Penganjuran Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Awam Malaysia (SUKUM) kali ke-45 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu menjadi medan untuk mengeratkan lagi hubungan antara staf UMS bersama staf dari 19 Universiti Awam (UA) yang menyertai kejohanan tersebut.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kejohanan tersebut memberi peluang kepada para atlet yang terlibat untuk mengeratkan hubungan, bertukar idea, dan dapat meningkatkan gaya hidup sihat.

“Melalui sukan, semangat perpaduan dalam kalangan staf universiti terutamanya dalam membangunkan mutu sukan dan pendidikan peringkat universiti seterusnya negara dapat disemai dan dikekalkan bagi melahirkan generasi yang ceria dan harmoni.

“Saya yakin dan percaya, SUKUM mampu memartabatkan sukan seiring dengan pendidikan di negara ini.

“Penglibatan para pegawai dan atlet dalam kontinjen masing-masing amat membantu dalam pembangunan sukan negara melalui pembangunan prasarana, fasiliti sukan dan persediaan atlet,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena merasmikan Kejohanan SUKUM kali ke-45 di Stadium UMS.

Menurut Arifin, sektor pendidikan tinggi negara harus menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan pembangunan sukan negara dengan lebih bermakna.

“Ini kerana kita sedar, selain kekuatan dan ketahanan fizikal dan mental, pembangunan sektor sukan sangat turut berkait rapat dengan ilmu, penyelidikan, strategi dan teknologi.

“Saya berharap dengan adanya kejohanan SUKUM ini, para atlet dari semua kontinjen dapat menghayati semangat kesukanan yang tinggi dalam persaingan memburu kejuaraan.

“Syabas dan tahniah kepada warga UMS atas usaha menggalas tanggungjawab selaku tuan rumah penganjuran SUKUM untuk tahun ini, yang saya turut dimaklumkan buat kali ke-2 dianjurkan di UMS selepas pertama kali pada tahun 2003,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam ucapannya menyeru para atlet yang bertanding bagi setiap kontinjen untuk bersaing dengan semangat kesukanan yang tinggi.

“Dalam usaha meraih pingat, setiap kontinjen harus bersaing dengan semangat kesukanan tinggi, adil dan berdisiplin agar kejohanan ini dapat membentuk permuafakatan dalam kalangan setiap pasukan.

“Di gelanggang, kita adalah seteru. Namun di luar gelanggang, kita bersahabat,” ujar beliau.

Kejohanan SUKUM edisi ke-45 ini menyaksikan sebanyak 20 kontinjen UA yang bertanding dengan menghimpunkan seramai 2,303 atlet dan mempertandingkan sebanyak 23 acara sukan yang menawarkan 139 pingat emas.

 

Hadir sama pada acara perasmian tersebut Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Naib-naib Canselor Universiti Awam Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff; Pendaftar UMS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKUM ke-45, Luqman Ridha Anwar; dan Pendaftar Universiti Putra Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendaftar Universiti Awam Malaysia, Muazam Mansor.

 

Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) disaran untuk terus menggiatkan pelbagai aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada ahli-ahlinya serta masyarakat sekeliling. 

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, pelaksanaan program latihan kemahiran, bengkel keusahawanan, dan seminar kesihatan wanita sangat dialu-alukan bagi menyokong usaha tersebut.

“Kewujudan KESUMBA sendiri semakin terlihat dengan pertambahan ahli iaitu daripada 578 ahli pada tahun lalu yang telah meningkat kepada 607 pada tahun ini.

“Justeru itu, saya ingin menyeru kakitangan wanita dan isteri-isteri kepada kakitangan UMS untuk mendaftar sebagai ahli KESUMBA agar kelab ini boleh bergiat dengan lebih aktif secara skala yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung KESUMBA Kali Ke-27 di Galeri Majlis, UMS baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Kasim berkata mesyuarat agung tahunan KESUMBA adalah satu platform yang penting untuk semua ahli menilai kembali perjalanan kelab sepanjang tahun lalu, dan merancang serta menetapkan hala tuju untuk tahun akan datang.

“Ini adalah masa yang sesuai untuk anda semua melihat kejayaan-kejayaan yang telah dicapai dan juga cabaran yang telah dihadapi oleh kelab”.

