KHAMIS, 06 OKTOBER - Hampir 500 paserta hadir pada Persidangan Kejururawatan Antarabangsa ke-2 anjuran Jemaah Kejururawatan Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Hotel Promenade Kota Kinabalu, yang dihostkan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Peserta-peserta persidangan tersebut terdiri daripada jururawat hospital kerajaan serta pelajar bidang kejururawatan dan pensyarah daripada sembilan buah universiti awam iaitu UMS, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Masidi Manjun, para jururawat sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran dalam memenuhi keperluan pesakit dan perkhidmatan penjagaan yang baik.

“Justeru, untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik, kita perlu ada sistem hospitaliti yang meliputi tenaga kerja terlatih, sistem maklumat yang cekap serta teknologi perubatan yang mantap,” ujarnya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Menteri KePKAS, Datuk Kamarlin Ombi.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS Profesor Dr. D Kamarudin D Mudin ketika mewakili Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, dalam memenuhi keperluan para pesakit, jururawat perlu sentiasa dilengkapi dengan pengetahuan semasa dan maklumat yang mencukupi untuk dikongsi bersama masyarakat.

Persidangan selama dua hari itu antara lain bertujuan mewujudkan kesedaran serta memperbaiki sistem penyampaian dalam bidang perubatan di negara ini.

KHAMIS, 6 OKTOBER – Penganjuran Seminar Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk (DDMM) Fasa 3  di Dewan Kuliah Pusat 2, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini  mendapat sambutan hangat dengan penyertaan hampir 80 orang peserta dari dalam dan luar UMS.

Seminar DDMM anjuran bersama Pusat Islam UMS, Hidayah Centre Sabah dan Pertubuhan IKRAM Malaysia Cawangan Sabah telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Islam UMS, Dr. Mohd. Suhaimi Taat.

Dalam ucapannya beliau berkata, penganjuran ini sangat bertepatan kerana masyarakat kini perlu memahami kewajiban berdakwah dan menyampaikan Islam kepada masyarakat berbilang kaum secara mudah tanpa menyakiti kaum lain sambil menjaga keharmonian antara budaya dan agama masyarakat.

“Harapan saya pada masa akan datang agar lebih ramai peserta daripada kalangan saudara baharu dan kakitangan UMS agar lebih memahami tanggungjawab dakwah dalam masyarakat majmuk melalui interaksi bersama penceramah secara langsung,” katanya.

Pengisian seminar selama dua hari itu dikendalikan oleh enam Penceramah jemputan iaitu Ustaz Haji M. Rapi Manji dari SMKA Limauan, Haji Marsus Jabar dari UiTM Sabah, Surahman Salam dari SMK Benoni, Papar serta penceramah dari Hidayah Centre Foundation, Tuan Haji Burhanuddin A. Ghani,  Wan Muhammad Wan Ibrahim dan Joannes Lukas. -SM

KHAMIS, 6 OKTOBER - Seramai 85 pelajar baharu Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengikuti Program Orientasi SISPA Semester 1 Sesi 2016/17  baru-baru ini di ODEC UMS.

Menurut Timbalan Komandan Kor SISPA UMS, Leftenan Kol. (PA) Dr. Mohamad Nizam Nazarudin, menerusi program tersebut, para pelajar baharu diberi pendedahan dan pengenalan mengenai organisasi SISPA dan Pertahanan Awam di UMS.

Tambahnya lagi, program orientasi ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara pelajar baharu dengan pelajar lama dan jurulatih, selain memupuk semangat kerjasama dan setia kawan serta taat setia kepada pasukan dalam unit beruniform.

“Semasa program ini berlangsung, para pelajar telah diberikan banyak tugasan dan aktiviti mencabar kreativiti dan daya penyelesaian masalah yang memerlukan kerjasama dalam berkumpulan,” katanya.

Program tersebut merupakan program yang wajib disertai oleh semua pelajar baharu Kor SISPA UMS, yang turut memberi pendedahan kepada etika, protokol dan cara-cara mengurus sesuatu majlis.

Sumber: Siti Sham Ismanizah Bt Sh Mohd Rahil, SISPA UMS

RABU, 5 OKTOBER – Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) telah mengadakan kunjungan hormat ke PUSPANITA Radio Televisyen Malaysia (RTM), Sabah hari ini.

Lawatan Muhibbah tersebut antara lain bertujuan mengeratkan hubungan antara kedua-dua organisasi ini melalui kelab wanita, dan memupuk hubungan baik dalam kalangan ahli-ahli kelab termasuk perbincangan tentang kerjasama dua hala.

PUSPANITA RTM Sabah diketuai oleh Setiausahanya, Raja Jamaliah Raja Mokhtar bersama beberapa orang ahli PUSPANITA menyambut delegasi KESUMBA seramai sembilan orang di perkarangan bangunan RTM.

Pengerusi KESUMBA Kampus Antarabangsa Labuan (KAL), Hayati Salleh Baihaki telah memberi taklimat tentang latar belakang KESUMBA termasuk aktiviti yang telah dijalankan pada tahun lepas.

Ahli-ahli kelab itu kemudian dibawa ke Bilik Berita, studio rakaman TV dan Studio Penyiaran SabahVfm dan Sabahfm.

Turut bersama dalam rombongan tersebut adalah Timbalan Yang Dipertua KESUMBA, Roha Asmara dan Ketua-ketua Biro KESUMBA yang lain. – FL

RABU, 5 OKTOBER – Kontinjen Polis Bantuan Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul naib johan pertandingan kawad istiadat perbarisan bagi kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi bersempena Hari Jadi Rasmi Ke-63 Yang Di-Pertua Negeri Sabah yang diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu Sabtu lalu.

Kontinjen Polis Bantuan UMS seramai 30 orang ahli yang diketuai oleh Pegawai Keselamatan UMS, Insp/PB Rakam Singh Karam Singh bersaing bersama-sama 82 kontinjen lain membabitkan kira-kira 3,000 peserta yang menyertai istiadat perbarisan tersebut.

Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan kontinjen UMS membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, piala dan sijil, yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan.

Pencapaian ini menyamai rekod kejayaan tahun lalu, apabila kontinjen UMS turut muncul naib johan bagi kategori IPTA/IPTS.

Sebanyak tujuh kategori perbarisan diadakan, dan antara pemenang utama setiap kategori adalah Penguat kuasa Jabatan Tanah dan Ukur (Kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi), Jabatan Kerja Raya (Kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi),Persatuan Bulan Sabit Merah Kota Kinabalu (Kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan), Kumpulan Yayasan Sabah (Kategori Swasta/Komersial), Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (Kategori IPTA/IPTS), SMK Agama Kota Kinabalu (Kategori Sekolah Menengah), dan SK St Francis Convent (Kategori Sekolah Rendah).

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.