JUMAAT, 13 MEI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah merangkul anugerah International Students Achivement 2015 pada majlis International Appreciation Night 2016 yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baru-baru ini.

Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa, Molly Donna Awang Sham berkata, anugerah ini merupakan pencapaian terbaik UMS dalam memperkasakan pengantarabangsaan pelajar antarabangsa.

“Anugerah ini mengambil kira beberapa kriteria khas iaitu pengurusan pelajar antarabangsa terbaik, bilangan pelajar antarabangsa dari kepelbagaian negara dan hubungan kerjasama universiti,” jelasnya.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengarah Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF), Prof. Dato’ Dr. Morshidi Sirat.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah menerusi kenyataannya menerusi Facebook turut berkata, kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan atas usaha UMS mempromosikan sebagai destinasi terbaik bagi pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di universiti ini.

Selain dari anugerah ini, majlis yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, UMT itu turut menyediakan anugerah International Students Diversity Achievement 2015.

Turut hadir pada majlis tersebut, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar dan Pengarah Bahagian Education Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Jamalulail Abu Bakar.

JUMAAT, 13 MEI - Seramai lebih kurang 40 orang pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) telah menyertai Bengkel Penulisan Rencana anjuran pejabat FPEP dengan kerjasama Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Perhubungan Korporat

Bertempat di Bilik Persidangan MBA, FPEP, bengkel setengah hari yang bermula dari jam 8.30 pagi itu menyaksikan dua orang penceramah iaitu Pegawai Bahagian Perhubungan Korporat, Che Hasruddin Che Hasan, menyampaikan ceramah bertajuk “Penulisan Rencana Mengikut Garis Panduan UMS’.

Ini disusuli dengan sesi bersama Pensyarah Komunikasi Korporat FPEP, Jakaria Dasan yang berkongsi pengalaman beliau dalam tajuk “Teknik Praktikal Menulis Rencana: TM IS OK”.

Dekan FPEP, Prof Dr Rasid Mail ketika merasmikan Bengkel berkenaan menyarankan agar para pensyarahnya melihat ruang menulis rencana sebagai satu wahana untuk mempertingkatkan budaya menulis hasil penyelidikan mengikut kepakaran masing-masing.

Menurutnya, akhbar tidak kurang pentingnya kerana masyarakat lebih peka kepada berita atau penyelidikan yang ditulis di akhbar daripada jurnal-jurnal yang ada, dan menjadikan masyarakat lebih peka mengenai kepakaran yang terdapat di UMS di samping menjadikan UMS sebagai pusat rujukan mereka pada masa akan datang.

“Pensyarah perlu melihat penulisan rencana sebagai satu keperluan memandangkan pensyarah adalah subject-expert tertentu yang boleh mengongsikan kepakaran mereka dengan masyarakat.

“Ini sekaligus akan turut membantu peningkatan hidup rakyat kesan daripada perkongsian ilmu mereka menerusi rencana di akhbar, kata beliau. Prof Dr.Rasid Hj Mail.

Dalam pada itu, Che Hasrudin dalam sesinya menekankan bahawa terdapat beberapa peraturan-peraturan tertentu yang perlu diberi perhatian oleh para pensyarah ketika menghasilkan sesebuah artikel, selain para pensyarah perlu lebih peka mengenai isu semasa ketika membuat sesebuah artikel.

“Dalam hubungan ini, sesebuah artikel itu perlu berupaya untuk menyumbang kepada isu-isu semasa yang sedang berlaku. Walaubagaimana pun fokus boleh juga diberikan kepada hasil-hasil penyelidikan masing-masing yang dipercayai memberi manfaat jika diketahui umum,” ujarnya.

Jakaria Dasan dalam slotnya pula menekankan tentang beberapa perkara teknikal yang berkaitan seperti penjanaan idea dan pengolahan artikel.

Menurut beliau pembaca hanya ada masa selama 3 saat untuk membuat keputusan sama ada ingin membaca tulisan seseorang penulis atau pun tidak, justeru tajuk adalah memainkan peranan yang sangat besar.

“Tajuk yang mudah dan menarik serta ditulis sependek yang mungkin perlu dititikberatkan agar tajuk itu akan kelihatan lebih menarik.

Selain isu yang terkini dan sensasi, sesebuah rencana juga dibaca atas sebab gaya penulisan yang digunakan. Untuk itu, apabila menulis sesebuah rencana, penulis hendaklah berfikir sebagai mewakili akhbar terlibat dan bukan semata-mata mewakili organisasinya.

“Ini akan menjadikan seseorangan penulis itu sentiasa berhati-hati dalam mengupas isu dan tidak sembrono,” katanya.

Menggunakan sebuah analogi mudah, menurut Jakaria isu adalah racun, manakala artikel yang ditulis oleh pensyarah adalah penawarnya.

Bengkel Penulisan Rencana yang dipengerusikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FPEP, Dr Noor Fzlinda Fabeil ini antara lain menyahut saranan menyemarakkan budaya menulis rencana dalam kalangan pensyarahnya, dan akan diteruskan dalam siri 2 dalam masa terdekat dengan tumpuan akan ditumpukan kepada latihan praktikal dan sesi bersama Editor akhbar terpilih.

Sumber: Jakaria Dasan, FPEP

KHAMIS, 12 MEI- Misi Sukarelawan Siswa ‘UMS dan Komuniti’ anjuran Alumni Yayasan Sukarelawan Siswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini berjaya mencapai objektifnya di empat buah kampung yang terlibat.

