Saluran Radio UMSfm terus mengekalkan kedudukan sebagai radio institusi pertama di Sabah.

Terbaharu UMSfm telah menyiarkan sebuah rancangan yang membincangkan topik-topik semasa untuk disajikan kepada pendengar iaitu Personaliti UMSfm.

Rancangan tersebut telah mendapat sambutan positif dalam kalangan pendengar. Ia disiarkan setiap hari Rabu dari jam 8 pagi hingga jam 9 pagi.

Pengurus Stesen UMSfm yang merupakan penerbit Eksekutif rancangan Personaliti UMSfm, Dr. Intan Soliha Ibrahim berkata terbitan rancangan tersebut telah mendapat sambutan yang memberangsangkan kerana kini pendengar UMSfm cenderung untuk mendapatkan maklumat mengenai aktiviti, program, ilmiah dan penyelidikan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Rancangan ini sebenarnya untuk mempromosi dan menonjolkan kekuatan universiti bukan sahaja di lapisan akademik semata-mata, sebaliknya pentadbiran dan juga pelajar UMS. Kita berusaha untuk mempromosi dan mengetengahkan segala aktiviti, inovasi dan penyelidikan yang ada di UMS.

“Walaupun radio ini sering dilihat sebagai medium kedua selepas TV dan Internet, kepentingan radio dalam menyalurkan maklumat ketika orang berada dalam kenderaan dan pejabat memang tidak dapat dinafikan,” katanya.

Tambah beliau lagi, terbitan rancangan Personaliti UMSfm ini juga mampu didengari menerusi kepelbagaian medium.

“Rancangan ini boleh diakses menerusi kepelbagaian medium baik di frekuensi 91.1fm atau di Spotify UMSfm, aplikasi android, dan dalam talian.

Kepelbagaian medium ini penting bagi memastikan rancangan radio sampai dan menembusi pelbagai pasaran. Stesen radio perlu berani dalam menggunakan teknologi alternatif dalam memasarkan siaran radio,” ujar beliau.

UMSfm yang telah bertapak selama 13 tahun komited menjadi platform penyebaran maklumat universiti dan kerajaan serta melatih pelajar yang mahir dan berpengetahuan dalam bidang penyiaran radio.

Sebagai sebuah radio kampus pertama di negeri Sabah, UMSfm melalui transformasi pengetahuan dan teknologi dalam memastikan ia kekal relevan seiring dengan perubahan teknologi semasa

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menganjurkan Program Pendidikan Awam Bencana Alam (PPABA) bersama komuniti pada 19 Ogos ini Dewan Serbaguna Kampung Melangkap Baru, Kota Belud.

Program tersebut diadakan bermula pukul 8.00 pagi dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud, Jabatan Mineral dan Geologi Sabah (JMG), Pejabat Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Penganjuran program turut mendapat tajaan Yayasan TM, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.11 Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, Gui Brothers Trading dan Nabalu Trading Sdn. Bhd.

Menurut Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus, pelbagai aktiviti diadakan termasuklah pameran poster Kajian Bencana Alam UMS, serta Latihan Kecemasan Banjir, Kebakaran dan Gempa Bumi kepada komuniti.

“Bagi aktiviti ini, ia akan diketuai oleh Pensyarah Kanan (FSSA), Dr. Hardianshah Salleh dan Prof. Madya Ts. Dr. Ejria Saleh dari Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) sebagai moderator sepanjang program tersebut.

“Beberapa ceramah pendidikan turut disampaikan oleh pakar-pakar dari luar dan dalam UMS merangkumi tajuk Pengurangan Risiko Bencana Alam, Cuaca Ekstrem, Banjir dan Aliran Puing, Tanah Runtuh, Gempa Bumi, dan ceramah Pengurusan Bencana Negara.

“Antara penceramah jemputan termasuklah Profesor Kehormat Prof. Dr. Felix Tongkul, Dr. Chai Mui Fat, Dr. Janice Lynn Ayog, Dr. Frederick F. Tating, Ts. Dr. Noor Sheena Herayani Harith, dan Muhammad Fauzie Ismail,” jelas Carolyn dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Carolyn berharap agar kerjasama tersebut menjadi satu platform untuk mengeratkan lagi hubungan antara NDRC dengan komuniti, agar bersama-sama meningkatkan kesedaran tentang kepentingan langkah pencegahan dan persiapan semasa menghadapi bencana alam.

NDRC mengalu-alukan penyertaan daripada seluruh komuniti, pemegang taruh (stakeholders), badan-badan profesional, pihak swasta, industri dan semua agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk turut serta bagi memeriahkan program tersebut.

 

Penerbit Universiti Malaysia Sabah (PUMS) menganjurkan Program Bicara Buku dan Bengkel ‘Scholarly Book Publishing & Scopus Journal’ sempena Pesta Buku Brunei (PBB) 2023, yang berakhir pada Selasa.

Program Bicara Buku dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei itu disampaikan Timbalan Ketua Pegawai Penerbitan PUMS, Ainun Jamil.

Menurutnya, Program Bicara Buku itu menampilkan buku Diskalkulia, sebuah naskhah terbitan PUMS yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pembaca dan antara yang paling laris terjual.

