RABU, 18 MEI - Persidangan Parlimen Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) berlangsung hangat hari ini dengan hujah-hujah dan idea  bernas daripada kalangan barisan kepimpinan pelajar.

Aura lontaran usul dan pendapat disemarakkan lagi apabila persidangan yang melibatkan kira-kira 50 wakil pemimpin pelajar bersidang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Menariknya, persidangan yang mengikut etika dan protokol sebenar DUN turut dipengerusikan Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk  Dr. Johnson Tee.

Timbalan Naib Canselor UMS, Profesor Madyar Dr Ismail Ali ketika ditemui berkata,  Persidangan Parlimen Mahasiswa itu merupakan salah satu pendekatan proaktif yang diambil pihak pengurusan universiti untuk mempertingkatkan lagi kualiti  mahasiswa.

”Ia seiring dengan lonjakan pertama daripada 10 lonjakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 iaitu melahirkan graduan yang holistik,” katanya sambil menyatakan rasa terima kasih kepada Speaker DUN Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali kerana membenarkan persidangan tersebut diadakan di DUN.

Dr Ismail turut melahirkan rasa bangga apabila UMS merupakan Universiti Awam (UA) pertama di Malaysia yang mengadakan Parlimen Mahasiswa di DUN.

Hadir sama, Pengarah Pusat Alumni UMS, Mohd Raffie Haji Janau; Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azmi Jumat dan Pengarah Pusat Sukan, Mohd. Asyraaf Abdullah. –SS

SELASA, 17 MEI – Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) telah menganjurkan Fitness Rally sempena hari terbuka KKTM baru-baru ini.

Menurut pengarah program, Narmatha A/P Shanker, program tersebut dianjurkan bertujuan mengajak warga KKTM dan masyarakat setempat untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Saya gembira kerana program ini dapat dijalankan dengan jayanya serta pencapai objektif untuk mengeratkan silaturahim antara satu sama lain,” katanya.

Program yang diadakan selama dua jam itu diketuai oleh Mazry Ismail dari Fanatic Fitness Lovers dengan senaman yang dinamakan FUZE Fitness, Zumba Fitness dan HipHop Dance.

Jelas Mazry, apapun senaman yang dilakukan harus mencapai satu matlamat iaitu untuk memperbaiki dan mengekalkan kesihatan.

“Aktiviti berkumpulan seperti ini mampu menyemai semangat untuk terus cergas dalam kalanagan masyarakat,” ujarnya.

Sumber: Rosloa Jalane, KKTM

SELASA, 17 MEI -  Seramai tiga pelajar pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menyertai Pertandingan 3 Minute Thesis (3MT) 2016 peringkat kebangsaan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Pengajian Pascasiswazah, UMS diwakili Pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Ruslan Mapeala bagi kategori Sains Sosial;  Lorita Angeline dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ) bagi kategori Kejuruteraan, dan Lai Yun Mei (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan) bagi kategori Sains dan Teknologi.

Kenyataan itu memaklumkan, peserta UMS dalam pertandingan 3MT itu berjaya menunjukkan kualiti dan saingan sengit setanding universiti-universiti tempatan lain.

Penyertaan dalam 3MT juga sekali gus memberikan pengalaman dan peluang untuk mereka berkongsi hasil kajian masing-masing  dengan masyarakat.     

Pertandingan 3MT adalah acara tahunan melibatkan pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) universiti awam yang memerlukan mereka menyampaikan hasil kajian PhD masing-masing tidak melebihi 180 saat menggunakan bahasa mudah difahami kepada para pendengar yang tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang kajian yang mereka lakukan.

Ia dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan Majlis Dekan-Dekan Pascasiswazah dengan UUM menjadi tuan rumah.

Dengan jumlah penyertaan sebanyak 54 peserta, pertandingan itu bertujuan untuk mencari seorang peserta terbaik bagi mewakili Malaysia ke pertandingan 3MT peringkat antarabangsa di University of Queensland pada Oktober 2016.

Ketiga-tiga peserta  UMS terpilih setelah berjaya menewaskan lapan peserta lain pada Pertandingan 3MT peringkat UMS yang diadakan pada 23 Mac 2016 lalu.

Pertandingan 3MT yang pada asalnya bermula di University of Queensland, Australia pada 2008 kini diadakan di lebih 200 universiti seluruh dunia. -SS

Sumber : Pusat Pengajian Pascasiswazah

JUMAAT, 13 MEI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah merangkul anugerah International Students Achivement 2015 pada majlis International Appreciation Night 2016 yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baru-baru ini.

Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa, Molly Donna Awang Sham berkata, anugerah ini merupakan pencapaian terbaik UMS dalam memperkasakan pengantarabangsaan pelajar antarabangsa.