“Peranan wanita dalam masyarakat pada hari ini tidak dapat dinafikan lagi, dengan wanita bukan sahaja memainkan peranan penting dalam institusi keluarga, tetapi juga dalam pembangunan negara.

“Untuk itu, ucapan tahniah kepada semua ahli KESUMBA atas usaha gigih dan komitmen yang telah ditunjukkan, dan diharapkan kelab ini terus maju dan berjaya mencapai matlamat,” katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua KESUMBA, Datin Aidah Mohd Ali turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada ahli jawatankuasa dan ahli-ahli KESUMBA yang telah memberikan sokongan dan dorongan dalam pelaksanaan aktiviti sepanjang tahun.

“Kejayaan kita adalah hasil usaha bersama, dan saya yakin dengan kerjasama yang erat, kita akan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, KESUMBA turut menyampaikan sumbangan penghargaan kepada anak-anak ahli yang memperoleh pencapaian cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Hadir sama,  Timbalan Yang Dipertua KESUMBA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana KESUMBA, Dr Suraya Sintang; Pengerusi KESUMBA Kampus Antarabangsa Labuan, Nur Alliyah Ku @ Ku Chen Jung; dan Pengerusi Mesyuarat Agung Tahunan KESUMBA Kali-27, Muhajirah Muchlish.

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mahu terus memperkukuhkan lagi kerjasama bersama kerajaan negeri Sabah dalam aspek pengurusan bencana khususnya di negeri ini.

Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus berkata, kerjasama tersebut khususnya adalah bagi perkongsian maklumat, penyelidikan mahupun perkhidmatan sebagai membantu agensi kerajaan negeri dalam mengurus dan menangani bencana alam. 

“Melalui kerjasama berterusan ini, NDRC mampu memainkan peranan sebagai titik pertemuan untuk semua keperluan berkaitan pengurusan bencana alam di negeri ini.

“Ini termasuk penyelidikan, perkhidmatan kepakaran dan perundingan yang berkaitan dengan bencana alam, sama ada di dalam negeri atau luar Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena kunjungan hormat NDRC UMS ke Pejabat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu baru-baru ini.

Dalam pada itu, Carolyn memaklumkan dalam kunjungan tersebut, NDRC telah berkongsi mengenai fungsi, peranan serta beberapa penyelidikan yang telah dilakukan oleh pusat berkenaan antaranya dalam bidang gempa bumi, banjir, hakisan pantai serta perkongsian mengenai Pangkalan Data Bencana Alam.

“Beberapa isu kritikal turut dibincangkan seperti bencana alam yang sedang berlaku di Sabah pada masa kini, serta cadangan kerjasama dalam pengurusan bencana yang lebih berpusat dan bersepadu antara kerajaan negeri dan NDRC UMS, khususnya dari pihak akademia dalam usaha untuk mengurangkan impak bencana.

“Hasil pertemuan ini juga mendapat maklum balas positif dari Ketua Menteri sendiri yang menyambut baik usaha yang telah dijalankan oleh pihak NDRC UMS terutamanya dalam penyelidikan dan pengurusan bencana negara,” katanya.

Beliau menambah, Ketua Menteri turut menyatakan harapan agar NDRC dapat bekerjasama dengan pengurusan bencana negeri melalui penglibatan dalam Disaster Command Centre yang akan diwujudkan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Ini termasuk menyumbang khidmat kepakaran yang berkaitan dengan pengurusan bencana, seperti Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sabah, di bawah Jabatan Ketua Menteri.

“Ketua Menteri turut menghargai sumbangan kepakaran penyelidik dari institusi akademik seperti NDRC UMS yang dilihat amat penting sebagai input dalam membantu membuat keputusan dalam aspek pembangunan yang secara tidak langsung mempunyai kaitan dengan pengurusan bencana yang berlaku di peringkat negeri,” ujar beliau.

Antara delegasi NDRC UMS yang turut serta dalam kunjungan hormat tersebut Ketua Kluster Hakisan Pantai dan Sungai, Prof. Madya Ts. Dr. Ejria Saleh; Ketua Kluster Gempa Bumi, Ir. Ts. Dr. Noor Sheena Herayani Harith; Ketua Kluster Banjir, Dr. Janice Lynn Ayog dan Pegawai Penyelidik NDRC, Eldawaty Madran.

