SELASA, 10 MEI – Program Minggu Bertemu Pelanggan (MBP) merupakan acara tahunan anjuran bersama Jabatan Bendahari (BEN), Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP), Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang sedang berlangsung di lobi perpustakaan.

Menurut kenyataan daripada pihak penganjur, tujuan program ini adalah untuk menyediakan platform bagi jabatan terlibat untuk berhubung secara langsung dengan pelanggan utama iaitu pelajar, kakitangan dan pembekal bagi memastikan keperluan pelanggan dikenalpasti dan difahami.

Kenyataan itu turut berkata, antara objektif penganjuran MBP ialah ia merupakan satu pendekatan yang holistik dalam menawarkan perkhidmatan melalui interaksi dan perhubungan yang mesra, telus dan cekap.

Upacara pembukaan rasmi program ini dijadualkan pada 12 Mei 2016 (Khamis) di 1 Megalab, Perpustakaan UMS yang akan disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Mohd Harun Abdullah.

Banyak aktiviti menarik telah dirancangkan antaranya, pendedahan rahsia kejayaan, keselamatan ICT, pengurusan wang,  komunikasi sosial, maklumat teknologi dan banyak lagi.

Terdapat juga banyak aktiviti permainan yang menarik dan hadiah untuk dimenangi.

Semua dijemput hadir. FL

Photo: Terence Timothy Sibini (BEN)

SELASA, 10 MEI - Program “Fun Run & Ride” anjuran Exco Sukan, Rekreasi dan Keceriaan Kolej Kediaman Tun Mustapha, Universiti Malaysia Sabah (UMS) julung-julung kalinya diadakan sempena sambutan karnival KKTM.

Menurut Pengetua Kolej kediaman Tun Mustapha, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin, program sebegini dapat membuka peluang kepada pelajar dan juga masyarakat umum untuk kekal aktif dan dapat mengamalkan gaya hidup sihat disamping dapat beridah bersama masyarakat yang lain.

“Peserta yang menyertai program ini adalah dalam kalangan pelajar IPTA/IPTS, Sekolah Menengah, Staff UMS sendiri dan masyarakat luar,” jelasnya.

Peserta berbasikal, Lim Fong Han menjadi peserta pertama tiba dengan catatan masa 42:02:05, manakala peserta larian iaitu Romario Tanjong mencatat masa 47:14:08 sekaligus menjadikan beliau peserta pertama tiba di garisan penamat.

Sepuluh peserta terawal sampai ke garis penamat telah menerima hadiah berupakan hamper, medal dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Timbalan Pengetua Kolej Kediaman Tun Mustapha Herman yang ditemui berkata program tersebut adalah salah satu medium terbaik untuk membentuk masyarakat sihat, cergas dan mengamalkan gaya hidup sihat dengan sentiasa peka terhadap alam sekitar melalui berjalan kaki, penggunaan basikal dan tanpa kenderaan berenjin.

Pelepasan larian sejauh 10 kilometer dan diikuti acara berbasikal sejauh 20 kilometer itu disempurnakan oleh Herman di tapak padang kawad UMS pada jam 7:00 pagi sambil disaksikan bersama Pengarah Program, Mohd Jakrul Nizam Ismail.

Sumber : Wellsah Sudin

ISNIN, 9 MEI - Persatuan Mahasiswa Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (PMPEP) mengadakan lawatan sambil belajar di Hong Kong baru-baru ini.

Bertemakan ‘Discover Fragrant Harbour Educational Tour Programme’  lawatan itu melibatkan 13 mahasiswa Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) bersama Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah FPEP, Dr. Arif @ Kamisan Pusiran dan dua kakitangan pentadbiran FPEP.

Antara program yang dijalankan sepanjang lawatan lima hari itu ialah perjumpaan dan perbincangan bersama Persatuan Mahasiswa The University of Hong Kong (HKU), serta mengadakan kunjungan ke Hong Kong Polytechnic University.

Kesempatan berada di bumi Mutiara Timur itu turut digunakan sepenuhnya para mahasiswa menimba pelbagai pengalaman baharu dengan melawat Muzium Sains dan Golden Bauhinia Square, iaitu sebuah tempat bersejarah yang menjadi lokasi penyerahan semula Hong Kong dari pihak British ke pentadbiran China pada tahun 1997.

