KHAMIS, 8 DISEMBER - Malaysia memerlukan lebih ramai usahawan ekonomi digital untuk terus maju dan berdaya saing pada masa depan.

Ini kerana fenomena itu yang kian pesat membangun, dijangka mengambil alih pelbagai sektor terutama industri pembuatan.

Pengasas JobStreet.com, Prof Adjung Mark Chang berkata ekonomi digital dilihat akan mengurangkan kos tenaga buruh dan kesannya ramai yang akan hilang kerajaan

“Di Malaysia, kita perlu mempelajari bagaimana untuk menggunakan dan membina satu perusahaan dalam ekonomi digital supaya kita mampu terus bersaing pada masa hadapan.

“Ini kerana ekonomi digital akan terus berkembang dan memainkan peranan penting dalam bidang perniagaan, dan kita akan terus ketinggalan sekiranya gagal menguasai teknologi dan kemahiran-kemahiran tertentu dalam ekonomi digital,”katanya kepada media sempena Forum “The Prospect of The Digital Economy” di Klagan Regency Hotel, 1Borneo baru-baru ini.

Ujar beliau, rakyat di negara ini perlu memperlengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan sebagai usahawan ekonomi digital, termasuklah tenaga mahir dalam bidang pengaturcaraan.

Pada forum tersebut, Mark Chang bersama dua orang lagi panel, iaitu wakil dari Huawei Malaysia, Muhamad Hazwan Halim, dan wakil Uber Malaysia, Divan Vasudevan membincangkan tentang teknologi digital dalam prospek ekonomi digital.

Forum anjuran Pusat Jaringan Industri dan Komuniti itu turut menyaksikan tiga lagi ahli panel, iaitu wakil dari Multimedia Development Corporation, Sivavenayakam Velayutham; Ketua Pegawai Eksekutif Common Tower Technologies Sdn Bhd, Dr. Mahadi Harris Murshidi; dan Presiden Kinabalu Coders, Arthur Kent Raymond membincangkan era baru dalam ekonomi digital.

 

RABU, 7 Disember - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyokong pendigitalan ekonomi negara melalui universiti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata berikutan era pendigitalan, pihak UMS juga menggunakan kandungan digital dalam sistem pembelajaran dengan melaksanakan pembelajaran yang bersesuaian dengan diketuai Unit e-Pembelajaran.

“Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawan (ERDEC) turut bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menjalankan program melatih graduan membangunkan aplikasi yang mana mereka diajar untuk menjadi usahawan,” katanya ketika berucap merasmikan makan malam Jalinan Ikon UMS pada Isnin.

Datuk Harun berkata, UMS telah dilantik sebagai Hab Pencipta Digital Wilayah oleh Malaysia Digital Economy Corp Sdn. Bhd. (MDEC) yang mana UMS memainkan peranan dalam mengembangkan pembelajaran digital masyarakat melalui topik-topik termasuk pengaturcaraan, ruang pembuatan dan kemasyarakatan.

“Dalam perkara ini, UMS mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai pihak universiti untuk mengembangkan lagi Hab Pembuatan Digital,” katanya.

Ujar beliau, UMS melalui Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (CICN) mempunyai tiga peranan utama menghubungkan universiti dengan industri melalui penyelidikan dan penempatan latihan industri.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Prof Dr. D Kamarudin D Mudin; Pendaftar, No’man Datuk Haji Ahmad dan  Pengarah CICN UMS, Prof. Dr. How Siew Eng.

 

 

 

SELASA, 6 DISEMBER – Satu Pertandingan Pameran Poster Penilaian Impak Sosial (SIA) diadakan di Lobi, Blok Sains Sosial, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), kelmarin.

Pensyarah SIA,  Dr. Gaim James Lunkapis berkata, sebanyak 13 kumpulan terdiri daripada pelajar tahun akhir di bawah subjek Penilaian Impak Sosial menyertai pertandingan tersebut yang membincangkan isu-isu semasa di peringkat global dengan mengaplikasikan ilmu SIA.

“Antara objektif pertandingan ini adalah sebagai medan perkongsian ilmu pengetahuan bagi pelajar-pelajar SIA dengan orang ramai, rakan pelajar dan pensyarah tentang peri pentingnya SIA pada abad ke-21 ini,” katanya.

Menurut beliau, SIA merupakan satu laporan dan perancangan yang penting dalam memastikan hasil dan keputusan berkaitan pembangunan mengambil kira impak sosial terhadap komuniti dan individu agar hak asasi manusia terjamin.

