KHAMIS, 14 DISEMBER -  Lebih 70 kanak-kanak berusia antara 4 hingga 6 tahun dari Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan beberapa sekolah di sekitar Kota Kinabalu turut menjayakan program myTREEvolution anjuran Bahagian Hubungan Industri, Kementerian Pendidikan Tinggi (BHI-KPT) menerusi CEO@Faculty Programme 2.0 di Kompleks Perhutanan, Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) kelmarin.

Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus UMS, Prof. Madya Dr. How Siew Eng, yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin ketika ditemui pada majlis tersebut berkata, penglibatan UMS dalam program seumpama ini selaras dengan hasrat universiti bagi mewujudkan kesedaran alam sekitar, pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai EcoCampus dalam kalangan generasi baru di rantau ini.

“Program ini bukan sahaja membolehkan golongan cilik ini mendekati alam sekitar, tetapi juga membimbing mereka secara holistik untuk memberikan pendekatan yang lebih tepat mengenai program penghijauan bumi.

“Ini selaras dengan aspirasi kerajaan bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai kehijauan bumi dan menyediakan wadah terbaik untuk perkongsian pengetahuan dan kerjasama antara universiti awam dan agensi-agensi kerajaan dan swasta,” katanya.

Tambah beliau, pada masa ini, kebanyakan penyertaan aktiviti penanaman pokok berakhir sebagai 2T sahaja, iaitu tanam dan tinggal, yang semestinya memberikan natijah yang palsu mengenai usaha Pelan Pemulihan dan Restorasi kawasan hutan dan hijau seperti yang digariskan dalam misi Jabatan Perhutanan.

Pada program tersebut, 100 pokok daripada spesies kapur paji, urat mata daun beludu dan seraya tembaga telah disumbangkan dan ditanam sebagai simbolik asas terhadap program myTREEvolution.

Kejayaan program tanam pokok ini merupakan usaha libat sama UMS bersama Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), Agri-Biotech Marketing Sdn. Bhd., Malaysia Airport Berhad (Kota Kinabalu) dan Life Water Industries Sdn. Bhd. melalui myTREEvolution. Aktiviti ini turut digerakkan oleh 36 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar FSSA UMS, 10 staf MAB-KK dan staf Pusat Kecemerlangan EcoCampus, FSSA dan wakil CEO@Faculty Programme 2.0.

KHAMIS, 14 DISEMBER - Seramai 21 peserta berjaya menamatkan program SME@UMS dan diraikan pada Majlis Graduasi Program SME@UMS 2017 kali ke-3 yang berlangsung di Galeri Majlis Universiti Malaysia Sabah (UMS), kelmarin.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, pemilihan UMS sebagai salah sebuah universiti dalam pelaksanaan program SME@universiti adalah amat bertepatan untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan modal insan dan melahirkan pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bertaraf global.

“Program ini membantu membangunkan modal insan yang kreatif dan berinovatif dalam pengurusan perniagaan demi membangunkan pertumbuhan perniagaan dalam kalangan usahawan baharu dan sedia ada,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Profesor Madya Dr. Raman Noordin.

“Peningkatan ilmu pengetahuan dalam dunia keusahawanan tidak boleh diabaikan kerana perubahan persekitaran pasaran dan persaingan akan menjadi penghalang utama usahawan beraksi dalam pasaran global. Bagi mencapai matlamat ini, peningkatan ilmu pengetahun dan kemahiran dalam pengurusan perniagaan adalah perlu bagi membolehkan PKS memainkan peranan utama dalam merangsang pertumbuhan ekonomi untuk lebih berdaya saing,” tambahnya.

Terdahulu, Pengurus Kanan Malaysia Timur, Pembangunan Sumber Manusia SME Corporation, Tinah Anak Jerome menasihatkan agar para graduan mengambil peluang untuk menaik taraf perniagaan masing-masing dengan mengambil peluang selari dengan kewujudan industri 4.0.

“Para pengusaha harus sentiasa bersedia dengan perubahan persekitaran agar perniagaan anda sentiasa relevan, gunakan peluang industri teknologi untuk meluaskan lagi perniagaan anda,” ujarnya.

Program SME@Universiti adalah pembelajaran berstruktur untuk Ketua Eksekutif PKS berdasarkan modul dari University of Tokyo Jepun yang bersifat hands-on bagi memastikan usahawan mendapat ilmu pengetahuan yang terkini di pasaran.