Selain itu, rombongan PMPEP juga mengunjungi Ocean Park yang merupakan salah satu tarikan utama pelancongan di Hong Kong selain melawat pasar-pasar yang menjual pelbagai cenderamata menarik.

Menyentuh mengenai lawatan itu, Dekan FPEP, Prof Dr. Rasid Mail berpendapat bahawa pengalaman berada di luar negara ini dapat mematangkan lagi minda para pelajar mengenai kemajuan global yang begitu pesat berlaku di serata dunia.

“Di samping itu, lawatan ini juga boleh membina landasan mewujudkan suatu jaringan antara universiti tempatan khususnya UMS dengan universiti antarabangsa untuk program mobiliti pelajar di peringkat antarabangsa pada masa akan datang,” katanya. -SS

Sumber: FPEP

ISNIN, 9 MEI - Exco Akademik dan Kepimpinan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menganjurkan pertandingan Pidato Piala Pengetua Kolej Kediaman Tun Mustapha 2016.

Menurut Pengarah Program, Jennyfer Priscillasheal Jonius, pertandingan pidato tersebut diadakan bertujuan mencungkil bakat berbahasa dan menyampaikan idea dalam kalangan mahasiswa.

“Pertandingan ini juga bertujuan untuk melatih serta mendidik mahasiswa untuk berfikir secara kritis dan kreatif serta memupuk semangat untuk berani tampil ke hadapan,” jelasnya. 

Sementara itu, Pengetua KKTM, Dr Mohamad Nizam Nazarudin ketika merasmikan penutupan pertandingan berkata, program tersebut sesuai dianjurkan kerana dapat memupuk idea serta melatih keyakinan diri yang tinggi dalam kalangan mahasiswa untuk menyuarakan pandangan.

“Melalui pertandingan ini dalam masa yang sama akan dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelajar sekali gus menambahkan lagi pengetahuan mahasiswa dalam pengucapan umum seperti pidato,” katanya.

Seramai 12 pemidato daripada institut pengajian tinggi awam dan swasta di sekitar Kota Kinabalu menyertai pertandingan tersebut yang diadakan di Kolej Kediaman Tun Mustapha UMS.

Sumber: KKTM

JUMAAT, 6 MEI - Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi telah mengadakan Program Komuniti Pendidikan Sains dan Teknologi melibatkan 48 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu dan SMK Langkon baru-baru ini.

Menurut penyelia program, Dr. Siew Nyet Moi @ Sopiah Abdullah, program tersebut dikendalikan oleh pelajar-pelajar Program Pascasiswazah Sarjana Pengurusan Pendidikan untuk menyediakan sokongan kepada pelajar di kawasan luar bandar dengan mengikuti aktiviti-aktiviti reka cipta bagi menyelesaikan masalah secara kreatif dan inovatif melalui konsep STEM.

“Pelajar Sarjana bertindak sebagai pelaksana, fasilitator dan penilai, manakala pelajar PhD dan prasiswazah menjadi pembantu fasilitator dan penilai kepada 10 kumpulan bagi dua aktiviti STEM yang telah dijalankan,” ujarnya.

Pada program tersebut, sebanyak dua aktiviti dijalankan melibatkan penyelesaian masalah dan pengetahuan sedia ada untuk menguji kreativiti para peserta.

“Aktiviti STEM pertama adalah berkisarkan Jambatan sungai Bandau, Kota Marudu yang kononnya telah runtuh akibat terlalu usang. Para pelajar bekerja dalam kumpulan berlima mengenalpasti masalah kehidupan seharian yang disebabkan oleh situasi tersebut dan mengemukakan ciptaan baru bagi mengatasi masalah tersebut.

“Manakala, aktiviti STEM kedua adalah berkisarkan fenomena El Nino yang melanda negara sekarang. Melalui aktiviti ini para pelajar menggunakan pengetahuan sedia ada dan pengalaman lepas mencipta sebuah prototaip berkonsepkan teknologi hijau bagi mengurang kesan El Nino terhadap persekitaran dan diri sendiri,” Tambah Dr. Siew

Beliau berkata, secara keseluruhannya program tersebut telah berjaya mencapai objektifnya apabila para pelajar menyatakan program tersebut mampu mendorong mereka untuk berfikir di luar kotak bagi mengeluarkan idea yang sesuai bagi menyelesaikan masalah dikemukakan.

Turut hadir, wakil daripada SMK Kota Marudu, Yusniza Azali dan SMK Langkon, Pang Poon King.

Sumber: FPP

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.