“Ini juga secara tidak langsung menambah kebolehpasaran graduan kita,” tambah Dr. Gaim.

Acara pelbagai disiplin ini turut mendapat sambutan baik daripada pelajar dan juri program lain seperti Antropologi dan Sosiologi, Geografi dan Komunikasi.

Kumpulan 11 yang diwakili oleh Ennie Yap, Erwina Nuar, Shandra Paulus, Jessica Salapan dan Betty Pius dinobatkan sebagai juara pertandingan, manakala Kumpulan 8 dan Kumpulan 10 masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga. - FL

Sumber: Saravanan Sundara Sakaran, HA18 Geografi, FKSW

 

SELASA, 6 DISEMBER – Program Khatan Perdana 2016 anjuran Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited bantu meringankan beban ibu bapa bagi membiayai mengkhatan anak mereka.

Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan UMS, Ustaz Razali Saibin berkata, Pusat Islam UMS mengenakan bayaran serendah RM60 bagi kakitangan awam berjawatan di bawah gred 26, RM85 bagi gred 27 ke atas dan percuma bagi anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.

“Pada peringkat awal, program yang memasuki siri ke-6 penganjurannya merupakan aktiviti tahunan yang terbuka kepada ibu bapa kalangan kakitangan UMS sahaja, namun atas sambutan yang menggalakkan setiap tahun, pihak Pusat Islam memutuskan agar program ini turut dibuka kepada masyarakat di sekitar Kota Kinabalu.

“Peluasan pelaksanaan ini secara tidak langsung memberi kemudahan kepada para ibu bapa yang menghadapi masalah kewangan menghantar anak mereka berkhatan di hospital atau klinik swasta dengan kos yang agak mahal,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Khatan Perdana yang melibatkan lebih 50 kanak-kanak di Masjid UMS baru-baru ini.

Ustaz Razali menambah, bersempena dengan program tersebut, Pusat Islam juga menawarkan khidmat rundingan kesihatan daripada aspek pemeriksaan kesihatan, kempen gaya hidup sihat dan pameran kesihatan, selain program derma darah sebagai jalinan ukhuwah pelajar dan ibu bapa dalam meningkatkan kefahaman tentang kesedaran kesihatan dan kesan mengabaikannya.

“Pusat Islam UMS dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) Cawangan Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu turut merancang untuk mengadakan program seumpama pada tahun hadapan di kampung terpilih sebagai usaha membantu mendampingi masyarakat setempat,” ujar beliau.

ISNIN, 5 DISEMBER – Mantan Bendahari Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sesi 2014/2015, Mohd Farhan Firdaus Jeffri terpilih sebagai penerima Anugerah Nadi Negara 2016 baru-baru ini.

Mohd Farhan terpilih untuk menerima anugerah tersebut atas pencapaian cemerlang beliau dalam aktiviti kepimpinan pelajar serta kegiatan aktif beliau dalam aktiviti kesukarelawan sama ada di peringkat universiti mahupun di peringkat kebangsaan.

Antara pencapaian graduan Sarjana Muda Perakaunan yang kini bertugas sebagai Juruaudit ialah terlibat dalam misi sukarelawan Yayaysan Sukarelawan Siswa ASEAN di Batang Maro, Batang Lupar Sarawak; bertindak sebagai Pengarah Program “UMS Dan Komuniti’, aktiviti kesukarelawanan yang dilaksanakan di empat buah kampung secara serentak, dan mengetuai jentera “Aspirasi Mahasiswa” bagi sesi pemilihan MPP Sesi 2016/2017.

Mohd. Farhan juga turut menerima pentauliahan Diraja dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam di Universiti Putra Malaysia pada tahun 2015 dengan pangkat Leftenan Muda.  

Beliau menerima anugerah tersebut dalam satu majlis penyampaian  Anugerah Nadi Negara 2016 bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO ke 70, yang disampaikan oleh Naib Presiden UMNO,  Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Anugerah Nadi Negara telah dimulakan sejak tahun 2009 oleh Wanita UMNO Malaysia bagi memberi pengiktirafan kepada siswa-siswi yang aktif dalam kepimpinan dan juga penglibatan kokurikulum semasa pengajian di universiti.

Anugerah ini dikendalikan oleh Sekretariat Pendidikan dan Pengajian Tinggi (SPPT) Wanita UMNO Malaysia, dengan kerjasama Alumni Nadi Negara.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.