ISNIN, 31 OKTOBER – Kerjasama erat antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan agensi kerajaan dan swasta akan memberikan sumbangan besar kepada industri pertanian.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, beberapa perjanjian dimeterai sebelum ini antara UMS dan agensi seperti Felda Global Venture Berhad (FGV) dan Hafiz Farm Sdn Bhd mampu memberi manfaat terhadap industri pertanian di negeri ini.

“Kerjasama sebegini adalah sejajar dengan usaha untuk membantu kerajaan negeri membangunkan industri berasaskan pertanian di Sabah,” katanya ketika merasmikan Karnival Tani sempena Ulang Tahun ke-10 Fakulti Pertnian Lestari (FPL) UMS Sandakan di kampus FPL baru-baru ini.

Menurutnya lagi, di UMS terdapat institusi dan pusat yang memainkan peranan utama khususnya penyelidikan dalam bidang pertanian.

“Pusat Penyelidikan Kelapa Sawit (SPOR) yang beroperasi di UMS misalnya amat sesuai dengan aktiviti utama pertanian di Sandakan iaitu penanaman kelapa sawit.

“Sudah tentu hasil penemuan terkini seperti penemuan baka baru dan cara mengatasi masalah serangan kumbang badak umpamanya akan dapat membantu para petani di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata penyelidik UMS sentiasa berusaha mencari teknik dan inovasi terbaharu untuk meningkatkan produktiviti bidang pertanian, penternakan dan makanan.

Terbaru, katanya, penyelidik UMS berjaya menghasilkan penemuan nenas kultur tisu dan pembiakbakaan ketam bakau.

“Ini akan memberikan manfaat kepada petani dan nelayan di Sabah khususnya, dan seterusnya membantu meningkatkan sumber makanan,” ujar beliau.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Tun Zaki Tun Azmi, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Zakaria Edris,Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Datuk Ir. James Wong, Ahli Perlimen Libaran Datuk Juslie Ajirol, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong Datuk Samsudin Yahya, ADUN Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman, dan Dekan FPL Prof. Dr. Wan Mohamad Wan Othman.

ISNIN, 31 OKTOBER – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan keahlian Kelab Usahawan Graduan Pertanian (MyAgrosis) di seluruh negara mencecah 40 ribu pada hujung tahun 2016 ini sebagai menggalakkan siswa-siswi menceburi bidang pertanian.

Pengerusi FAMA, Tan Sri Paduka Haji Badruddin Amiruldin berkata, usaha ini penting memandangkan pertanian adalah satu bidang yang mampu meningkatkan daya saing negara apabila peluang semakin terbuka luas.

“Kesedaran terhadap kepentingan pertanian sebagai enjin ketiga kepada ekonomi negara memerlukan pembabitan golongan belia demi kesinambungan sektor ini.

“Kelab MyAgrosis ditubuhkan untuk membangunkan generasi muda hari ini bagi melahirkan generasi muda akan datang yang berdaya saing dan maju dalam sektor pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan MyAgrosis K-Shoppe Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Sandakan sempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan FPL UMS Sandakan ke-10 di perkarangan kampus FPL baru-baru ini.

Beliau menambah, bagi memastikan usahawan yang berjaya dapat dilahirkan pada masa akan datang, FAMA telah diberikan peruntukan khas bagi membolehkan ahli-ahli MyAgrosis mendapat peluang perniagaan berasaskan pertanian.

“Peluang perniagaan tanpa penjamin dan faedah ini bagi memastikan generasi usahawan kita dapat pergi jauh sekali gus berupaya meningkatkan produktiviti apabila menceburi bidang pertanian sebaik keluar dari universiti,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi; Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah; dan dekan FPL Prof. Dr. Wan Mohamad Wan Othman.

JUMAAT, 28 OKTOBER - Seramai 50 peserta daripada kalangan pegawai dan pembantu tadbir fail dan rekod menyertai Bengkel Manual Prosedur Kerja (MPK) di Galeri Majlis, Bangunan Canselori baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Pendaftar UMS, No’man Datuk Hj Ahmad yang sekali gus merasmikan majlis berkenaan.

