ISNIN, 24 OKTOBER - Hampir 1500 hadirin memenuhi Dewan Kuliah Pusat ke-2 Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersempena program Soaring Upwards : Let’s Talk Higher Education Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang diadakan baru-baru ini.

Program yang dihoskan oleh Menteri KPT, Dato’ Seri Idris Jusoh itu merupakan signature programme KPT yang menjadi saluran hebahan utama bagi menyebar luas maklumat pendidikan tinggi Malaysia serta kejayaan-kejayaan yang telah dicapai di peringkat nasional dan antarabangsa.

Program Soaring Upwards : Let’s Talk Higher Education merupakan kesinambungan Program Jelajah KPT : Soaring Upwards yang telah diadakan dengan jayanya pada Januari hingga April 2016.

Selaras juga dengan hasrat KPT untuk membangunkan golongan belia dengan kepercayaan bahawa belia berpendidikan dapat memacu pembangunan negara, program tersebut memberi fokus kepada golongan berkenaan daripada institusi pendidikan, pusat latihan kemahiran, agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan serta pertubuhan di negara ini.

Empat orang ikon yang dijemput khas untuk berkongsi kejayaan mereka pada program tersebut ialah, Pengarah Urusan Wan Nazri & Partners, Ketua Jurutera Struktur Abraj al-Bait (Menara Jam Mekah), Wan Nazri Wan Aria; Atlet Lompat Tinggi Negara, Nauraj Singh Randhwa; Atlet Gimnastik Negara, Farah Ann Abdul Hadi; dan Pengacara Astro Awani (Alumni UMS), Hilal Azmi.

Program tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Dato’ Prof. Dr. Rujhan Mustafa dan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah bersama Pegawai-pegawai Utama serta Kanan Universiti. 

Foto: Suzeanywati Gasinin

JUMAAT, 21 OKTOBER - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah mengingatkan barisan pewakilan pelajar UMS agar menjalankan amanah yang diberikan dengan telus dan penuh dedikasi.

Menurut beliau pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2016/2017 yang berjalan dengan sistem pengundian yang sihat harus memastikan isu-isu dan perkara-perkara yang berhubung kait dengan kebajikan pelajar dan hal ehwal semasa dapat diketengahkan dan diselesaikan dengan baik.

“Ahli MPP memikul tanggungjawab untuk memelihara citra dan nama baik UMS, sekaligus mengangkat prestij UMS sebagai sebuah universiti awam terbaik. Justeru, tanggungjawab anda bukan sahaja berfokus kepada pelajar, bahkan anda adalah duta kepada universiti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan watikah pelantikan MPP sesi 2016/2017, kelmarin.

Profesor Datuk Dr. Harun turut menasihatkan barisan MPP untuk mengemukakan cadangan-cadangan yang rasional dan praktikal agar dapat diperhalusi dan dipertimbangkan oleh pihak pengurusan universiti.

MPP 2016/2017 menampilkan Mohd Afi Haziq Sapili dipilih sebagai Presiden, manakala Wan Mahussin Wan Zain dipilih sebagai Timbalan Presiden.

Selain itu, Nur Adilah Ismail dipilih menyandang jawatan Setiausaha, manakala Lim Way Yang menyandang jawatan Bendahari.

KHAMIS, 20 OKTOBER - Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Perpustakaan Negeri Sabah, Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) Kumpulan Sabah telah menganjurkan Bengkel Hands On Perpustakaan Digital PNM di UMS baru-baru ini.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari di Makmal Saham, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) dan Makmal Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) itu dihadiri seramai 200 orang peserta terdiri daripada pelajar UMS, pustakawan dan penjawat awam agensi negeri dan persekutuan di Sabah.

PNM dalam kenyataannya menjelaskan, objektif penganjuran bengkel tersebut adalah bagi membudayakan para penjawat awam di Malaysia untuk menjadikan Perpustakaan Digital PNM sebagai medium utama rujukan maklumat, selain meningkatkan usaha bagi menggalakkan lebih ramai pengguna merujuk kepada maklumat yang sahih.

