RABU, 6 SEPTEMBER - Mahasiswa dinasihatkan agar tidak bergantung kepada apa yang diberikan pensyarah semasa dalam kelas atau kuliah, tetapi sentiasa menerokai ilmu yang berada di luar menerusi pembacaan, agar mampu menempatkan diri dalam pendidikan global.

Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Profesor Madya Dr. Murnizam Halik berkata, segala usaha dan kudrat harus dipaksikan atau difokuskan, kerana tidak wujud istilah jalan singkat dalam mencapai impian dan tidak wujud istilah putus asa dalam mengecapi kejayaan.

Tambahnya, bagi mengatasi cabaran mendatang, mahasiswa perlu ada pertimbangan yang baik, kerajinan, motivasi diri, optimis, berdaya tahan, bertanggungjawab dan berkeyakinan tinggi serta saling hormat menghormati sesama kita.

“Sikap proaktif, toleran, berfikiran terbuka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang berlaku di sekeliling amat diperlukan demi menjaga maruah diri dan nama baik universiti.

“Janganlah hanya tahu mengkritik, tetapi tidak konstruktif kerana ia akan memberi kesan kepada diri sendiri,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Pengarah dan Pengenalan Pegawai-pegawai UMS Kampus Antarabangsa Labuan sempena Minggu Suai Mesra UMSKAL Sesi Pengambilan Akademik 2017/2018 di Dewan Utama UMSKAL kelmarin.

Dr Murnizam juga mengingatkan mahasiswa bahawa jati diri sebagai seorang mahasiswa perlulah dijaga dan tidak mudah terpengaruh serta terikut-ikut dengan sebarang unsur negatif sama ada dari dalam dan luar kampus yang mengakibatkan pengajaran dan pembelajaran terganggu.

“Jangan mengorbankan harapan ibu bapa kita yang tinggi untuk melihat kita berjaya dalam pelajaran. Terimalah cabaran mereka merelakan siswa-siswi untuk berada di kampus ini untuk mencari ilmu sebelum berada dalam kehidupan sebenar dan mencabar di luar sana,”katanya.

Pada sesi kali ini, seramai 538 pelajar baharu sudah pun melaporkan diri yang membabitkan 463 pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan 75 pelajar Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pengarah UMSKAL merangkap Pengerusi MSM Sesi 2017/2018, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, dan Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Hanudin Amin.

Sumber: UMSKAL

 

 

RABU, 6 SEPTEMBER – Dalam kesibukan siswa-siswi baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) sesi 2017/2018 melalui program Minggu Suai Mesra sepanjang minggu ini, mereka turut berkesempatan menyampaikan idea dan pendapat dalam merealisasikan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Duta Belia TN50, Arthur Joseph Kurup dan Benreza Hezery Uzair dalam satu program Ceramah TN50 di Dewan Canselor, semalam.

Beberapa pandangan diutarakan para pelajar mendapat perhatian kedua-dua Duta TN50 tersebut, antaranya misi sifar golongan gelandangan menjelang tahun 2050 dengan mewujudkan institusi kemahiran buat golongan gelandangan.

Salah seorang pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) pula mencadangkan agar sistem pendidikan diperkukuhkan dengan menekankan elemen yang mampu merangsang pelajar untuk minat dalam menimba ilmu.

Katanya, aspirasi bagi melihat kanak-kanak suka ke sekolah dan tidak takut ke sekolah amat penting buat negara memandangkan negara memerlukan generasi muda berilmu, berkemahiran  dan mempunyai sahsiah diri yang tinggi secara berterusan.

Satu lagi pendapat yang turut menarik perhatian adalah aspirasi pemberian elektrik secara percuma kepada rakyat, yang mampu dicapai dengan memperluaskan penggunaan sistem solar bagi menjana tenaga boleh diperbaharui.

Benreza pada akhir program memuji aspirasi-aspirasi yang diutarakan para pelajar baharu UMS yang dilihat satu pandangan ke arah kesejahteraan masyarakat pada masa akan datang, serta turut berharap agar para pelajar baharu mampu saling menghormati antara satu sama lain, serta menghormati diri sendiri dengan tidak mempersia-siakan peluang menjalani pengajian sepanjang berada di UMS.

SELASA, 5 SEPTEMBER - Para pelajar universiti perlu fokus kepada tugasan atau tanggungjawab utama iaitu menimba ilmu pengetahuan kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching.

"Sekiranya pelajar dapat memenuhi tanggungjawab ini, pada empat atau lima tahun akan datang graduan yang dilahirkan adalah antara produk terbaik universiti yang pastinya menjadi kebanggaan keluarga, rakyat dan negara khususnya Negeri Sabah pada keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena program Ramah Mesra Bersama Pelajar Baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) sesi 2017/2018 di Dewan Canselor, hari ini. 

