KOTA KINABALU - Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal mengetuai Sabah Higher Education Nexus (SHEN) iaitu sebuah konsortium yang menggalakkan perkongsian strategik antara institusi pendidikan tinggi Sabah, pihak kerajaan, industri dan komuniti.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, UMS dilihat sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang paling sesuai untuk mengetuai inisiatif berkenaan.

“SHEN akan memacu pembangunan bersama semua institusi yang terlibat, meningkatkan daya tahan institusi dan menyumbang kepada ekosistem pendidikan tinggi yang berinovatif dan berdaya saing.

“Pendekatan Nexus memungkinkan pembinaan sinergi antara pelbagai sektor dan antara institusi pendidikan tinggi yang mempunyai pelbagai bidang tujahan.

“Hal ini bermakna institusi yang lebih kecil atau yang baru mula membina kredibiliti akan mendapat manfaat daripada pendekatan ini melalui inisiatif perkongsian sumber dan kepakaran dengan institusi yang lebih matang, kolaborasi inter-disiplin serta peluang pemerolehan geran penyelidikan yang lebih luas.

“Peningkatan keterlihatan dan kredibiliti, pembangunan ekonomi dan komuniti serta inovasi kurikulum. SHEN adalah sebuah inovasi pengurusan yang mampu memberi nilai tambah kepada semua institusi yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Leadership Forum Embracing Change:Leadership Strategies for Continous Innovation  anjuran UMS dan Akademi Kepimpinan Tinggi Malaysia (AKEPT).

Mustapha menambah beberapa strategi dapat membantu bagi merealisasikan inisiatif tersebut termasuk memastikan visi yang jelas berkaitan hala tuju inovasi, mengamalkan kepimpinan yang fleksibel dan adaptif serta mengadakan libat urus pemegang taruh.

Selain itu katanya ia juga mampu dilakukan melalui pemerkasaan ahli akademik dan pentadbir untuk berinovasi, menggalakkan pembelajaran berterusan serta membudayakan kolaborasi.

“Intiha’nya, inovasi memainkan peranan yang penting dalam suasana persekitaran yang dinamik di mana perubahan perlu diurus dengan baik.

“Dalam industri lain, kolaborasi antara organisasi ialah salah satu inovasi pengurusan yang telah dibuktikan mampu meningkatkan daya saing dan daya tahan organisasi yang terlibat.

 

“Pendekatan yang sama mampu dilakukan oleh institusi pendidikan melalui kebersamaan dan semangat untuk sama-sama membangun, demi kelestarian dan kecemerlangan pendidikan tinggi negeri Sabah dan negara amnya,” ujar Mustapha.

Program Sabah Higher Education Nexus (SHEN) mencatatkan sebanyak 94 penyertaan daripada 10 organisasi.

Turut hadir, Pengarah AKEPT, Profesor Dr. Harshita Aini Haroon; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Dekan Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial UMS, Prof. Dr. Mohd Dahlan Haji Abdul Malek.

 

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menunjukkan komitmen dalam persediaan menghadapi bencana dengan menyertai latihan Table Top Exercise (TTX) dan Field Training Exercise (FTX) yang berlangsung di Kundasang.

Latihan tersebut memfokuskan kepada pengurusan bencana tanah runtuh di Sabah, dan melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan.

Menurut Pengarah NDRC, UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus, acara tersebut terbahagi kepada dua bahagian utama, iaitu sesi TTX yang membincangkan Prosedur Tetap Operasi (PTO) setiap agensi, diikuti dengan sesi FTX yang melibatkan simulasi penuh struktur arahan, operasi, serta aktiviti mencari dan menyelamat (SAR) oleh agensi terlibat.

“Simulasi seperti ini sangat penting sebagai platform memperkukuh kebolehoperasian dan kerjasama antara agensi.

“Latihan ini akan meningkatkan kefahaman bersama dan memudahkan tindakan kolektif antara pasukan penyelamat, khususnya dalam situasi kritikal seperti tanah runtuh di Sabah,” katanya yang turut menjadi peserta kepada sesi latihan tersebut.

Carolyn menambah, sesi latihan yang melibatkan 70 peserta pelbagai agensi juga membuka ruang perkongsian ilmu antara agensi, selain membolehkan peserta meningkatkan pengetahuan, pengalaman, dan kepakaran mereka.

“Tahun ini daerah Ranau dipilih sebagai lokasi operasi kerana terdedah kepada bencana seperti gempa bumi, tanah runtuh, dan banjir.

“Justeru itu, pentingnya latihan seperti ini untuk meningkatkan kesiapsiagaan agensi dan sukarelawan dalam pengurusan bencana serta memperkukuh PTO sedia ada,” ujar beliau.