“Program ini juga antara lain bertujuan mempromosikan buku-buku terbitan Penerbit UMS kepada warga Brunei khususnya yang datang berkunjung ke PBB,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ainun berkata, PUMS turut menganjurkan Bengkel ‘Scholarly Book Publishing & Scopus Journal’ selama dua hari dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

“Bengkel ini menampilkan dua penceramah jemputan iaitu mantan Pengarah Penerbit Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr. Roosfa Hashim; dan Pengarah Penerbit UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Kenneth Teo Tze Kin.

"Bengkel ini bertujuan untuk mengembangkan keterampilan akademik dan profesional peserta serta mendorong kemajuan dalam penulisan ilmiah,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Kenneth berharap agar penyertaan PUMS dalam PBB dapat memberi manfaat kepada UMS sendiri dan masyarakat dalam hal pemasaran, penjualan, interaksi dengan pembaca, dan perkembangan industri penerbitan secara keseluruhan.

Bertemakan ‘Mari Membaca’, program yang diadakan sejak 5 Ogos itu disertai lebih 30 pempamer daripada penerbit dan institusi kerajaan, syarikat dan kedai buku tempatan serta perwakilan dan penerbit buku dari luar negara.

Majlis perasmian PBB disempurnakan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Haji Nazmi Haji Mohamad

 

Penganjuran 1st International Borneo One Health Summer Camp (IB OHSem) oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu meningkatkan tahap kompetensi bakal graduannya.

Program yang disertai seramai 17 peserta termasuk seorang pelajar antarabangsa dari Indonesia itu menekankan konsep One Health dan menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman sepanjang seminggu pelaksanaannya.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, konsep One Health sangat releven kerana kesihatan manusia juga bergantung dengan haiwan dan persekitarannya.

“Kesihatan kita, haiwan dan alam sekitar adalah saling berkait rapat dan komponen ekosistem yang luas dan saling bergantung.

“Melalui pendekatan ini, dapat dilihat kerjasama antara profesional perubatan, doktor haiwan, saintis alam sekitar serta penggubal dasar dapat membawa kepada kejayaan transformatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penutupan rasmi program tersebut di Galeri Sains, FPSK.

Beliau turut berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang melihat kepada manfaat besar yang diperoleh melalui penganjurannya.

Dalam pada itu, Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree yang menjalankan fungsi Dekan FPSK berkata, delegasi yang menyertai program tersebut berjaya memperoleh ilmu melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Beliau menambah, kekayaan negeri Sabah dengan biodiversiti flora dan fauna yang sangat unik telah membuatkan program IB OHSem bertambah menarik.

Sepanjang seminggu program tersebut berlangsung, para peserta telah mengikuti aktiviti seperti team building, penilaian risiko di Tuaran dan Tamparuli, lawatan ke Makmal Diagnosa Veterinar di Kepayan, menyusuri pulau Gaya dan penglibatan masyarakat di Kalang, Papar.

Hadir sama pada majlis tersebut, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPSK, Prof. Madya Dr. Fairul Masnah@ Kadir, dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Masyarakat FPSK, Prof. Madya Dr. Saihpudin @ Sahipudin Saupin.

 

Serunding Kobis Universiti Malaysia Sabah (UMS) merangkul Anugerah Reruai Agensi NGO kategori Reruai Inovatif pada Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan (PKPK) 2023 yang diadakan di Serdang, baru-baru ini.

Ketua Kumpulan Penyelidik, Dr. Jurry Foo berkata, idea penghasilan Serunding Kobis itu tercetus selepas pihaknya melihat kesusahan petani dan peniaga tempatan yang berdepan lambakan tanaman tersebut susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS menambah, Serunding Kobis adalah inisiatif UMS bagi membantu petani dan peniaga dalam kalangan penduduk Ranau yang berdepan kekangan pergerakan akibat pelaksanaan PKP, sekali gus menyukarkan mereka untuk memasarkan hasil pertanian masing-masing.

“Kejayaan ini membuktikan keupayaan UMS membudayakan inovasi sesuai dengan peranannya sebagai peneraju masyarakat berinovatif,” katanya.

Sementara itu, Pengurus D’Dompuron Enterprise, Rojaliah Hanti berkata dirinya sangat bersyukur kerana inovasi ini telah membuka peluang perniagaan dan menjana pendapatan sampingan kepada peniaga hasil pertanian seperti kami.

“Sepanjang PKPK 2023, produk ini berjaya menarik perhatian para pengunjung yang hadir kerana rasanya yang menarik, unik dan sedap.

‘‘Justeru, saya juga berhasrat untuk memperluaskan lagi kapasiti pengilangan dan pengeluaran kami agar dapat melibatkan lebih ramai ahli komuniti dari kampung kami di Libang, Ranau sebagai penerima manfaat,” ujarnya lagi.

Pemerkasaan Serunding Kobis D’Dompuron turut mendapat bimbingan dan bantuan daripada Jabatan Pertanian Negeri Sabah, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Inovasi Serunding Kobis juga pernah memenangi pingat emas pada Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi Kebangsaan (iCompEx) 2021 anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS).

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.