RABU, 27 SEPTEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima sejumlah RM5.4 juta pada tahun lalu bagi membiayai 49 projek penyelidikan baharu.

Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, sejumlah RM3.6 juta daripada geran tersebut diperoleh dari agensi kerajaan, selain RM558,000 dari pihak swasta dan RM1.2 juta dari institusi antarabangsa.

“Selain itu, menyedari betapa pentingnya perlindungan harta intelek bagi setiap produk yang dihasilkan melalui penyelidikan, UMS merekodkan sebanyak 15 produk telah dilindungi iaitu merangkumi Pemfailan Paten – Kebangsaan (4 produk), Utilili Inovasi (1 produk), Cap Dagangan (7 produk) dan Hak Cipta – Notification of Works (3 produk). 

“Dari segi pengkomersialan, sepanjang tahun lalu UMS telah berjaya mengkomersialkan tiga teknologi iaitu LAMB Biomass Dryer hasil inovasi Dr. Jidon @ Adrian Janaun dari Fakulti Kejuruteraan, Garoupa-1 dan Garoupa-2 hasil inovasi Pengarah Insitut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS, Prof. Dr. Rossita Shapawi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Penyelidik UMS (APUMS) 2016 di Dewan Bankuasi, pagi tadi.

Menurut beliau, selain memberi pengiktirafan kepada para penyelidik terhadap usaha mereka mengharumkan nama universiti seperti penganjuran Majlis APUMS, pengurusan universiti juga sentiasa memberi sokongan untuk menyuburkan budaya penyelidikan dalam kalangan pensyarah.

“Sebagai contoh, setiap tahun, universiti memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk geran penyelidikan dalaman UMS yang dikenali sebagai Skim Geran Penyelidikan UMS (SGPUMS).

“Skim ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Skim Pensyarah Lantikan Baru (SPLB) untuk penyelidik muda dan Skim Penyelidikan Bidang Keutamaan (SPBK) yang memberi fokus kepada bidang tujahan utama universiti,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Prof. D Kamarudin menyampaikan beberapa anugerah utama dalam APUMS, antaranya Anugerah Penyelidik Cemerlang Muda yang diberikan kepada Pensyarah Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Eko Prayitno Joko bagi bidang Sains Sosial, dan Pensyarah IPMB, Dr. Ching Fui Fui @ Faihana Ching Abdullah bagi bidang Sains.

Turut menerima anugerah ialah Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan bagi Anugerah Penyelidik Cemerlang kategori Sains Sosial, dan Prof. Madya Dr. Kenneth Francis Rodrigues dari Institut Penyelidikan Bioteknologi yang turut menerima Anugerah Penyelidik Cemerlang kategori Bidang Sains.

Anugerah Penyelidik Cemerlang – Malim pula diberikan kepada Prof. Dr. Awang Bono dari Fakulti Kejuruteraan, dan Prof. Dr. Felix Tongkul dari Fakulti Sains dan Sumber Alam, dengan masing-masing menerima sijil penghargaan dan geran penyelidikan bernilai RM50,000.

 

Foto: Musaab Umair, BPK

 

 

ISNIN, 25 SEPTEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menzahirkan ucapan tahniah kepada Mantan Canselor UMS yang pertama, Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai yang dinobat sebagai Tokoh Maal Hijrah 1439H Peringkat Kebangsaan, dan Mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Tan Sri Datuk Abdul Hamid Egoh yang terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1439H Peringkat Negeri Sabah baru-baru ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, pemilihan kedua-dua tokoh tersebut merupakan satu pengiktirafan besar terhadap jasa kedua-dua individu terbabit yang banyak memberi sumbangan besar khususnya dalam menerajui organisasi pendidikan dan keilmuan Islam.

"Bagi pihak seluruh warga UMS, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pengurniaan anugerah tersebut, dan kami semua mendoakan agar kedua-dua tokoh yang sememangnya sinonim dengan sejarah penubuhan awal UMS ini akan terus diberikan kesihatan yang baik untuk meneruskan usaha-usaha berkaitan dakwah dan kegiatan organisasi Islam di negeri ini,” katanya.

Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran menerima penganugerahan tersebut dalam satu Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan yang dilangsungkan di Masjid Wilayah Persekutuan, dan disampaikan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tan Sri Abdul Hamid pula dianugerahi Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah bersempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah di Dewan Serbaguna Libaran, yang disampaikan Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Dr. Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin.

Untuk rekod, Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran merupakan Canselor UMS pada tahun 1995 hingga 2002, manakala Tan Sri Abdul Hamid menerajui kepimpinan LPU UMS sebagai pengerusi bermula tahun 1995 sehingga 2013.

