JUMAAT, 2 DISEMBER – Kolej Kediaman E, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program Majlis Pelantikan Pemimpin Kolej Kediaman E bagi sesi 2016/2017 bertempat di kafeteria Kolej Kediaman E.

Majlis tersebut bertujuan untuk menghargai pemimpin-pemimpin kolej yang terdiri daripada Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), Majlis Ketua-ketua Blok (MKKB) dan Majlis Ketua-ketua Kelab (MKKK) sesi 2015/2016 serta melantik JAKMAS, MKKB dan MKKK Kolej Kediaman E bagi sesi 2016/2017.

Majlis disempurnakan oleh Pengetua Kolej Kediaman E, Dr. Syahruddin Awg. Ahmad.

Dalam ucapan dan amanat yang disampaikan beliau turut mengucapkan penghargaan kepada pemimpin-pemimpin Kolej Kediaman E bagi sesi  2015/2016 dan berharap agar mantan JAKMAS, MKKB dan MKKK dapat memberi tunjuk ajar dan juga memberi panduan  dalam menjayakan program-program yang bakal dianjurkan oleh Kolej Kediaman E kepada JAKMAS, MKKB dan MKKK yang baru dilantik.

Majlis diteruskan lagi dengan simbolik penyerahan tugas kepada JAKMAS, MKKB dan MKKK SESI 2016/2017.

Penyerahan watikah pelantikan  dimulakan kepada Yang di-Pertua JAKMAS, Saudara Mohammad Syafiq Mohd Faizan diikuti barisan exco, Pengerusi MKKB, Saudari Wiwi Juriani Ajak diikuti barisan exco lain dan kepada Pengerusi MKKK, Saudari Ida Afifah Mohd Hazani diikuti barisan exco lain.

Selain itu, bacaan Ikrar dan Aku Janji turut dilaksanakan yang diketuai oleh Saudara Mohammad Syafiq Mohd Faizan.

Majlis turut dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada kelab Silat Kalimah Kolej Kediaman E dan persembahan alatan muzik tradisional daripada Kelab E-Semtra, Kolej Kediaman E.

Turut hadir Timbalan Pengetua, Mohd Hilmey Saili, Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Perumahan dan Hospitaliti, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS Mat Usup Hj. Rashid.

Sumber: JAKMAS Kolej Kediaman E

KHAMIS, 1 DISEMBER – Pusat Pengajian Pascasiswazah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Majlis Anugerah Pascasiswazah (MAP) 2016 bagi merai pelajar yang menamatkan pengajian sarjana dan doktor falsafah dengan cemerlang di sebuah hotel malam tadi.

Majlis tersebut juga dianjurkan bagi menghargai penyelia pelajar pascasiswazah yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam penyeliaan mereka.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, beliau gembira kerana Pusat Pengajian Pascasiswazah telah berjaya mencapai Key Performance Index (KPI) yang telah ditetapkan, khususnya dari segi enrolmen pelajar PhD, sasaran jumlah pelajar PhD yang bergraduat, serta graduan Sarjana dan PhD yang berjaya menamatkan pengajian mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan (atau disebut sebagai GOT).

“Saban tahun, UMS telah mencatat peningkatan dalam jumlah pelajar pascasiswazahnya. Pada ambilan sesi 2016/2017 lalu, seramai 688 pelajar telah mendaftar sebagai pelajar pascasiswazah baharu, sekali gus meningkatkan jumlah enrolmen keseluruhan pelajar pascasiswazah kepada seramai 2,341 orang.

“UMS juga telah menjadi pilihan seramai 115 orang pelajar antarabangsa, atau 6 peratus daripada jumlah enrolmen pelajar pascasiswazah,” katanya yang turut berharap agar bilangan pelajar antarabangsa dapat dipertingkat pada masa akan datang.

Pada Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-18, seramai 307 orang pelajar pascasiswazah dari berbagai program pengajian di bawah kendalian Pusat Pengajian Pascasiswazah telah bergraduat.

Datuk Harun juga menggesa agar mempergiatkan usaha pengkomersialan hasil penyelidikan universiti di samping berusaha mempelbagaikan sumber pendapatan seperti melalui dana endowmen, sumbangan kebajikan, pelaburan dan penajaan, selain menarik lebih ramai pelajar pascasiswazah terutama pelajar asing, meningkatkan kecekapan dalam penggunaan sumber universiti, menggalakkan penjimatan dan mengelakkan ketirisan.

“Bagi memastikan pencapaian output maksima daripada penyelidikan pascasiswazah, pihak fakulti, institut dan penyelia boleh membimbing pelajar memilih tajuk penyelidikan yang bertepatan dengan kehendak pemegang taruh universiti,” katanya.

Tambah beliau, Pusat Pengajian Pascasiswazah bersama fakulti dan institut juga boleh meneroka kemungkinan mengadakan hubungan kerjasama strategik dengan anak syarikat UMS, iaitu UMS Investment Holdings Sdn. Bhd. (UiNVEST), bagi melihat potensi pengkomersialan hasil penyelidikan oleh pelajar sarjana dan PhD di UMS.

“Keupayaan mengkomersialkan hasil penyelidikan universiti merupakan salah satu usaha ke arah melestarikan kewangan universiti dan mengurangkan kebergantungan terhadap kerajaan sebagaimana dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya yang turut merasmikan majlis dan menyampaikan anugerah.

