JUMAAT, 20 MEI – Siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) disaran agar berusaha mencapai keseimbangan dalam bidang akademik mahupun sahsiah diri.

Dekan Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Prof. Ir. Dr. Rosalam Sabartly berkata, universiti sentiasa berusaha meningkatkan potensi pelajar dalam kedua-dua aspek tersebut agar para pelajar bukan sahaja mampu mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, tetapi juga mampu menguasai kemahiran komunikasi dan semangat kerja berpasukan yang penting untuk kerjaya pada masa akan datang.

“Pencapaian akademik yang baik hanya mengukuhkan asas dalam mencari kerjaya yang baik, tetapi nilai-nilai seperti kepimpinan atau semangat kerja berpasukan adalah yang penting untuk diterima bekerja dalam sesebuah organisasi.

“Justeru, pelajar juga harus mengasah pelbagai kemahiran sebagai persediaan kepada kerjaya kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar FKJ di Dewan Bankuasi, UMS pagi tadi.

Mengenai penganugerahan kepada pelajar pada majlis tersebut, beliau berharap anugerah-anugerah yang diberi mampu menyuntik semangat para penerima untuk meneruskan kecemerlangan, serta memberi semangat kepada pelajar lain untuk mencapai kejayaan yang sama.

Pada majlis itu, seramai 62 pelajar dari pelbagai program fakulti menerima Anugerah Pelajar Dedikasi, Anugerah Kepimpinan, Anugerah Pelajar Harapan, Anugerah Dekan dan Anugerah Khas Dekan yang disampaikan oleh Dr. Rosalam. -MA-

JUMAAT, 20 MEI - “Heart of Borneo” yang menjadi tema bagi Matrix Show pada tahun ini memberikan gambaran jelas tentang adat, budaya dan warisan negeri Sabah yang menghasilkan nilai estetika dan keunikan tersendiri.

Matrix Show atau dari singkatan Media Art Technology with Camera Tricks Excellence merupakan pameran hasil karya pelajar tahun akhir Program Teknologi Seni Visual (PSV), Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mencakupi pelbagai bidang seni visual seperti catan, animasi, filem, dokumentari, seramik, arca, cetakan, batik, kraf tangan, periklanan dan seni fiber.

Seramai 65 pelajar terlibat dengan 65 hasil karya daripada pelbagai disiplin ilmu seni visual dipamerkan selama 6 hari yang bermula pada 19 Mei dan akan berakhir pada 24 Mei ini.

Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Najib bin Ahmad Dawa berkata, beliau percaya idea dan kefahaman yang lebih mantap tentang kebudayaan dan kesenian masyarakat di Borneo dapat diperoleh menerusi Matrix Show.

“Saya mengharapkan projek Matrix Show ini dapat menjadikan hasil karya seni mahasiswa UMS sebagai satu produk yang bertaraf antarabangsa dan menjadikan UMS sebagai ikon persidangan seni budaya di peringkat Asia dan dunia,” katanya yang turut merasmikan Matrix Show 2016 di Galeri Seni, FKSW, UMS kelmarin.

Beliau turut yakin dengan daya kreativiti dan inovasi pelajar seni visual UMS yang dapat memenuhi kehendak pasaran di luar dan menyeru kepada para penyelidik dan pelajar UMS agar dapat menghasilkan karya-karya yang boleh mengangkat nilai-nilai kearifan tempatan negeri Sabah.

KHAMIS, 19 MEI – Program Minggu Bertemu Pelanggan (MBP) anjuran bersama empat jabatan Universiti Malaysia Sabah (UMS), iaitu Jabatan Bendahari, Perpustakaan, Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi mampu meningkatkan kefahaman kepada pengguna dan pelanggan terhadap perkhidmatan yang disampaikan universiti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah berkata, penganjuran program sebegini juga turut menyediakan platform dan kemudahan penyelesaian masalah serta merta terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh jabatan-jabatan universiti.

“Saya sangat positif bahawa ini akan memberikan impak besar kepada warga universiti khususnya terhadap penyampaian perkhidmatan bukan sahaja oleh keempat-empat jabatan yang menganjur, tetapi juga menjadi contoh kepada Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Unit lain di UMS,” katanya dalam ucapan sempena majlis perasmian program MBP di 1Megalab, Perpustakaan UMS baru-baru ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin.

