RABU, 4 MEI - Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan yang bermula kelmarin terus berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti yang diadakan termasuk urus niaga jual beli pelbagai produk dan makanan.

Berlangsung di  Padang Kawad UMS, karnival yang diadakan sehingga Jumaat ini merupakan gabungan tiga acara iaitu Ekspo Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK), Pesta Kaamatan dan Pesta Tiong Hua.

Tinjauan media UMS mendapati, karnival itu terus mendapat kunjungan yang tidak putus-putus daripada kalangan pelajar, kakitangan dan orang awam.

Antara yang menjadi tarikan utama termasuklah hasil inovasi pelajar dalam penyediaan makanan yang pelbagai dengan rasanya yang enak dan menarik.

Krew media turut terpegun dengan keunikan beberapa kraftangan yang dihasilkan pelajar yang dijual pada harga yang berpatutan.

Sementara itu, seorang pelajar Tahun 2, Program Sains Sukan, Mohd Syaffezh Edham Ahmed ketika ditemui berkata, penganjuran program itu sangat bermanfaat terutama dalam memberi pendedahan kepada pelajar mengurus perniagaan dan mengaplikasi teknik komunikasi yang baik kepada pelanggan.

“Dalam masa yang sama, kita juga dapat mempelajari strategi pemasaran sekali gus menerapkan nilai keusahawanan itu dalam diri sendiri,” katanya yang meniagakan air kelapa susu cincau.

Beliau berkata, sambutan yang diterima amat memberangsangkan sehingga jualan bersama empat rakannya itu hampir habis sebelum tengahari pada hari pertama.

Lebih 150 gerai mengadakan jualan dan pameran sepanjang karnival itu berlangsung. -SS

RABU, 4 MEI – Seramai 52 pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS)  menganjurkan Program Komuniti Pendidikan Sains dan Teknologi bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan, baru-baru ini.

Menurut penyelia program, Dr. Siew Nyet Moi @ Sopiah Abdullah, program tersebut antara lain bertujuan menyediakan sokongan kepada pelajar  luar bandar dengan mengikuti aktiviti-aktiviti rekacipta bagi menyelesaikan masalah setempat secara kreatif dan inovatif melalui konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Seramai 50 pelajar tingkatan empat jurusan Sains Tulen daripada SMK Tambunan dan SMK Desa Wawasan terlibat secara langsung dalam program ini yang banyak menumpukan aktiviti-aktivit berkumpulan,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti STEM pertama adalah berkisarkan fenomena El Nino yang menyaksikan para pelajar bekerja dalam kumpulan berlima mencipta sebuah model berkonsepkan teknologi hijau bagi mengurang kesan El Nino terhadap tanaman, persekitaran dan diri sendiri.

“Manakala, aktiviti kedua ialah membina sebuah kincir kuasa angin atau air sebagai sumber tenaga alternatif yang percuma, bersih dan lestari (tenaga boleh baharu),” tambah Dr. Siew.

Jelas beliau, setiap kumpulan menggunakan pengetahuan sedia ada dan pengalaman lepas untuk merekabentuk satu alat pengepam air bagi mengatasi masalah pengairan di tapak penanaman padi Daerah Tambunan.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima melalui temubual, para pelajar menyatakan bahawa pengalaman hidup dan perkitaran banyak mempengaruhi cara mereka menjana idea-idea sehingga mampu menghasilkan rekaan yang pelbagai untuk menyelesaikan masalah yang diberikan.

“Melalui penglibatan diri dalam aktiviti seumpama ini, mereka lebih memahami konsep Sains dan seterusnya mengaplikasikannya dalam rekaan sekali gus meningkatkan daya kreativiti dan mengembangkan lagi daya imaginasi mereka,” katanya.

Turut hadir, wakil dari SMK Tambunan, Mohd Badrul Hisyam dan SMK Desa Wawasan, Jovinia Yulus.

