Siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Non Residen bersama-sama Pusat Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) telah menyantuni murid-murid di SK. Kukuro, Beaufort menerusi penganjuran Program Santunan Kasih di sekolah tersebut, baru-baru ini.

Pengarah program, Siti Shazlinah Aripin berkata, seramai 25 pelajar NR UMS yang diketuai oleh beliau dan lapan pelajar dari Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) yang diketuai Ag.Ku Ade Az Zarief telah menyertai program tersebut.

“Program Tanggungjawab Sosial Masyarakat (CSR) ini bertujuan untuk menyantuni sekali gus memberi sumbangan khidmat masyarakat  kepada pihak sekolah dan murid-murid sekolah luar bandar dalam daerah Beaufort.

“Beberapa aktiviti diadakan seperti program Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan motivasi, penanaman anak pokok di kawasan sekolah dan lukisan mural di bangunan sekolah serta program gotong royong membersihkan sekitar premis sekolah,” katanya.

Menurut beliau, penganjuran program tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 20 murid dan 10 tenaga kerja di sekolah tersebut.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Kukuro, Abdul Mikri Amit merakamkan penghargaan kepada pihak UMS yang berbesar hati untuk mengadakan program CSR buat julung kalinya di sekolah tersebut.

“Setinggi penghargaan diucapkan khususnya kepada Naib Canselor UMS dan Pihak PNRF serta JAKMAS NR atas inisiatif mengadakan program murni ini.

“Diharapkan agar program seperti ini akan dapat diteruskan lagi di masa akan datang,” katanya. 

Wakil Pejabat Pendidikan Daerah Beaufort, Safni Kili turut senada dengan mengharapkan agar lebih banyak sekolah di daerah Beaufort akan terpilih untuk pelaksanaan program seumpama itu.

Sementara itu, Pengarah PNRF, Hasmi Hashim ketika berucap merasmikan penutupan program tersebut juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan sekolah atas kesudian menerima rombongan UMS.

“Pihak universiti amat menghargai komitmen tinggi dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program ini dengan penglibatan, sokongan dan kerjasama jitu yang telah diberikan oleh pihak sekolah.

“Semoga program ini akan meninggalkan impak yang positif kepada seluruh warga sekolah dan kerjasama yang terjalin ini akan diteruskan pada masa akan datang,” ujar beliau.

Bekalan air di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk menampung keperluan pelajar sedia ada dan pelajar baharu sesi kemasukan 2024/2025 yang dijangka akan mula mendaftar awal Oktober ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam satu kenyataan berkata, ini adalah berdasarkan rekod bacaan air harian yang dilakukan oleh pihak Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) UMS yang mendapati bekalan air terawat daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) stabil dan mencukupi ketika ini.

“Trend bekalan air JANS yang diperoleh UMS dari bulan Januari 2024 semakin meningkat berbanding sebelumnya, dan terkini pada tahap stabil, konsisten dan mencukupi iaitu pada purata 5 juta liter sehari (MLD).

“Di samping itu juga, projek pembinaan telaga tiub (tubewell) menerusi dana peruntukan yang disalurkan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pendidikan Tinggi juga telah siap sepenuhnya dan berfungsi dengan baik.

“Bekalan air telaga tiub ini merupakan bekalan air alternatif bagi mengurangkan impak kepada para pelajar sekiranya terdapat gangguan bekalan air JANS akibat kerja-kerja penyelenggaraan terancang, berjadual atau berlaku insiden yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Justeru itu kata Kasim, berdasarkan perkembangan bekalan air daripada JANS yang stabil dan konsisten, serta bekalan air alternatif telaga tiub yang telah siap dan berjalan dengan lancar, maka UMS pada ketika ini tidak mempunyai sebarang isu bekalan air.

Untuk rekod, populasi terkini di dalam kampus induk UMS yang mempunyai keluasan sekitar 999 ekar dengan kawasan yang telah dibangunkan sekitar 70% adalah mencecah 20,000 orang sehari, dan berdasarkan populasi tersebut, keperluan air dalam kampus induk UMS adalah sekitar 3MLD ke 5MLD sehari.

Justeru, Kasim merakamkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan yang responsif dengan sebarang keperluan universiti.

Pasukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya mengharumkan nama Malaysia dengan meraih pelbagai anugerah di Pertandingan World Championships of Performing Arts (WCOPA) 2024 yang diadakan di Long Beach, Los Angeles, baru-baru ini.

