Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menerima kunjungan Penanda Aras Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dari Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti (PHKK), Universiti Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), baru-baru ini.

Ketibaan delegasi UMPSA disambut Jawatankuasa EKSA Induk UMS yang diketuai Ketua Bahagian Pentadbiran dan Governan merangkap Ketua Kluster EKSA UMS, Azmi Jumat; Setiausaha EKSA Induk UMS, Joanne Justin; Penolong Setiausaha, Wenddye John serta Ahli Jawatankuasa Audit, Jaini Sapirai, Erwin Rusfian Rukkung dan Shone De Nelco Edie Gadur.

Menurut Azmi, delegasi PHKK UMPSA telah dibawa berkunjung ke Bahagian Keselamatan UMS (BKUMS), Pusat Islam UMS (PIUMS), dan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), UMS.

“Lawatan ini antara lain bagi menimba pengalaman, pengetahuan dan melihat pelaksanaan amalan EKSA di UMS.

“Pada masa yang sama, ia bagi mengeratkan jalinan kerjasama yang sedia terjalin antara UMS – UMPSA ke arah mencapai kecemerlangan secara berterusan dalam amalan EKSA di institusi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azmi menjelaskan, EKSA merupakan inisiatif penjenamaan semula Amalan 5S Sektor Awam dengan mengambil kira keperluan bagi mengetengahkan persekitaran tempat kerja yang berkualiti.

“Persekitaran tempat kerja yang selesa sangat penting supaya lebih relevan kepada jabatan atau agensi sektor awam di Malaysia.

“Semoga hasil daripada kunjungan Penanda Aras EKSA ini, hubungan dua hala di antara UMS dan UMPSA akan terus berkekalan,” ujarnya.

Pada kunjungan itu, delegasi PHKK UMPSA disertai Penolong Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Kamal Yusoh selaku ketua rombongan dan Pengarah Bahagian Pengurusan Strategik dan Kualiti (BPSK), Profesor Madya Ir. Dr. Norazwina Zainol.

Turut serta ialah Eksekutif Kanan Unit Pengurusan Kualiti (UPK) PHKK, Faisal Jusoh dan Eksekutif Kanan, Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI), Emma Melati Baharuddin.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Adamson University (AdU), Filipina, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif UMS, di sini, pada Rabu.

MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dan Pengarah Perhubungan Universiti AdU, Sr. Maruja S. Padre Juan.

Ia turut disaksikan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Pengerusi Jabatan Kejuruteraan Kimia, Kolej Kejuruteraan AdU, Prof. Madya Engr. Erison C. Roque.

Menurut Kasim, pemeteraian MoU itu merangkumi kolaborasi akademik, serta kerjasama dalam pengajaran dan penyelidikan.

“Kerjasama ini juga meliputi program mobiliti pelajar dan kakitangan akademik, persatuan, persidangan, lawatan akademik dan aktiviti-aktiviti lain yang dipersetujui kedua-dua belah pihak tertakluk kepada undang-undang dan dasar dari semasa ke semasa.

“Adalah diharapkan MoU ini dapat memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua universiti dan memberi manfaat bersama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Maruja dalam ucapannya memaklumkan bahawa UMS sebagai sebuah universiti yang tepat untuk jalinan kerjasama MoU.

“Saya sangat selesa di sini dan berasa seolah-olah berada di rumah sendiri kerana masyarakat yang begitu mesra selain budaya yang hampir sama dengan masyarakat di Filipina.

“Saya percaya pelajar dari AdU juga nanti akan mempunyai perasaan seperti ini dan menikmati pengalaman suasana pembelajaran yang kondusif di UMS,” katanya.

Untuk rekod, MoU UMS – AdU akan berkuat kuasa serta merta dan akan kekal untuk tempoh lima tahun.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Shahril Yusof; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Ir. Rosalam Sarbatly; dan Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri.

Yang turut hadir, Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan (FPEP), Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abd. Karim; Ketua Pegawai Digital Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Prof. Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim; dan Ketua Program Pengurusan Pelancongan FPEP, Prof. Madya Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul.

 

Minggu Sains Negara (MSN) 2023 peringkat negeri Sabah akan diadakan di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke-2 (DKP 2), Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada 24 - 26 Ogos 2023. 

Objektif MSN bagi tahun ini adalah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kehidupan seharian, serta menarik minat dan meningkatkan bilangan pelajar dan sumber manusia dalam bidang STI.  

Selain itu, program MSN juga bertujuan untuk menghargai dan mengiktiraf semua pihak yang telah memberi sumbangan dan kejayaan dalam bidang sains.  

Program itu merupakan anjuran kerjasama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), serta UMS selaku tuan rumah pameran. 

Tema MSN pada tahun ini adalah “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi” yang menekankan aspek keterlibatan semua lapisan masyarakat dalam menyemarakkan inovasi sains sejajar dengan kepesatan teknologi terkini dan seterusnya melahirkan modal insan berliterasi saintifik serta membudayakan sains dalam setiap dimensi kehidupan. 