Dalam ucapannya beliau merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada kluster dan ahli jawatankuasa lain yang telah menganjurkan bengkel itu dan berharap objektif dan sasaran universiti dalam penyeragaman standard MPK di semua JFPIU tercapai pada 2017.

“Fokus utama bengkel ini juga adalah untuk memberi kefahaman kepada peserta mengenai konsep dan standard yang digunapakai dalam MPK iaitu sebagai sebuah dokumen rujukan di peringkat JFPIU masing-masing, yang mengandungi fungsi dan objektif rasmi organisasi serta prosedur-prosedur yang jelas dalam melaksanakan tiap-tiap aktiviti yang telah dirancang sekali gus beroperasi dengan cekap dan berkesan,” katanya

Dalam pada itu Ketua Kluster, Hasmi Hashim ketika ditemui berkata penganjuran bengkel itu merupakan kesinambungan daripada Taklimat MKPFM yang telah diadakan sebelum ini.

“Ini merupakan medium perkongsian dan perbincangan antara kakitangan UMS dan wakil MAMPU dalam melaksanakan satu templat MPK yang standard dan digunapakai di semua JFPIU bagi mencapai sasaran keseragaman MPK pada 2017 nanti,” katanya

Bengkel tersebut telah dijayakan Timbalan Pengarah MAMPU Sabah, Zellina Abd. Rahman selaku penceramah jemputan.

Sumber : Kenny Uwai (FSSA)

KHAMIS, 27 OKTOBER - Ke arah membentuk graduan yang holistik, seimbang dan berciri keusahawanan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara maka graduan perlu memiliki disiplin ilmu yang relevan, akhlak dan penetapan minda yang sesuai, tingkah laku terpuji serta beradab untuk memajukan diri bagi membolehkan mereka memberikan sumbangan kepada keharmonian dan kemajuan keluarga, masyarakat, negara dan komuniti global. 

Enam atribut utama atau domain; iaitu, etika dan kerohanian, kemahiran memimpin, identiti nasional, kemahiran bahasa, kemahiran berfikir, dan pengetahuan, dikenalpasti perlu dimiliki oleh setiap graduan. 

Pembangunan atribut pelajar dan graduan dalam enam domain ini boleh dicapai menerusi pelaksanaan modul Rubrik PNGK Bersepadu atau, ringkasnya iCGPA (integrated Cummulative Grade Point Average) Rubric.

Modul ini adalah satu lagi mekanisma terbaharu Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memastikan agar graduan yang dilahirkan oleh Universiti-Universiti awam kelak mampu memenuhi kriteria pilihan majikan.

Sebagaimana dijelaskan dalam Buku Panduan Pentaksiran Hasil Pembelajaran Rubrik PNGK Bersepadu terbitan Kementerian Pendidikan Tinggi, PNGK Bersepadu (iCGPA) berperanan untuk memacu amalan penjajaran konstruktif bagi memastikan reka bentuk kurikulum, pelaksanaan kurikulum dan proses pentaksiran pada peringkat kursus dan program adalah berkualiti.

PNGK Bersepadu (iCGPA) adalah satu sistem atau mekanisme pentaksiran dan pelaporan mengenai peningkatan dan pembangunan bersepadu pelajar dari segi adab (etika dan nilai murni), pengetahuan deklaratif dan fungsional serta kemahiran teknikal mereka dalam bidang disiplin yang diceburi. Pelaporan iCGPA akan memperlihatkan pencapaian atribut pelajar untuk enam aspirasi yang digariskan dalam PPPM (PT) yang juga terkandung dalam lapan domain hasil pembelajaran Kerangka Kelayakan Malaysia. Mekanisme ini bertujuan membantu pihak berkepentingan merancang dan menentukan langkah penambaikan yang paling sejajar.

Oleh itu, pelaporan iCGPA pelajar memperlihatkan pencapaian holistik pelajar dan juga pencapaian mereka bagi setiap hasil pembelajaran program di sepanjang tempoh pengajian (sumber: Kementerian Pendidikan Tinggi 2016).

