RABU, 25 MEI - Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS telah menjayakan Pertandingan Intercollege di kampus induk Kota Kinabalu, Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus Sandakan.

Menurut Ketua Bahagian Kebudayaan dan Kesenian HEP, Alan James, program itu bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat mahasiswa bagi mewakili universiti ke peringkat yang lebih tinggi.

“Pertandingan ini dilaksanakan dalam empat kategori iaitu Tarian 1 Malaysia, Teater, Nasyid dan Lagu Asli, dan program ini dijangka akan menjadi acara tahunan universiti,” katanya.

Pada pertandingan akhir Intercollege yang berlangsung di Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Kampus Sandakan baru-baru ini menyaksikan seramai 10 orang peserta dari setiap kolej kediaman bertanding bagi kategori Nyanyian Lagu Asli.

Johan kategori tersebut telah dimenangi peserta dari Kolej Kediaman Tun Fuad,  Afiq Fauzi, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai, trofi dan sijil.

Manakala peserta dari Kolej Kediaman Tun Fuad, Nur Farah Ain Donian dan Kolej Kediaman Tun Mustapha, Nor Amanina Karman masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof Madya Dr Ismail Ali.

Hadir sama Dekan FPL, Prof Dr Wan Mohamad Bin Wan Othman, Ketua Jabatan HEP, Azmi Jumat dan Penolong Pendaftar Kanan FPL, Roslan Gimba.

Sumber : Norhana Nordin HEP

RABU, 25 MEI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) terus bersama-sama menjayakan sambutan Hari Perhutanan Sedunia (HPS) peringkat universiti dalam usaha menanam dan terus menerapkan budaya prihatin dalam kalangan warga kampus mengenai kepentingan mengekalkan kawasan hutan yang ada di Negeri Sabah.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, kesedaran bagi menjaga dan memelihara khazanah hutan ini turut diterjemahkan di peringkat dunia menerusi sambutan Hari Perhutanan Sedunia serta Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada setiap tahun.

“Apa yang kita harapkan adalah kedua-dua hari penting ini akan terus disambut secara besar-besaran supaya semangat sayangkan hutan dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda dari peringkat sekolah lagi, “katanya ketika berucap mewakili Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Bin Abdullah sempena sambutan HPS di Perkarangan Kompleks Perhutanan, FSSA UMS.

Menurutnya lagi, pelbagai program dan aktiviti yang berkaitan dengan usaha menyayangi, melindungi, memelihara dan memulihara hutan dan alam sekitar seperti acara penanaman pokok-pokok hutan hendaklah terus diperhebatkan dan dijadikan sebagai aktiviti utama setiap tahun.

Bersempena sambutan tersebut, beberapa acara turut diadakan antaranya acara Larian Rimbawan, penanaman pokok, pameran dan inovasi hasil penyelidikan perhutanan, dan sesi ceramah berkaitan bidang perhutanan yang turut mendapat penyertaan daripada beberapa pelajar sekolah menengah. -MA-

SELASA, 24 MEI - Rentas Borneo 2016 (RB16) yang memasuki tahun ketiga penganjurannya kali ini akan menjelajah ke pedalaman negeri Sabah dengan membawa misi community engagement yang sinonim dengan matlamat ekspedisi ini.

Destinasi kali ini ialah di Kg. Puun Batu, Nabawan yang akan disertai seramai 100 warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan diadakan bermula pada 27 Mei ini dan berakhir pada 30 Mei.

Selain penyertaan daripada UMS, RB16 juga turut disertai kru produksi RTM, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Keningau FM.

Semua peserta akan menaiki sebanyak 26 buah kenderaan pacuan empat roda yang menggunakan khidmat Kelab Sukarelawan Pacuan 4 Roda UMS (UMS4WDVC).

Pengerusi RB16, Prof. Dr Ismail Ibrahim berkata, program Rentas Borneo menjadi salah satu aktiviti rasmi universiti kerana ia melibatkan beberapa organisasi besar dengan tujuan mendekatkan masyarakat yang tinggal di pedalaman dengan dunia luar.

“Kesudian RTM contohnya memberikan impak yang besar terhadap program ini kerana masyarakat di seluruh Malaysia dapat melihat sendiri sosiobudaya dan kehidupan komuniti kecil di kawasan terpencil selain disajikan dengan keindahan alam yang cukup indah serta mendamaikan.”

“Begitu juga dengan penglibatan JKNS yang membawa para doktor, jururawat serta ubat-ubatan kerana dengan cara menyertai konvoi RB16, mereka dapat memeriksa penduduk kampung yang susah untuk keluar ke klinik kesihatan terdekat atas faktor jalan dan kenderaan,” jelasnya yang juga Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS.