Latihan bersepadu ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah, bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Agensi-agensi utama yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah Ranau, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Taman-Taman Sabah, serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu, antara agensi teknikal dan sokongan lain yang menyertai latihan ini ialah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Penerangan Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, RELA, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jabatan Air Negeri Sabah, Sabah Electricity Sdn. Bhd., serta Sapura Secured Technologies.

 

Usaha meningkatkan kesedaran mengenai autisme adalah penting dan perlu diberi perhatian serius oleh semua lapisan masyarakat.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata autisme adalah peluang untuk masyarakat memahami kepelbagaian dalam pembangunan minda manusia yang perlu diraikan, difahami dan diintegrasikan dalam setiap aspek kehidupan.

“Setiap individu tidak kira latar belakang mereka mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat jika diberikan sokongan yang sewajarnya.

“UMS sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang berperanan penting dalam pembentukan minda dan penyelidikan, berasa bertanggungjawab untuk turut serta dalam usaha meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai autisme.

“Kami percaya bahawa pendidikan adalah kunci utama dalam mengatasi segala kekangan dan prejudis yang mungkin wujud dalam masyarakat.

“Pada hari ini kita bukan sahaja berkumpul untuk membincangkan kepentingan kesedaran autisme, tetapi juga untuk memperkukuh komitmen kita dalam usaha ini,” ujar Kasim.

Beliau berkata demikian pada penganjuran UMS Sunset Autism Run (USAR) 2024 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang diwakili oleh Pengarah Parlimen P.171 Sepanggar, Ahsim Jamat baru-baru ini.

Tambah Kasim, UMS akan terus menjadikan program-program seperti itu sebagai acara tahunan agar ia dapat memberi manfaat kepada komuniti, bukan sahaja di Sabah, tetapi juga di seluruh negara.

“Kerjasama erat antara pihak universiti, organisasi seperti Sabah Autism Society (SAS), dan masyarakat akan terus diperkukuhkan demi melahirkan sebuah ekosistem yang inklusif dan menyokong perkembangan semua individu, termasuk mereka yang hidup dengan autisme,” katanya.

USAR 2024 merupakan penganjuran kali ke-4 bersama SAS, Pusat Minda Lestari UMS, Pusat Alumni UMS serta Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS dengan sokongan agensi kerajaan dan swasta.

Turut hadir, Penaung SAS, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Dr. Raman Noordin serta Pengerusi SAS, Jennifer Balanting.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengiktiraf sumbangan fakulti dan pihak pengurusan universiti bersama industri dalam meningkatkan kebolehpasaran graduannya.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata dunia pekerjaan menuntut graduan untuk memiliki pengetahuan akademik yang kukuh serta kemahiran insaniah, kemahiran komunikasi dan daya saing yang tinggi.

Katanya peranan universiti bukan sahaja mempersiapkan pelajar untuk memperoleh ijazah tetapi juga bersedia menjadi tenaga kerja yang berkualiti, berinovasi dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran di dunia pekerjaan.

“Majlis ini juga adalah bukti komitmen pihak universiti dalam melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri dan mampu bersaing di peringkat global.

“Saya percaya, usaha seperti kerjasama dengan industri, latihan amali, serta program-program pembangunan bakat yang dilaksanakan oleh universiti telah memberi impak yang besar terhadap kebolehpasaran graduan kita,” ujar Kasim.

Tambah Kasim, UMS telah mencatatkan pencapaian membanggakan dengan kadar kebolehpasaran graduan mencapai 98.5 peratus pada tahun 2023, peningkatan 0.2 peratus berbanding pada tahun 2022.

“Pencapaian ini adalah hasil usaha berterusan semua pihak yang terlibat dalam memperkasakan graduan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kebolehpasaran Graduan (MAGE) 2024 UMS anjuran Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar UMS yang berlangsung baru-baru ini.

Penganjuran MAGE buat julung kalinya telah menyaksikan sembilan fakulti meraih Anugerah Komitmen Cemerlang 2023 iaitu Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Fakulti Sains dan Sumber Alam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif serta Fakulti Perhutanan Tropika.

 

Manakala penerima Anugerah Prestasi Gemilang 2023 dianugerahkan kepada Fakulti Pertanian Lestari, Fakulti Komputeran dan Informatik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Pengajian Islam, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Institut Penyelidikan Bioteknologi, Institut Penyelidikan Marin Borneo serta Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan.

 

Sementara itu, Anugerah Inspirasi Kebolehpasaran 2023 pula dirangkul oleh Pusat Pengajian Pascasiswazah yang sekaligus membantu universiti dalam pencapaian KPI gaji premium.

 

Majlis tersebut juga turut meraikan duta Mynext yang terdiri daripada enam pelajar UMS dan 40 orang perunding kerjaya sebagai penghargaan atas komitmen masing-masing.

 

Kasim turut menzahirkan penghargaan kepada TalentCorp atas sumbangan dana sebanyak RM100,000 bagi menjalankan program-program kebolehpasaran graduan di UMS.