RABU, 13 DISEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih pelbagai keistimewaan hasil daripada jalinan kerjasama dan persahabatan antara Malaysia dan Jepun yang terjalin sejak 60 tahun lalu.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, sejak penubuhan UMS pada tahun 1994, banyak inisiatif yang diambil oleh universiti juga mendapat bantuan dari pihak Jepun.

“Pada awal tahun 2000, perbincangan bersama Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) dan Japan International Cooperation Agency (JICA) menghasilkan Projek Pemuliharaan Biodiversiti dan Ekosistem Borneo (BBEC) Fasa 1, yang kemudiannya bersambung kepada Fasa 2.

“Para saintis dari Jepun juga telah bersama UMS sejak awal universiti ini beroperasi bagi membantu UMS dalam kerja-kerja saintifik dan praktikal dalam proses pengkulturan ikan berkualiti tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Syarahan Bersama Duta Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa di Galeri Majlis, UMS baru-baru ini.

Ujar beliau, UMS juga sekian lama telah mempunyai jalinan kerjasama istimewa bersama Kindai University, Jepun dalam bidang akuakultur.

“Dengan penubuhan UMS-Kindai Aquaculture Development Centre awal tahun lalu juga turut menjadi pemangkin kerjasama antara kedua-dua universiti untuk melipatgandakan usaha penyelidikan berterusan dalam memajukan bidang akuakultur,” tambah Datuk Dr. D Kamarudin.   

Dalam pada itu, Dr. Makio Miyagawa dalam syarahannya menyentuh mengenai hubungan diplomatik dan istimewa antara Malaysia dan Jepun selama enam dekad, serta potensi kerjasama dalam pelbagai aspek antaranya bidang industri berteknologi tinggi, pembangunan infrastruktur, industri digital, industri makanan halal, farmaseutikal dan kosmetik, serta kewangan Islam.

Hadir sama pada majlis tersebut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

SELASA, 12 Disember 2017 – Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Karnival Sukan Keluarga (KASUGA) bertempat di Kompleks Sukan UMS baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan FPEP, karnival itu merupakan acara tahunan sebagai platform bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga FPEP.

Sebanyak 16 acara dipertandingkan membabitkan acara balapan dan padang iaitu acara 100m, 400m, 800m, 1200m, 4 x 100m, 4 x 400m selain tarik tali, lompat jauh dan lompat tinggi.

Turut menjadi pengisian ialah pertandingan badminton, bola tampar, bola jaring, bola keranjang, sepak takraw dan futsal serta sukan permainan video elektronik (e-sport) Mobile Legend.

Karnival selama tiga hari yang disertai 10 program FPEP menyaksikan Program Perniagaan Antarabangsa (HE09) muncul sebagai johan keseluruhan, disusuli Program Pengurusan Kewangan dan Perbankan (HE06) ditempat kedua dan Program Pengurusan Sumber Manusia (HE11) ditempat ketiga.

Hadir sama menjayakan karnival ini ialah Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin, dan  Exco Sukan dan Rekreasi Majlis Perwakilan Pelajar UMS, Ephraim Koruthu.

 

Sumber: Mardena Jiwan HEP

JUMAAT, 08 DISEMBER - Seramai 70 peserta menyertai ‘UMS Charity Run’ yang dianjurkan baru-baru ini oleh Persatuan Institut Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (IEEE)  Universiti Malaysia Sabah (UMS).  

Menurut kenyataan yang dikeluarkan IEEE, larian tersebut dimulakan dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ) melalui beberapa laluan sejauh tujuh kilometer di sekitar UMS sebelum kembali semula ke FKJ bagi menamatkan larian.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan Ketua Program Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik FKJ UMS, Ir. Pungut Ibrahim.

Kenyataan IEEE turut memaklumkan bahawa larian tersebut diadakan bertujuan bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya (TDKKKU), Sembulan.

Larian tersebut yang turut dijayakan beberapa ahli Kelab Prosis, juga menyaksikan kehadiran tiga kanak-kanak kurang upaya yang turut serta dalam larian sehingga ke Bulatan Menara Jam UMS.

Sebanyak RM1,000 berjaya dikumpulkan pada larian itu yang kemudian disampaikan oleh Ir Pungut kepada wakil TDKKKU, Sarina Bukut.

Ir. Pungut turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang larian.

Sumber: Khairul Najmi