Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Universiti Malaysia Sabah (PPUMS) bersama Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) Sabah Chapter telah mengadakan program larian “7KM Campus Run” sebagai memupuk kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan, di samping menjana dana kebajikan bagi membantu pertubuhan amal terpilih.

Program larian di sekitar kampus UMS itu mendapat sambutan baik apabila kira-kira 890 peserta dalam kalangan pelajar sekolah rendah, menengah, pelajar universiti, kolej dan politeknik, dan orang awam dari pelbagai peringkat umur telah mengambil bahagian.

Program yang bermula seawal jam 6 pagi itu melibatkan larian sejauh 7KM bermula dari Dataran Dewan Canselor UMS dan merentasi jalan ke Dewan Resital, simpang berhampiran Galeri Azman Hashim, Jalan Canselori, mengelilingi Jalan Masjid, sebelum merentasi ke Bulatan Menara Jam UMS melalui Jalan Banjaran dan berakhir semula di Dataran Dewan Canselor.

Perasmian penutupan program larian tersebut disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri Sabah, Peto Galim yang mewakili Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Dalam ucapannya, beliau memuji kolaborasi antara PPUMS dan PAM Sabah Chapter dalam menjayakan program tersebut

“Acara sukan larian seperti ini bukan hanya memberikan faedah fizikal, malah memupuk nilai-nilai penting seperti disiplin, kerjasama dan kecekalan mental.

“Ini membantu kita membentuk aspek kepimpinan yang berdaya saing dengan memahami bahawa kejayaan datang melalui usaha gigih, komitmen dan kecekalan,” katanya.

Beliau menambah, melalui perkongsian tersebut bukan hanya berjaya menganjurkan acara sukan yang berkualiti, tetapi turut menyampaikan mesej tentang kepentingan pemeliharaan kesihatan dan kebajikan masyarakat secara lebih meluas.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor turut merakamkan penghargaan kepada PPUMS, PAM Sabah Chapter, penaja-penaja serta sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan acara tersebut.

“Sokongan ini telah membolehkan kita bukan sahaja menganjurkan acara ini dengan jayanya, tetapi juga memberi impak positif kepada masyarakat melalui sumbangan yang dikumpulkan.

“Justeru, marilah kita terus menyokong antara satu sama lain dalam usaha untuk memupuk kesihatan yang baik dan membantu mereka yang memerlukan,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Peto turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM3,000 kepada Rumah Amal Bukit Harapan, serta menyampaikan hadiah kemenangan kepada peserta larian dari pelbagai kategori.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengerusi PAM Sabah Chapter, Mok Juang Yu; Pengurus Besar Nippon Paint Sabah Sdn. Bhd., Daniel Yong; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; dan Presiden PPUMS, Alna Tugon.

 

Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Maybank telah mengadakan Program Maybank Funancial Day di Dewan Auditorium Perpustakaan UMS, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pengarah PKPKP, Dr. Nur Thara Atikah Zainal, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran kewangan dalam kalangan pelajar dan golongan muda sebagai persiapan memasuki alam kerjaya.

Katanya adalah penting untuk para pelajar dan graduan baharu mempunyai impian mencapai kebebasan kewangan tanpa mengira latar belakang sosial dan ekonomi.

“Penganjuran program ini juga sebagai platform mengukuhkan kerjasama industri dan universiti dalam usaha meningkatkan pengetahuan mengenai kewangan serta memberi peluang kepada kebolehpasaran graduan negeri Sabah.

“Bakal graduan perlu mempersiapkan diri dengan ilmu berkaitan pengurusan kewangan selain memastikan resume dan grooming diri yang baik sebelum melangkah ke alam kerjaya,” katanya.

Sebanyak 145 peserta menyertai program tersebut yang terdiri daripada pelajar dan alumni UMS.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti cabutan bertuah, bengkel persediaan kerjaya, ceramah penyediaan resume serta tip temu duga agensi kewangan.