Program ini juga akan mempromosikan tempat-tempat menarik yang terdapat di dalam UMS yang mana lawatan ke setiap tempat akan berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang sepanjang MSN berlangsung.   

Sepanjang program ini berlangsung, terdapat juga aktiviti lain yang akan diadakan seperti video salingan, Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) Speaker Series, Robotic Show dan lain-lain.  

Majlis perasmiannya dijangka dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, esok (Khamis).  

Dijadual hadir sama Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Arthur Joseph Kurup, Menteri KSTI, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd. Arif; Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor; Pembantu Menteri KSTI, Datuk Harun Durabi; Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Mohd. Hanafiah Mohd. Kassim; dan Ketua Setiausaha Tetap MOSTI, Datuk Dr. Aminuddin Hassim. 

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menandatangani perjanjian kolaborasi bersama Universiti Pasundan (UnPas) Indonesia yang memfokuskan kerjasama dalam memartabatkan bidang kerja sosial.

Pemeteraian perjanjian itu disempurnakan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dan Rektor UnPas, Profesor Dr. Ir. H. Eddy Jusuf.

Menurut Kasim, UMS merupakan sebuah universiti awam yang sentiasa peka terhadap cabaran dan keperluan masyarakat yang memerlukan kepakaran cendekiawan dalam menyelesaikan isu-isu semasa.

“Justeru, kolaborasi ini akan memberi penekanan terhadap bidang kerja sosial bagi membantu meningkatkan kebajikan pekerja dalam pelbagai sektor serta membantu golongan yang kurang berkemampuan.

“Dengan ini, pengadaptasian produk, perkhidmatan dan operasi dari hasil penyelidikan dapat membantu usaha untuk meningkatkan pertumbuhan dan penembusan positif pasaran antarabangsa bagi mencari solusi masalah serumpun,” katanya.

Kasim berkata, kolaborasi yang terjalin itu juga mampu membantu mengukuhkan keterampilan penyelidikan Kluster Seni, Sains Sosial dan Kemanusiaan agar seiring dengan kluster-kluster penyelidikan lain di UMS yang berpaksikan kepada unsur sains dan teknologi.

“Untuk makluman, kerjasama ini akan diketuai oleh Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS, Profesor Dr. Murnizam Hj. Halik,” tambahnya lagi.

Perbincangan tersebut dijalankan seiring dengan lawatan Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Hj. Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni sempena Lawatan Pengantarabangsaan Penyelidikan dan Akademik UMS di Indonesia.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UMS, Rafidah Datu Derin; Atase Pendidikan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Zulfadhli Hamzah; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sabartly dan Timbalan Pengarah (Strategik) Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS, Profesor Madya Dr. Fatimah Ahmedy.

 

Pemberian Mobile Thematic Exhibition (MTE) Pusat Sains Negara (PSN) kepada U-Science, Universiti Malaysia Sabah (UMS) bantu tarik minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, pemberian tersebut merupakan kesinambungan kerjasama erat antara UMS-PSN.

“Kerjasama UMS-PSN bermula pada tahun 2020 dengan pemberian bahan astronomi kepada U-Science, UMS.

“Antara peluang yang telah diberikan kepada U-Science UMS ialah menyertai Minggu Sains Negara 2022, Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah, dan Karnival Sains Sabah, 2022.

“Di Karnival Sains Sabah 2022, U-Science UMS telah menerima Anugerah Khas Penyertaan Tertinggi Peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi 10 program yang dilaksanakan dengan jumlah penyertaan 48,410 meliputi pelajar sekolah rendah sekolah menengah, dan IPT,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) atas bantuan kewangan dan khidmat nasihat kepada U-Science UMS sejak penubuhannya.

“Pengurusan UMS mengharapkan kerjasama U-Science UMS-PNS dengan sokongan dan bantuan MOSTI seperti latihan untuk kakitangan U-Science serta penempatan beberapa bahan pameran.

“Pelaksanaan bersama program seperti seminar, outreach dan National Tinkering Challenge mampu membantu UMS memberi kesedaran kepada masyarakat Sabah tentang kepentingan sains dan teknologi dalam dunia era digital kini,” tambahnya.

Beliau juga berharap agar MOSTI dapat memperuntukkan dana untuk menambah dan menaik taraf U-Science sebagai Ruang Sains di Sabah untuk membantu pendidikan STEM di negeri ini.

Kasim berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof, semasa majlis penyerahan.

Penyerahan MTE PSN kepada U-Science UMS telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Kurup.

Untuk rekod, U-Science UMS telah menerima 30 unit bahan pameran interaktif yang berkonsepkan astronomi, cabaran minda dan fizik bernilai RM1.5 Juta daripada PSN, sekali gus menjadi destinasi bagi Program PSN Satelit selama dua tahun.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.