KHAMIS, 2 NOVEMBER – 16 pelajar menerima pelantikan sebagai Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) bagi sesi 2017/2018 dalam satu majlis pelantikan dan Majlis Bersama Warga KKTM baru-baru ini.

Menurut kenyataan jawatankuasa KKTM, majlis ini diadakan bagi menyampaikan Sijil Watikah kepada semua Ketua Blok baharu sesi ini yang bertanggungjawab menjaga kebajikan pelajar KKTM.

16 pelajar yang terpilih adalah dalam kalangan ahli Unit Beruniform Palapes Darat, Udara, Laut, Suksis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Asasi, Medic dan Awam.

Menurut Pengetua Kolej KKTM, Kol (PA) Dr. Mohamad Nizam Nazarudin, Jawatankuasa KKTM ini adalah entiti yang amat penting bagi membantu pengurusan kebajikan pelajar dalam kolej.

 “Seperti yang kita sedia maklum, Jawatankuasa KKTM adalah orang yang akan membantu pihak pengurusan menjaga kebajikan pelajar, dan tanpa adanya jawatankuasa ini maka tidak kukuh sesebuah pengurusan kolej,” katanya.

Pada majlis tersebut, Dr. Nizam turut merasmikan pelancaran ‘Mini Gym KKTM’ yang akan digunakan kepada semua pelajar khususnya badan beruniform KKTM untuk mengekalkan tubuh badan yang sihat.

Pelaksanaan majlis ini turut berkerjasama dengan Jawatankuasa Mahasiswa dan Majlis Sekretariat KKTM.

RABU, 1 NOVEMBER – 130 kakitangan dari pelbagai jabatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan program ‘Pink Ribbon Walk 2017 kelmarin.

Program anjuran Jabatan Perpustakaan, UMS  itu bermula di Foyer Perpustakaan seterusnya di sekitar kawasan jabatan Hal Ehwal Pelajar, Dewan Canselor dan kembali ke Perpustakaan UMS.

Pelepasan acara tepat jam 8.00 pagi itu disempurnakan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UMS, Dr. Aza Sherin Mohamad Yusuff merangkap Timbalan Yang Dipertua KESUMBA UMS.

Menurut kenyataan jabatan Perpustakaan, ‘Pink Ribbon Walk’ dianjurkan bertujuan untuk mengadakan kempen kesedaran kepada warga UMS dan komuniti sekitarnya terhadap penyakit kanser, tanda dan gejala serta rawatan yang boleh diberikan semasa membuat saringan awal kanser, di samping mengubah tingkah laku serta memperkasa komuniti ke arah amalan saringan awal penyakit kanser dan pencegahan kanser melalui amalan gaya hidup sihat.

Program berakhir dengan penyampaian hadiah kepada peserta yang terpilih dinobatkan ‘Peserta Terbaik Pink Ribbon Walk 2017’ iaitu Ketua Pembantu Perpustakaan, Jabatan Perpustakaan,  Rogaya binti Ahmad.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pustakawan UMS, Puan Dg. Rukiah Ag. Amit.

 

 

RABU, 1 NOVEMBER – Program Minggu Mesra Pelanggan (MMP) 2017 yang berlangsung di Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu menjadi jambatan kepada perhubungan universiti dengan pelanggan terdiri daripada pelajar, orang awam, pembekal-pembekal dan juga agensi luar.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, penganjuran program yang berorientasikan pelanggan amat dialu-alukan dan wajar diberi sokongan apatah lagi UMS sebagai sebuah universiti awam amat bergantung kepada hubungan baik dengan pelanggan di universiti.

“Dalam penekanan hala tuju UMS sekarang ini kepada konsep IR 4.0 sejajar dengan aspirasi global dan Kementerian Pendidikan Tinggi maka keperluan memelihara hubungan baik dengan pelanggan harus diberi perhatian dan tumpuan yang sama.

“Justeru, adalah diharapkan dengan pembukaan Kaunter Bertemu Pelanggan oleh beberapa jabatan  sepanjang MMP ini akan dapat memberikan ruang dan peluang kepada pelanggan untuk berurusan dengan lebih mudah,” katanya dalam ucapan sempena majlis perasmian program tersebut, yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr Ismail Ali.

Beliau turut memuji pelancaran buku berjudul “Di Ambang Persaraan Kerjaya Dijunjung, Keluarga Ditatang, Agama Disanjung” hasil tulisan seorang kakitangan bukan akademik dari Perpustakaan UMS, Hjh. Jamaidah Hj. Yahya bersempena majlis tersebut.