 

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memberikan sokongan dan dorongan dalam pelbagai aspek pencapaian pelajar dan alumni yang sentiasa mengharumkan nama universiti.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata ianya termasuklah penglibatan dan pencapaian pelajar yang telah mengangkat martabat serta menyumbang kepada kecemerlangan universiti.

Katanya pengiktirafan tersebut penting sebagai penyuntik semangat kepada para pelajar untuk terus menabur bakti dalam memperkasa visi dan misi universiti dan KPT.

“KPT komited memberikan sokongan dan dorongan dalam pelbagai aspek pencapaian pelajar dan alumni yang sentiasa menjadi kebanggaan kita.

“Justeru, menjadi tanggungjawab universiti untuk menyediakan platform bagi generasi muda meneroka bidang ilmu, menggilap bakat dan potensi serta menerapkan nilai-nilai murni demi menyediakan generasi pemimpin masa hadapan,” katanya.

Mustapha berkata mahasiswa perlu mempunyai daya intelektual yang baik serta cakna dengan keadaan semasa agar keputusan yang diambil tidak menggugat keharmonian persekitaran.

“Ilmu yang ada perlu setara dengan adabnya. Ini akan mencerminkan mahasiswa yang berwibawa, kompeten dan holistik,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar dan Alumni (MAHEPA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-25, baru-baru ini.

Tambah beliau, KPT mengangkat agenda pemerkasaan mahasiswa sebagai salah satu agenda utama.

“RUU ini mengandungi lima fasal yang melibatkan enam peruntukan berkaitan kebenaran memungut wang, menerima sumbangan dan menyelenggara kumpulan wang kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau Badan Pelajar, penyelarasan tempoh pemilihan MPP berdasarkan pemantapan tadbir urus tatatertib mahasiswa.

“Sistem pendidikan negara akan terus menjadi Game Changer ke arah melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata MAHEPA kali ke-25 mempertandingkan 22 anugerah yang terbahagi kepada 13 anugerah individu dan 9 anugerah berkumpulan.

“Anugerah tersebut meliputi enam kluster seperti kepimpinan pelajar; pembangunan sosial; pembangunan akademik dan intelektual; kesukarelawan; kluster khas individu dan berkumpulan.

“Selain anugerah yang dipertandingkan, MAHEPA juga turut memberi penghargaan kepada para alumni serta pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan aktiviti hal ehwal pelajar dan alumni,” ujarnya.

MAHEPA kali ke-25 turut menyaksikan graduan orang kurang upaya, Hidayat Abdul Latif (Alumni UMS) menerima Anugerah Pencapaian Terbaik kategori Penghargaan Khas atas pencapaian beliau dalam pelbagai pertandingan sukan di peringkat universiti dan kebangsaan.

Hidayat pernah meraih pingat emas kategori berkumpulan dan pingat perak kategori beregu di Para SUKMA XX MSN pada tahun 2022, serta memenangi pingat perak kategori beregu dan individu di Para SUKMA XIX Perak pada tahun 2018.

 

Penganjuran Food Fest 2024 anjuran Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu memangkin penglibatan rakan industri bagi membantu melahirkan pelbagai produk berinovatif berkaitan makanan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, adalah menjadi hasrat UMS untuk memastikan jalinan hubungan erat bersama sektor industri sebagai menyokong agenda meningkatkan keterjaminan makanan.

“Food Fest ini dianjurkan secara bersama dengan pelbagai agensi kerajaan serta rakan industri FSMP seperti Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan atau Ko-Nelayan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Korporasi Pembangunan Desa (KPD), ADABI, BTC dan lain-lain lagi.

“Justeru, saya menyambut baik usaha murni kolaborasi sebegini yang mampu membantu dalam memangkin usaha menghasilkan produk yang lebih mampan melalui Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta inovasi dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut di perkarangan Bangunan FSMP.

Beliau turut difahamkan program tersebut turut melibatkan pelajar-pelajar dari semua program prasiswazah bersama berganding bahu sebagai penggerak dan pelaksana utama.