Hadir sama Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Ag. Shaminan Datuk Haji Ag. Sahari dan Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Effendi Mohamed Sunoh.

 

Siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Non Residen bersama-sama Pusat Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) telah menyantuni murid-murid di SK. Kukuro, Beaufort menerusi penganjuran Program Santunan Kasih di sekolah tersebut, baru-baru ini.

Pengarah program, Siti Shazlinah Aripin berkata, seramai 25 pelajar NR UMS yang diketuai oleh beliau dan lapan pelajar dari Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) yang diketuai Ag.Ku Ade Az Zarief telah menyertai program tersebut.

“Program Tanggungjawab Sosial Masyarakat (CSR) ini bertujuan untuk menyantuni sekali gus memberi sumbangan khidmat masyarakat  kepada pihak sekolah dan murid-murid sekolah luar bandar dalam daerah Beaufort.

“Beberapa aktiviti diadakan seperti program Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan motivasi, penanaman anak pokok di kawasan sekolah dan lukisan mural di bangunan sekolah serta program gotong royong membersihkan sekitar premis sekolah,” katanya.

Menurut beliau, penganjuran program tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 20 murid dan 10 tenaga kerja di sekolah tersebut.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Kukuro, Abdul Mikri Amit merakamkan penghargaan kepada pihak UMS yang berbesar hati untuk mengadakan program CSR buat julung kalinya di sekolah tersebut.

“Setinggi penghargaan diucapkan khususnya kepada Naib Canselor UMS dan Pihak PNRF serta JAKMAS NR atas inisiatif mengadakan program murni ini.

“Diharapkan agar program seperti ini akan dapat diteruskan lagi di masa akan datang,” katanya. 

Wakil Pejabat Pendidikan Daerah Beaufort, Safni Kili turut senada dengan mengharapkan agar lebih banyak sekolah di daerah Beaufort akan terpilih untuk pelaksanaan program seumpama itu.

Sementara itu, Pengarah PNRF, Hasmi Hashim ketika berucap merasmikan penutupan program tersebut juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan sekolah atas kesudian menerima rombongan UMS.

“Pihak universiti amat menghargai komitmen tinggi dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program ini dengan penglibatan, sokongan dan kerjasama jitu yang telah diberikan oleh pihak sekolah.

“Semoga program ini akan meninggalkan impak yang positif kepada seluruh warga sekolah dan kerjasama yang terjalin ini akan diteruskan pada masa akan datang,” ujar beliau.

 

Bekalan air di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk menampung keperluan pelajar sedia ada dan pelajar baharu sesi kemasukan 2024/2025 yang dijangka akan mula mendaftar awal Oktober ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam satu kenyataan berkata, ini adalah berdasarkan rekod bacaan air harian yang dilakukan oleh pihak Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) UMS yang mendapati bekalan air terawat daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) stabil dan mencukupi ketika ini.

“Trend bekalan air JANS yang diperoleh UMS dari bulan Januari 2024 semakin meningkat berbanding sebelumnya, dan terkini pada tahap stabil, konsisten dan mencukupi iaitu pada purata 5 juta liter sehari (MLD).

“Di samping itu juga, projek pembinaan telaga tiub (tubewell) menerusi dana peruntukan yang disalurkan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pendidikan Tinggi juga telah siap sepenuhnya dan berfungsi dengan baik.

“Bekalan air telaga tiub ini merupakan bekalan air alternatif bagi mengurangkan impak kepada para pelajar sekiranya terdapat gangguan bekalan air JANS akibat kerja-kerja penyelenggaraan terancang, berjadual atau berlaku insiden yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Justeru itu kata Kasim, berdasarkan perkembangan bekalan air daripada JANS yang stabil dan konsisten, serta bekalan air alternatif telaga tiub yang telah siap dan berjalan dengan lancar, maka UMS pada ketika ini tidak mempunyai sebarang isu bekalan air.

Untuk rekod, populasi terkini di dalam kampus induk UMS yang mempunyai keluasan sekitar 999 ekar dengan kawasan yang telah dibangunkan sekitar 70% adalah mencecah 20,000 orang sehari, dan berdasarkan populasi tersebut, keperluan air dalam kampus induk UMS adalah sekitar 3MLD ke 5MLD sehari.

Justeru, Kasim merakamkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan yang responsif dengan sebarang keperluan universiti.