Menurut Datuk Dr. Mary, para pelajar juga perlu menjauhi budaya negatif yang menjurus kepada perpecahan sekali gus menghargai erti kemerdekaan dengan menolak budaya kebencian dan usaha menanam emosi kemarahan bagi mengekalkan keharmonian negara.

Beliau turut menaruh keyakinan bahawa pelajar universiti sentiasa bersama-sama dalam menjayakan agenda besar pendidikan negara bagi menjana modal insan berkualiti yang akan menjadi pewaris demi kesinambungan kemajuan dan kesejahteraan negara.

“Memang kita akui dan sedar, dalam menjana modal insan mengikut  acuan kita sendiri dan pada masa yang sama gah dalam pentas global bukan usaha dan proses yang mudah. Terlalu banyak cabaran dan usaha yang perlu dilaksanakan.

“Oleh itu kita telah berusaha mengorak langkah awal bagi memastikan visi dan aspirasi iaitu akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua pelajar, perpaduan dan efisiensi atau kecekapan yang tinggi dalam pelaksanaan dasar dan program pendidikan dapat direalisasikan,” jelas Datuk Dr. Mary.

Pada majlis itu beliau turut menyempurnakan pelancaran manual sistem iCGPA UMS.

Hadir sama Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D. Kamarudin D. Mudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Shahril Yusof; Pemangku Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rasid Mail; Pendaftar, No’man Hj. Ahmad; Ketua Pustakawan, Dayang Rukiah Awang Amit; dan Bendahari, Zaliffah Shahdan.

 

Foto: Ernest Berinus

SELASA, 5 SEPTEMBER - Seramai 4,720 pelajar melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kemasukan Pelajar Baharu Sesi 2017/2018.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali, jumlah tersebut merangkumi 2,121 (45%) pelajar dari Sabah, 2,293 (49%) pelajar Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Labuan serta 306 (6%) pelajar antarabangsa.

“306 pelajar antarabangsa itu merangkumi 17 negara, antaranya China (225 orang), Brunei (33 orang), Fiji (1 orang), Jerman (1 orang), Yemen (1 orang), Pakistan (2 orang), Myanmar (10 orang), Afghanistan (1 orang), Bangladesh (9 orang), Indonesia (7 orang), Laos (3 orang), Arab Saudi (3 orang), Thailand (3 orang), Turki (1 orang), Vietnam (2 orang) dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pendaftaran pelajar baru UMS di Kolej Kediaman Tun Fuad pada Ahad.

Prof. Dr. Ismail berkata, pecahan mengikut jantina pula ialah lelaki seramai 1,436 (30%), sementara perempuan 3,284 (70%).

“UMS turut menawarkan 200 tempat kepada pelajar menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam kalangan pelajar kurang berkemampuan untuk mengikuti pengajian prasiswazah kali ini.

“CSR ini yang merupakan kali kelima dijayakan UMS berdasarkan pendapatan isi rumah 40 peratus terendah dan melepasi syarat kelayakan minimum yang telah ditetapkan UPU,” jelasnya yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin.

Prof. Dr. Ismail memaklumkan, UMS juga turut menerima kemasukan 19 pelajar dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kesemua mereka ditempatkan di tingkat bawah kolej kediaman untuk memudahkan pergerakan selain disediakan kenderaan khas untuk menghadiri kuliah,” katanya.

Kesemua pelajar pelajar baharu akan mengikuti Minggu Suai Mesra (MSM) selama seminggu sebagai persiapan bagi menyesuaikan diri suasana kehidupan kampus. 

 

RABU, 30 OGOS – Seramai 15 peserta dari enam negara akan menyertai Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) 2017 di Sabah bermula 7 September depan.

Program selama 20 hari itu dianjurkan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

Pemangku Pengarah IBTP UMS, Prof. Madya Dr. Monica Suleiman berkata peserta kali ini terdiri dari wakil Botswana, Sri Lanka, Vietnam, Kemboja, Filipina dan Thailand.

“Program ini meliputi aktiviti formal dalam bilik kuliah, persembahan video, lawatan lapangan ke pelbagai kawasan hutan yang dilindungi, interaksi dengan masyarakat tempatan di pedalaman dan pinggir kawasan yang dilindungi serta bertemu mereka yang terlibat dalam usaha pemuliharaan di peringkat akar umbi.

"Program latihan merangkumi perolehan pengetahuan dan kemahiran berkaitan dengan integrasi, pelaksanaan penyelidikan dan pendidikan, pengurusan taman dan kesedaran awam," katanya dalam satu sidang media di Bilik Seminar IBTP hari ini.

Dr. Monica berharap melalui program ini para peserta juga dapat mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan pengurusan pemuliharaan (perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian) dan merealisasikan matlamat sama dalam aspek pemuliharaan.

Turut hadir pada sidang akhbar itu Pegawai Kajibumi Kanan Pejabat Hasil Bumi Jabatan Ketua Menteri Sabah, Gerald Jetony.

 

Foto: Nasrul Rukkung