RABU, 1 JUN - Seramai lapan orang pensyarah dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melakukan lawatan kerja ke Kota Tarakan bermula dari 30 Mei lalu yang dijangka akan berakhir sehingga 2 Jun.

Lawatan tersebut antara lain bertumpu kepada perbincangan lanjut mengenai penyelidikan bersama dengan para penyelidik dan pensyarah dari Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi (STIE) Bulungan Tarakan, Indonesia. 

Hasil perbincangan antara dua pihak, sejumlah lebih dari sepuluh projek penyelidikan dicadangkan oleh FPEP dan enam dari pihak STIE yang melibatkan bidang perniagaan, ekonomi, pelancongan dan pengurusan yang berhubung kait dengan negeri Sabah dan Kota Tarakan di Indonesia.

Menurut ketua STIE, Drs R. Philipus, koloborasi bersama FPEP UMS ini merupakan koloborasi penyelidikan yang julung kali diadakan oleh STIE bersama universiti dari luar negara.

Ujarnya, beliau percaya dengan kedudukan UMS sebagai antara universiti tersohor di Malaysia, maka beberapa dapatan-dapatan berimpak tinggi dapat dihasilkan hasil gabungan penyelidikan pensyarah UMS dan STIE.

“Ini sekali gus menjadikan kolaborasi seumpama ini akan merintis suatu budaya penyelidikan merentas sempadan yang mengharmonikan lagi persahabatan dua negara Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Sementara itu, pensyarah FPEP, Prof Dr Arsiah Hj Bahrom selaku ketua rombongan UMS berkata banyak idea-idea baharu boleh ditonjolkan menerusi penyelidikan yang dilakukan bersama dalam konteks dua wilayah bersempadan dalam Kepulauan Borneo dan Kalimantan.

“Selain forum perbincangan, beberapa siri tinjauan, temu bual, dan kutipan data dibuat oleh para penyelidik dari UMS selama empat hari berada di Kota Tarakan.

“FPEP, UMS juga akan meterai Memorandum Persefahaman dalam masa terdekat dengan STIE bagi memperkukuh dan mempergiatkan lagi kerjasama dengan institusi pendidikan luar negara, yakni STIE,” katanya.

Lawatan kali kedua FPEP, UMS ke STIE, Indonesia ini diharapkan dapat mempergiatkan lagi kerjasama dalam penyelidikan rentas sempadan, di samping aktiviti akademik lain yang berkaitan.

Para pensyarah dari STIE juga dijangka akan berkunjung ke negeri Sabah sebagai melengkapkan hasil kajian antara dua pihak.

Sumber: Jakaria Dasan, FPEP

RABU, 1 JUN - UMS ASEAN Day yang julung kalinya dianjurkan di Perpustakaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu meningkatkan lagi kefahaman khususnya kepada pelajar universiti tentang budaya dan pengetahuan am mengenai sepuluh buah negara yang berada dalam rantau Asia Tenggara.

Program anjuran The Student Ambassadors and International Students of UMS dengan kerjasama Pusat Hal Ehwal Antarabangsa UMS itu antara lain bertujuan untuk memberi kesedaran tentang ASEAN dan negara-negara ASEAN, serta menggalakkan penglibatan pelajar dalam dan luar negara dalam menjayakan program yang berlangsung selama empat hari ini.

Ketua Perpustakaan UMS, Dg. Rukiah Ag Amit ketika berucap merasmikan program tersebut berkata, UMS sendiri mempunyai ramai pelajar dari negara ASEAN, justeru penglibatan mereka dalam mempromosikan negara ASEAN ini mampu menggalakkan pertukaran idea dan pengetahuan mengenai budaya negara masing-masing.

“Program ini menyediakan pelbagai acara antaranya pameran, permainan, pertandingan puisi, dan tayangan filem khusus kepada pelajar UMS mahupun orang luar sebagai satu kaedah memberi pemahaman tentang negara-negara ASEAN sekali gus menerapkan semangat ASEAN dalam kalangan pelajar.

“Diharapkan acara ini tidak terhenti di sini tetapi akan dijadikan sebagai acara tahunan universiti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PHEA, Molly Donna Awang Sham berkata, pihaknya amat gembira dengan penglibatan dan kerjasama yang baik daripada pelajar UMS, sama ada pelajar tempatan mahupun pelajar antarabangsa.

“Program ini dilihat berjaya mencapai objektif dengan menghimpunkan dan menggalakkan kerjasama daripada pemimpin pelajar tempatan dan antarabangsa, mereka inilah generasi muda pada masa hadapan yang akan terus mendukung semangat ASEAN ini,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Kosnul Jeneral Indonesia, Akhmad Daya Haudasah Irfan, Konsul Jeneral Negara Brunei Darussalam, P.g. Hajah Nooriyah PLW. Pg. Haji Yussof dan Pegawai Eksekutif Kementerian Luar Malaysia, Pejabat Wilayah Sabah, Mohd. Adham Yahaya.-MA-

JUMAAT, 27 MEI - Seramai 100 warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) memulakan perjalanan ke destinasi di Kampung  Puun Batu, Nabawan bagi menjayakan program Rentas Borneo 2016 (RB16) hari ini.

Semua peserta menaiki 26 buah kenderaan pacuan empat roda yang menggunakan khidmat Kelab Sukarelawan Pacuan 4 Roda UMS (UMS4WDVC).

Selain penyertaan daripada UMS, RB16 juga turut disertai kru produksi RTM, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Keningau FM.

