persegi ini dibina dan dilengkapi dengan ruang tamu, dapur, tiga buah bilik serta kemudahan bilik air.

“Berbanding dengan sistem pembinaan konvensional, kecepatan pembinaan rumah ini agak mengagumkan kerana menggunakan Sistem IBC yang mana teknik penyusunannya agak mudah, malah kos pembinaan adalah 20 peratus lebih murah dan dalam masa yang sama, penggunaan tanpa acuan (formwork) dan teknik kerja-kerja melepa (plastering) memudahkan proses pembinaan rumah komuniti ini,” katanya.

Beliau menambah, selaras dengan teknologi hijau yang mendukung kelestarian alam sekitar, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS turut menjalankan penyelidikan terhadap penggunaan abu pembakaran kelapa sawit (POFA), dan habuk kuari sebagai bahan campuran selain dari simen, pasir dan tanah liat pada bata ‘Interlocking Brick System (IBS)’.

“POFA dan habuk kuari merupakan bahan buangan yang berpotensi tinggi untuk dikitar semula sebagai bahan tambah (additive). Inovasi ini akan menumpukan penghasilan batu bata IBS lebih murah di samping mempertingkatkan teknik pembinaan agar lebih efisien.

“UMS berpeluang merealisasikan penyelidikan ini melalui kilang mesin pembuatan batu bata yang telah diperuntukkan di bawah ‘Translational Research Program’ yang kini ditempatkan di kampus UMS, Kota Kinabalu,” kata Datuk D Kamarudin.

Beliau turut berharap agar projek komuniti tersebut dapat memberikan impak positif terhadap pembinaan kos rumah yang lebih mampan dan mendorong ekonomi dan kesejahteraan kekeluargaan melalui pembinaan rumah komuniti itu.

Sementara itu, Datuk Mary Yap yang juga Ahli Parlimen Tawau berkata, beberapa kriteria telah digariskan sebelum layak menerima rumah tersebut.

“Kriteria yang diambil kira untuk layak menerima rumah ini ialah penduduk di kawasan saya tidak mempunyai rumah disebabkan latar belakang sosioekonomi yang berpendapatan rendah, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), ketidakupayaan kerana sakit atau warga emas,” katanya.

Pada majlis tersebut, Datuk Mary Yap turut menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah kepada keluarga Hashim Maidin dari Kampung Blok 31, Jalan Bukit Quion, Tawau selaku salah seorang penerima rumah komuniti.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof; Dekan FKJ, Prof. Ir. Dr. Abdul Karim Mirasa; Pengarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Awam UTM, Prof. Ir. Dr. Mahmood Tahir; Pengarah Kolej Komuniti Tawau, Rashid Saad; dan Pengarah Kolej Vokasional Tawau, Ragiah Muthusamy.

 

 

SELASA, 5 DISEMBER - Seramai 55 orang ahli Kelab Rexus Kolej Kediaman Excellent, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terdiri daripada pelajar tahun 1 dan 2 menjayakan program ‘White Water Rafting Kelab Rexus 2017’ di Sungai Kiulu, Tamparuli, Sabah baru-baru ini.

Program sehari itu dimulakan dengan taklimat keselamatan daripada Ketua Guide Rafting, Syarikat Wavehunter Asia, Edhar Muslim kepada semua peserta.

Menurut Pengarah Program, Junaida Karim, program ini bertujuan untuk membentuk kemahiran dan semangat bekerjasama dalam kalangan ahli kelab Rexus yang baharu dengan ahli Jawatankuasa Kelab Rexus Kolej Kediaman Excellent, UMS.

 “Saya ingin mengucapkan tahniah  kepada semua ahli yang hadir menjayakan aktiviti ini, yang mana sekali gus dapat menyemarakkan semangat kerjasama dan meningkatkan motivasi dalam diri peserta yang akhirnya mewujudkan suasana harmoni dalam sesebuah pasukan mahupun organisasi.

 “Harapan saya agar lebih banyak program seumpama ini dapat dilaksanakan dan diteruskan pada masa hadapan memandangkan hal ini dapat membantu pelajar menaikkan semangat saling membantu dan setia kawan serta saling percaya mempercayai antara mereka,”katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa dan Felo Penyelaras Kelab Rexus Kolej Kediaman Excellent, Nasrul Rukkung yang turut terlibat dalam memastikan aktiviti berkenaan berjalan dengan lancar.

ISNIN, 4 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Sekretariat Inisiatif Terumbu Karang, Perikanan, dan Keselamatan Makanan (CTI-CFF) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu majlis di Hotel Dusit Thani, Manila, Filipina baru-baru ini.

UMS diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr. Shahril Yusof menandatangani MoU tersebut, manakala CTI-CFF diwakili Pengarah Eksekutifnya, Prof. Ir. Widi Agus Pratikto.

Melalui MoU tersebut, UMS dan Secretariat CTI-CFF akan menjalankan aktiviti-aktiviti dengan lebih terancang dan berstruktur yang diletakkan di bawah agenda ‘partneship” CTI-CFF. 

(CTI-CFF) adalah perkongsian pelbagai hala dari enam negara iaitu Indonesia, Malaysia, Papua New Guinea, Filipina, Kepulauan Solomon dan Timor-Leste (‘CT6’) yang bekerjasama untuk mengekalkan dan mengurus sumber-sumber marin dengan menangani isu-isu penting seperti keselamatan makanan, perubahan iklim dan biodiversiti marin.

Justeru, beberapa program bakal dirancang oleh kedua-dua pihak termasuklah kolaborasi penyelidikan, program pembangunan modal insan dan jangkauan komuniti (comunity outreach) yang mana memberi tumpuan kepada Sumber Marin dan Pesisir yang dikendalikan secara mampan melalui Pendekatan Ekosistem Terhadap Pengurusan Perikanan (EAFM).

Kerjasama juga turut memfokuskan Kawasan Perlindungan Marin (MPA) yang ditubuhkan dan diurus secara berkesan dan Pelan Tindakan Awal Pelbagai Wilayah bagi Adaptasi Perubahan Iklim untuk persekitaran laut dan pantai dan ekosistem pulau kecil yang dibangunkan dan dilaksanakan.

Kedua-dua pihak juga akan menjalankan penyelidikan berkaitan peningkatan spesies terancam iaitu jerung, penyu laut, burung laut, mamalia marin, batu karang, rumput laut, bakau, dan spesies terancam lain yang dikenal pasti dan mendapat perhatian CTI.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS, Prof. Dr. Rossita Shapawi dan Timbalan Pengarah (Akademik dan Antarabangsa) IPMB UMS, Prof. Madya Dr Ejria Saleh.