Penyertaan pada kejohanan tersebut antara lain bertujuan mempamerkan bakat seni pelajar UMS di peringkat antarabangsa serta meningkatkan imej universiti dan negara.

Menurut Pengurus Pasukan UMS, Norain Abd Razak, penglibatan UMS pada kejohanan tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman berharga dalam pertandingan bertaraf dunia dan mengembangkan potensi seni mereka.

Katanya kejayaan tersebut adalah hasil daripada dedikasi dan kerja keras semua pihak yang terlibat.

“Pasukan UMS telah berlatih dengan gigih selama berbulan-bulan untuk memastikan mereka dapat memberikan persembahan terbaik di pentas dunia.

“Dengan bimbingan daripada Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS, Dr. Sharip Zainal Sagkif Shek dan sokongan dari pelbagai pihak, kita berjaya mengatasi cabaran dan mencapai kejayaan yang membanggakan ini,” katanya.

Norain turut memaklumkan, pencapaian tersebut adalah kali pertama selepas tiga tahun mencuba nasib dalam kejohanan itu.

“Kejayaan ini adalah bukti bahawa usaha dan kesungguhan yang tidak pernah putus akhirnya membuahkan hasil.

“Ini juga membuka peluang kepada pelajar kita untuk terus mengejar impian mereka dalam bidang seni industri kreatif,” katanya.

Pasukan UMS yang terdiri daripada Vanessa William, Aejexrelson Rauli, Mohammad Daniel Ahmad, dan Jasmine Arora Anak Seliman berjaya meraih satu pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa menerusi kategori tarian solo.

Selain itu, mereka turut merangkul masing-masing satu pingat emas dan division, perak, gangsa bagi kategori tarian duo, serta tiga pingat gangsa dalam kategori elite trio menerusi genre Jazz, Hip Hop dan Muzikal.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak yang membantu dalam merealisasikan impian besar pelajar-pelajar UMS ke peringkat antarabangsa ini. “Kami ingin menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBS), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif, MyCreative Arts, MOTAC, dan Jetama Water Sdn. Bhd, Nuansa DT, Stage Production dan semua individu yang telah mendoakan kejayaan kami,” tambahnya.

Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program Bakti SUKSIS UMS 2024 bersama komuniti di Kudat, baru-baru ini.

Program itu antara lain bertujuan memberikan khidmat masyarakat kepada penduduk Kampung Tinangol serta pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Pinawantai.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, ACP Abdul Rahman Kassim, sikap serta semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh pelatih SUKSIS UMS sememangnya amat diperlukan bagi memangkin kejayaan dan kecemerlangan sesebuah program.

“Pada kesempatan ini, setinggi-tinggi syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pelatih-pelatih Kor Sukarelawan Polis UMS, para jurulatih dan tidak lupa juga Pegawai Penyelaras Kor SUKSIS UMS.

“Harapan saya semoga program seumpama ini akan dapat memberi suntikan semangat kepada kita semua untuk memperkasakan lagi nilai-nilai kemasyarakatan dalam diri kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut yang dihadiri kira-kira 200 peserta bersama 65 kor pelatih SUKSIS UMS.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program adalah ceramah pemantapan sahsiah untuk pelajar sekolah, gotong royong membersihkan kawasan sekitar, perkhidmatan gunting rambut secara percuma dan lukisan mural di bangunan SMK Pinawantai.

Sementara itu Pengarah Program Bakti SUKSIS UMS 2024, Jesnita Jsbal berkata program itu juga diadakan bagi melatih para pelatih kor SUKSIS untuk menghayati serta menjayakan slogan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

“Di samping itu, ia juga bagi memberikan kesedaran dalam kalangan pelatih SUKSIS tentang kepentingan sikap prihatin terhadap permasalahan masyarakat dan tidak hanya tertumpu kepada kehidupan kampus dan akademik semata-mata,” katanya.

Hadir sama Pegawai Turus Koordinasi Sumber Sokongan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Kontinjen Sabah, Supt. Awang Anak Suanda; Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat, ASP Rugis Anak Lidom; Timbalan Komandan Kor SUKSIS UMS, Supt/KS Profesor Madya Dr. Peter Voo Su Kiong serta Pengetua SMK Pinawantai, Abdul Gani Haiyun.