“Diharapkan agar penerbitan buku sebegini akan memupuk minat menulis yang lebih tinggi dalam kalangan kakitangan bukan akademik UMS,” ujar beliau.

Terdahulu, Ketua Pustakawan UMS, Dg. Rukiah Ag. Amit menjelaskan, program seminggu itu merupakan anjuran bersama enam buah jabatan iaitu Jabatan Bendahari, Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP), Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Penerbit UMS, Koperasi UMS dan Jabatan Perpustakaan sebagai tuan rumah penganjuran.

“Penganjuran program ini adalah untuk mengeratkan lagi meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran tentang peranan serta fungsi perkhidmatan serta memberi penjelasan serta menyelesaikan isu-isu yang berkaitan,” katanya.

Pelbagai aktiviti berlangsung sepanjang MMP tersebut antaranya sesi bertemu pelanggan , ceramah, bicara sarjana, pameran dan jualan buku.

SELASA, 31 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal melaksanakan sistem pengurusan pentadbiran komprehensif bersepadu dan efisien yang merangkumi semua komponen pengurusan pentadbiran bermula tahun depan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, ia selaras dengan usaha UMS mengorak langkah ke arah Revolusi Industri/Universiti 4.0.

"Sistem ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti pengurusan organisasi dengan pelaksanaan sistem maklumat yang komprehensif dan berintegrasi.

"Ini sekali gus mampu menjamin integriti data, keseimbangan kewangan, mengurangkan duplikasi kerja, penjimatan masa dan sumber manusia serta kos," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kreanova 2017 di Dewan Resital, UMS hari ini.

Tambah beliau, penganjuran program Konvensyen  Kumpulan Penggerak Inovasi (KPI) sempena bulan Kreanova merupakan platform terbaik untuk warga UMS menyumbang kepada peningkatan budaya kerja cemerlang melalui idea-idea kreatif dan inovatif.

Terdahulu, Pendaftar UMS, No'man Ahmad dalam ucapannya berkata, sebanyak 21 projek KPI telah dipersembahkan untuk empat  kategori iaitu Kategori KIK, Kategori Pengurusan Lean, Kategori EKSA dan kategori DIY (Do It  Yourself) melibatkan kakitangan akademik dan pentadbiran UMS.

"Anggaran penjimatan daripada semua projek KPI yang telah dibentangkan meliputi penjimatan kos sebanyak RM1,806,308.47, penjimatan masa bagi proses yang diinovasikan sebanyak 211 hari, penjimatan penggunaan air yang dirawat sebanyak 132.6 meter padu setahun, pengurangan penggunaan air luar sebanyak 90%, dan penjimatan kos tenaga buruh sebanyak 85%.

"Justeru, adalah wajar pihak pengurusan UMS untuk terus menyokong dan memberikan kerjasama atau bantuan yang terbaik untuk terus membangunkan kumpulan-kumpulan penggerak inovasi ini di masa hadapan, kerana impaknya yang amat signifikan kepada kecemerlangan Universiti," ujar beliau.

Pada majlis itu, turut berlangsung pelancaran pelaksanaan MS ISO 9001:2015 yang disempurnakan oleh Prof. Datuk D Kamarudin.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali, Ketua Pustakawan Dg. Rukiah Ag. Amit, dan Pengarah Malaysia Productivity Corporation (MPC) Wilayah Sabah, Norzirin Ariffin.

SELASA, 31 OKTOBER – Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) hari ini.

Bertempat di Bilik Tetamu VIP PPSKK, lafaz ikrar tersebut disaksikan sendiri oleh Pengarah pusat berkenaan, Prof. Dr. Marcus Jopony.

Tinjauan media mendapati, kakitangan di organisasi itu tampil sama-sama melafazkan ikrar sebagai tanda amalan integriti dalam menjalankan tugas seharian selaku kakitangan UMS.

Antara ikrar yang dilafazkan termasuklah melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap sebarang perlakuan jenayah rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan diri sendiri dan kakitangan di bawah seliaan masing-masing.

Kakitangan PPSKK kemudiannya menandatangani borang IBR sebagai tanda aku janji untuk terus berkhidmat dengan amanah dan bebas rasuah.

Untuk rekod, setiap Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Unit di UMS melaksanakan Majlis Lafaz Ikrar dan menandatangani IBR secara berperingkat sejak 25 Ogos lalu dalam usaha memastikan para kakitangan tidak terjerumus ke kancah jenayah rasuah yang kini dianggap antara musuh utama negara.

 

Foto: Ernest Berinus