Tambah beliau, beberapa aktiviti bersama penduduk Kg. Puun Batu akan diadakan selama dua hari di sana iaitu pemeriksaan perubatan dan kesihatan, pertandingan melukis dan mewarna untuk murid-murid sekolah, demo kenderaan pacuan empat roda, persembahan kebudayaan, pertandingan Unduk Ngadau, perlawanan bola sepak dan bola tampar serta serahan sumbangan pakaian.

“Pasukan recce juga telah masuk dan membuat perbincangan dengan penduduk kampung tentang hasrat mengadakan RB16. Berdasarkan respons dari pasukan recce, laluan 10 km terakhir sebelum sampai ke kampung sangat mencabar dan bertambah mencabar sekiranya hujan,” katanya.

Beliau turut menegaskan yang kali ini ahli UMS4WDVC telah bersiap siaga dengan cabaran yang bakal dihadapi ketika melalui laluan ini.

Untuk rekod, pada RB2015 lalu yang diadakan di Pagalungan, Pensiangan, peserta ekspedisi mengalami kesukaran untuk kembali ke Kota Kinabalu kerana berlaku tanah runtuh yang menutup laluan utama.

Selama dua hari dua malam konvoi RB terputus perhubungan dengan dunia luar dan dengan kecekapan ahli UMS4WDVC, laluan yang terhalang dapat diatasi melalui kerjasama berpasukan.

“Bagi RB16, konvoi akan dilepaskan di perkarangan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS oleh Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Dr. Hj. Yusof Hj. Yacob dan perasmian RB16 di Kg. Puun Batu akan disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup, juga Ahli Parlimen Pensiangan pada 29 Mei,” kata Prof. Ismail.

SELASA, 24 MEI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini melancarkan Koleksi Sheikh Abdul Razak Sheikh Mahmood yang akan menyimpan buku-buku berkenaan perniagaan, ekonomi dan perakaunan, bertempat di Perpustakaan UMS.

Koleksi ini adalah kerjasama dengan Yayasan Asan diketuai oleh Hesham Hafez, menantu kepada Allahyarham Sheikh Abdul Razak Sheikh Mahmood.

Terdahulu, Hesham yang juga Presiden Paper Distribution Group International telah memberi ceramah bertajuk “Bagaimana Menjadi Orang Yang Berjaya”.

“Saya telah jatuh namun berdiri kembali dalam industri perniagaan, tetapi itu tidak menghalang saya daripada terus berjalan ke depan,” ujarnya dalam ceramah yang dihadiri lebih daripada 170 pelajar dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, UMS.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Ismail Ali dalam ucapannya berharap para pelajar akan dapat mencontohi sikap Sheikh Abdul Razak yang rajin dan jujur.

Satu Surat Perjanjian (LOI) juga telah ditandatangani antara UMS dan Yayasan Asan, di mana buku-buku perpustakaan, jurnal atas talian dan jurnal fail terdahulu atas talian dalam bidang kewangan dan ekonomi akan dimasukkan ke dalam koleksi tersebut dalam tempoh lima tahun akan datang.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi; balu Allahyarham Sheikh Abdul Razak Sheikh Mahmood, Datin Kalsombi V.K. Majid and ahli keluarga selain pegawai utama universiti. – FL

Photo: Suzeanywaty Gasinin

ISNIN, 23 MEI - Seramai 66 Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) menjalani program Latihan Medan yang diadakan di Pusat Kawalan Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Labuan, baru-baru ini.

Pegawai Bersekutu SISPA UMSKAL, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Madya Dr. Norazah Mohd Suki berkata, program tiga hari dua malam itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar mendapat pengetahuan dan kemahiran untuk membantu diri sendiri dan orang lain serta memupuk nilai hormat menghormati, menurut perintah, berdisiplin, berkerjasama, bertanggungjawab, dan keyakinan diri.

“Selain itu, ia bagi mempertingkatkan ketahanan fizikal, mental dan daya kerohanian yang seimbang dalam kalangan anggota SISPA,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutupan.

Katanya,  Latihan Medan merupakan satu latihan yang dilaksanakan secara praktikal yang mana melibatkan ilmu kemahiran Pertahanan Awam yang telah didedahkan semasa sesi pembelajaran dan pengajaran di dalam dan luar bilik kuliah.

Justeru, Dr. Norazah mengucapkan tahniah kepada peserta latihan yang terdiri daripada anggota SISPA Semester 2 dan 4 atas pencapaian menjalani latihan tersebut dengan jayanya.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada warga kerja JPAM Labuan yang bertungkus lumus menjayakan latihan medan ini.

“Hasil latihan ini anggota SISPA UMSKAL dapat memperolehi ilmu Pertahanan Awam secara teori dan praktikal, menyerlahkan kemahiran kepimpinan, memahami erti kerjasama dalam berkumpulan, dan memupuk nilai-nilai murni,” tambahnya.

Beliau berharap untuk mengadakan aktiviti yang lebih mencabar pada masa akan datang bagi mempersiapkan lebih ramai sukarelawan muda dengan semangat kerjasama yang tinggi untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara.-SS

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.