RB16 yang diadakan sehingga 30 Mei akan menganjurkan pelbagai aktiviti bersama penduduk kampung seperti pemeriksaan perubatan dan kesihatan, pertandingan melukis dan mewarna untuk murid-murid sekolah dan demo kenderaan pacuan empat roda.

Turut diadakan, persembahan kebudayaan, pertandingan Unduk Ngadau, perlawanan bola sepak dan bola tampar serta serahan sumbangan pakaian.

Majlis pelepasan konvoi disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Dr. Hj. Yusof Hj. Yacob di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. D Kamarudin D Mudin dan  Pengerusi RB16 yang juga Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS, Prof. Dr Ismail Ibrahim.

KHAMIS, 26 MEI - UMS Investment Holdings Sdn. Bhd (UiNVEST) telah menandatangani satu memorandum perjanjian bersama Kolej Profesional dan Pengurusan KLIA (Kolej KLIA) bertempat di Galeri Majlis, Bangunan Canselori hari ini.

Melalui perjanjian tersebut ia dapat meningkatkan kerjasama di antara dua pihak dalam bidang keupayaan dan kemampuan pembangunan untuk menyokong sektor pendidikan yang lebih dinamik.

Bercakap ketika majlis tersebut, Pengerusi Lembaga Pengarah UiNVEST, Datuk Awang Buhtamam Awang Mahmun berkata memorandum perjanjian tersebut bertindak sebagai platform mempromosikan program Ijazah Sarjana (Secara Kerja Kursus) UMS di Kuala Lumpur dengan menjadikan Kolej KLIA sebagai Pusat Pembelajaran Pusat Luar UMS (PLUMS).

“Ini seterusnya dapat menjadikan tumpuan utama graduan-graduan serta golongan berkerjaya yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dengan penawaran Program Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Ijazah Sarjana Pengurusan Modal Manusia (MHCM) di Kuala Lumpur.

“Perjanjian ini turut menggariskan tanggungjawab kedua belah pihak dalam memastikan program pengajian yang ditawarkan adalah mengikut peraturan pengajian yang telah ditetapkan oleh universiti,” jelasnya.

Dengan termeterainya memorandum perjianjian tersebut, ia sekaligus dapat mengeratkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak dan bersedia untuk berkongsi kepakaran melalui bidang akademik dan penyelidikan serta melahirkan modal insan yang berkualiti bagi menyokong pembangunan mampan.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi.

Foto: UiNVEST

KHAMIS, 26 MEI – Majlis Anugerah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni kali ke-18 Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mengiktiraf pencapaian dan kecemerlangan pelajar-pelajar UMS sama ada dalam bidang kepimpinan, sukan mahupun kesukarelawan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah berkata, penganjuran majlis itu adalah sebagai tanda keprihatinan dan semangat universiti bagi meraikan kejayaan para pelajar yang telah banyak menyumbang dalam mengharumkan nama UMS selain terlibat membantu menjayakan aktiviti-aktiviti universiti.

“Penganjuran majlis seumpama ini diharap berupaya memberi suntikan semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha dengan lebih gigih bagi meningkatkan lagi sumbangan dan pencapaian di peringkat kebangsaan dan peringkat yang tertinggi di persada antarabangsa,” katanya dalam ucapan beliau sempena majlis tersebut.

Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Mary Yap Kain Ching di Grand Ballroom, The Klagan Regency, 1Borneo.

Pada majlis itu, sejumlah 13 buah anugerah, iaitu enam anugerah bagi kategori berkumpulan, dan tujuh anugerah bagi kategori individu masing-masing disampaikan oleh Datuk Harun dan Datuk Mary Yap.

Kolej Kediaman E cemerlang dengan merangkul tiga kategori anugerah pada majlis tersebut, iaitu Anugerah Pengurusan JAKMAS Terbaik, Anugerah Kesenian dan Kebudayaan Terbaik, dan Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman Cemerlang menerusi Yang Dipertua JAKMAS Kolej E, Nurul Syazwani Mohamad Ghaazali.

 

Senarai Pemenang Anugerah MAHEPA Ke-18:

  1. Anugerah Pasukan Wanita Terbaik -  Pasukan Karate-Do (Kata) Wanita
  2. Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik- Pasukan Taekwondo (Poomsae) Lelaki
  3. Anugerah Kesenian dan Kebudayaan Terbaik - Kelab Lantera Tari, Kolej Kediaman E
  4. Anugerah Pengurusan JAKMAS Terbaik –JAKMAS Kolej Kediaman E
  5. Anugerah Pengurusan Pertubuhan Mahasiswa Terbaik – Persatuan Mahasiswa Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan
  6. Anugerah Penganjuran Program Kemahasiswaan Terbaik – Sekretariat Pencegahan Rasuah UMS
  7. Anugerah Olahragawati – Christina Edris
  8. Anugerah Olahragawan – Ahmadi Radi
  9. Anugerah Kepimpinan Kesukarelawanan Cemerlang – Asmah Kadir
  10. Anugerah Pemimpin Persatuan Fakulti Cemerlang – Ribuan Abdul Karim
  11. Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman Cemerlang- Nurul Syazwani Mohamad Ghaazali
  12. Anugerah Pemimpin Harapan – Nur Adilah Ismail
  13. Anugerah Pemimpin Mahasiswa Cemerlang – Mohd Taufik Nordin (Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2015/2016)

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.