Ujarnya lagi, pelbagai langkah perlu dilakukan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan universiti termasuk usaha mengurangkan karenah birokrasi dengan mempermudah dan memperkemas sistem dan prosedur kerja, memantapkan pentadbiran serta mengukur prestasi berasaskan Petunjuk Utama Prestasi (KPI).

Beberapa program menarik disediakan sepanjang seminggu program tersebut berlangsung, antaranya siri ceramah dan taklimat pengurusan oleh keempat-empat jabatan, aktiviti mewarna oleh kanak-kanak, kaunter perkhidmatan, pertandingan kuiz kepada pengunjung yang hadir, serta sesi forum bersama pelanggan.

Foto: Suzeanywati Gasinin

KHAMIS, 19 MEI – Majlis Penghargaan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) yang berlangsung baru-baru ini meraikan beberapa kakitangan akademik dan bukan akademik yang telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang dan memberi sumbangan besar kepada fakulti.

Bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, FSSA, majlis tersebut telah disempurnakan oleh dekannya, Prof. Dr. Baba Musta.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan majlis itu sebagai satu tanda pengiktirafan kepada kakitangan yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam perkhidmatan.

“Ini juga akan menjadi pendorong kepada kakitangan yang lain untuk sama-sama bersaing secara sihat bagi meningkatkan mutu perkhidmatan masing-masing.

“Disamping itu majlis ini turut menghargai sumbangan yang diberikan oleh kakitangan yang telah berpindah jabatan dan menamatkan perkhidmatan,” katanya.

Beliau turut berharap agar kecemerlangan tersebut dapat diteruskan secara konsisten pada masa akan datang serta menjadi cabaran kepada warga fakulti yang lain untuk meningkatkan produktiviti kerja.

Pada majlis itu, semua penerima anugerah kakitangan terbaik menerima cenderamata manakala gambar penerima anugerah akan dipamerkan di ruang utama papan notis fakulti.

Senarai Anugerah :

Kakitangan Terbaik Bukan Akademik (Sektor Pentadbiran)

  1. Noni Masjiril
  2. Mohd Gan Mohd Rashid

Kakitangan Terbaik Bukan Akademik (Sektor Sains)

  1. Seli @ Seliman Rajion
  2. Neldin Jeoffery

Penghargaan Ke atas Perkhidmatan

  1. Norlita Ismail (Menamatkan Perkhidmatan)
  2. Augustina Petrus (Bertukar Jabatan)

Sumber: Kenny Uwai, FSSA

RABU, 18 MEI - Para penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi menunjukkan pencapaian membanggakan apabila berjaya merangkul lima pingat emas dan tiga perak dalam  penyertaan International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2016 baru-baru ini.

Pingat-pingat itu diperoleh daripada lapan penyelidikan yang dipertandingkan pada pameran tersebut yang diadakan di di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). 

Dua pingat emas disumbangkan melalui penyelidikan bertajuk Firmeco, Eco-Friendly Edible Cutlery dan Functional Seaweed Snack with Prebiotic hasil kajian kumpulan penyelidik yang diterajui Prof. Madya Dr. Chye Fook Yee.

Tiga pingat emas yang lain diperoleh oleh kumpulan penyelidik yang diterajui Prof. Dr. Rossita Shapawi, Dr. Raihana Musawwir dan Dr Ramraini Ali Hassan melalui penyelidikan masing-masing iaitu Garoupa-Like, UMS Wheel for Bishop Scoring, dan Ib-Plan Software and Manual.

Bagi pingat perak pula, dua daripadanya masing-masing diterjemahkan melalui kumpulan penyelidik yang diterajui Mohd Suffian Misaran @ Misran dengan penyelidikan bertajuk Mix-wind Turbine dan Prof. Madya Dr. D. Maryama Ag. Daud dengan tajuk kajian PSS Reps Counter.

Satu lagi pingat perak diperoleh melalui penyelidikan bertajuk Kappa-Tank hasil kajian bersama oleh Prof. Dr Rossita Shapawi dan Wahidatul Husna Zuldin.

ITEX 2016 merupakan pameran bertaraf antarabangsa anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS). -SS

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.