Sumber: FPP

JUMAAT, 29 APRIL - Universiti Malaysia Sabah melalui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) menganjurkan bengkel yang memfokuskan bidang ekonomi dan aktiviti perniagaan di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE), baru-baru ini.

Bengkel yang dijalankan selama dua hari itu turut melibatkan Insititut Maritim Malaysia (MIMA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketika merasmikan bengkel tersebut, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) akan terus menarik bidang pelaburan ke Pembangunan Koridor Sabah (SDC) meskipun berdepan situasi ekonomi yang semakin mencabar.

“Lebih banyak usaha akan diberi tumpuan khususnya ke arah meningkatkan kecekapan sektor logistik dengan meningkatkan infrastruktur yang berkaitan dengan integrasi darat serta perkhidmatan air dan udara,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Ginun Yangus.

Beliau turut menambah, perbincangan serta penyelidikan berkenaan sektor ekonomi di kawasan ESSZONE perlu diteruskan agar perancangan rapi mengenai pembangunan di kawasan tersebut dapat dipertingkatkan.

Pada bengkel tersebut, beberapa kertas kerja turut dibentangkan oleh pihak terlibat termasuk FPEP dan SEDIA. -ZMD

JUMAAT, 29 APRIL – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar mengadakan satu majlis penyerahan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Titingan, Tawau baru-baru ini.

Pada masa yang sama, pihak UMS turut menyerahkan bantuan kanta penglihatan kepada pelajar kurang upaya yang mempunyai masalah penglihatan.

Penyerahan bantuan disampaikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali di Bangunan Canselori, UMS.

Pada majlis itu,  Teoh Jia Long telah menerima alat bantuan penglihatan, manakala Muhd Faizal Alimudin dan Fatimah Binti Asmuni, mangsa kebakaran yang berlaku di Tawau baru-baru ini diberikan bantuan dari segi kewangan bagi meringankan beban kepada keluarga mangsa. 

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Pelajar

KHAMIS, 28 APRIL – ‘Bermula daripada idea yang ringkas’, Ekspo Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) kembali dengan pelbagai hasil inovasi siswa-siswi UMS pada 3 - 6 Mei ini.

Menurut kenyataan APK, ekspo tahunan itu yang dianjurkan di Padang Kawad UMS bertujuan menggalakkan siswa-siswi UMS mencipta idea yang kreatif dan baharu melalui inspirasi persekitaran seterusnya menghasilkan inovasi terhadap pembangunan kehidupan seharian.

Ekspo itu juga sebagai satu aktiviti khas dalam Kursus Asas Pembudayaan Keusahawanan, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) yang menyampaikan ilmu keusahawanan kepada mahasiswa sejajar dengan Lonjakan Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) iaitu ke arah melahirkan graduan holistik yang bercirikan keusahawanan dan seimbang.

Kenyataan itu turut memaklumkan, ekspo selama empat hari tersebut akan menyaksikan lebih 140 gerai yang menjual barangan hasil aspirasi dan inovasi siswa-siswi UMS, termasuk makanan, minuman, permainan, pakaian serta perkhidmatan.

Di samping itu, pelbagai aktiviti turut disediakan kepada para pengunjung, antaranya cabaran permainan dengan hadiah lumayan serta cabutan bertuah untuk mereka yang membuat pembelian lebih RM15.00.

Menurut kenyataan itu lagi, ekspo pada tahun ini akan bergabung dengan dua pesta besar universiti, iaitu Karnival Kaamatan sempena Pesta Menuai dan Pesta Tiong Hwa, sekali gus menjanjikan kemeriahan serta menyemarakkan lagi keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia melalui persembahan dan pameran budaya yang diadakan serentak.

Justeru, pihak penganjur APK UMS mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan lagi aktiviti serta menikmati kekayaan kebudayaan yang terdapat di Malaysia khususnya negeri Sabah.

Sumber: Jawatankuasa Ekspo APK

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.