MONDAY, 25 SEPTEMBER – The Housewives and Women Staff Club (KESUMBA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) paid a courtesy call to the consort of the Head of State who is the Patron of KESUMBA, Toh Puan Hajah Norlidah Tan Sri R.M. Jasni at Istana Negeri, Kota Kinabalu recently.

The 10 member delegation was led by its President, Roha Asmara, wife of UMS Vice-Chancellor.

During the briefing, Roha introduced the new line-up of the 2017-2019 Exco and explained the past and upcoming activities of KESUMBA to the Patron, which included a Charity Dinner next year with some students of UMS under the B40 programme.

Toh Puan Norlidah expressed her support  in KESUMBA’s activities particularly in helping the underpriviledged and urged KESUMBA to continue with its noble gesture.

Roha further explained that KESUMBA would also be organising a Seminar on Family, and Women’s Health Talk besides other interesting activities geared towards women.

Also present during the courtesy call were the Deputy President of the Club, Dr. Aza Sherin Mohamad Yusuff; Honorary Secretary, Stella @ Nurul Martini Gontol and other Exco members. - FL

 

SELASA, 19 SEPTEMBER – Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman E sekali lagi berjaya menganjurkan Program Seerat Salam Sesi 2017/2018 selama seminggu bertempat di kolej kediaman berkenaan.

Program tahunan kolej kediaman itu yang berlangsung sehingga Ahad bertujuan memperkenalkan Kolej Kediaman E serta pihak pengurusan kepada siswa siswi baharu yang telah mendaftarkan diri di kolej tersebut.

Antara pengisian sepanjang Minggu Seerat Salam termasuklah Malam Pengenalan dan Taklimat Peraturan Kolej, Taklimat Kesihatan dan Malam Bersama Pemimpin, Malam Pengenalan Kelab, Ceramah Perdana dan Moral, Latihan dalam Kumpulan, Megarewang, Gotong-royong dan Malam Seribu Bintang yang merupakan malam penutupan bagi program ini.

Pada Malam Seribu Bintang, lebih 2,000 pelajar telah membanjiri Anjung Perdana Kolej Kediaman E bagi bersama-sama memeriahkan majlis penutupan yang turut dihadiri Pengetua Kolej, Dr. Syahruddin Hj. Awang Ahmad, dan Timbalan Pengetua Mohd Hilmey Saili.

Dalam ucapannya, Dr. Syahruddin turut menyuarakan harapan agar siswa siswi baharu dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelajar dengan baik, seterusnya memperkuat dan menggandakan usaha untuk mencapai cita-cita yang diimpikan selama ini.

 

Sumber: Kolej Kediaman E

 

 

 

SELASA, 19 SEPTEMBER - Hampir 200 warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan jemputan luar menyertai ceramah Industrial Revolution (IR) 4.0 yang berlangsung di Galeri Majlis, UMS hari ini.

Ceramah yang disampaikan Pengarah Strategi Perisian IBM Venture Capital Group, Deborah Magid itu membincangkan tentang revolusi industri seiring perkembangan teknologi serta impaknya kepada masyarakat dunia.

Deborah berkata, IR 4.0 bakal menyaksikan pelbagai kemajuan termasuk kemungkinan pergerakan kereta tanpa pemandu, penggunaan drone yang meluas dalam pelbagai aspek seperti penghantaran pakej barangan, bantuan kecemasan dan sebagainya.

"Penggunaan robot bagi memudahkan kerja-kerja yang pada ketika ini dilakukan oleh manusia juga akan dilihat dan ia sebenarnya sudah pun bermula di peringkat awal untuk di beberapa negara tertentu," katanya.

Tambah Deborah, yang menariknya juga ialah maklumat-maklumat akan menjadi lebih mudah melalui teknologi satelit yang juga bakal mengalami revolusi.

"Sebagai contoh kita boleh melihat bencana alam yang sedang berlaku di sesebuah tempat secara online streaming atau mana-mana saluran yang dihubungkan satelit berkenaan secara langsung," jelas beliau.

Terdahulu, Deborah turut bersama-sama Kaunselor Perhubungan Awam Duta Amerika Syarikat,  Bradley Hurst mengadakan kunjungan hormat kepada Pemangku Timbalan Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Rasid Mail  yang mewakili Naib Canselor.

Hadir sama Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik, Prof. Madya Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim dan Pegawai-pegawai Kanan UMS.

 

 

Foto: Suzeanywati Gasinin