Sejajar dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan Universiti Awam ini, maka Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan UMS telah mengadakan Bengkel iCGPA di bawah kendalian Dr Mohd Ruslim Mohamed, Pengarah Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik Universiti Malaysia Pahang (UMP). Bengkel ini telah dilaksanakan selama satu hari pada 26 Oktober 2016 bertempat di bilik persidangan MBA, FPEP.

Dekan Fakulti, Prof Madya Dr Raman Noordin, menjelaskan bahawa Bengkel yang dilaksanakan itu adalah sebagai persiapan Fakulti untuk melaksanakan iCGPA menerusi program terpilih pada penawaran kursus akan datang.

Menurut Dr Raman lagi, program Perakaunan telah dicadang untuk merintis modul ini khusus dalam kalangan penuntut tahun akhirnya. Selain bengkel yang diadakan pihak fakulti juga akan melaksanakan beberapa inisiatif susulan dibawah Seksyen Akademiknya yang diketuai oleh Dr Zaiton Osman, Timbalan Dekan Akademik FPEP, bagi meningkatkan lagi pemahaman dan kesediaan para pensyarah.

Dalam bengkel yang diadakan itu, Dr Mohd Ruslim turut menekankan peri pentingnya memiliki sistem sokongan dari pentadbir sistem dan akademik universiti. Ini adalah bagi memastikan kelancaran sistem iCGPA.

Dengan sokongan jabatan-jabatan berkaitan, pensyarah tidak akan terbeban dengan tugasan pentadbiran. Malah tambah Dr Mohd Ruslim lagi, sistem baharu ini seharusnya mampu meringankan lagi pemantauan kehadiran pelajar dan sebagainya.

Sekali gus, akan meningkatkan fokus pensyarah kepada tugasan mengajar dan membuat penyelidikan. Justeru, pihak FPEP akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi UMS dan Bahagian Perkhidmatan Akademik UMS bagi memastikan kesediaan sistem sedia ada dalam kelancaran pelaksanaan iCGPA kelak.

Oleh Jakaria Dasan

KHAMIS, 27 Oktober - Peluang melakukan kerja lapangan dalam bidang pertanian, menjadi pendorong kepada bekas pelajar Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ahmad Shafiq Ahmad Sabirin meneroka bidang itu dengan lebih luas selepas tamat pengajian.

Bergraduat pada tahun 2012 dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian dengan Kepujian (Hortikultur dan Landskap), tidak menghalang beliau untuk mencuba nasib dalam bidang tanaman cili geronong setelah kembali ke Kuching, Sarawak pada tahun 2014.

Beliau yang meminati makanan pedas, menjadikan faktor tersebut untuk berjinak-jinak membuka kebun dengan menyewa tapak di Politeknik Sandakan dengan membuat fertigasi cili padi

"Saya turut mengagihkan hasil tanaman cili tersebut kepada pelajar-pelajar Politeknik Sandakan sebagai salah satu usaha khidmat sosial,” ujarnya.

Ahmad Shafiq memasarkan produk sos cili geronong berjenama Hyefiq bermula pada tahun 2015 dan dijangka akan mula dijual di pasaraya Mydin dan Giant dalam masa terdekat.

Ditanya mengenai perancangan pada tahun 2017, Shafiq memberitahu bahawa beliau akan lebih menumpukan kepada penanaman cili geronong di tanah yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

"Buat masa ini, saya masih mendapatkan bekalan cili geronong daripada beberapa pembekal yang menanam secara ladang kontrak atau ladang kongsi. Saya percaya ini juga dapat membantu meningkatkan pendapatan orang kampung,” jelasnya.

Shafiq merupakan salah seorang graduan UMS yang menjadikan pengalaman belajar di universiti sebagai ‘One Stop Centre’ untuk mendapatkan ilmu keusahawanan.

"Ilmu keusahawanan perlu diterapkan dalam diri pelajar semasa mereka berada dalam kampus lagi agar selepas bergraduat, tidak perlu bergantung untuk mendapat pekerjaan kolar putih semata-mata," katanya.

Sumber: Pusat Alumni UMS

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.