KHAMIS, 8 MAC - Majlis Taklimat Model Alumni Inspirasiku (MAI) 1.0 dan Program Ramah Mesra anjuran Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapat sambutan memberangsangkan dalam kalangan alumni keluaran pertama (1999) di Semenanjung Malaysia.

Bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya baru-baru ini, program itu dianjurkan dengan kerjasama Alumni UMS Chapter Putrajaya dan turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi.

Dalam ucapannya Tun Zaki berkata, alumni merupakan aset yang penting dalam membantu kecemerlangan sesebuah universiti.

“Alumni boleh menyumbang dalam pelbagai cara kepada UMS seperti idea, program-program bersama dan perkongsian bijak dalam perniagaan mahupun kepakaran,” katanya sambil mengambil beberapa contoh kejayaan universiti luar negara hasil sumbangan dan kegemilangan alumninya.

Sehubungan itu, beliau turut mencabar Alumni UMS Chapter Putrajaya mendaftarkan sekurang-kurangnya 1,000 orang alumni UMS di sekitar Lembah Klang pada tahun 2018.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UMS, Darwis Awang dalam taklimatnya meminta Alumni UMS Chapter Putrajaya melihat peluang-peluang yang tersedia sebagai landasan untuk menjalin perkongsian bijak dengan UMS.

“Untuk itu saya ingin memberi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada alumni UMS Chapter Putrajaya untuk menganjurkan dua program berimpak tinggi dan dua program kemasyarakatan sepanjang tahun 2018 selain menyumbang satu artikel dan satu rakaman video berkaitan kegiatan alumni chapter ini pada setiap bulan.

“KPI ini dilihat sekali gus mampu mencapai objektif MAI 1.0 iaitu sentiasa berhubung (stay connected), keterlihatan dan  keterlibatan alumni dan penjanaan kewangan,” katanya.

Hadir sama pada program itu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Dr. Ismail Ali; Pengerusi Majlis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS merangkap Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Dr. Mohamad Puad Bebit; Pengerusi Alumni UMS Chapter Putrajaya, Mohamad Farisal Mohammad Syawal; dan Pengerusi Alumni UMS Chapter Lembah Pantai Kuala Lumpur, Syafiq Ridzwan Jamaluddin.

 

 

RABU, 7 MAC - Dua alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan perkongsian pengalaman kepada pelajar Fakulti Psikologi Pendidikan (FPP) UMS dalam Program Mentor Akademik (Academic Mentoring) di kampus itu baru-baru ini.

Menurut kenyataan Pusat Alumni UMS, dua alumni berkenaan ialah Penolong Ketua Pengarah (Kaunseling) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Hairuni Kasuagi (alumni FPP sesi 1999-2002); dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, Sabran Abd Bahar (alumni FPP 1998-2001).

Program yang dianjurkan FPP itu bertujuan meningkatkan pencapaian motivasi dan akademik dalam kalangan pelajar fakulti berkenaan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan sasaran iaitu pelajar yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) di bawah 2.50, PNGK 3.67 ke atas dan pelajar dari kategori pendapatan isi rumah 40% terendah (B40).

Pada program itu Hairuni dan Sabran masing-masing berkongsi ilmu dan pengalaman semasa bergelar mahasiswa UMS termasuk pencapaian dan cabaran yang dilalui sepanjang mengikuti pengajian sekali gus di samping menerapkan kesedaran akan kepentingan akademik serta kemahiran insaniah sebagai bekalan untuk kejayaan pada masa hadapan.

Turut mengadakan perkongsian ilmu ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FPP merangkap Penyelaras Program, Dr. Getrude Cosmas dan Pensyarah Kanan FPP, Dr. Lailawati Md Edalan menerusi slot refleksi diri dan pembinaan sahsiah diri menerusi kecerdasan emosi.

 

 

Sumber: Pusat Alumni

 

SELASA, 6 MAC - Seramai 42 pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengambil bahagian dalam Program Pengindahan dan Pelestarian bersama masyarakat Kampung Kobuni baru-baru ini.

Acara itu yang dianjurkan Program Pengurusan Pelancongan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) dan Pusat Penyelidikan Pelancongan Borneo, UMS dilangsungkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah FPEP, Dr. Kamisan Pusiran berkata kerjasama itu memberi tumpuan kepada pembinaan kolam mata air semula jadi, melukis mural di kawasan awam dan membersihkan Sungai Inanam dan Sungai Kobuni.

“Kerjasama ini juga merupakan satu usaha Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Pelancongan Berasaskan Komuniti Kota Kinabalu antara UMS – DBKK sekali gus membantu merealisasikan Kampung Kobuni sebagai sebuah destinasi pelancongan baru di Sabah.