Sebanyak 6 kategori anugerah disediakan iaitu Anugerah Tesis Terbaik, Anugerah Pelajar Terbaik Kerja Kursus Mengikut Program, Anugerah Aspirasi Pascasiswazah, Anugerah Penyelia Terbaik, Anugerah Pelajar Cemerlang Secara Penyelidikan dan Kerja Kursus.

Kategori utama iaitu Anugerah Pelajar Cemerlang Secara Penyelidikan Sains dan Sastera telah dimenangi oleh Mohammad Tamrin bin Mohamad Lal dan Ling Mei Teng. Kedua-duanya juga memenangi Anugerah Tesis Terbaik PhD sementara penyelia mereka iaitu Prof. Madya Dr. Julian Ransangan dan Prof. Dr. Vincent Pang Ah Fook dianugerahi Penyelia Terbaik.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin, Ketua Pegawai Eksekutif UiNVEST, Ramlan bin Awang Ali, Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah, Prof. Dr. Rasid Mail dan pegawai-pegawai utama dan kanan universiti.

KHAMIS, 24 NOVEMBER – Pelajar Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya meraih tempat ketiga bagi pertandingan tarian sempena Festival Kebudayaan Pelajar Antarabangsa 1World Culture  baru-baru ini.

Festival yang berlangsung di Universiti Nilai, Negeri Sembilan itu turut mempertandingkan pertandingan nyanyian dan disertai oleh beberapa Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia antaranya Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tun Abdul Razak, International University of Malaya-Wales, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Segi University, Sunway University, Universiti Induistri Selangor, dan Universiti Malaysia Sarawak.

Persembahan menarik pasukan UMS membolehkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, dengan UTP dinobatkan sebagai johan bagi kategori tersebut, dan UiTM muncul naib johan.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa UMS, Molly Donna Awang Sham berkata program sebegini merupakan salah satu platform terbaik untuk meningkatkan integrasi sesama pelajar.

 “Ini juga mampu memberi peluang kepada mereka untuk mengenali budaya di Malaysia di samping meningkatkan kemahiran insaniah pelajar” ujar beliau.

Beliau turut berharap agar aktiviti seperti ini akan diteruskan, selain berharap UMS akan muncul johan pada edisi akan datang.

Sumber: PHEA

KHAMIS, 24 NOVEMBER - Kira-kira 130 pelajar Kejuruteraan Awam Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghadiri ceramah berkaitan pengurusan integriti bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Program bertemakan ‘Jurutera Berintegriti Modal Insan Berkualiti’ yang dianjurkan oleh pelajar tahun dua program Kejuruteraan Awam itu berlangsung di Dewan Kuliah Pusat ke-2 UMS.

Menurut Pengarah Program, Haikall, penganjuran ceramah tersebut bertujuan menerapkan nilai integriti dan amanah dalam diri pelajar demi melahirkan mahasiswa yang bebas dari sebarang bentuk gelaja rasuah.

“Tidak ramai dalam kalangan mahasiswa yang mengetahui intipati sebenar integriti itu sendiri. Justeru kami terpanggil untuk mengadakan program ini supaya para mahasiswa mendapat pendedahan yang nyata tentang kepentingan integriti yang mampu membentuk mahasiswa yang bukan sahaja berintelektual tinggi, malah mempunyai penghayatan yang jitu dalam usaha membentuk bakal pemimpin yang telus dalam melaksanakan tugas mereka” katanya.

Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Penolong Kanan Penguasa, Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Cawangan Kota Kinabalu, Mohd Zaini Hassan.

Sementara itu, pensyarah program Kejuruteraan Awam, Asmawan Mohd Sarman, penganjuran program tersebut merupakan platform asas penerapan budaya integriti kepada siswa siswi kejuruteraan.

“Ia selaras dengan falsafah universiti untuk membina masyarakat terpelajar yang progresif, berdisiplin, bersepadu dan seimbang dari segi intelek, emosi, jasmani dan rohani untuk berbakti mencapai kesejahteraan masyarakat dan negara,” ujarnya.

RABU, 23 NOVEMBER - Tiada penglibatan pegawai utama Universiti Malaysia Sabah (UMS) atau mana-mana kakitangan UMS dalam Perhimpunan Bersih 5.0 yang berlangsung di beberapa kawasan di sekitar Kota Kinabalu baru-baru ini.

Bahagian Perhubungan Korporat UMS dalam satu kenyataan menjelaskan, kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof Madya Dr. Ismail Ali ke salah satu lokasi Perhimpunan Bersih 5.0 adalah sebagai memantau penglibatan dan pergerakan pelajar UMS dalam sebarang aktiviti perhimpunan tersebut, dan bukan sebagai tanda sokongan terhadap agenda Bersih 5.0.

Kenyataan ini adalah susulan daripada satu posting di laman Facebook yang menyatakan tentang kehadiran salah seorang TNC UMS dalam Perhimpunan Bersih 5.0 di Sabah.

Laman Web Rasmi UMS dan Facebook rasmi UMS juga telah memuat naik semula Pekeliling Khas Naib Canselor Berhubung Larangan Penglibatan Kakitangan dan Pelajar UMS dalam Perhimpunan Haram sehari sebelum berlangsungnya Perhimpunan Bersih 5.0 sebagai peringatan semula kepada warga UMS agar tidak menyertai mana-mana perhimpunan yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa dan dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menggugat keselamatan negara.

Justeru, universiti akan mengambil tindakan tatatertib ke atas mana-mana pelajar yang terlibat dalam perhimpunan haram sekiranya cukup bukti berdasarkan Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999, Perlembagaan Universiti Malaysia Sabah dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.