KHAMIS, 5 MEI – Tiga kata kunci, iaitu Inovatif, Relevan dan Lestari harus dipegang dalam melaksanakan segala perancangan dan tadbir urus universiti seiring ke arah kecemerlangan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah berkata, dalam urusan pentadbiran universiti misalnya, langkah yang terbaik sentiasa dicari bagi memudahkan sesuatu proses dan mengelakkan berlakunya birokrasi. 

“Untuk itu, penubuhan Jawatankuasa Pemandu Kualiti dan Inovasi Pentadbiran di bawah Jabatan Pendaftar dapat menyokong perkara tersebut sekali gus membudayakan konsep inovasi di kalangan warga kerja universiti,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Universiti 2015 di Dewan Kuliah Pusat 2, pagi tadi.

Menurutnya lagi, bagi memastikan UMS sentiasa berdaya saing dan kekal relevan, inisiatif dalam meningkatkan imej universiti di persada antarabangsa harus dilakukan, iaitu dengan berusaha mencapai pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Dalam aspek Lestari, katanya peredaran zaman yang serba canggih ini memaksa masyarakat untuk berfikir bagaimana kelestarian alam sekitar dapat dikekalkan bagi generasi yang akan datang.

“Justeru, kesempatan ini harus kita ambil dan perkasakan agar UMS terkenal di dunia dengan konsep EcoCampus yang diperkenalkan sejak tiga tahun lalu.

“Saya berharap tiga kata kunci yang dinyatakan tadi dapat merobah minda serta sikap kita menjadi seorang yang cemerlang.

“Inovatif, Relevan dan Lestari, di samping motto UMS ‘Bertekad Cemerlang’ mampu disandarkan sebagai asas kecemerlangan UMS,” ujarnya. -MA-

Foto: Johaidi Ismail

KHAMIS, 5 MEI - Bagi menyokong kelestarian eko kampus, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah meneruskan Program Berbasikal mengelilingi kawasan UMS bermula pada bulan Februari lalu sehingga kini.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr. Ismail Ali, kempen ini diadakan bagi bertujuan menggalakkan warga kampus meminimumkan penggunaan kenderaan bermotor di dalam kampus dengan menggunakan basikal sebagai pengangkutan alternatif ke tempat kuliah, masjid mahupun perpustakaan.

“Dengan adanya program seumpama ini, ia juga dapat memberi kesedaran kepada warganya menghargai alam sekitar dengan cara mengurangkan pembebasan karbon monoksida berlebihan dari enjin bermotor.

“Selain itu, program ini juga adalah untuk membudayakan cara hidup sihat dengan menjadikan berbasikal sebagai satu rutin harian,” katanya.

Menurutnya lagi, kempen ini akan dilaksanakan secara berterusan di UMS Kampus Induk, UMS Kampus Antarabangsa Labuan  dan Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan dengan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskan penganjuran kempen berbasikal dengan kerjasama Pusat Sukan dan Kolej-Kolej Kediaman UMS.

Sehingga kini, sebanyak 100 unit basikal telah diagihkan kepada tiga kolej kediaman iaitu Kolej Kediaman Tuan Mustapha, Kolej Kediaman Tuan Fuad dan Kolej Kediaman E.

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Pelajar

RABU, 4 MEI - Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan yang bermula kelmarin terus berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti yang diadakan termasuk urus niaga jual beli pelbagai produk dan makanan.

Berlangsung di  Padang Kawad UMS, karnival yang diadakan sehingga Jumaat ini merupakan gabungan tiga acara iaitu Ekspo Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK), Pesta Kaamatan dan Pesta Tiong Hua.

Tinjauan media UMS mendapati, karnival itu terus mendapat kunjungan yang tidak putus-putus daripada kalangan pelajar, kakitangan dan orang awam.

Antara yang menjadi tarikan utama termasuklah hasil inovasi pelajar dalam penyediaan makanan yang pelbagai dengan rasanya yang enak dan menarik.

Krew media turut terpegun dengan keunikan beberapa kraftangan yang dihasilkan pelajar yang dijual pada harga yang berpatutan.