 

Kolaborasi antara pihak universiti, agensi, dan usahawan mampu melahirkan graduan yang mempunyai keyakinan tinggi dan berdaya saing dalam merealisasikan aktiviti keusahawanan semasa berada di universiti lagi.

Umpamanya, sinergi antara Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Negeri Sabah (G3PNS) dalam menjayakan penganjuran PUNB-UMS Social Entreprenuership Challenge 2024 mampu memangkin usaha tersebut.

Dekan Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS, Profesor Madya Dr. Mohd Rahimie Abdul Karim berkata, pihak fakulti secara pro-aktif sentiasa memberi galakan kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam pertandingan inovasi seperti itu terutama dalam projek berasaskan digital dan teknologi.

Beliau turut berkongsi hasil daripada program PUNB-Uni Challenge tahun lalu apabila seorang pelajar mendapat johan dalam pertandingan PUNB-Uni Challenge 2023, kini dalam proses mencapai kecemerlangan di pertandingan lain antaranya mewakili Sabah ke ENTCAMP Malaysia, dan yakin banyak lagi pencapaian yang bakal dicipta dalam bidang keusahawanan melalui program seperti ini.

“Program ini bermula sejak 27 Jun lalu melibatkan sesi perbincangan di antara usahawan dan pelajar, bimbingan penasihat dari UMS dan PUNB serta penganjuran bengkel berkaitan Keusahawanan Sosial dan teknik pembentangan projek tersebut.

“Bertemakan ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus), program yang dikelolakan oleh Program Keusahawanan FPEP ini memerlukan peserta untuk mencadangkan idea inovasi berkonsepkan keusahawanan sosial yang dapat menyelesaikan masalah usahawan dalam perniagaan mereka, di samping memberi impak kepada kesejahteraan sosial, ekonomi dan alam sekitar.

“Diharapkan menerusi program ini mampu mencetuskan minda para pelajar untuk menceburi bidang keusahawan dan seterusnya menjadi pencipta pekerjaan yang membanggakan negara satu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian PUNB-UMS Social Entreprenuership Challenge 2024 di bangunan FPEP UMS.

Rahimie turut merakamkan penghargaan kepada PUNB yang menyediakan dana bagi menjayakan program tersebut, dan G3PNS yang menyediakan 10 usahawan sebagai rakan strategik bagi membolehkan para peserta melaksanakan aktiviti mencari penyelesaian dan penambahbaikan kepada pelbagai isu berkaitan perniagaan dan keusahawanan.

“Ini merupakan satu proses UMS menerusi FPEP khususnya Program Keusahawanan dalam melangkah untuk membina hubungan strategik dengan PUNB dan G3PNS yang amat penting dalam ekosistem perniagaan dan keusahawanan.

“Usaha kolaborasi UMS dengan G3PNS ini juga merupakan satu inisiatif universiti di bawah Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam menghubungkan bukan sahaja pelajar malah penyelidik atau ahli akademik dengan kumpulan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti G3PNS yang mempunyai kumpulan usahawan yang mewakili negeri Sabah,” ujar beliau.

Pada pertandingan kali ini, sebanyak 10 kumpulan berentap bagi mempamerkan secara praktis kebolehan dan kreativiti keusahawanan dalam mengendali situasi yang dihadapi oleh komuniti usahawan tempatan, sama ada membantu mereka dalam pelbagai sudut seperti pemasaran, pengurusan kewangan, inventori, dan lain-lain.

Kumpulan Babupop yang mengetengahkan isu kekurangan tenaga pekerja dan cabaran dalam memenuhi permintaan pengeluaran popia dalam pembentangan mereka muncul johan pertandingan, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan bernila RM3,000.

Tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan Richgreats membolehkan mereka menerima hadiah berjumlah RM2,500, manakala Kumpulan Baeiku yang mendapat tempat ketiga membawa pulang hadiah berjumlah RM2,000.

Selain hadiah utama, terdapat pelbagai kategori hadiah yang dipertandingkan, antaranya kategori Hadiah Inovatif yang dimenangi Kumpulan D’Watie Empire; Hadiah Pembentangan Terbaik dimenangi Kumpulan Krunchy Kottage; Hadiah Pengurusan Terbaik dimenangi Kumpulan Menaq; Hadiah Inovasi ESG Terbaik dimenangi Kumpulan Glowguide, dan Hadiah Saguhati dimenangi tiga kumpulan iaitu Sembang Healing, Ailuh Team, dan Digital Hustle.

Hadir sama pada perasmian program tersebut Ketua PUNB Wilayah Sabah, Abdul Ashaari Salleh; Timbalan Presiden G3PNS, Noorizan Elias; Pengarah Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Sidah Idris; Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Dr. Jakaria Dasan; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah FPEP, Dr. Noor Fzlinda Fabeil selaku penyelaras program; dan Ketua Program Keusahawanan FPEP, Profesor Madya Dr. Ramrani Ali Hassan.