“Penglibatan pelajar secara langsung dapat memberi nilai tambah serta mengukuhkan pengetahuan pelajar, selain sebagai galakan kepada mereka untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti yang dianjurkan oleh universiti.

“Harapan saya program ini menyumbang terhadap kemenjadian pelajar atau graduan FSMP kepada masyarakat dan negara,” ujar beliau.

Pelbagai acara diadakan sempena Food Fest FSMP antaranya pameran jualan program prasiswazah FSMP, pameran rakan industri, aktiviti sukaneka, demonstrasi memasak, pertandingan pembangunan produk makanan dan produk inovasi, tamu dessert dan pertandingan mewarna.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Urusan Kumpulan BTC Berhad, Datuk Hj. Abdul Kadir M.E Sikkandar; Pengurus Besar ADABI Sabah, Muhammad Zahari Muhd Nasir; Pengurus Besar Ko-Nelayan Sabah, Yusof Hj. Ag. Besar; dan Dekan FSMP, Prof. Madya Ts. Dr. Hasmadi Mamat.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) akan berkolaborasi dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi mengadakan program Social Entrepreneurship Pitch Challenge PUNB-UMS 2024 sebagai satu inisiatif untuk memperkasa keusahawanan pelajar dan komuniti usahawan khususnya dalam bidang keusahawanan.

Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah FPEP, Dr. Noor Fzlinda Fabeil, program berbentuk cabaran simulasi perniagaan peringkat negeri Sabah itu antara lain adalah bagi memberi peluang kepada pelajar mempraktikkan nilai dan kemahiran keusahawanan bersama komuniti usahawan tempatan.

“Selain itu, program ini juga memberi ruang kepada pelajar untuk mempromosikan produk usahawan tempatan yang dihasilkan serta memperkenalkan pihak industri kepada para pelajar seawal mungkin untuk pendedahan kepada dunia keusahawanan sebenar melalui perkongsian ilmu daripada pegawai PUNB dan usahawan jemputan.

“Program ini melibatkan tiga peringkat pelaksanaan, iaitu proses pemadanan pelajar dan usahawan serta perbincangan tajuk projek keusahawanan di peringkat pertama, manakala peringkat kedua melibatkan kerja lapangan dan bengkel penyediaan projek keusahawanan, sebelum pembentangan projek keusahawanan (pitching) pada peringkat terakhir,” katanya.

Dalam pada itu, FPEP dalam satu kenyataan memaklumkan program kelolaan Program Keusahawanan FPEP bersempena dengan penganjuran Simposium Keusahawanan FPEP 2024 akan ditaja sepenuhnya oleh PUNB dengan jumlah dana sebanyak RM35,000 bagi menampung kos penganjuran program.

Pelaksanaan program tersebut akan melibatkan kerjasama para pensyarah Program Keusahawanan dan diketuai oleh pelajar-pelajar FPEP dari Kelab Keusahawanan (ENTREC) dan Persatuan Mahasiswa FPEP (PMPEP), selain penyertaan langsung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Negeri Sabah (G3PNS) sebagai feeder kepada 10 kumpulan usahawan terpilih untuk program ini.

“10 kumpulan pelajar yang mempunyai solusi dan inovasi yang menarik kepada permasalahan yang dihadapi oleh setiap 10 usahawan terlibat akan dipilih dan mereka akan mengadakan beberapa siri lawatan ke premis usahawan untuk melakukan pemerhatian operasi dan urus niaga bagi suatu tempoh masa secara berjadual.

“Sesi sumbang saran antara pelajar dan usahawan turut berlaku sepanjang lawatan yang diadakan.

“Para pelajar kemudiannya akan memberi cadangan atas nasihat oleh mentor yang merupakan pensyarah program keusahawanan bagi memastikan cadangan yang diusulkan praktikal dan boleh dilaksana,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Program tersebut bermula 27 Jun dan akan berlangsung sehingga 31 Oktober ini.