“Dalam masa yang sama, pengalaman para pelajar dalam program ini sudah pasti memberi suntikan semangat dan inspirasi untuk meneruskan bidang pilihan mereka serta mempertingkatkan rasa tanggungjawab sosial dalam diri,” katanya.

Dr. Kamisan berucap demikian ketika merasmikan program tersebut.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Kobuni, Aji Rumbuton berkata sokongan UMS amat berharga dalam menyediakan kampung tersebut menceburi industri pelancongan.

“Sebelum ini, UMS dan DBKK telah datang untuk membimbing kami dalam membentuk dan mempakejkan produk pelancongan.

"Justeru, kami telah bercita-cita untuk menjadi salah satu destinasi pelancongan di Sabah khususnya di Kota Kinabalu apatah lagi Kg. Kobuni ini juga mempunyai pengalaman sebagai tuan rumah kepada ramai pelawat dari pelbagai sekolah di seluruh negara selain pernah memenangi ‘Anugerah Desa Sejahtera' peringkat daerah pada tahun 2014," katanya.

Salah seorang pelajar Pengurusan Pelancongan UMS, Mohd. Adzham Fathy Abdul Halim turut memuji usaha yang diadakan universiti dengan DBKK.

“Pengalaman bekerjasama dengan masyarakat setempat dan DBKK adalah sangat istimewa bagi saya dan sekali gus menambah minat untuk mempelajari lebih lanjut tentang perancangan dan pembangunan pelancongan," jelasnya.

Kg. Kobuni terletak di Inanam dan berdekatan dengan air terjun Kionsom serta Kampung Budaya Mari-Mari.

Pada tahun lalu, kampung ini telah memenangi Anugerah Kampung Terbersih dalam pertandingan Kampung Bebas Sampah anjuran DBKK.

Hadir sama Pengerusi Program merangkap Pensyarah Kanan FPEP UMS, Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul; Pengarah Pusat Penyelidikan Borneo UMS, Prof. Dr. Jennifer Chan Kim Lian dan Pengarah Biro Ekonomi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa DBKK, Fauziahton Awang Samad.   

 

 

Sumber: FPEP

ISNIN, 05 MAC - Kelab Event Management @ E, Kolej Kediaman Excellent, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Bengkel Pengurusan dan Pengacaraan Majlis di Dewan Kuliah Pusat (DKP) 28 dan 29 baru-baru ini.

Pengarah Bengkel tersebut, Muhammad Nadzmi Zamri berkata, penganjurannya antara lain memberi pendedahan berkaitan kepentingan menjaga imej, etika pemakaian dan keberkesanan komunikasi dalam membentuk keyakinan diri.

“Selain itu, bengkel tersebut juga bertujuan untuk menerapkan kemahiran insaniah pelajar dalam pengurusan dan pengacaraan majlis,” katanya ketika ditemui pada bengkel tersebut.

Menurut Muhammad Nadzmi, seramai 89 peserta  menyertai bengkel yang terdiri daripada pemimpin Kolej Kediaman Excellent, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), Majlis Ketua- ketua Sekretariat (MKKS), Majlis Ketua-ketua Blok (MKKB) dan Majlis Ketua-ketua Kelab (MKKK).

Bengkel yang berlangsung selama sehari itu disampaikan Pembantu Tadbir Kanan, Pusat Persediaan Sains dan Teknologi, Mohammad Norazmi Haris dan Penerbit Rancangan Kanan, Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan, Feria Lee @ Catherine.

 

Sumber: Kolej Kediaman E

 

 

ISNIN, 05 MAC – Seramai 37 pelajar Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan lawatan akademik ke Tadika Yue Min, Penampang baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan program berkenaan, lawatan tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada  mahasiswa melihat sendiri tatacara pengurusan tadika selain sebagai usaha universiti bagi meningkatkan teknik para pelajar dalam membina  jalinan silaturahim dengan masyarakat luar kampus.

Kenyataan itu memaklumkan, pelbagai aktiviti telah dijalankan di tadika tersebut yang turut disertai dua pensyarah Program Pendidikan Awal Kanak-kanak UMS, Dr. Connie Shin @ Connie Cassy Ompok serta Dr. Musirin Mosin.

Antara aktviti yang diadakan termasuklah, lawatan para mahasiswa ke setiap kelas yang ada bagi melihat sistem pengajaran dan pembelajaran diadakan selain persembahan sempena sambutan Tahun Baru Cina daripada kanak-kanak di Tadika Yue Min.

Mahasiswa UMS turut menyaksikan sejarah penubuhan tadika tersebut yang dipaparkan melalui tayangan video.

Hadir sama,  Pengerusi Tadika Yue Min, Alvin Lee.

 

Sumber: FPP