“Anugerah ini mengambil kira beberapa kriteria khas iaitu pengurusan pelajar antarabangsa terbaik, bilangan pelajar antarabangsa dari kepelbagaian negara dan hubungan kerjasama universiti,” jelasnya.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengarah Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF), Prof. Dato’ Dr. Morshidi Sirat.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah menerusi kenyataannya menerusi Facebook turut berkata, kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan atas usaha UMS mempromosikan sebagai destinasi terbaik bagi pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di universiti ini.

Selain dari anugerah ini, majlis yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, UMT itu turut menyediakan anugerah International Students Diversity Achievement 2015.

Turut hadir pada majlis tersebut, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar dan Pengarah Bahagian Education Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Jamalulail Abu Bakar.

JUMAAT, 13 MEI - Seramai lebih kurang 40 orang pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) telah menyertai Bengkel Penulisan Rencana anjuran pejabat FPEP dengan kerjasama Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Perhubungan Korporat

Bertempat di Bilik Persidangan MBA, FPEP, bengkel setengah hari yang bermula dari jam 8.30 pagi itu menyaksikan dua orang penceramah iaitu Pegawai Bahagian Perhubungan Korporat, Che Hasruddin Che Hasan, menyampaikan ceramah bertajuk “Penulisan Rencana Mengikut Garis Panduan UMS’.

Ini disusuli dengan sesi bersama Pensyarah Komunikasi Korporat FPEP, Jakaria Dasan yang berkongsi pengalaman beliau dalam tajuk “Teknik Praktikal Menulis Rencana: TM IS OK”.

Dekan FPEP, Prof Dr Rasid Mail ketika merasmikan Bengkel berkenaan menyarankan agar para pensyarahnya melihat ruang menulis rencana sebagai satu wahana untuk mempertingkatkan budaya menulis hasil penyelidikan mengikut kepakaran masing-masing.

Menurutnya, akhbar tidak kurang pentingnya kerana masyarakat lebih peka kepada berita atau penyelidikan yang ditulis di akhbar daripada jurnal-jurnal yang ada, dan menjadikan masyarakat lebih peka mengenai kepakaran yang terdapat di UMS di samping menjadikan UMS sebagai pusat rujukan mereka pada masa akan datang.

“Pensyarah perlu melihat penulisan rencana sebagai satu keperluan memandangkan pensyarah adalah subject-expert tertentu yang boleh mengongsikan kepakaran mereka dengan masyarakat.

“Ini sekaligus akan turut membantu peningkatan hidup rakyat kesan daripada perkongsian ilmu mereka menerusi rencana di akhbar, kata beliau. Prof Dr.Rasid Hj Mail.

Dalam pada itu, Che Hasrudin dalam sesinya menekankan bahawa terdapat beberapa peraturan-peraturan tertentu yang perlu diberi perhatian oleh para pensyarah ketika menghasilkan sesebuah artikel, selain para pensyarah perlu lebih peka mengenai isu semasa ketika membuat sesebuah artikel.

“Dalam hubungan ini, sesebuah artikel itu perlu berupaya untuk menyumbang kepada isu-isu semasa yang sedang berlaku. Walaubagaimana pun fokus boleh juga diberikan kepada hasil-hasil penyelidikan masing-masing yang dipercayai memberi manfaat jika diketahui umum,” ujarnya.

Jakaria Dasan dalam slotnya pula menekankan tentang beberapa perkara teknikal yang berkaitan seperti penjanaan idea dan pengolahan artikel.

Menurut beliau pembaca hanya ada masa selama 3 saat untuk membuat keputusan sama ada ingin membaca tulisan seseorang penulis atau pun tidak, justeru tajuk adalah memainkan peranan yang sangat besar.

“Tajuk yang mudah dan menarik serta ditulis sependek yang mungkin perlu dititikberatkan agar tajuk itu akan kelihatan lebih menarik.

Selain isu yang terkini dan sensasi, sesebuah rencana juga dibaca atas sebab gaya penulisan yang digunakan. Untuk itu, apabila menulis sesebuah rencana, penulis hendaklah berfikir sebagai mewakili akhbar terlibat dan bukan semata-mata mewakili organisasinya.

“Ini akan menjadikan seseorangan penulis itu sentiasa berhati-hati dalam mengupas isu dan tidak sembrono,” katanya.

Menggunakan sebuah analogi mudah, menurut Jakaria isu adalah racun, manakala artikel yang ditulis oleh pensyarah adalah penawarnya.

Bengkel Penulisan Rencana yang dipengerusikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FPEP, Dr Noor Fzlinda Fabeil ini antara lain menyahut saranan menyemarakkan budaya menulis rencana dalam kalangan pensyarahnya, dan akan diteruskan dalam siri 2 dalam masa terdekat dengan tumpuan akan ditumpukan kepada latihan praktikal dan sesi bersama Editor akhbar terpilih.

Sumber: Jakaria Dasan, FPEP

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.