Bengkel Hands On Perpustakaan Digital PNM juga adalah selaras dengan usaha PNM untuk meningkatkan statistik penggunaan selaras dengan sasaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia iaitu pencapaian sebanyak 3 juta pengguna pada tahun 2016, serta meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya amalan membaca dan literasi maklumat dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Melalui bengkel tersebut, peserta telah diberi tunjuk ajar secara spesifik untuk menggunakan pangkalan data yang terdapat di dalam Perkhidmatan Perpustakaan Digital PNM.

Perkhidmatan Perpustakaan Digital PNM adalah salah satu daripada Pelan Transformasi MOTAC di bawah inisiatif Merakyatkan Perkhidmatan Awam. Portal Perkhidmatan Sumber Elektronik PNM (PNM Digital) mula diperkenalkan pada April 2012 dan portal ini merupakan portal utama yang membolehkan rakyat Malaysia mengakses pelbagai maklumat dari pangkalan data yang dilanggan dan juga inisiatif digital PNM.

Perkhidmatan ini boleh diakses melalui url: www.pnmdigital.gov.my.

Sumber: Perpustakaan UMS

KHAMIS, 20 OKTOBER – Proses pembuangan undi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dijalankan serentak di Kota Kinabalu, Labuan dan Sandakan berjalan lancar, kelmarin.

Proses pengundian yang bermula seawal pukul 9.00 pagi sehingga 7.00 petang menyaksikan seramai 16 calon bertanding merebut tujuh Kerusi Umum yang dipertandingkan di Kampus Induk.

Manakala, empat calon bertanding untuk dua Kerusi Umum di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) dan dua calon untuk satu kerusi di Sandakan.

Pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Nur Adilah Ismail mendahului senarai calon apabila berjaya meraih undian terbanyak dengan jumlah 3,831 undi.

Ia disusuli oleh dua calon lelaki yang mengekori rapat jejak beliau dengan jumlah undian yang memberangsangkan. Mereka ialah Wan Mahussin Wan Zain (3,751) dan Mohd. Johari Mohd. Shafuwan (3,738).

Empat Kerusi Umum selebihnya dimenangi Lim Way Yang (3,346), Mohd. Afi Haziq Sapili (3,286), Muhammad Naqueeb Abdul Rahman (3,223) dan Nur Syabira Anis Mohd. Rodzi (2,810).

Dua Kerusi umum UMSKAL pula disandang Mohd. Fadzil Mohd. Arfah dan Husna ‘Izzati Abdullah, manakala Kerusi Umum Kampus Cawangan Sandakan menjadi milik Nur Hidayahtul Ain Anuar.

Bagi Kerusi Fakulti, sebanyak 22 kerusi dipertandingkan dengan setiap fakulti termasuk Pusat Pengajian Pascasiswazah memperuntukkan dua kerusi.

Pengumuman keputusan telah disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali di Auditorium Perpustakaan UMS.

Beliau turut mengumumkan peningkatan peratusan pelajar yang turun mengundi iaitu 57.1% berbanding 38% pada tahun lalu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana PMPP sesi 2016/2017, Prof. Dr. Rasid Mail dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azmi Jumat.

SELASA, 18 OKTOBER – Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) menganjurkan Program Ziarah Fillah di Surau Al Hidayah Kampung Giling Laut Tuaran baru-baru ini.

Menurut Pengarah PIUMS, Dr. Mohd. Suhaimi Taat, program itu antara lain bertujuan menyampaikan ilmu dan amalan agama kepada masyarakat sekali gus memperbaiki pelaksanaan ibadah solat yang menepati hukum dan sunnah.

“Selain diisi dengan Kursus Tahsin Solat dan Pengurusan Jenazah, program tersebut dapat mengeratkan lagi jalinan silaturhim antara pihak UMS dengan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap merasmikan program itu.

Dr. Suhaimi turut menyuarakan  harapan agar lebih ramai yang akan datang solat berjemaah di surau  berkenaan dan sentiasa mengimarahkan majlis-majlis ilmu pada masa akan datang.

“Pusat Islam UMS sentiasa bersedia berkongsi ilmu kepada masyarakat di kampung ini pada bila-bila masa sesuai yang diperlukan,” tambahnya.

Hadir sama, Pengerusi Surau Al Hidayah, Muslin Jaim.

Berlangsung selama sehari, hampir 90 penduduk Kampung Giling Laut  bersama staf UMS telah mengambil bahagian dalam program tersebut.

   Sumber: Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.