Ketua pengarah program, Mohd Farhan Firdaus Jeffri berkata, misi sukarelawan itu yang diadakan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS berjaya memberi impak positif kepada Kampung (Kg) Bantayan, Tamparuli; Kg. Kindu, Tuaran; Kg. Pukak, Kiulu dan Kg. Pengkalan Abai, Kota Belud.

“Usaha ini membabitkan penyertaan 70 mahasiswa UMS yang berjaya melaksanakan aktiviti membaik pulih pondok sekolah, laluan pejalan kaki, membina bonggol jalan kampung, dan gotong-royong perdana bersama penduduk kampung,” katanya dalam satu kenyataan.

Firdaus berkata, program yang berjalan serentak di keempat-empat kampung itu berlangsung selama 3 hari dengan pelbagai pengisian lain termasuk sesi ‘Bicara Siswa’ bagi memberikan inspirasi kepada murid-murid sekolah rendah dan menengah.

“Lebih menarik lagi, sukarelawan siswa UMS turut mengadakan pemeriksaan kesihatan di semua empat kampung yang terlibat dengan kerjasama pelajar Fakulti Perubatan dan Kesihatan serta Klinik Kesihatan.

“Program sebegini semestinya memberikan impak dan kesan yang mendalam kepada mahasiswa untuk melatih diri menjadi pemimpin sukarelawan siswa yang menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Untuk rekod, kesemua sukarelawan siswa telah menjalani Kursus Tindakan Khas (KTK) sebagai persiapan fizikal dan mental sebelum menjalani misi kesukarelawan tersebut.

Sumber:  Alumni Yayasan Sukarelawan Siswa UMS

RABU, 11 MEI - Jabatan Sains Biomedikal dan Terapeutik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program Khidmat Kesihatan Masyarakat di Kiulu, Tuaran baru-baru ini.

Urusetia program, Dr. Nur Zuliani Ramli berkata, program selama sehari itu diadakan dengan kerjasama Klinik Kesihatan Kiulu, Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Kiulu serta Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) di Dewan Masyarakat, kampung Malangang Baru, Kiulu.

“Bertemakan ‘Jom Sihat Bah’ program ini telah menerima kehadiran kira-kira 100 penduduk setempat iaitu dari kampung Tombung, Namadan, Malangang Baru, Malangang Lama, Ponohuon dan kampung Topinahaton,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, program tersebut bertujuan memberi pendidikan dan pemeriksaan kesihatan secara interaktif, selain menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.

“Dalam masa yang sama, program ini juga bagi mewujudkan hubungan yang rapat antara ahli akademik, pegawai perubatan, kakitangan sokongan dan institusi kesihatan dengan masyarakat Kiulu,” tambah Nur Zuliani.

Antara aktiviti yang diadakan termasuklah khidmat pemeriksaan kesihatan bagi penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi, serta mengenal pasti individu yang mempunyai obesiti berat badan.

Turut diadakan kempen derma darah daripada Hospital Daerah Tuaran, sesi khas teknik pemeriksaan payudara bagi peserta perempuan dan pameran poster pendidikan kesihatan mengenai penyakit berjangkit seperti batuk kering dan denggi.

Sementara itu Nur Zuliani memaklumkan, satu ceramah kesihatan yang memberi tumpuan kepada diet sihat untuk pesakit diabetes juga diadakan di samping penerangan berkenaan penggunaan ubat-ubatan yang selamat daripada Unit Farmasi Klinik Kesihatan Kiulu dan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, UMS.

Program sehari itu turut dijayakan Pemangku Dekan, FPSK UMS, Prof. Dr. Zainal Arifin Mustapha;  Ketua Jabatan Biomedikal dan Terapeutik, Prof. Dr. Urban John Arnold D 'Souza; Pengerusi Penganjur, Dr. Kistina Binti Mohamed;  Pengarah Klinik Kesihatan Kiulu, Dr. Hairunnisa Hashami dan Pengerusi PPKK Kiulu, Janih Bangud. -SS

RABU, 11 MEI - Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (CICN) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi menganjurkan program CEO@Faculty yang memfokuskan perkongsian pengalaman dan perjalanan hidup individu berjaya.  

Ketika perasmian, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah menggalakkan siswa siswi mengambil peluang dan mempelajari ilmu baharu yang dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TH Plantation Berhad, Dato’ Zainal Azwar Zainal Aminuddin pada program itu.

“Kepada para penyelidik UMS, ini juga merupakan satu peluang untuk kita memahami keperluan serta memperkaya kurikulum semasa agar ia sentiasa relevan dan dapat menarik minat pihak industri,” ujarnya.

Sementara itu, Dato’ Zainal Azwar yang mempunyai pengetahuan luas dalam bidang industri berkongsi beberapa perkara yang harus diterapkan oleh siswa siswi sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan.

“Orang yang berjaya hari ini mempunyai 80 peratus kecerdasan emosi (EQ) berbanding 20 peratus kecerdasan intelektual (IQ). Dengan adanya kemahiran EQ ini, kita dapat mengawal konflik, emosi dan memahami persekitaran dengan lebih bijak,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menekankan penguasaan bahasa Inggeris sebagai salah satu elemen penting untuk menempuh cabaran dunia pekerjaan pada hari ini.

“Penguasaan bahasa asing terutama bahasa Inggeris kini sangat mustahak dan ia menjadi salah satu peluru kepada para graduan untuk mendapat tempat di bidang industri,” jelasnya.

Program The CEO@Faculty yang diadakan di Dewan Resital itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Kementerian Pendidikan Tinggi, Profesor Madya Dr. Arham Abdullah. -ZMD

Foto: Suzeanywati Gasinin

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.