Sementara itu, seorang pelajar Tahun 2, Program Sains Sukan, Mohd Syaffezh Edham Ahmed ketika ditemui berkata, penganjuran program itu sangat bermanfaat terutama dalam memberi pendedahan kepada pelajar mengurus perniagaan dan mengaplikasi teknik komunikasi yang baik kepada pelanggan.

“Dalam masa yang sama, kita juga dapat mempelajari strategi pemasaran sekali gus menerapkan nilai keusahawanan itu dalam diri sendiri,” katanya yang meniagakan air kelapa susu cincau.

Beliau berkata, sambutan yang diterima amat memberangsangkan sehingga jualan bersama empat rakannya itu hampir habis sebelum tengahari pada hari pertama.

Lebih 150 gerai mengadakan jualan dan pameran sepanjang karnival itu berlangsung. -SS

RABU, 4 MEI – Seramai 52 pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS)  menganjurkan Program Komuniti Pendidikan Sains dan Teknologi bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan, baru-baru ini.

Menurut penyelia program, Dr. Siew Nyet Moi @ Sopiah Abdullah, program tersebut antara lain bertujuan menyediakan sokongan kepada pelajar  luar bandar dengan mengikuti aktiviti-aktiviti rekacipta bagi menyelesaikan masalah setempat secara kreatif dan inovatif melalui konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Seramai 50 pelajar tingkatan empat jurusan Sains Tulen daripada SMK Tambunan dan SMK Desa Wawasan terlibat secara langsung dalam program ini yang banyak menumpukan aktiviti-aktivit berkumpulan,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti STEM pertama adalah berkisarkan fenomena El Nino yang menyaksikan para pelajar bekerja dalam kumpulan berlima mencipta sebuah model berkonsepkan teknologi hijau bagi mengurang kesan El Nino terhadap tanaman, persekitaran dan diri sendiri.

“Manakala, aktiviti kedua ialah membina sebuah kincir kuasa angin atau air sebagai sumber tenaga alternatif yang percuma, bersih dan lestari (tenaga boleh baharu),” tambah Dr. Siew.

Jelas beliau, setiap kumpulan menggunakan pengetahuan sedia ada dan pengalaman lepas untuk merekabentuk satu alat pengepam air bagi mengatasi masalah pengairan di tapak penanaman padi Daerah Tambunan.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima melalui temubual, para pelajar menyatakan bahawa pengalaman hidup dan perkitaran banyak mempengaruhi cara mereka menjana idea-idea sehingga mampu menghasilkan rekaan yang pelbagai untuk menyelesaikan masalah yang diberikan.

“Melalui penglibatan diri dalam aktiviti seumpama ini, mereka lebih memahami konsep Sains dan seterusnya mengaplikasikannya dalam rekaan sekali gus meningkatkan daya kreativiti dan mengembangkan lagi daya imaginasi mereka,” katanya.

Turut hadir, wakil dari SMK Tambunan, Mohd Badrul Hisyam dan SMK Desa Wawasan, Jovinia Yulus.

Sumber: FPP

JUMAAT, 29 APRIL - Universiti Malaysia Sabah melalui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) menganjurkan bengkel yang memfokuskan bidang ekonomi dan aktiviti perniagaan di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE), baru-baru ini.

Bengkel yang dijalankan selama dua hari itu turut melibatkan Insititut Maritim Malaysia (MIMA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketika merasmikan bengkel tersebut, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) akan terus menarik bidang pelaburan ke Pembangunan Koridor Sabah (SDC) meskipun berdepan situasi ekonomi yang semakin mencabar.

“Lebih banyak usaha akan diberi tumpuan khususnya ke arah meningkatkan kecekapan sektor logistik dengan meningkatkan infrastruktur yang berkaitan dengan integrasi darat serta perkhidmatan air dan udara,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Ginun Yangus.

Beliau turut menambah, perbincangan serta penyelidikan berkenaan sektor ekonomi di kawasan ESSZONE perlu diteruskan agar perancangan rapi mengenai pembangunan di kawasan tersebut dapat dipertingkatkan.

Pada bengkel tersebut, beberapa kertas kerja turut dibentangkan oleh pihak terlibat termasuk FPEP dan SEDIA. -ZMD

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.